RSS

52.2 AKTIVITI SC YANG DITUNGGU.

24 Oct

Sambungan…. Hari Tenaga Pengajar.

Kalau ditanya saya, apakah dorongan yang menyebabkan kami sentiasa hadir dalam majlis berkenaan, maka elok juga saya buat perbincangan. Secara umumnya, setiap penglibatan dalam satu-satu aktiviti itu adalah berkaitan dengan faktor manarik dan faktor menolak. Maknanya, kalau seseorang itu hadir maka apakah faktor-faktor yang menarik perhatiannya hingga menyebabkan kehadirannya. Kalau seseorang itu tidak hadir maka apakah faktor-faktor menolak hingga menyebabkan seseorang itu tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan. Sekali lagi, orang-orang kanan yang merupakan barisan pertengahan, eloklah buat kajian. Kajilah dengan perasaan yang tenang dan sikap yang positif. Jangan ikut perasaan. Akan dapatlah jawapannya. Maka perbaikilah keadaan. Jangan merintih. Jangan luahkan perasaan. Orang yang meluahkan perasaan samalah meluahkan isi perutnya. Kalau makan petai, pasti akan tersangat busuknya.

Banyak faktor yang menarik perhatian kami, ahli-ahli cawangan untuk hadir dalam majlis Hari Tenaga Pengajar, tanpa gagal setiap tahun. Faktor utamanya ialah sifat ego yang ada pada diri sendiri. Pada dasarnya, sifat ego adalah merupakan satu sifat yang baik. Ego dapat melambangkan jati diri. Kerana egolah maka kita berupaya melaksanakan sesuatu. Kami berasa bangga apabila ahli-ahli dari cawangan kami turut serta dalam aktiviti tersebut. Lagi ramai bilangan penyertaannya, maka lagi banggalah perasaan kami. Nampak kekuatan dan kehebatan.

Apabila diumumkan penyertaan kami dari Cawangan Perak, terasa gahnya. Terasa bangga. Ada pengiktirafan. Tepukan dari cawangan lain turut memberi pengiktirafan pada diri kami. Begitu juga ketika diperkenalkan rombongan dari cawangan lain. Semuanya akan bertepuk tangan tanda penghormatan dan pengiktirafan. Semua ahli akan berasa bangga kerana semua cawangan turut serta. Ego yang wujud tidak menyebabkan iri hati. Melainkan kebanggaan pada cawangan yang diwakili.

Cuba bayangkan jika ada cawangan yang gagal menyertai aktiviti berkenaan. Nampak sangat kelemahan pengurusan persatuan di peringkat cawangan. Lebih-lebih lagi jika ahli-ahli cawangan yang datang itu boleh dihafal rupa paras dan pakaian mereka dek bilangan yang datang hanya seorang atau berdua. Umpama melepaskan batuk di tangga. Tersangat malu rasanya. Lambang tak ada kekuatan berpersatuan. Maknanya juga, lemah dalam pergerakan persilatan. Hilang kehebatan dan hilang kewibawaan Yang Di Pertuanya. Hal yang demikianlah merupakan sifat ego yang ada bagi setiap cawangan untuk mengelak sebarang cemuhan dan ‘penghinaan’. Kaki kutuk tersangatlah ramai.

Lebih-lebih lagi jika penyertaan tersebut dari cawangan yang jauh. Bukan mudah bagi mereka untuk menyertai sebarang aktiviti yang berpusat di Kuala Lumpur. Hal yang demikian akan melibatkan banyak perbelanjaan. Banyak pengorbanannya. Kalau diperkenalkan rombongan mereka tersebut, akan wujud dua perkara yang membanggakan. Pertamanya, mereka yang berada dalam cawangan berkenaan pastinya berasa bangga. Orang jauh dan bukan mudah untuk hadir bersama kalau tidak ada perjuangan yang kukuh.

Keduanya, ahli-ahli dari cawangan lain yang memberi tepukan turut berbangga atas kehadiran rakan mereka tersebut yang datang dari jauh. Bukan senang untuk turut bersama tanpa semangat dan pengorbanan. Penyertaan mereka menyemarakkan Hari Tenaga Pengajar berkenaan. Semua ahli dari cawangan lain akan turut berbangga. Kehadiran ahli-ahli dari semua cawangan, secara langsung menjadi kabanggaan pada setiap ahli dari cawangan yang berlainan.

Itulah gambaran yang wujud satu ketika dulu. Hal yang demikian adalah merupakan satu tarikan bagi kami untuk turut sama dalam majlis berkenaan. Setiap ahli yang mewakili cawangan masing-masing akan sentiasa berasa bangga. Sebaliknya ahli-ahli cawangan lain akan turut memandang tinggi atas penyertaan ahli-ahli dari cawangan lain tersebut.

Dalam majlis berkenaan, kami yang berlainan cawangan dapat bergaul dengan ahli-ahli cawangan lain. Pergaulan kami sangat akrab dan sentiasa beramah mesra ketika berbual dan bergaul bersama. Lebih-lebih lagi apabila kami sering berjumpa saban tahun. Hubungan mesra ini merupakan rangsangan dan dorongan untuk berjumpa di tahun lainnya. Saban tahun berjumpa akan nampak perubahannya. Sekurang-kurangnya perubahan dari segi fizikal. Ada yang berubah bentuk sama ada di pipi atau di perut. “Hai, dah bersemangat nampaknya.” Itulah antara lain teguran yang diselang seli ketika berbicara. Bukan merendah tapi mesra. Ketika itu. Ketika tidak ada terlintas perasaan permusuhan atau kepentingan diri. Suci murni perasaan dan isi percakapan. Tak pandai ambil hati. Setiap teguran berbentuk ‘perli’ hanya dianggap asam garam dalam pergaulan sesama ahli.

Bentuk jamuan secara ‘berselerak’ yang diadakan turut memberi kesan mendalam dalam bentuk hubungan yang menyeronokkan. Jamuan secara nasi bungkus. Setiap cawangan disediakan satu ‘ikatan bungkusan’ nasi bungkus untuk para ahlinya. Masa itu tak ada protokol. Bagus juga. Makan secara berselerak, menambahkan kemesraan bergaul ketika makan bersama. Masa itulah kami dapat sembang-sembang mesra. Sekurang-kurangnya dapat bertanyakan perkembangan silat di cawangan masing-masing. Satu bentuk soalan yang sangat disukai bagi menerangkan aktiviti di cawangan.

Tarikan kedua ialah kepuasan mendengar ucapan Guru Utama. Setiap kali Ustaz memberi ucapan maka setiap kali itulah kami menerima ilmu pengetahuan yang amat berguna sekali dalam menjalani proses kehidupan. Berjumpa dengan Guru Utama, bukannya selalu. Hal yang demikian menyebabkan percakapannya sangat-sangat ditunggu.

Sepanjang ingatan saya, isi percakapannya sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk meneruskan perjuangan. Ada kalanya isi percakapan Ustaz berkaitan dengan kehidupan seharian, dalam bentuk kelucuan. Salah satu contoh isi ucapannya yang sentiasa saya ingat dan dijadikan ingatan pada ahli-ahli yang lain ialah hal yang menyentuh tentang hubungan suami isteri. Ingatannya pada ahli-ahli wanita yang menjadi isteri. “Untuk mempastikan permintaan dipenuhi, mintalah ketika bersama suami.” Ucapan Ustaz adalah dalam bentuk gurauan tapi amat besar maknanya dalam proses kehidupan. Sebagai seorang suami, saya juga turut terfikir akan kebenarannya. Ketika ‘berjuang’, jiwa dan raga sanggup diserahkan. Tapi, isteri yang pandai tak minta jiwa dan raga. Ketika itulah dimintanya macam-macam.

Tarikan ketiga yang juga amat penting ialah hadiah yang bakal kami peroleh. Hadiah-hadiah tersebut adalah dari kepemimpinan persatuan. Bila disebut persatuan, kedudukan Guru Utama dan barisan kepimpinannya adalah bersepadu. Merekalah merupakan kepimpinan yang sangat dihormati. Pemberian hadiah tersebut merupakan satu pengiktirafan atas pengorbanan yang dilakukan oleh para Jurulatih.

Lain tahun maka lain pula hadiahnya. Pada pandangan kami, hadiah-hadiah berkenaan adalah merupakan satu pengiktirafan guru kepada barisan hadapan yang memperjuangkan perkembangan SC. Tak kena apa-apa bayaran. Tentunya penerimaan sesuatu atas pemberian adalah tersangat tinggi nilainya berbanding dengan dapatan secara pembayaran. “Bukan soal tak ada duit atau nak percuma, tapi persoalan motivasi.”

Hal yang demikian menyebabkan kami sentiasa tertanya-tanya akan bentuk hadiah yang bakal diperoleh pada setiap tahun. Sepanjang ingatan, kami pernah menerima hadiah berupa kain batik, payung, satu set kepit kuku dan sebagainya. Lain tahun maka lain bentuk hadiahnya. Amat-amat membanggakan. Bangga bukan kerana nilai harganya tapi nilai pemberiannya. Pemberian dari persatuan yang merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan.

Sebagai Yang Di Pertua Cawangan, saya perhatikan dan dapat buat kesimpulan betapa pemberian hadiah tersebut adalah merupakan satu perbuatan yang sangat berkesan. Saya yang turut menerimanya, berasa akan perasaan sedemikian. Hal yang demikian telah menyebabkan saya mengambil tindakan untuk menganjurkan aktiviti serupa iaitu memberi hadiah pada semua Jurulatih cawangan setiap tahun dalam jamuan akhir tahun.

Rupa-rupanya, pemberian hadiah merupakan satu faktor motivasi yang tersangat hebat. Kesemua barisan kepimpinan cawangan sepakat menyetujuinya. Kalau difikirkan kepentingannya, maka soal mencari wang bukan lagi merupakan satu bebanan. Wang boleh dicari, tapi perasaan bukan senang untuk dijual beli. Perasaan perlu dipupuk bagi menjadikan perasaan itu ikhlas dan murni. Salah satu cara pemupukannya ialah pengiktirafan. Pemberian hadiah juga adalah merupakan satu perbuatan yang tersangat berkesan bagi mewujudkan perpaduan.

Saya berasa puas atas sikap keperihatinan tersebut. Sepanjang kepimpinan yang ada di Cawangan Perak, kami tidak pernah berpecah. Pepecahan dalam gelombang pertama dan kedua, tidak pernah melanda cawangan kami. Mungkin, dalam perselisihan yang terbaharu, pepecahan yang berlaku adalah atas sifat berlainan persatuan. Namun begitu dari segi persilatan, pepecahan tidak pernah berlaku. Saya yakin, hal yang demikian ada kaitan dengan maksud pengiktirafan dan perhatian atas kebajikan ahli sepanjang masa.

Saya difahamkan bahawa pada bulan November ini, akan diadakan aktiviti Hari Tenaga Pengajar. Saya berharap barisan jawatankuasanya akan dapat menjadikan perhimpunan tersebut sebagai lambang kekuatan silat kita. Fikirkan strategi bagi memeriah dan memantapkan aktiviti tersebut. Ingat. Jangan merintih dan jangan merenget. Sentiasalah berfikiran positif. Hadiah apa ya! Semoga berjaya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 24/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: