RSS

52.3 AKTIVITI SC YANG DITUNGGU.

29 Oct

Aspek Kelemahan Dalam Pergurusan Masa Lalu.

Pada masa dulu, dalam keghairahan untuk menjalankan aktiviti SC di peringkat pusat, satu kelemahan yang kurang diperkatakan ialah aspek ‘memandang rendah’ pada pendapat atau pandangan yang diberi oleh pihak-pihak yang berada di cawangan. Hal yang demikian meliputi soal pendapat, layanan dan pengiktirafan daripada pusat kepada pihak cawangan. Oleh itu, pandangan dari cawangan kurang diambil kira dalam satu-satu aktiviti pusat. Hal yang demikianlah menyebabkan saya selalu membuat teguran ketika itu.

Tajuk ini tak pernah disentuh pada mana-mana tulisan secara khusus. Hal yang demikian berlangsung begitu sahaja. Pihak yang ‘terkena’ terpaksa akur akan sifat yang ada seadanya. Nak ditimbulkan isu, terasa kurang sesuai dan dirasakan seperti sifat keanak-anakan. Tambahan pula mereka tak mahu sentuh mana-mana pihak. Saya sendiri dapat mengesan sifat yang sedemikian apabila berada di cawangan. Saya kenang kembali isu ini memandangkan zaman itu telah lama berlalu. Sesaja mengenang kisah-kisah lalu. Orang yang terlibatpun tidak lagi memegang tampuk pengurusan persatuan.

Harapan saya, hal yang saya bincangkan dalam tajuk ini dapat dihindarkan dalam pengurusan SC terkini. Hormatilah pendapat semua pihak, terutamanya kepimpinan dari cawangan. Pihak cawangan juga adalah tergulung dalam barisan hadapan bagi melaksanakan proses perluasan SC. Mendengar pendapat mereka, bermakna kita memberi penghornatan atau menghormati kepimpinan mereka.

Rupa-rupanya, sifat memandang rendah pihak cawangan adalah merupakan satu budaya yang wujud secara tidak langsung dalam pengurusan SC zaman dulu-dulu. Seperti yang dikata, tidak ada sesiapa yang ‘berani’ menimbulkan isu ini. Nampak macam remeh. Tapi besar kesannya pada mereka yang mengalaminya. Saya sentuh beberapa contoh perkara bagi menyatakan maksud penulisan ini. Semuanya buat sempadan dan teladan demi memantapkan pengurusan SC seterusnya. Biarlah SC kekal abadi selagi wujud dunia ini.

Semasa pepecahan pada gelombang keduapun, sifat tersebut masih berterusan. Penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa yang berkaitan dengan tuduhan atas Guru Utama pun langsung tidak diambil kira anggotanya dari cawangan. Semuanya dibolot oleh pihak pengurusan pusat. Sifat yang sedemikian bukanlah asing lagi. Saya rasa itulah sifat yang berterusan dan bersepadu dalam pengurusan pusat sejak berzaman lagi. Kalau tidak diperbaiki, hal yang demikian takut-takut akan terus berterusan. Malah, kalau dibuat kajian, hal yang demikian turut memberi sumbangan wujudnya perasaan tidak puas hati kalangan ahli terhadap kepimpinan pusat. Akhirnya memberi sumbangan kepada pepecahan. Saya yakin bahawa kelemahan tersebut telah tiada sekarang ini.

Dalam zaman Ustaz, saya pernah buat teguran akan hal yang demikian secara berdepan dengan orang-orang kanan Ustaz. Merekalah pemegang tampuk pengurusan persatuan. Teguran saya dipandang remeh. Saya masih teringat akan riaksi mereka. “Biasalah. Kalau menteri dari pusat turun ke negeripun, pihak negeri perlu memberi penghormatan. Menteri pusat lebih berkuasa dari exco negeri.” Itulah salah satu alasan secara kiasan yang mereka berikan. Tentunya tidak memuaskan hati saya. Oleh itu, saya berazam untuk meneruskan perjuangan bagi meletakkan kedudukan kepimpinan cawangan pada satu satu tahap penting dalam struktur oraganisasi SC. Teguran yang saya lakukan dari masa ke masa telah menyebabkan saya sering dicap sebagai golongan kiri. Tapi saya tak pernah ambil peduli. Lebih-lebih lagi, ketika itu tenaga saya amat diperlukan. Tak ada penyingkiran. Nasib baik tak berlaku.

Surat-surat yang dihantar ke cawangan, sangat saya ambil berat. Jika surat berkenaan berbentuk perkeliling arahan, jika tidak ditandatangani Guru Utama, pasti akan saya ketepikan. Jika surat berkenaan menyentuh hal yang berkaitan dengan penyertaan cawangan dalam aktiviti persatuan, maksud ayat yang disusun, tetap saya beri perhatian.

Terkenang saya akan surat jemputan majlis jamuan akhir tahun persatuan. Surat jemputan berkenaan tidak jelas dan kurang pemberatan. “Oleh sebab tempat adalah terhad, siapa yang cepat maka akan diberi keutamaan”. Oleh itu, kami dari cawangan tidak menyertainya. Apabila ditanya maka jawapan saya, ‘kalau tempat terhad, eloklah dijemput mereka yang berada di pusat sahaja.’

Saya cadangkan pada mereka supaya bentuk surat jemputan itu lebih bersifat kehormat dengan menguntukkan tempat yang tertentu. Tugas cawangan ialah memenuhi kuota tersebut. Seperti biasa, teguran saya tidak diambil peduli. Malah terbit perasaan marah dalam kalangan kepimpinan pusat. Tapi saya buat tak peduli sahaja. Tak berat, tak payah datang.

Bentuk lain cara teguran saya ialah melalui terbitan karton. Dalam lukisan karton yang lalu, saya paparkan satu suasana yang tidak menyenangkan ahli cawangan saya. Zaman dulu, banyak perancangan ikut suka hati sendiri tanpa merujuk kalangan orang bawahan. Soal adab selalu terketepi. Misalnya, para penguasa persatuan menggunakan perkataan ‘kamu’ untuk bercakap, tanpa merujuk latar belakang pendengar itu sendiri. Hormat dalam percakapan pun amat lemah sekali. Kita sendiripun tentu berasa janggal apabila orang yang lebih muda memanggil kita ‘kamu’.

Ketika majlis penerangan ahli seumur hidup, ramai ahli cawangan saya yang telah berumur tua. Rata-rata melebihi empat puluh tahun. Ada yang berumur melebihi lima puluh tahun. Apabila seorang ahli yang muda memanggil mereka dengan gelaran ‘kamu’, amat janggal sekali. Nampak kebiadabannya dalam konteks komunikasi. Akibatnya, tak ada siapapun yang menjadi ahli seumur hidup berdasarkan majlis penerangan tersebut.

Begitu juga dengan karton berkaitan dengan ujian bertulis Sijil Rendah. Ketika itu, hampir keseluruhan ahli-ahli cawangan saya adalah bekerja sendiri. Pelajaran mereka rendah. Ada antara mereka yang buta huruf. Cuba bayangkan betapa terseksanya fikiran mereka menduduki ujian bertulis untuk mendapatkan sijil. Walaupun hal yang demikian dirujuk pada pihak penguasa persatuan tapi tidak dilayan. Anggapan saya, corak pengurusan mereka sentiasa berada di awang-awangan. Tidak berpijak di bumi nyata. Tak turun padang. Tapi tak boleh ditegur. Saya cadangkan supaya ujian pada mereka berkenaan adalah berbentuk lisan atau perbincangan kumpulan. Langsung tak dilayan.

Dalam aktiviti pusat, kerap kali peranan kepimpinan cawangan gagal diambil berat. Pernah satu ketika dalam majlis-majlis rasmi, kedudukan Yang Di Pertua Cawangan tidak pernah diambil kira. Carilah tempat duduk sendiri. Dalam perayaan Dua Puluh Satu Tahun, saya alaminya. Pakai tengkolok tapi kena duduk di belakang. Selesai perayaan di dewan maka kami pun mengundur diri daripada majlis. Macam-macam tohmahan dilakukan. Sekali lagi, saya buat tak peduli. Perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan pada cawangan perlu saya lakukan. Tapi sekarang ini saya dapati, penghormatan pada kepimpinan Cawangan adalah amat baik sekali. Tahniah.

Dari segi pergaulan dengan ahli-ahli cawangan di peringkat awal perkembangan SC, amat lemah sekali. Kedatangan ahli-ahli dari cawangan tidak diberi perhatian, malah tidak diberi layanan langsung. Saya sertakan dua lukisan karton yang pernah kami terbitkan untuk melahirkan perasaan tak puas hati kami selaku pihak cawangan.

Karton yang pertama melambangkan bentuk layanan pada ahli-ahli cawangan yang berkunjung ke pusat. Ketika itu, soalan popular yang sering ditanya ialah “Berasal dari mana. Ahli lama atau ahli baru. Berapa tahun dah belajar SC.” Itulah antara Ayat Tanya yang popular. Bukannya bertanyakan khabar sebagai tanda kemesraan atau mengalu-alukan kedatangan. Kami memutuskan untuk membuat kemeja T, khas dipakai ketika berkunjung ke pusat. Pada kemeja itu akan diletakkan calit untuk menentukan status dan tempoh ahli cawangan yang belajar SC. Tapi tak sampai hati nak buat. Memadai kami lambangkan dalam terbitan karton terebut.

Lukisan karton kedua melambangkan bentuk layanan yang diberi. Ketika mereka berkunjung ke cawangan, layanan yang diberi mesra sekali. Kita akan mempelawa mereka ke rumah dan menyediakan makan minum yang sepatutnya. Sebaliknya, ketika kita berkunjung ke pusat, pandai-pandailah bawa diri. Ada duit, minum dan makan sendiri. Tidak ada siapapun yang ambil peduli.

Karton-karton yang diterbitkan itu saya beri pada Ustaz ketika kunjungannya ke cawangan. Saya lahirkan perasaan yang tidak menyenangkan itu. Alhamdulillah. Ustaz memahaminya. Seingat saya, dalam satu ucapan Ustaz, hal yang berkenaan turut disentuh. Ustaz menegaskan betapa mereka yang berkunjung ke pusat, wajar diberi perhatian. Malah Ustaz menganjurkan mereka supaya mempelawa tidur di rumah. Terasa puas di hati saya. Sejak peringatan Ustaz itu, sifat memandang rendah dan kurang memberi layanan mesra pada pengunjung cawangan telah dapat diperbaiki.

Saya sentuh perbincangan dalam tulisan ini, semata-mata menarik perhatian kepimpinan pusat betapa pentingnya penglibatan cawangan dalam pelaksanaan satu-satu aktiviti berpusat. Kelemahan lama, jangan diulangi lagi. Dapatkan pendapat atau pandangan mereka. Banyak perkara yang kita akan peroleh. Hal yang demikian akan memantapkan lagi aktiviti pusat. Misalnya Hari Tenaga Pengajar itu sendiri. Begitu juga dengan usaha-usaha kita untuk membuat rekod perhimpunan ahli. Jangan lupa libatkan kepimpinan cawangan. Sering-seringlah berbincang dengan mereka dari segi strategi. Banyak faedah yang akan diperoleh.

Dalam kursus-kursus kepimpinan persatuan, jangan lupa masukkan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan kemahiran komunikasi, protokol dan adab bergaul sesama ahli. Banyak faedahnya dalam jangka panjang bagi memantapkan persatuan. Perasaan tak puas hati yang terpendam dalam kalangan ahli, akan dapat disengkang.

Kalaulah ‘mimpi’ kepimpinan pusat selari dengan ‘mimpi’ kepimpinan cawangan negeri, saya pasti bahawa SC kita akan hebat sepanjang masa. Sekian tajuk ini.

20121029-113309.jpg

20121029-113328.jpg

20121029-113349.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 29/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: