RSS

52.0. AKTIVITI PERSATUAN SC YANG DITUNGGU.

18 Oct

Ketika zaman keaktifan saya dulunya dalam SC, ada dua aktiviti persatuan SC yang sangat ditunggu-tunggu oleh para ahlinya. Pertamanya ialah perayaan SC yang melibatkan pengiktirafan berbentuk sijil pada ahli-ahli yang berjaya dalam Ujian Sijil Rendah dan Ujian Sijil Menengah. Keduanya ialah Hari Tenaga Pengajar. Kedua-dua aktiviti tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh para ahli. Azam untuk menghadiri kedua-dua aktiviti pada mereka yang berkenaan adalah sangat tinggi dan hebat. Tidak ada alasan untuk menafikan kehadiran. Kecualilah jika berdepan dengan hal-hal yang tidak boleh dielakkan.

Pada zaman saya, nak pergi ke Kuala Lumpur dari tempat saya, akan memakan masa yang agak lama. Tidak kurang empat jam lamanya jika tidak ada apa-apa halangan dalam perjalanan. Ketika itu, lebuh raya belum ada lagi. Kena ikut jalan lama. Kalau lori banyak, lagi lama masa perjalanan. Walau bagaimanapun, hal yang demikian tidak pernah dijadikan alasan untuk gagal menghadiri kedua-dua majlis yang sedemikian.

Masa lama yang dihadapi untuk ke Kuala Lumpur, menyebabkan kami sentiasa merancang perjalanan. Kalau aktiviti bermula pada jam lapan pagi, bermakna kami perlu bertolak dari Ipoh sekurang-kurangnya jam empat pagi. Bukan senang nak bertolak pada waktu berkenaan. Kalau dah tidur, susah nak bangun pada awal-awal pagi. Hal yang demikian menyebabkan kami lebih suka bertolak pada waktu yang lebih awal sebelum tengah malam. Biasanya jam sepuluh atau sebelas malam. Tidur dalam perjalanan. Kecualilah pemandu kenderaan yang terpaksa mencengkang mata.

Setiap kali perjalanan malam, tempat kami bertanggak ialah di masjid Rawang. Biasanya kami akan sampai ke masjid itu antara jam tiga ke empat pagi. Masa itu tak ada sekatan untuk bermalam di masjid. Sekarang, saya tak tahu. Bila sampai di masjid, dapatlah kami memejamkan mata seketika. Itupun tak pernah ’khusyuk’. Macam-macam cerita yang timbul. Hanya mengharapkan tidur dalam kereta. Kalau mengharapkan tidur di masjid, tentu kecewa.

Saya pernah merakamkan perjalanan kami tersebut dalam terbitan berita cawangan kami pada tahun berkenaan. Perayaan yang berkaitan ialah perayaan dua puluh satu tahun SC. Tahunnya ialah 1987, pada bulan September. Banyak kenangan manis dan pahit yang berkaitan dengan perayaan tersebut. Dalam tulisan ini, saya akan terbitkan semula tulisan kenangan berkenaan. Penulisan tersebut adalah berkaitan dengan proses menerima sijil dari mula ujian hingga ke hari penganugerahan sijil dalam perayaan puncak SC iaitu Perayaan Dua Puluh Satu.

Ketika itu, sesaja kami terbitkan punulisan berkenaan. Banyak perkara yang kami ingin sampaikan pada pihak penguasa persatuan tentang perjalanan ujian dan majlis perayaan itu sendiri. Banyak perkara yang kami fikirkan, patut diperbaiki sama ada ujian secara teori atau ujian secara amalinya.

Saya terbitkan semula tulisan tersebut yang saya tulis buat kenangan ahli-ahli SC Cawangan Ipoh yang kini sudah tua-tua. Masa itu Cawangan Perak hanya ditubuhkan kemudian. Bila baca, kenangan dulu yang pahit dan manis, semuanya jadi lucu belaka.

Tulisan tersebut juga berserta dengan lukisan kartun hasil ciptaan En Fuad. Saya terbitkan semula buat kenangan dan perkongsian pengalaman.

PEJALANAN LIMA SEPTEMBER 1987

BABAK 1
Tanggal 6 September adalah bersejarah. Sebelum itu seramai 12 orang penuntut SC Cawangan Ipoh berdebar-debar. Mereka akan memasuki medan perjuangan. Dalam debaran jantung, kadang-kadang terbayangkan diri, segak dengan berpakaian Melayu, bersongket hitam, lengkap dengan samping dan kasut kulit hitam. Megah menerima sijil. Entah macam mana, teringatkan pula bentuk ujian. Angan-angan hilang. Hati semakin risau. Peluh mengalir di dahi. Tapi azam tetap ada. “Aku akan berlatih. Sijil tetap ditangan.” Baru boleh tidur.

Hari yang dinanti-nanti, tiba. Hari Sabtu, malam Ahad. Daripada 12 orang yang ingin berjuang, tinggal sepuluh. Entah bagaimana boleh lupa. Agaknya langgar pantang.

Perlawanan bermula tapi ada penguatkuasa. Satu batalion penguatkuasa dikerah mengawasi perlawanan. Semuanya gagah segak perkasa. Tak ada yang kurang. Cuma misai sahaja tidak melenting ke atas. Kerana gemuruh di hati, ada yang salam dua kali. Dalam perjuangan, ada yang patah hati. Bukan takutkan lawan, tapi takutkan tempikan dan tindakan penguatkuasa. Sekali bercakap, sekali patah semangat. Ada yang cergas pada mulanya, tapi lembik di akhir perjuangan. Tidak tahan dengan suara.

Daripada sepuluh, tiga kecundang. Agaknya tak ikut undang-undang bergaduh. Lawan tak boleh diusik. Kalau disentuhpun mesti secara romantik. Kasar hak mereka, lembut hak kita. Namun begitu mereka berjuang tidak undur ke belakang. Cukup berani.

Kalau mengundurpun, kerana kena pukulan keras. Kata deme lembut. Entahlah, rasanya tanahpun turut bergegar. Tapi maklumlah, yang menunggu tidak boleh bergerak atau mulakan serangan. Ini syarat sebab mesti ikut niat. Pendekata kalau musuh berada satu inci dengan kita, kalau niat menunggu, kena menunggu. Kalau musuh tak sepak atau tak tumbuk, tapi meludah, jangan undur atau bergerak. Tepis dulu ludahnya. Hebat.

Satu yang harus dipuji. Tak ada yang emosional. Habis satu babak pertarungan, habis cerita. Semuanya muka selamba. Inilah sifat yang ingin dipupuk oleh SC. Berani dan berakal. Orang yang emosi kata orang, tidak matang, keanak-anakan dan sebutkan apa sahaja. Itu semua hak mereka. Biasanya lagak mereka berakhir dengan sifat sombong, bangga diri dan terpupuk sifat menceroboh. Semua sifat itu SC tak suka.

Selesai perlawanan; kalah sabung menang sorak. Jadilah asalkan ada perkataan menang.

BABAK 2
Tirai dibuka semula. Satu purnama telah berlalu. Hati berdebar kembali. Perjuangan terpaksa diteruskan. Kali ini bukan perjuangan tangan dan kaki, cuma tangan sahaja berkeriskan pensil atau pen. Medan tempur beralih tempat. Daripada 7 pendekar, tinggal 5. Dua orang terpaksa mengundur kerana perjuangan yang lain.

Perjuangan kali ini betul-betul mencabar. Bukanlah takutkan lawan. Lawan ada apa sangat. Setakat soalan di atas kertas. Tapi otak mesti penuh. Otak yang akan berjuang. Tangan menurut sahaja. Hendak memenuhkan otak, itulah punca masalah. Setakat ‘humor’ atau ‘gila-gila’ bolehlah. Tapi tak apalah. Kerana perjuangan, buku tebal mesti ditatap. Ada juga megahnya mengepit buku. Sekali sekala terasa macam berada di menara gading. Hendak masuk periksa kerajaan. – SRP atau SPM, malas. Periksa inipun jadilah.

Sebelum berjuang ada yang berlatih. Latihan Cuma ringan tapi agak luar biasa. Latihan melembutkan tangan. Ada yang tidak pernah memegang pen atau pensil; asyik memegang mesin, penukul, pam ubat dan macam-macam lagi benda keras. Kalau setakat ‘menyain’ adale. Jari perlu dilembutkan kembali. Kalau keras, nanti patah pen atau pensil. Lagi malu.

Peperiksaan selesai. Hati lega. Setengahnya lega dapat meniru. Bukan semua. Adake patut penguatkuasa ‘tertidur’. Jawabnya patut. Kalau tak patut mana boleh jawab.

Baharulah lengkap ilmu di dada. Semua kebolehan ada. Kebolehan dua tangan ada, dua kaki ada, dan kebolehan mulut untuk bersoal jawabpun ada. Ini penting. Lihat sahaja pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Menurut cerita yang empunya cerita, mereka bertarung sampai 5 jam. Tiga jam khas untuk soal jawab dengan menggunakan otak dan mainan kata. Tangan sekali sekala sahaja digunakan. Itupun salingan untuk menyedapkan mulut bersoal jawab. Baki dua jam khas untuk bertarung. Tersusun sungguh perlawanan mereka. Tapi menurut apa yang dicerita, Hang Jebat kalah bukan tertipu tapi kehilangan banyak kalori kerana banyak bermadah. Tapi itu semua tak kisah. Itu disiplin kita. Kita ada disiplin sendiri.

BABAK 3
Ini adalah babak gembira. Hati berdebar juga. Bukan takut tapi tidak sabar menunggu tarikh 5 September. Perjalanan ke puncak hajat. Baju Melayu telah bertempah. Rasanya lima kali telah mencuba. Segak dan tampan. Hati rasa bertuah kerana berada dalam puncak perjuangan SC. Dua puluh satu tahunlah namanya. Derita mengeluarkan belanja hilang begitu sahaja.

Pukul dua pagi, semuanya berangkat. Tapi ada juga yang tertinggal. Agaknya dah jadi adat kita. Ada yang tersangkut. Seronok juga berjalan begitu rupa. Kadang-kadang terbayangkan diri seperti Tun Mamat yang hendak meminang Puteri Gunung Ledang. Walaupun hati terluka tapi ada cita-cita. Gagal atau berjaya, lain kira.

Singgah di Masjid Rawang. Subuh belum tiba. Ada yang tidur di kaki lima masjid. Tidur mesti lapan jam. Congak-congak, baru dapat tujuh setengah jam. Setengah jam lagi mesti ‘dicover’. Punya syok tidur, orang gerak diberinya salam. Selesai sembahyang, pekena roti canai. Sarjan belanja. Entah ye, entah tidak. Semua orang kena tanya. Kalau tidak, tercekik kita.

Semuanya selesai. Baju melayu dipakai. Tampak tampan walaupun sekali sekala berjalanpun sudah tidak betul. Tambahan pula ada bas pelancongan yang berhenti. Comel belaka.

Pukul lapan tiba di Bangunan Tabung Haji. Indah sekali tapi kena letak kereta di tingkat tinggi. Semuanya berpakaian megah. Perayaan 21 tahun SC, mesti dirai. Bukan boleh main-main. Berpakaian tengkoloklah seorang hamba Alllah.

Semasa majlis, no komen. Nanti kena marah. Baru padan muka. “Kita ni apa le sangat.”

BABAK 4
Ke makam Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dituju. Teringat kisah-kisah lama. Jasamu tetap dikenang. Ketokohanmu tiada tandingan. ‘Kaulah kandil kemerlap. Pelita jendela di dalam gelap. Menyinari selalu.”

Amanah yang diberi dan yang ditinggalkan, akan terus diperjuangkan. Adatnya, cawangan Ipoh tidak akan luntur. Itulah kehendakmu. Akan kami teruskan. Persetankan karenah-karenah sampingan. Itu tidak penting. Selagi tangan dan kaki boleh bergerak, kami akan terus begerak. Bergerak ke arah matlamat yang engkau kehendaki. Hanya yang engkau kehendaki.

Demikianlah bentuk penulisan kami ketika dulu-dulu bagi melahirkan hasrat atau perasaan untuk tujuan penambahbaikan. Mungkin ada kelemahan dari segi pengurusan majlis anjuran persatuan. Kami buat teguran dalam bentuk yang halus dan seboleh-bolehnya tidak menyakitkan. Walau bagaimanapun, hubungan baik antara cawangan dan pusat sentiasa baik dan akrab. Hal yang demikian telah menyebabkan SC terus berkembang di cawangan kami dari masa ke masa dengan hebat dan dengan serba kemegahan. Satu kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan. Tulisan seterusnya, saya akan sentuh tentang Hari Tenaga Pengajar dulu-dulu sebagai kenangan.

20121018-110154.jpg

20121018-110210.jpg

20121018-110223.jpg

20121018-110241.jpg

20121018-110253.jpg

20121018-112010.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 18/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: