RSS

54.1. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

18 Nov

Gejala Persaingan Ketokohan Ustaz.

Semasa persilatan SC berkembang hebat, persatuan SC juga bergerak dan tersusun hebat. Struktur organisasi persatuan yang mantap telah menjadikan SC semakin dihormati masyarakat persilatan. Ketokohan Ustaz semakin menyerlah. Ketrampilan Ustaz sebagai pemimpin Silat Cekak telah menjadikan perguruan lain memberi penghormatan dan perhatian. Hal yang demikian menyebabkan semua ahli SC berasa bangga dan megah atas kehebatan Guru Utama, Ustaz Hanafi. Bunga-bunga untuk bersaing secara langsung dengan ketokohan Ustaz, tidak timbul langsung.

Namun begitu, seperti yang ditegaskan dalam tulisan terdahulu, telah ada dalam kalangan ahli SC yang cuba ‘berlagak’ seperti perwatakan Ustaz. Maknanya, nak jadi macam Ustaz. Dalam hati, saya tak tahu; sama ada wujud hasrat mengidam akan jawatan Guru Utama. Dalam kalangan mereka, terdapat seorang orang kanan Ustaz yang ketara sifatnya ‘lagak’ seperti Ustaz. Namun begitu, situasi yang berkenaan cepat-cepat disedari dan Ustaz mengambil tindakan tegas untuk menyisihkannya dari persatuan. Akan tetapi, hubungan ahli berkenaan dengan Ustaz masih berkekalan dari segi persilatan. Ahli tersebut masih boleh lagi mengerjakan haji bersama Ustaz. Maknanya, Ustaz dapat membezakan antara penglibatan seseorang itu dalam persatuan dan persilatan.

Saya difahamkan bahawa gelagat ahli yang berkeinginan jawatan Guru Utama SC telah wujud sejak awal penglibatan Ustaz dalam memperkembangkan SC. Ketika itu saya belum aktif lagi. Saya hanya mendapat berita berdasarkan penceritaan dan kenangan yang dilahirkan Ustaz sendiri. Kerap kali juga hal yang demikian dikenang kembali oleh ahli-ahli silat yang lebih lama terlibat dalam proses perkembangan SC. Semuanya berlaku di awal perkembangan SC. Gelagat mereka cuba membuktikan atau menunjukkan bahawa mereka juga turut memiliki ketinggian ilmu seperti mana yang ada pada Ustaz. Maka lahirlah watak-watak yang memberi cabaran pada Ustaz. Gara-gara untuk menafikan Ustaz sebagai Guru Utama. Walau bagaimanapun akhirnya, semuanya tersingkir.

Ketika Ustaz mengembangkan SC di negeri Kedah, telah ada cabaran yang sedemikian. Semasa Ustaz berada di hospital, kuasa mengendalikan persilatan diperturunkan pada orang kanannya. Apabila Ustaz telah sembuh dan keluar dari hospital, Ustaz telah dapat mengesan kecurangan dalam proses penurunan ilmu SC. Beberapa pergerakan buah telah disembunyikan dari diajar pada para penuntut. Perbuatan tersebut membuktikan betapa kewibawaan Ustaz selaku Guru Utama telah cuba dicabar oleh murid Ustaz sendiri. Pastinya ada perasaan menyamai kehebatan dirinya sama seperti Ustaz.

Hal yang demikian telah menyebabkan keperluan Ustaz mengambil tindakan tegas. Akhirnya, anak murid Ustaz berkenaan telah tersingkir. Namun begitu ancaman itu tidak berhenti begitu saja. Ahli yang tersingkir telah bergabung dengan ‘bekas guru SC’ untuk menubuhkan silat baru. Maka tertubuhlah silat baru yang turut memberi ancaman dan gangguan pada perkembangan SC. Pelbagai kempen dilakukan bagi membuktikan bahawa Silat Cekak adalah berasal dari silat yang ditubuhkannya itu. “Terbalik kot”. Strategi yang digunakan mereka, seboleh-bolehnya Ustaz akan hilang kepercayaan dari anak muridnya sendiri. Secara langsung maka akan terkuburlah SC. Itulah hasrat hakiki mereka. Tapi hasrat tersebut tidak menjadi. Masih ramai yang berdiri teguh bersama Ustaz.

Semasa awal Ustaz bertapak di Kuala Lumpur, timbul lagi ancaman yang lainnya. Dasarnya tetap sama iaitu keinginan untuk ‘merampas’ jawatan Guru Utama. Maka timbullah watak anak murid Ustaz sendiri yang dikenali sebagai ‘Mat Empat Puluh Satu’. Istilah yang difahami oleh ahli-ahli lama. Ahli berkenaan sanggup memfitnah Ustaz. Tuduhan ‘skandal’ dijadikan asas utama. Kerja lakunya itu dibuat bersama dengan isterinya. Namun begitu, usaha-usaha memfitnah tersebut telah gagal. Ahli yang berkenaan juga telah turut lenyap begitu saja.

Dua kejadian yang saya ceritakan di atas adalah semasa saya belum terlibat lagi dalam persilatan SC. Nampaknya, keinginan menjadi Guru Utama telah ada bunga-bunganya ketika awal kepimpinan Ustaz. Cubaan mendapatkan jawatan Guru Utama adalah dilakukan secara jelas dan berani. Namun begitu, usaha-asaha tersebut tidak kesampaian.

Apabila persatuan SC semakin mantap maka pengurusan persilatan SC juga turut mantap. Walau bagaimanapun, berdasarkan konsep kesepaduan peranan Presiden dan Guru Utama ketika itu, bunga-bunga inginkan jawatan tertinggi dalam SC mula wujud semula. Hal yang demikian berdasarkan andaian bahawa keinginan menjadi Presiden itu adalah bermakna juga keinginan menjadi Guru Utama. Itulah kesimpulan saya. Presiden dan Guru Utama adalah kesepaduan yang tidak dapat dipisahkan pada kefahaman yang sedia ada ketika itu. Kalau jawatan Presiden ingin dicabar maka maknanya ada hati nak jadi Guru Utama.

Setelah usul jawatan Presiden dijadikan jawatan seumur hidup diterima ahli, maka semua pihak yang risau telah berasa lega. Tidak timbul lagi perasaan curiga akan wujudnya cubaan menggulingkan Presiden. Semua ahli dapat menumpukan perhatian dalam perkembangan SC seterusnya.

Walau bagaimanapun seperti yang saya tegaskan, wujud pula golongan ahli yang cuba meniru perwatakan Ustaz. Saya telah sentuh betapa seorang ahli yang berkenaan, terpaksa disingkirkan dari persatuan. Saya ingin menarik perhatian para pembaca. Gelagat tersebut tidak hanya terhad pada ahli itu seorang. Hanya ahli itu yang bernasib malang kerana perbuatannya dapat dikesan dan dianggap keterlaluan. Pada hal, ramai lagi anak murid Ustaz yang berlagak seperti Ustaz. Tapi mereka pandai bertindak, umpama ‘melempar batu, sembunyi tangan’. Tindak tanduk mereka sukar dikesan.

Pelbagai gelagat mereka boleh diperhatikan. Kalau dalam kelas, cakap-cakap Ustaz dijadikan bahan untuk menonjolkan kehebatan diri. Maka ditimbulkan persoalan yang tiada jawapan. Orang yang memberi soalan tanpa jawapan adalah merupakan salah satu strategi penonjolan diri. Semuanya untuk membuktikan kehebatan mereka telah menyamai ‘makam’ Guru Utama. Dalam bidang agama, isi percakapannya ‘bersyarah’ pada anak didiknya adalah ‘sebijik’ macam Ustaz. Dasarnya bagus untuk memanjangkan kefahaman Ustaz. Malangnya, percakapan tersebut tidak bersandarkan pada Ustaz. Melainkan membuktikan bahawa isi percakapan itu adalah hasil pemikirannya sendiri. Itulah yang dikatakan sebagai perwatakan yang meniru watak Ustaz. Hakikatnya ialah keinginan menyamai kehebatan diri sama seperti Ustaz. Banyak lagi contoh yang tidak perlu saya lanjutkan dalam tulisan ini; terutamanya dalam bidang pengurusan persatuan.

Walau bagaimanapun, SC telah terus berkembang. Namun begitu, setelah pemergian Ustaz, cita-cita atau usaha-usaha untuk menjadi Guru Utama telah berputik semula. Tidak dapat dikawal lagi. Macam kiasan empangan pecah. Boleh juga dikiaskan macam orang berpuasa nafsu yang menahan lapar dan dahaga di siang hari sahaja. Bila habis tempoh ‘tahan’ puasa, bersegeralah mereka ‘memburu’ air dan makanan. Macam terlepas diri dari ikatan. Hingga ‘buntat’ perut yang ada. Lupa peraturan makan yang dianjurkan agama. Sambar apa saja. Janji kenyang. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: