RSS

51. APLIKASI SC DALAM KEHIDUPAN.

15 Oct

Saya selalu tekankan kesimpulan. Biarlah kita berpijak di bumi nyata. Dapatkanlah kemahiran gerak melalui kebolehan dua tangan dan dua kaki yang dianugerahi Allah terlebih dahulu, sebelum berusaha mendapatkan ilmu-ilmu lain. Pada dasarnya, penguasaan gerak tangan dan gerak kaki akan menjadikan kita berfikiran sihat.

Banyak amalan fizikal yang ada dalam SC telah dapat membantu kita menjadi hebat di sampng kehebatan gerak dua tangan dan dua kaki. Semasa saya menuntut dahulu, kami tidak suka menimbulkan banyak persoalan. Pada prinsipnya, jika ingin menguasai SC, maka segala isi kandungan pelajaran dan kefahamannya perlu diterima dengan sepenuh hati. Persoalan yang ditumbulkan adalah semata-mata untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi memudahkan amalan; bukannya bersifat menentang atau menolak.

Sifat menerima adalah banyak faedahnya. Masa tidak terbuang bagitu banyak dalam proses menerima sesuatu pelajaran. Jika menimbulkan banyak persoalan semata-mata untuk maksud perbahasan atau penolakan, banyak ruginya. Hatipun berasa tak seronok. Selalu saya katakan betapa pentingnya kita meletakkan kepercayaan pada guru yang memimpin persilatan ini. Dia tahu akan apa yang dilakukannya. Turut saja pengajarannya.

Setelah terlibat begitu lama dengan SC, saya dapati segala panduan, petua dan kefahaman yang diberi, banyak faedahnya untuk masa depan. Mungkin buktinya tidak dapat dijelaskan secara spontan. Sebaliknya, hasil atau faedah pengajarannya dapat dilihat dalam proses jangka masa panjang. Kadang-kadang, kata-kata para Jurulatih yang menekankan prinsip, ‘ikut saja. Jangan banyak soal,’ ada faedahnya. Saya nampak akan faedahnya itu pada diri saya sendiri.

Dalam tulisan ini, saya akan membincangkan beberapa aspek panduan atau petua atau kefahaman yang ada dalam SC, membawa faedah pada jangka masa panjang. Perkara pentingnya ialah pelakuan amalan perlulah dilakukan secara berulang-ulang sepanjang masa. Maknanya, ahli-ahli SC perlu mengamalkan amalan yang ada dalam SC secara sepanjang masa tanpa henti atau tanpa kecewa. Jadikan arahan pembelajaran sebagai amalan seharian. Banyak faedahnya pada diri kita dalam proses menjadikan kita hebat dalam persilatan SC. Kita ikuti perbincangan berikut berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya yang lama berkecimpung dalam SC.

Dalam tulisan lalu, saya telah berkongsi pengetahuan betapa proses amalan mandi kita membawa kesan amat baik pada diri. Mandi sambil menggosok-gosokkan badan akan meninggalkan kesan jangka panjang iaitu pembentukan satu lapisan untuk melindungi badan. Saya telah menyentuh perkara ini dalam tulisan terdahulu hasil kajian saintifik oleh seorang ahli yang merupakan ‘peminat’ Al-Quran. Mereka yang mengalaminya yang dapat menjiwai kesan berkenaan. Bukan senang untuk mengatasi serangan secara cecahan. Tanpa tindakan pantas, badan menjadi biru. Kecualilah pada mereka yang suka tumbuk tipu. Tak tepis pun penumbuk akan melencong ‘sebatu’.

Rupa-rupanya, telapak tangan kita mempunyai daya megnet. Apabila disentuh maka akan ada kesan megnetnya. Pernah saya terbaca, betapa kesan sentuhan itu boleh mengalirkan aura yang ada pada kita. Malah, jika tangan kita mengusap kepala anak-anak, akan terpancar nilai kasih sayang dalam kalangan mereka. Betapa kuatnya daya sentuhan telapak tangan itu, menyebabkan kita tidak digalakkan menyentuh tetek kita ketika mandi. Lain jadinya. Lebih-lebih lagi, jangan disentuh anu kita. Setim lagi jadinya. Begitulah kuatnya kesan telapak tangan jika disentuh pada apa-apa anggota badan.

Saya juga telah membincangkan tentang faedah mandi menggunakan kain putih. Sekurang-kurangnya kita boleh mengatakan bahawa pemakaian kain putih ketika mandi boleh dianggap sebagai kain basahan. Mandian kita lebih tenang, tidak gopoh dan boleh juga dikatakan sebagai beradap sopan. Lebih-lebih lagi jika mandi kita itu lengkap dengan bacaan doa selamatnya. Hal yang demikian akan menjadikan mandian kita secara tertib.

Mandian kita adalah menggunakan limau purut. Sepanjang pengamalan saya, kebanyakan silat menggunakan limau nipis dalam upacara mandi silat mereka. Rupa-rupanya penggunaan limau purut, banyak faedahnya. Saya petik satu rencana yang ditulis dalam Mingguan Malaysia bertarikh 17 Mac 2002. Petikan itu secara pilihan ayat-ayat yang ada.

“Buahnya bulat tapi menggerutu dengan rasa masam dan pahit. Daunnya menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa makanan untuk memasak lauk tomyam, asam pedas dan laksa.
-Buahnya selalu dijadikan sebagai antara bahan penting upacara mandi bunga dan mandi wap yang menjanjikan kesegaran.
-Kini terdapat pula teknologi terbaru untuk menghasilkan minyak wangi dan keharuman aroma terapi daripada pati limau purut serta herba lain.
-Limau purut juga mempunyai beberapa khasiat lain yang boleh diamalkan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan sakit kulit.
-Limau purut juga boleh menghilangkan lemah dan letih. Limau purut boleh digunakan untuk mencuci rambut dan kulit kepala berkerak di samping mengatasi masalah kulit kering bersisik. Sekali gus boleh mencuci kulit kepala yang berkerak atau berkelemumur. Buah limau tersebut dipotong atau dibelah dua sebelum disental pada kulit kepala yang mungkin menyebabkan rasa pedih.
-Kaedah yang sama dilakukan untuk mengatasi masalah kulit kering bersisik yang selalunya diamalkan ketika mandi.
-Sental buah limau yang telah dibelah dua pada bahagian kulit yang bersisik tersebut dan biarkan beberapa ketika sebelum dibilas.”

Kita selalu disarankan supaya selepas mandi, biarkan air mandian tersebut kering dengan sendirinya. Pelbagai tafsiran kita buat atas perbuatan tersebut. Rupa-rupanya, dengan membiarkan air mandian pada tubuh badan kita kering, khasiat daripada limau purut itu akan meresap dalam tubuh badan kita. Badan akan berasa segar. Hal yang demikianlah menyebabkan adanya alasan, selepas mandi yang dianjurkan SC, badan terasa segar. Tak letih. Agaknya, akan menguatkan tenaga batin anu kita.

Kita ada pantang larang lain yang tidak bertulis. Pantang larang itu berupa adab kita bersama guru. Saya pernah menulis dalam tulisan yang lalu. Misalnya adab duduk bersama guru. Kita disarankan supaya tidak menyilang kaki ketika duduk atas kerusi. Rupa-rupanya perbuatan demikian ada nilai faedahnya pada jangka masa panjang. Orang-orang dulu ada sebab menganjurkan perbuatan demikian. Untuk menjelaskannya secara saintifik, mungkin mereka kurang berpengetahuan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman mereka, duduk yang sedemikian tidak banyak faedahnya.

Saya petik satu rencana yang tersiar dalam akhbar Harian Metro pada 6 Mei yang lalu. Petikan itu juga adalah berdasarkan kutipan beberapa ayat yang ada untuk maksud menjelaskan faedah baik yang boleh didadapati jika duduk atas kerusi tanpa menyilang kaki.

”Duduk secara menyilang kaki, boleh menyebabkan tulang berlakang bengkok dan seterusnya menyebabkan kesukaran bergerak.

– Ia akan menimbulkan rasa sakit atau ketegangan pada tubuh. Kecederaan jangka panjang hanya akan berlaku apabila otak tidak memberi tindak balas dalam tempoh dua jam.
– Biasanya perbuatan duduk dengan menyilangkan kaki berkali-kali hanya menyebabkan sakit belakang. Ketidakseimbangan daya tarikan otot boleh menyebabkan tulang belakang bengkok sementara. Ini dipanggil ’sciatic scoliosis’.
– Apabila posisi kaki kanan di atas kaki kiri, tulang punggung dan betis dalam keadaan tidak sama rata di mana pinggul kiri lebih tinggi, menyebabkan otot antara tulang rusuk dan tulang pelvis menjadi lebih pendek berbanding di sebelah kanan.”

Tatkala ijazah pertama, kita diberi petua sepakan kaki dan latihan tangan. Kedua-dua petua tersebut amat memberi makna kepada kita dalam jangka masa panjang. Sekarang ini, setiap pagi saya mendaki bukit tinggi di tempat saya. Ramai orang China yang melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan. Mereka begitu mengambil berat akan aspek kesihatan. Ketika saya bersama mereka, perkara yang sering dibualkan ialah soal kesihatan.

Saya tertarik dengan dakwaan mereka tentang penjagaan lutut untuk aktiviti mendaki bukit. Ramai yang tua-tua dan bangka, mengamalkan petua mengelak sakit lutut. Caranya ’sebijik’ dengan amalan petua sepakan kaki yang diberi guru kita di majlis ijazah pertama. Selesai mendaki bukit, mereka akan membuat latihan sepakan kaki. Rupa-rupanya petua sepakan kaki yang diberi Guru Utama adalah amat berfaedah bagi menjaga kesihatan lutut. Pandangan saya pada mereka tersangat puas. Berasa puas bukan kerana latihan yang mereka adakan itu. Sebaliknya, saya berasa puas bahawa petua guru selama ini, memberi kesan yang nyata faedahnya pada saya sepanjang masa selama ini.

Pada diri saya sendiri, setakat ini latihan kaki adalah merupakan satu amalan yang tidak pernah saya tinggalkan. Sekurang-kurangnya sepuluh kali sehari. Itu, hanya sekurang-kurangnya. Alhamdulillah, lutut saya masih berupaya mendaki bukit tanpa mengalami sebarang kesakitan. Itulah kenyataannya tentang faedah latihan sepakan kaki kita.

Saya juga dapat perhatikan karenah mereka ketika mendaki dan menuruni bukit. Tangan mereka bergilir-gilir membuka dan menutup genggaman tangan. Pergerakan itu berulang-ulang. Mereka mendakwa bahawa perbuatan itu akan menyebabkan keupayaan tangan akan sentiasa cergas sepanjang masa walaupun telah berusia bangka.

Pada kesimpulan saya, amalan-amalan yang ada dalam SC, memberi banyak faedahnya sama ada faedah secara spontan atau pada jangka masa panjang. Amalan-amalan tersebut adalah merupakan petua yang diamanahkan guru bagi kita mengamalkannya. Cuma, kita mungkin berasa gopoh kerana ingin melihat ’jasa’nya secara spontan. Sebenarnya, amalan-amalan tersebut adalah berpanjangan dan berfaedah dalam jangka masa panjang. Bila saya telah berumur, nampak sangat kesan faedahnya ilmu petua yang diamanahkan guru supaya mengamalkannya.

Saya selalu tegaskan betapa kita yang berada dalam SC, adalah berada dalam satu landasan yang betul dalam menjalani kehidupan seharian. Dari segi pesilatan, SC telah memberi jaminan sebagai ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan pada diri kita. Dari segi kefahaman, SC juga menjamin kefahaman yang benar dalam proses kita menjalani kehidupan.

Semasa menjalani kehidupan, kita memerlukan satu bentuk pegangan. Dalam tafsiran SC, dikaitkan akan sifat pegangan dalam pembelajarannya. ”Cekak juga berarti pegangan. Silat ini mempunyai pendirian, pegangan dan tujuannya yang tersendiri. Sebab itulah sebelum penuntut-penuntut mempelajari silat ini, mereka diberi pegangan dahulu, bahawa mempelajari silat ini bukannya untuk bermegah-megah, sombong, menceroboh, mengikut nafsu; tetapi sebenarnya untuk menjaga diri, bangsa dan agama.”

Kesimpulan saya, kalaulah semua amalan dan pengajaran yang disarankan pada kita sejak mula memasuki SC diamalkan secara berterusan, maka kesan baiknya akan kita peroleh sepanjang masa secara berterusan. Oleh itu, jangan ambil mudah semua perkara yang diajar dalam SC. Lakukan amalan itu secara berterusan. Jangan gopoh untuk menuntut kesannya. Banyak faedahnya di kemudian hari jika sesuatu perkara itu dilakukan secara tenang dan yakin. Terutamanya ketika diri telah menjadi tua dan bangka. Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 15/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: