RSS

53.1 ‘BEKAS PENUNTUT’ SILAT CEKAK.

08 Nov

Kadar Keciciran Penuntut SC

Kesimpulan pemerhatian dan pengalaman saya pada masa-masa lalu, mereka yang telah tamat pelajaran SC kebanyakannya akan membawa diri. Lenyap begitu sahaja. Seperti yang dikata, ada juga kalangan mereka yang masih tinggal, meneruskan aktiviti dalam SC. Bergantunglah pada kebolehan dan minat masing-masing. Mereka yang dapat menguasai pelajaran SC, akan meneruskan perjuangan SC. Mereka mungkin dilantik sebagai pembantu tenaga pengajar dan akhirnya kekal sebagai Jurulatih. Ada yang meneruskan perjuangan persilatan SC secara membuka kelas-kelas baru di tempat mereka. Mereka yang berminat dalam bidang pengurusan, mungkin akan dilantik menyertai jawatankuasa-jawatankuasa yang ada dalam persatuan. Maka berterusanlah mereka aktif sebagai ahli persatuan SC.

Kalau kita berpegang pada istilah ‘bekas’ penuntut SC, kita boleh merujuk kumpulan itu pada mereka yang telah meninggalkan persilatan SC sebelum menamatkan pengajian. Apabila berbual dengan mereka, ayat yang terkeluar, “Saya pernah menuntut SC, tapi tak tamat.”

Orang-orang yang belajar ‘sekerat jalan’ dalam persilatan SC sememangnya wujud dalam setiap kelas. Mereka boleh dianggap sebagai kumpulan penuntut yang tercicir kerana terkandas dalam meneruskan pelajaran. Peratusan keciciran mungkin berbeza antara kelas-kelas tersebut. Setakat ini, sepanjang pengetahuan saya, kita tidak pernah membuat kajian khusus tentang kadar keciciran tersebut terutama sebab-sebab wujudnya keciciran. Telahan-telahan kita lebih banyak berdasarkan perasaan dan pendapat atau mungkin juga atas pengalaman kita ketika mengendalikan kelas.

Dalam zaman Ustaz lagi, keciciran penuntut SC telah berlaku dalam setiap kelas silat. Peratusannya saja yang berbeza. Saya pernah terlibat dalam perbincangan tentang punca kemerosotan penuntut semasa zaman Ustaz lagi. Salah satu perbincangan kami tersebut adalah berfokas pada pusat latihan di Gombak ketika itu. Kehadiran penuntut semakin merosot. Setiap kali majlis ijazah maka adalah penuntut yang tercicir. Nampaknya, majlis ijazah tersebut dijadikan alasan mereka untuk mengundur diri. Hasil perbincangan dan atas sedikit kajian secara lisan atas ahli-ahli yang masih kekal, kami membuat kesimpulan bahawa keciciran ahli-ahli berkenaan adalah berkait erat dengan sikap Jurulatih. Ada seorang Jurulatih kanan yang mengajar SC bersikap tersangat kasar. Kalau membuat potong, jika penuntut tersilap ambil buah, maka Jurulatih berkenaan akan bertindak memotong, disertai dengan penampar ke muka. Rupa-rupanya, ke mana saja tempat dia mengajar, maka itulah sikapnya.

Sikap Jurulatih berkenaan adalah erat kaitan dengan sifatnya yang ingin menurut perwatakan Ustaz agaknya. Dalam tulisan terdahulu saya pernah tegaskan betapa ada dalam kalangan Jurulatih yang ingin meniru seratus peratus perwatakan Ustaz. Hinggakan mengajar SC pun lebih mirip pada sifat tegas Ustaz. Saya pernah tegaskan betapa perbuatan guru akan mudah diterima oleh anak muridnya. Perbuatan guru akan dianggap sebagai membawa berkat. Sebaliknya para penuntut agak sukar menerima tindakan Jurulatih jika bersikap sedemikian. Kecualilah jika Jurulatih tersebut mempunyai hubungan yang tersangat rapat dengan para penuntutnya.

Ustaz pernah turun kelas yang saya kendalikan di cawangan. Ketika bersilat, ketegasan Ustaz mengenalikan kelas adalah jelas. Nada suaranya adalah tegas. Malah, pernah berlaku Ustaz menggunakan ranting kayu untuk membetulkan pergerakan kaki penuntut yang sering salah. Masa itu ada pokok kecil di kawasan kelas berkenaan. Saya masih ingat akan pergerakan kaki seorang penuntut yang sukar dibetulkan ketika membuat buah Kidung Kiri. Ketika membuat buah asas, kaki kanannya sering berubah. Bukan mudah pada penuntut berkenaan menggunakan hujung kaki kanan bagi membantu gerak kaki kiri yang maju ke depan. Sifat buah berkenaan memerlukan pergerakan hujung kaki depan. Kecualilah pada mereka yang berfaham gerak tumit pada buah Gayung Patani. Sifat takut atau sifat yang kurang yakin menghadapi penumbuk telah menyebabkan kedudukan kaki kanan penuntut berkenaan berubah tempat semasa melakukan gerak hujung kaki kanan berkenaan. Ustaz menegur beberapa kali. Sukar diubahnya. Peliknya, apabila Ustaz menggunakan ranting untuk ‘mengajar’ kaki kanan penuntut berkenaan, jadi pulak pergerakannya.

Namun begitu, setelah selesai kelas, penuntut berkenaan berasa bangga atas sikap guru yang bertindak demikian. Rasa bangga, puas dan yakin diri, terpancar pada penuntut itu. Jelas pada kita betapa anak murid tetap meredai perbuatan gurunya. Hal yang demikian tentunya berbeza jika perbuatan sedemikian dilakukan oleh para Jurulatih yang ‘tenggelam timbul’. Kalaulah para Jurulatih mempunyai hubungan erat dengan para penuntutnya, mungkin perbuatan tegas berkenaan boleh diterima. Para Jurulatih perlu membuktikan kesungguhan mereka mengajar silat. Walau bagaimanapun pembuktian itu akhirnya akan dinilai oleh para penuntutnya.

Semasa saya mengendalikan kelas silat di cawangan, keciciran para penuntut juga bukanlah merupakan sesuatu yang luar biasa. Setiap kelas, ada saja penuntut yang tercicir. Ketika itu, saya berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan bilangan penuntut yang tamat sama dengan bilangan penuntut semasa masuk belajar. Namun begitu, usaha berkenan tetap menemui kegagalan. Saya berpuas hati bahawa keciciran tersebut bukanlah sesuatu yang disengajakan. Ada sebab-sebab khusus yang menyebabkan mereka tercicir. Selalunya, alasan yang diberikan adalah kerana berpindah tempat kerja di luar kawasan. Soal kewangan tak pernah menjadi sandaran.

Sepanjang pengetahuan saya juga, ahli-ahli yang tercicir di cawangan saya tidak pernah menjadikan alasan Jurulatih sebagai punca keciciran. Saya berpuas hati atas situasi berkenaan. Berdasarkan pengalaman mengajar SC di ibu pejabat, perasaan tak puas hati pada Jurulatih yang mengendalikan kelas, kerap dijadikan alasan. Dulu, setiap kelas silat yang dianjurkan di ibu pejabat, akan menerima Jurulatih yang berubah-ubah mengikut jadual yang ditentukan setiap minggu. Lain Jurulatih maka lainlah ragamnya. Hal yang demikian menyebabkan berlakunya perbandingan. Perbandingan inilah yang mungkin akan menyebabkan timbulnya perasaan tak puas hati dalam kalangan penuntut. Lebih-lebih lagi hubungan akrab dengan penuntut sukar dibentuk kerana kontek pengajaran dan pembelajaran tidak kekal secara berterusan.

Walau bagaimanapun, sepanjang pengalaman saya menjadi jurulatih di cawangan, ada juga dalam kalangan ahli yang sengaja ‘diberhentikan’ daripada meneruskan pelajaran SC. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Perbuatan saya itu ada kaitan dengan sifat penuntut-penuntut bekenaan. Mereka belajar SC ada tujuannya. Kebetulan pula mereka adalah Jurulatih professional dari seni bela diri lain. Ketika belajar SC, mereka tetap meneruskan tugas mengajar seni bela diri yang ada pada diri mereka. Sifat mereka ‘mengumpul buah’ menyimpulkan pandangan saya betapa ruginya pelajaran SC diperturunkan pada mereka. Kalau mereka ikhlas mempelajari SC, tentunya ada sifat bersungguh hati untuk menguasai isi pelajarannya. Maka pada pendapat saya, lebih baik mereka tinggalkan kelas SC. Ada cara yang saya lakukan bagi mematahkan semangat mereka dari meneruskan pelajaran. Keciciran yang terancang. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.