RSS

52.1 AKTIVITI SC YANG DITUNGGU.

22 Oct

Hari Tenaga Pengajar.

Apabila saya menulis tentang aktiviti-aktiviti yang ditunggu-tunggu tersebut, semuanya merujuk pada zaman saya dulu-dulu. Saya yakin bahawa segala suasana yang wujud sekarang ini, pastinya telah berubah. Semakin lama kita menjalankan satu-satu aktiviti yang sama, maka semakin matanglah kita untuk mengurus satu-satu perancangan itu. Cuma, penulisan saya hanya sebagai kenangan suasana di masa-masa lalu. Khas untuk kenangan mereka yang pernah terlibat dan pengalaman serta pengetahuan pada generasi sekarang.

Mungkin kelemahan yang ada di zaman-zaman lalu, telah dapat diperbaiki dan diharapkan tidak berlaku lagi di masa sekarang dan di masa-masa akan datang. Walau bagaimanapun, tafsiran kelemahan itu adalah dari sudut pandangan saya sendiri. Kalau setuju, jadikan pengajaran dan sempadan. Saya tidak dapat buat bandingan dengan perkembangan yang wujud ketika ini kerana kurang terlibat dengan aktiviti yang ada secara langsung. Hal yang demikian, menjadikan penulisan saya adalah semata-mata dalam bentuk sehala tanpa ada bandingan dengan apa yang ada sekarang. Saya cerita berdasarkan pengalaman dulu-dulu. Para pembaca sekarang, buatlah bandingan.

Satu lagi aktiviti yang ditunggu-tunggu ahli ialah Hari Tenaga Pengajar yang diadakan setiap tahun. Awal Muharam. Hari berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu oleh para Jurulatih. Barisan Jurulatih di cawangan saya sentiasa penuh bilangannya bagi menghadiri majlis berkenaan. Kecualilah pada mereka yang menghadapi masalah yang terlalu peribadi dan tidak dapat dielakkan. Misalnya hal kematian.

Pada masa itu pengenalan hari tersebut tidak pernah mendatangkan sebarang isu. Cuma, sekarang ini ada kedengaran persoalan, kenapa digelar Hari Tenaga Pengajar; bukannya Hari Jurulatih. Saya berpendapat bahawa Hari Tenaga Pengajar lebih sesuai digunakan. Pertamanya, sebutan Hari Tenaga Pengajar lebih sedap, berbanding dengan sebutan Hari Jurulatih. Keduanya, konsep Tenaga Pengajar lebih berbentuk umum, berbanding dengan konsep dan istilah Jurulatih yang lebih berbentuk khusus.

Saya buat bandingan secara mudah berdasarkan pengetahuan saya sedia ada. Kalaulah kita bandingkan dengan Perayaan Hari Guru, pastinya konsep Hari Guru berbeza dengan konsep Hari Guru Cemerlang atau Hari Guru Pakar. Guru Pakar atau Guru Cemerlang adalah bersifat khusus. Kalau disebut Hari Guru, sifatnya umum. Mereka yang bertugas di kementerian atau di jabatan atau di pejabat pelajaran daerah, masih boleh melibatkan diri. Pada hal, zahirnya mereka tidak lagi mengajar, melainkan bertugas dalam bidang pengurusan. Namun begitu, mereka pernah mengajar dan prinsipnya akan terus mengajar.

Begitu jugalah pada pendapat saya apabila dikaitkan dengan konsep Hari Tenaga Pengajar dalam SC. Mereka yang bertugas di bidang pengurusan pun pernah atau masih bertindak sebagai tenaga pengajar. Peranan yang demikian sama ada secara langsung mengajar di kelas atau secara tidak langsung apabila tenaga mereka diperlukan dari masa ke masa. Penyelia Kelas yang tak turun padang pun boleh ditafsirkan sebagai tenaga pengajar.

Begitu juga dengan mereka yang pernah berperanan sebagai tenaga pengajar. Walaupun mereka telah ‘bersara’ kerana faktor usia atau kesihatan, namun begitu sifat umum konsep tenaga pengajar, membolehkan penglibatan mereka sepanjang masa. Maka eloklah bekas-bekas tenaga pengajar SC, dijemput menyertai Hari Tenaga Pengajar yang diadakan setiap tahun. Hargailah mereka dalam pelbagai bentuk yang difikirkan sesuai. Sekurang-kurangnya, sediakan kerusi khas di barisan tertentu tempat duduk dalam upacara Hari Tenaga Pengajar tersebut. “Ada hulu, ada parang. Maka ada dulu, adalah sekarang.” Tenaga pengajar SC yang ada sekarang adalah merupakan lanjutan proses yang dimulakan oleh tenaga pengajar yang terdahulu. Kita tidak mahu menjadi manusia yang bergelar, “Seperti kacang lupakan kulit.” Ataupun seperti ibarat kata, “Habis manis, sepah dibuang.

Meneruskan tradisi meraikan para Jurulatih dalam perayaan Hari Tenaga Pengajar adalah merupakan satu usaha yang sangat baik. Dalam tulisan yang terdahulu, saya pernah tegaskan betapa Jurulatih adalah merupakan salah satu golongan yang berada di barisan hadapan. Kalau diibaratkan dalam medan perjuangan, golongan Jurulatih adalah sama seperti golongan askar yang bertempur dan berjuang bermati-matian untuk mempastikan kemenangan pasukan. Bagi mempastikan askar-askar berkenaan berjuang dengan semangat tinggi untuk mencapai kemenangan, langkah-langkah memperkasakan mereka sangat perlu diberi perhatian. Hal yang demikian boleh dilakukan melalui pelbagai cara. Setakat memberi perangsang sahaja, tentunya tidak memadai. Kebajikan mereka sangat perlu dijaga. Sekurang-kurangnya makan dan minum mereka. Kalau hanya diberi makan nasi berlaukkan kicap saja, tentunya tubuh badan mereka lemah untuk berjuang. Tetapi kalau nasi disulam bersama lauk pauk dan aneka vitamin maka semangat juang akan sentiasa membara.

Begitu juga bandingannya dengan para Jurulatih yang merupakan pejuang barisan hadapan. Mereka sentiasa berjuang untuk mempastikan kemenangan perjuangan SC kita. Di samping rangsangan dalaman, kebajikan mereka juga perlu diambil kira. Saya tidak mahu menyentuh panjang lebar tentang perkara ini. Saya rasa, barisan kepimpinan pertengahan yang merupakan perancang strategi utama persatuan, boleh memikirkan soal ini. Siapakah barisan pertengahan ini. Mereka juga adalah merupakan orang-orang kanan Guru Utama. Termasuk mereka yang berjawatan dalam jawatankuasa pusat. Merancang adalah salah satu tugas mereka. Merancang dan terus merancang dengan ilmu pengalaman dan pemikiran terbuka.

Sepanjang ingatan dan penglibatan saya, bentuk perayaan Hari Tenaga Pengajar adalah tidak tetap. Boleh berubah-ubah. Walau bagaimanapun, acara pastinya ialah amanat yang disampaikan oleh Guru Utama. Amanat berkenaan disampaikan dari pagi hingga ke waktu rehat. Maknanya, Ustaz akan menyampaikan ucapannya dalam masa dua jam atau lebih. Isi percakapannya menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan aspek kehidupan, kefahaman dan pegangan. Rasa puas setelah mendengarnya. Ketika rehat setengah jam, isi percakapan Ustaz akan menjadi bualan dan perbincangan secara tidak rasmi sesama ahli. Hal yang sedemikian, secara tak langsung mengeratkan hubungan sesama ahli yang berlainan cawangan.

Lain-lain acara, nampaknya adalah mengikut keperluan semasa. Antara acara yang pernah diadakan ialah majlis ceramah oleh penceramah yang mahir dalam satu-satu bidang. Salah satu ceramah yang pernah disampaikan ialah mengenai faedah mandi silat kita; kajian secara saintifik. Saya pernah menyentuh hal yang demikian. Ceramah telah disampaikan oleh ahli kita sendiri yang sentiasa ‘mengepit’ Al-Quran di celah ketiaknya. Selain daripada ceramah bercorak pengetahuan, ada juga ceramah yang berbentuk motivasi. Acara yang demikian adalah merupakan satu usaha untuk menyuntik semangat ahli-ahli yang berperanan sebagai Jurulatih.

Umumnya, acara yang berkaitan dengan Hari Tenaga Pengajar telah diadakan separuh hari. Dari pagi hingga makan tengah hari. Petangnya, diselitkan acara lain. Biasanya ialah mesyuarat agung koperasi. Dalam hal ini, penyertaan kami hingga ke tengah hari adalah pasti. Bersambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 22/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: