RSS

53.0 ‘BEKAS PENUNTUT’ SILAT CEKAK.

05 Nov

Pergerakan Alumni Silat Cekak

Baru saya tahu, telah ada aktiiviti alumni SC secara sah. Ada pengiktirafan. Berdasarkan face book, nampak juga keaktifan pada kegiatan mereka. Rupa-rupanya mereka telah giat begitu lama secara tersusun. Tak terlintas pada saya tentang kewujudan mereka sebelum ini. Sekali pandang macam pelik apabila ada istilah bekas-bekas penuntut SC yang dikenali sebagai alumni. Seolah-olah mereka bukan ahli silat lagi. Pada konsep persilatan SC, sekali telah menjadi ahli silat SC maka selamanya seseorang itu akan terus menerus sebagai ahli persilat SC. Mungkin dari segi persatuan, istilah bekas ahli bukanlah sesuatu yang pelik atau luar biasa. Keahlian seseorang boleh digantung atau boleh disingkir dari persatuan. Apabila berlaku penyingkiran, tidak hairanlah jika mereka menggunakan istilah bekas ahli persatuan SC, kerana pernah menjadi ahli persatuan.

Walau bagimanapun, apabila saya lihat akan peranan mereka melalui kegiatan yang sedia ada, nampak akan kepentingan dan keperluan alumni SC berada dalam satu ‘sayap’ yang tersusun dan memperoleh kesahan dan pengiktirafan dari persatuan induk. Mungkin istilah organisasi itu begitu besar untuk merujuk pada kumpulan tersebut. Walau bagaimanapun, jika kumpulan mereka itu ada objektif dan dilengkapkan dengan struktur pengurusannya, tak salah kalau dianggap pergerakan mereka sebagai sayap dalam organisasi besar SC.

Hati saya tertarik pada kegiatan mereka tersebut. Mereka telah memberi perhatian dan sokongan pada kegiatan induk SC. Dalam tulisan ini saya ingin mengulas serba sedikit tentang peranan bekas-bekas ahli SC yang telah tamat pelajaran formal mereka dalam satu-satu kelas yang tertentu. Walau bagaimanapun, seperti yang saya tegaskan terdahulu, maklumat saya tentang aktiviti alumni SC tersebut tersangatlah kurang. Misalnya dari segi keahlian dan tujuan penubuhannya.

Namun begitu, pada pemerhatian dan pandangan saya, jelas menampakkan keperluan wujudnya pergerakan alumni SC. Saya yakin bahawa kewujudan alumni SC adalah merupakan satu perkembangan yang baik dan sehat dalam persatuan SC sendiri. Pandangan dan sumbangan mereka bolehlah diambil kira oleh barisan kepimpinan SC dalam merancang dan melaksanakan kegiatan besar persatuan kita. Sekurang-kurangnya, hal yang demikian adalah kerana ‘kuasa’ mereka yang berupaya menghimpunkan bekas-bekas ahli SC yang tidak dapat bergerak aktif lagi.

Pada pendapat saya, selama ini kita kurang mengambil berat tentang bekas-bekas ahli kita dalam konsep persilatan. Bekas ahli yang saya maksudkan, bukanlah merujuk pada sifat mereka yang telah terkeluar dari perjuangan SC atau mereka yang telah dipecat atau digantung keahliannya dalam persilatan. Sebaliknya saya merujuk bekas ahli sebagai mereka yang tidak dapat aktif dalam kelas silat SC lagi. Sifat mereka yang tidak aktif tersebut, bukan setakat kerana mengundur diri akibat tua atau penyakit. Sebaliknya ada juga yang mengundur diri kerana tidak ada ruang untuk terus bergiat dalam persatuan atau persilatan SC.

Sewaktu saya masih aktif lagi di zaman Ustaz, terdapat delima pada mereka yang telah menamatkan kursus pengajian SC yang umumnya mengambil masa enam bulan. Setelah tamat dan dapat tumbuk serang, maka ramai yang ‘tamat’. Tak nampak muka lagi. Bukan mereka tak mahu datang ke kelas, tapi tak ada sebab nak datang lagi. Kelas yang ada telah disambung dengan kelas ahli-ahli baru. Tak ada ruang dan masa untuk meneruskan pelajaran. Jurulatih yang ada, lebih menumpukan perhatian pada ahli-ahli silat baru.

Dulu-dulu, di peringkat awal perkembangan SC, tak ada senarai pelajaran buah umum seperti yang ada sekarang. Kelas-kelas kemahiran juga tidak ada. Habis pelajaran tumbuk serang, habislah pelajaran. Pelajaran buah-buah umum hanya bergantung pada idea yang ada pada Jurulatih. Jika Jurulatih yang ada itu mempunyai idea untuk memahirkan tumbuk serang melalui buah-buah umum yang terlintas pada fikirannya, maka bolehlah mereka meneruskan latihan. Tetapi, lama-lama jemu juga. Pengajarannya tak tersusun. Cukup masa maka kelas berkenaan terbubar begitu saja.

Apabila dikeluarkan senarai buah-buah umum, sekurang-kurangnya ahli-ahli yang telah tamat pelajaran, bolehlah datang lagi ke kelas untuk melanjutkan pelajaran. Maka berlatihlah mereka akan buah-buah umum yang ada. Walaupun tujuan utama buah-buah umum tersebut adalah untuk memahirkan penumbuk serang, ada juga kelas-kelas yang menjadikan pelajaran umum sebagai mata pelajaran penting. Buah-buah umum itu mesti dikuasai sepenuhnya secara kemas sebelum dipotong. Banyak masa yang terlibat. Oleh itu, tempoh mereka berada dalam kelas silat telah dapat dilanjutkan lagi untuk sebulan dua. Cuma, apabila habis pelajaran umum, keperluan hadir ke kelas semakin kurang dan mereka tidak diberi perhatian berat lagi.

Persolannya, ke manakah hala tujuan mereka seterusnya setelah tidak ada kelas silat untuk mereka. Pada mereka yang belajar SC semata-mata kerana inginkan pelajaran SC hingga tamat maka lengkaplah ilmu SC yang diburu selama ini. Bolehlah mereka mengundur diri. Namun begitu, pada mereka yang sememangnya amat tertarik pada SC dan sangat berminat pada SC, hati mereka masih terpaut pada SC. Meninggalkan SC begitu saja tentunya akan terasa berat dan terasa sayang di hati mereka. Ke manakah atau apakah yang harus mereka lakukan seterusnya.

Mereka yang berminat, akan terus datang ke pejabat silat. Kalau nasib baik, mereka mungkin dilantik sebagai pembantu tenaga pengajar atau diberikan tugas-tugas khas. Kalau nasib tak baik, kedatangan mereka ke kelas-kelas silat, hanya duduk di tepi kelas menyaksikan ahli-ahli baru yang bersilat. Mereka yang perasan ‘berani’ dan yakin diri, akan campur tangan dalam pengajaran SC apabila ada kesempatan. Terutamanya apabila Jurulatih yang ada memberi ruang atau tak kisah akan campur tangan mereka. Maka mulalah mereka membetulkan gerak-gerak silat ahli baru yang mereka rasakan tak berapa tepat. Walau bagaimanapun, jika Jurulatih yang ada bersifat tegas akan tanggungjawabnya, campur tangan mereka itu tentunya tidak menyenangkan. Kadang-kadang, sifat yang tidak menyenangkan itu dilahirkan melalui perkataan yang dikeluarkan atau melalui perbuatan yang ditunjukkan Jurulatih untuk melahirkan perasaan tidak senang itu.

Lama-lama, kumpulan yang ‘tak bertauliah’ itu akan berasa jemu. Akhirnya akan terus ghaib apabila tenaga mereka tidak diperlukan lagi atau kedatangan mereka mula dipinggirkan. Hilanglah mereka entah ke mana. Selama ini, tak ada kajianpun tentang hala tuju mereka seterusnya dalam dunia persilatan setelah tamat SC. Namun begitu, ada yang menjelma kembali setelah sekian lama menghilangkan diri. Hal yang demikian seperti yang berlaku pada salah seorang orang kuat CM yang ada sekarang. Menjelma, terus berkuasa apabila diberi muka oleh orang kuat persatuan yang ada ketika itu.

Ada juga dalam kalangan bekas-bekas ahli SC dalam kelas-kelas tertentu yang melanjutkan usaha mereka mengembangkan SC. Mereka yang berpindah ke tempat-tempat lain akan sedaya upaya membuka pusat-pusat latihan di tempat mereka itu. Segala-galanya kerana minat dan kefahaman tentang perlunya SC dikembangkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu, secara langsung SC dapat dikembangkan dan peranan bekas-bekas penuntut silat itu dapat diteruskan di tempat lain.

Sebenarnya, delima yang dihadapi oleh bekas-bekas penuntut kelas yang telah tamat pelajaran mereka, kurang diberi perhatian. Masa zaman Ustaz, peranan dan penglibatan mereka seterusnya pernah juga dibincangkan. Namun begitu hal yang demikian kurang diberi pemberatan. Maka, hilang begitu saja akan usaha-usaha untuk menyediakan aktiviti untuk mereka.

Saya rasa, masalah yang sama juga turut dihadapi oleh pihak cawangan. Semasa saya memimpin cawangan, saya juga menghadapi masalah yang sama. Walau bagaimanapun saya telah memikirkan satu cara untuk mengatasinya. Kelas-kelas yang dibuka di cawangan saya hanya dalam tempoh setahun untuk satu kelas saja. Apabila ahli-ahli SC itu telah tamat, mereka akan berterusan dilatih hingga benar-benar mahir. Dalam tempoh tersebut hubungan mereka dengan barisan kepimpinan semakin rapat. Hal yang demikian memudahkan aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan dari masa ke masa.

Walau bagaimanapun, apabila dibuka kelas-kelas baru, peranan mereka semakin kurang diperlukan. Walau pun ada antara mereka yang meneruskan kegiatan secara membantu kelas-kelas silat, bilangan mereka agak terhad. Kelas-kelas kemahiran yang dianjurkan hanya boleh dilakukan seminggu sekali. Jika gagal menghadirinya maka terlepaslah peluang untuk berlatih kemahiran silat. Kalau selalu sangat ponteng atas sebab-sebab yang tertentu maka hilanglah minat untuk meneruskan pelajaran. Tertinggal. Akhirnya ghaib juga. Ke manakah mereka menghilangkan diri. Sukar dikesan kerana kesibukan melayan ahli-ahli SC yang baru pula. Sekali sekala, baru mereka timbul terutamanya apabila ada kegiatan Jamuan Akhir Tahun. Dapatlah dilibatkan mereka semula.

Oleh itu saya berpendapat, kewujudan pergerakan alumni SC secara tersusun adalah merupakan satu langkah yang amat baik. Dulu tak terfikirpun akan penubuhannya. Jika kegiatan mereka diluaskan di cawangan-cawangan pun, saya rasa baik juga. Mereka yang telah tamat pengajian dalam kelas silat dan kelas merekapun telah ‘ditutup’ kerana pengambilan ahli-ahli baru, bolehlah diberi perhatian. Jawatan tenaga pengajar atau pembantu tenaga pengajar semestinya terhad. Hal yang demikian menyebabkan sumbangan mereka pada persatuan akan turut terhad. Melalui pergerakan alumni tersebut, mereka boleh terus aktif untuk menyumbangkan tenaga atau buah fikiran demi memajukan SC secara berterusan dari semasa ke semasa. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/11/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: