RSS

54.0. KEINGINAN MENJADI GURU UTAMA.

15 Nov

Latar Belakang Timbulnya Keinginan.

Dalam tulisan yang lalu saya ada menyentuh tentang wujudnya kepelbagaian SC akibat persatuan yang berpecah. Ada yang bertanya pada saya. Jika persatuan tidak berpecah, adakah persilatan kita akan berpecah. Satu persoalan yang menarik juga. Ketika ini ada banyak persatuan yang menaungi pergerakan persilatan SC. Semuanya ada guru tertentu. Pada hal, asalnya Guru Utama Silat Cekak hanyalah seorang. Kini menjadi beberapa orang. Generasi baru yang ada, pastinya berasa kecewa akibat perkembangan tersebut. Pengetahuan mereka tentang punca kemenjadian ramai guru, mungkin tidak ada. Saya jadikan persoalan itu sebagai bahan penulisan pada kali ini. Bolehlah dijadikan sandaran untuk memahami proses wujudnya ramai guru dalam SC berdasarkan pemerhatian dan kesimpulan saya sendiri.

Nampaknya hasrat menjadi guru dalam kalangan anak murid Ustaz telah lama wujud. Namun begitu, proses kemenjadian hasrat itu telah dapat disekat Ustaz. Walau bagaimanapun sekatan itu rupanya tidak mematikan hasrat yang wujud itu dalam kalangan ahli-ahli tertentu. “Patah tumbuh hilang berganti”. Ahli yang hilang keinginan menjadi guru, kemudiannya diganti oleh ahli lain yang mempunyai hasrat yang sama. Maknanya, keinginan menjadi guru itu menjelma semula dalam hati ahli yang lain. Tak boleh ditahan. Macam bunga api yang terpercik secara tiba-tiba.

Boleh juga kita kiaskan umpama air yang disekat secara empangan. Sikit-sikit, lama-lama airnya menjadi banyak. Akhirnya, empangan berkenaan mulai retak. Retak mencari belah. Pecah. Bila empangan pecah maka airnya melimpah dengan derasnya. Menjadi-jadi. Tak boleh ditahan-tahan lagi. Arusnya mengalir mengikut ruang atau alur yang ada. Membujur lalu, melintang patah. Bahan yang menyekat akan dirempuhnya. Tak ada peraturan langsung.

Dalam konteks ini, Ustaz berjaya membendung hasrat beberapa orang anak muridnya daripada terus menerus mencabar kedudukannya sebagai guru. Hal yang demikian telah berlaku sebelum kedatangan Ustaz ke Kuala Lumpur lagi. Pendirian Ustaz tegas. Ketegasan itu melahirkan sifat berani untuk bertindak. Guru Utama tetap satu. Persilatan Silat Cekak juga adalah satu. Ustaz berjaya mempertahankan prinsip tersebut. Namun begitu setelah ‘pemergian’ Ustaz, hal yang demikian tidak dapat dibendung lagi. Ramai anak muridnya yang mengambil kesempatan menjadi guru sama ada tindakan mereka itu dalam masa jangka pendek ataupun dalam masa jangka panjang. ‘Memenuhi hasrat untuk menjadi Guru Utama’. Maka timbullah pelbagai guru utama dalam persilatan SC dengan pelbagai jenama yang ada.

Untuk lebih memahaminya, lebih baik kita lihat akan perkembangan yang berlaku pada persatuan kita sejak zaman Ustaz lagi. Pengetahuan saya adalah berdasarkan penglibatan yang sekian lama dalam SC. Saya alaminya sebagai pemerhati. Saya tak buat kajian, melainkan atas pengetahuan dan pengalaman saya. Ketika itu, perhatian ahli sentiasa tertumpu penuh pada proses SC mengembangkan sayapnya di persada persilatan tanah air.

Persilatan dan persatuan adalah merupakan dua perkara yang bersepadu. Tidak boleh berpisah. Dalam konteks sekarang, satu-satu persilatan itu mustahil bergerak secara sah jika tanpa dipayungi oleh satu-satu persatuan. Maknanya persatuan adalah perlu untuk membenarkan aktiviti persilatan. Cuma, dalam proses perkembangan silat itu, adakah silat menjadi alat kepada persatuan atau persatuan itu menjadi alat kepada persilatan. Semuanya bergantung pada fahaman dan kepentingan para kepemimpinan tertinggi persatuan dan persilatan berkenaan.

Bagi memahami tajuk ini, saya menyingkap kembali kenangan saya tentang suasana yang berkaitan dengan perkembangan tersebut. ‘Perkembangan hasrat menjadi guru’. Saya mulakan perbincangan ini berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sejak ‘kewujudan’ saya dalam persatuan SC. Saya alami dan saya dapat perhatikan. Mudah bagi saya membuat kesimpulan berdasarkan ‘bahan pertama’. Pada hal, dari segi hakikatnya, proses keinginan menjadi guru telah lama berlaku sejak awal penglibatan Ustaz dalam SC. Saya akan menyentuh hal yang berkenaan kemudiannya.

Saya mulakan perbincangan dalam tulisan ini dengan merujuk pada seorang ahli SC yang aktif berpolitik ketika bergiat dalam SC. Beliau berjawatan juga dalam bahagian politiknya. Dalam persilatan SC, banyak juga jasanya. Beberapa kelas SC berjaya dibukanya atas sifat kegiatan politik. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu. Kegagalannya menunaikan janji dengan Ustaz telah tidak menyenangkan Ustaz. Hal yang demikian telah menyebabkan keghaibannya.

Saya percaya bahawa kegiatan ahli berkenaan yang bersepadu antara persilatan dan kegiatan politiknya, telah mendatangkan perasaan curiga dan terancam dalam kalangan orang-orang kanan Ustaz yang memimpin persatuan ketika itu. Mereka berasa amat risau jika ahli-ahli politik menguasai persatuan. Ahli-ahli silat yang juga menyertai pertubuhan politik yang lain akan semakin ramai. Dikhuatiri, akhirnya mereka akan menguasai persatuan dan seterusnya mengawal kegiatan silat yang dinaungi oleh persatuan berkenaan. Hal yang demikian akan mengganggu-gugat kedudukan Presiden persatuan merangkap Guru Utama. Dalam perlembagaan persatuan, semua ahli yang dicalon, boleh bertanding sebagai presiden.

Saya masih terkenang lagi dalam satu mesyuarat agung yang telah diadakan. Tak ingat kali yang ke berapa. Dalam mesyuarat agung itu terdapat agenda untuk menjadikan Ustaz sebagai presiden seumur hidup. Itulah pertama kalinya agenda sedemikian dibentang kepada pewakilan. Ketika usul dikemukakan, selaku pemimpin cawangan, saya adalah penentang utama. Pendapat saya disokong kuat oleh perwakilan Kedah termasuk adik Ustaz sendiri. Manakala pihak ibu pejabat bermati-matian menegaskan hujah-hujah mereka. Mereka diketuai oleh Setiausahanya. Saya mempunyai pelbagai alasan.

Saya berpendapat, menerima usul yang sedemikian bermakna ada keinginan atau ada perancangan untuk mengambil alih kedudukan Ustaz sebagai presiden persatuan. Maknanya ada hasrat mempersoalkan Ustaz sebagai pemimpin persatuan. Persatuan dan persilatan adalah bersepadu. Jika ada hasrat untuk mendapatkan jawatan presiden maka bermakna ada hasrat untuk menguasai kedudukan Ustaz sebagai Guru Utama. Pada saya, mana mungkin perkara sedemikian boleh terjadi. Pada zahirnya, semua orang yang ada dalam persatuan SC adalah berjuang atas sifat ikhlas. Oleh itu, tidak mungkin wujud perebutan kuasa atau persaingan dengan Ustaz yang merupakan Guru Utama merangkap Presiden SC. Bantahan saya akhirnya terketepi.

Namun begitu, selepas mesyuarat, setiausaha yang ada telah menemui saya dan mengajak berbincang bagi menjelaskan fahaman mereka. Saya pernah menyentuh tentang peristiwa tersebut dalam tulisan terdahulu. Menurutnya, usul berkenaan adalah perlu. Hal yang demikian adalah kerana penglibatan ahli-ahli politik semakin meluas dalam SC. Orang-orang politik amat sukakan kuasa. Kalau berdasarkan peraturan mesyuarat, jawatan Presiden boleh dikuasai mereka berdasarkan undian. Keadaan ini boleh membimbangkan perkembangan SC. Jika tidak disekat, akan menjadikan Ustaz hanya menguasai persilatan manakala persatuan akan dikuasai oleh orang lain. Menurutnya, perkembangan itu perlu diawasi dan dibendung dari awal. Jika jawatan Presiden dijadikan jawatan seumur hidup, perebutan kuasa boleh dihindari. Kedudukan Ustaz sebagai Guru Utama akan sentiasa terpelihara.

Saya akur dengan pendapat sedemikian walaupun hati kecil macam susah nak terima. Tak boleh terima akan situasi boleh wujudnya perasaan untuk menyaingi Guru Utama. Tapi saya paksakan diri. Kena terima. Saya diyakinkan oleh setiausaha berkenaan betapa jawatan Presiden dan Guru Utama adalah bersepadu dan tidak boleh dipisahkan. Kesempatan merebut jawatan presiden maka bermakna akan berkesempatanlah orang berkenaan mendapatkan hak sebagai Guru Utama. Cara percakapannya menampakkan logik. Wajah ikhlasnya menggambarkan betapa jawatan tertinggi dalam SC sama ada dalam persatuan atau persilatan perlu sangat dipelihara.

Nampaknya ketika ini, bekas setiausaha berkenaan telah beralih angin. Susun persatuan cara baru. Pegangannya telah berubah. Persatuan yang ditinggalkan oleh Guru Utama telah disusun dalam bentuk wajah baru; dulunya cuba dihindari. Kegiatan silat adalah di bawah seorang Guru Utama yang dilantik. Manakala kegiatan persatuan ada orang lain yang berkuasa. Kepimpinan Guru Utama tidak menguasai persatuan. Ketika berbahas dulunya, individu yang bergelar guru utama itu turut menegaskan betapa presiden dan guru utama tak boleh dipisahkan. Tapi sekarang boleh pisah. Berapa talaknya. No komen. Nampak sangat betapa kepentingan diri boleh mengurbankan prinsip diri sendiri. Jelas, betapa wujudnya perubahan pendirian berdasarkan kepentingan dan perasaan diri yang tertentu. Satu bentuk fahaman baru.

Pada pendapat saya, usaha mengenengahkan usul presiden seumur hidup berkenaan adalah merupakan satu titik tolak betapa telah wujud cita-cita menggugat kedudukan presiden. Ustaz Hanafi pulak tu. Seorang tokoh yang dihormati dan diyakini ketika itu. Pada zahirnya, mana mungkin kedudukan Ustaz boleh diganggu gugat oleh sesiapa pun. Hakikatnya, telah wujud perasaan untuk bersaing dengan Ustaz sendiri walaupun atas sifat berpersatuan.

Walau bagaimanapun, cita-cita menjadi Guru Utama masih belum wujud atau tidak jelas wujud sebagai satu hasrat dalam kalangan ahli ketika itu. Pada pendapat saya, hal yang demikian kerana masih wujud perasaan ‘malu’ dan rendah diri untuk melahirkan hasrat menjadi Guru Utama. Ketrampilan dan ketokohan Ustaz tiada tolok bandingnya. Ketika itu, tidak ada saingan dari ahli-ahli untuk memenuhi aspek-aspek tersebut. Kebolehan dan ketrampilan Ustaz adalah amat berbeza dengan ahli-ahli SC yang lain. Umpama ‘bumi dengan langit’. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 15/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: