RSS

53.2 ‘BEKAS PENUNTUT’ SILAT CEKAK.

12 Nov

Ahli-Ahli Lama Zaman Ustaz Hanafi.

Ada ahli-ahli lama yang putus hubungan langsung dengan SC. Mereka tidak aktif lagi dalam SC. Rasa-rasanya isi pelajaran SC pun kemungkinan besar telah terpadam dari ingatan. Perkembangan SC langsung tidak diminati lagi. Pepecahan yang berlaku dalam persatuan SC hingga pelbagai cabang adalah di luar dari pengetahuan mereka. Oleh itu, wajar juga mereka digelar sebagai bekas ahli persilatan SC.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa bekas penuntut persilatan SC bolehlah merujuk pada mereka yang tidak tamat atau pada mereka yang berpatah arang dengan persilatan SC itu sendiri. Lupa dari segi isi pelajarannya dan lupa tentang dirinya yang ‘pernah’ mempelajari SC. Pada fahaman saya, mereka yang bergerak di bawah alumni SC, saya merujuk pada mereka yang telah tiada kelas-kelas latihan SC tapi masih terpaut hatinya pada SC. Saya telah bincangkan hal yang demikian dalam tulisan terdahulu. Penglibatan mereka pada persilatan dan persatuan secara langsung adalah terhad. Melalui pergerakan alumni maka sumbangan tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya dapat disalurkan dari semasa ke semasa. Tapi, kalau ada dalam kalangan mereka yang mendakwa alumni, tapi masih aktif dan ada jawatan dalam persilatan atau persatuan yang sedia ada, ‘tak acilah’ pengenalan mereka sebagai alumni SC. Tidak tepat.

Silat Cekak kian tua usianya. Kerap kali juga saya terkenangkan sahabat-sahabat lama yang sama-sama berjuang untuk mengembangkan SC satu ketika yang lalu. Usia SC yang telah tua bermakna umur para penjuang SC dulupun juga telah tua. Dah jadi ahli-ahli lama. Macam-macam tafsiran dan kaedah yang boleh dibuat untuk menentukan maksud ahli-ahli lama yang masih ada. Mungkin kita boleh kategorikan penuntut zaman Ustaz berdasarkan pembelajaran di Lorong Haji Sirat dan di Jalan Putera sebagai dua kategori yang berlainan. Ataupun kita boleh kategorikan ahli-ahli yang lama ini berdasarkan ijazah sepenuhnya dengan Ustaz sebagai satu ketagori. Manakala ijazah sepenuhnya dengan Pak Ak sebagai kategori yang lain. Nampaknya, macam-macam kaedah boleh dilakukan untuk mengklasifikasikan ahli-ahli lama.

Semasa pepecahan gelombang kedua, ada usaha-usaha untuk menyatukan ahli-ahli lama. Rujukan ahli-ahli lama tersebut berdasarkan pada mereka yang pernah belajar di Jalan Putera. Nampaknya perhimpunan itu ada tujuan yang tersirat. Ada agenda sebaliknya. Semuanya gara-gara mencari pengaruh bagi mendapatkan sokongan untuk menentang guru yang ada. Oleh itu, hasrat untuk menghimpunkan ahli-ahli lama bagi maksud memajukan SC secara berterusan, nampaknya kurang berkesan.

Cuma, dalam tulisan ini saya terkenangkan ahli-ahli lama yang aktif sejak zaman Ustaz dan berterusan di awal pengurusan PA. Nampaknya, dewasa ini semakin surut para pendokong lama zaman awal kepimpinan Ustaz yang masih bergiat cergas dalam persilatan SC. Ramai yang telah tiada di dunia. Ramai juga yang tidak aktif bergerak kerana menanggung penyakit yang ada. Saya pun sudah berumur enam puluh tahun; sejak berkecimpung dalam SC ketika usia dua puluh tiga tahun. Kederat pun dah kurang. Cuma yang dapat saya lakukan ialah mencurahkan kembali pengalaman dan pengetahuan yang ada dalam bentuk tulisan buat rujukan generasi seterusnya.

Para pendokong lama SC zaman Ustaz, ramai yang berpecah-pecah. Pada dasarnya, bilangan mereka yang masih aktif bergerak dalam SC, pastinya telah terbagi tiga. Ada yang terus ‘mematikan diri’. Tidak dapat menerima hakikat pepecahan. ‘Buang masa’, kata mereka. “Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.” Ghaib begitu saja dan mungkin beralih pada hobi yang lain. Ada yang menjadi pelakon drama tv. Ada yang bergiat dalam Cekak Malaysia. Ada yang masih kekal di bawah En Mat. Ada yang begiat dalam Akademik Silat dan diberitakan ada yang bergiat dalam Chekak Papan Sekeping. Itu yang rasminya. Yang tidak rasmi, entah-entah ada pelbagai jenis silat lagi yang dibuka mereka. “Khianat namanya”.

Umumnya, persilatan SC telah berjaya. Pengorbanan orang-orang lama tidak dapat dinafikan bagi menjadikan SC semakin berjaya. Malangnya kejayaan yang sedikit itu menjadikan mereka berpecah. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku berpunca daripada pelbagai alasan yang selalu saya bincangkan terdahulu. Mereka yang telah mendapat tempat dalam persatuan-persatuan SC yang tertentu, pastinya sentiasa cuba mempengaruhi ahli-ahli yang lain untuk menyertai mereka dalam persatuan yang mereka ceburi itu. Hasilnya, kekuatan dan perpaduan dalam pesilatan SC semakin rapuh. Konsep SC sebagai silat akhir zaman mula dipersoalkan.

Maka timbullah persoalan atas sifat bandingan antara pelbagai persatuan SC yang ada. Apakah perbezaan dan persamaan antara SC yang sedia ada. Dalam hal ini, jangan lupa konsep persatuan dan persilatan SC. Dari segi persatuan, kesahan pemimpin adalah bergantung pada peraturan persatuan. Nampaknya semuanya sah dari segi kepimpinan persatuan. Ada cadangan dan ada sokongan atas lantikan mengikut peraturan persatuan. Walau bagaimanapun, dari segi persilatan, akan zahir prinsip hak dan kebatilan. Namun begitu, semuanya masih menggunakan laungan perjuangan Pusaka Hanafi.

Dalam hal ini kita perlu faham akan maksud pusaka tersebut. Saya berpendapat bahawa Pusaka Hanafi adalah meliputi semua hal yang berkaitan dengan peninggalan Ustaz. Hal yang demikian adalah meliputi ilmu silatnya dan kefahamannya. Kefahaman Ustaz juga meliputi perkara-perkara yang menyentuh soal pemikiran, ajaran, hajat dan harapan Ustaz sendiri. Di sinilah akan zahirnya perbezaan antara kesemua persatuan SC yang menaungi persilatan SC itu sendiri. Banyak sudut perbincangan yang boleh dilakukan. Hal yang demikian termasuklah perbincangan tentang mandat yang ditinggalkan Ustaz.

Kita tidak boleh nafikan betapa pepecahan yang berlaku tersebut
erat kaitan dengan tafiran diri sendiri yang pelbagai. Tafsiran itu lebih banyak bersifat emosi dan berdasarkan kepentingan diri. Saya selalu menyentuh hal yang demikian. Oleh kerana kepentingan dirilah maka kita dapati betapa ramai manusia ‘hebat’ dalam SC yang terpaksa menafikan prinsip diri sendiri. Ketepikan maksud kebenaran. Hinggakan ada yang sanggup mempermainkan sumpah Al-Quran.

Teringat saya akan gelagat ahli-ahli lama tentang pepecahan pada gelombang pertama. Selepas pepecahan pertama ada banyak kumpulan. Saya telah membincangkan hal yang demikian dalam tulisan yang lalu dalam blog Sepak Minang. Umumnya, wujud pelbagai kumpulan yang mempunyai pendapat yang berbeza.

Ada kumpulan yang tak ambil peduli tentang pepecahan yang ada. Hal yang demikian mungkin akibat sikap mereka yang tidak menerima hakikat pepecahan. Oleh itu, mereka mengambil sifat mendiamkan diri. Sifat tak ambil peduli itu ada juga yang berkaitan dengan minat. Minat mereka pada SC semakin pudar. Mungkin telah putus hubungan dengan SC. Layak juga mereka ini digelar sebagai bekas ahli SC.

Kumpulan kedua adalah mereka yang bersama dengan PA. Ketika itu, mereka yang masih kekal dengan PA terdiri dari dua pendapat. Pendapat pertama sememangnya penyokong tegar PA. Manakala pendapat kedua adalah mereka yang berfaham akan terus menyokong PA selagi hayat PA masih ada. Setelah itu barulah mereka akan memberi sokongan pada En Mat. Barulah mereka akan mengakui kepimpinan En Mat.

Golongan yang ketiga adalah mereka yang menyokong penuh kepimpinan En Mat. Sokongan yang diberi ini termasuklah mereka yang telah diijazah PA seratus peratus. Ketika itu kita menerima penuh sokongan mereka. Mungkin sekarang ini kita mula mengetahui akan sebab-sebab sokongan mereka itu pada En Mat. Rupa-rupanya ada yang berkepentingan. ‘Telunjuk lurus, kelengkeng berkait’.

Satu golongan lagi ialah mereka yang tidak menyokong mana-mana pihak. Sebaliknya menganggap diri sendiri yang lebih layak menjawat jawatan Guru Utama. Sikap mereka ini telah wujud sejak zaman pemergian Ustaz lagi. Pegangan mereka, guru yang ada hanya memiliki sarung, manakala diri mereka saja yang ada isi atau senjatanya. Dakwaan yang hanya mereka saja yang faham.

Ketika ini, susah nak bincang akan isi hati orang orang lama sejak zaman zaman Ustaz Hanafi. Banyak yang sudah tidak ada dahan berpaut. Banyak dahan yang dipaut akhirnya reput. Banyak yang jatuh tersungkur. Ada yang berpaut pada PA. Tapi sudah terketepi. Ada yang cuba berpaut pada En Mat, tapi hajat tak sampai. Oleh itu, ramai yang menyindiri. Saya juga masih teringat tentang puak-puak yang berpegang pada prinsip, ‘ketiadaan’ PA akan beralih sokongan pada En Mat. PA telah tiada. Ke mana agaknya hala tuju mereka sekarang ini. Mungkin mereka terus menyindiri atau terpaksa mendiamkan diri. Duduk di tepi bagai, ‘melukut di tepi gantang’.

Saya yakin bahawa mereka juga ada dilemanya. Itulah dilema orang lama yang telah lama bergiat dalam SC. Ramai yang turut berjuang tapi dilupakan langsung. Nak salahkan siapa. Tak ada siapa yang boleh dipersalahkan. Sebab utamanya ialah kita berpecah. Orang yang telah berjuang di zaman Ustaz Hanafi, nak bermegah atas perjuangan SC yang mana lagi. Ustaz Hanafi telah tiada. Warisan SC telah bercabang. Nak terus dalam SC Malaysia yang diasaskan Ustaz Hanafi, generasi barunya tak akan ambil perduli. Nak menyebelahi mana-mana pihak yang lain, tak tahu punca dan gelap jalannya.

Pada saya, di sinilah peranan pergerakan alumni SC boleh dimainkan. Kita boleh pergunakan peluang yang ada. Alumni SC yang sedia ada boleh jadikan agenda menghimpunkan mereka sebagai salah satu aktiviti mereka. Bolehlah menghubungi balik kumpulan pertama dan kumpulan penyokong PA yang berfaham sementara. Insyaallah, kita akan berjaya menarik perhatian mereka. Yakinlah. “Yang hak tetap akan mengatasi yang batil.” Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 12/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: