RSS

50.4. KEFAHAMAN ILMU MEGAH DALAM SC.

11 Oct

KESIMPULAN

Kita yang berada dalam SC, tentunya sahaja selamat untuk mengamalkan ilmu petua yang boleh dianggap ilmu megah atau luar biasa. Ustaz telah meninggalkan ilmu petua yang selamat dari segi amalannya. Tak perlu risau tentang amalan tahyol dan kurafat. Tak ada jin yang boleh rapat. Kecualilah ada manusia yang bersifat jin. Memang suka berkawan dengan jin. Suka merasuk dan menggongcang hati manusia lain. Hinggakan sumpah Al-Quran pun jadi mainan dan boleh menjadikannya berubah ‘angin’.

Ketika kita masuk ke kelas memulakan pelajaran SC, ramai penuntut yang tertanya-tanya. Kita tidak memulakan pelajaran dengan sebarang jenis upacara. Ketika bersilat, jika ada yang terseliuh atau tercedera, tidak ada rawatan pintas yang boleh menyembuhkan kecederaaan. Dalam hal ini, SC memupuk kita mengakui hakikat sebenar sesuatu kemenjadian tanpa bersumberkan faktor khayalan. Hal yang demikian adalah bersesuaian dengan perjuangan SC yang termaktub dalam perlembagaan iaitu membasmi faham tahyul dan khurafat yang terdapat dalam ilmu persilatan Melayu.

Pemikiran penuntut adalah diarahkan kepada pemikiran yang tepat dan rasional serta bernas. Sesuatu yang luar biasa harus difahami secara objektif. Menurut Ustaz, mengkaji perkara-perkara yang luar biasa dalam ajaran akhidah terdapat tujuh jenis. Saya petik penulisan yang pernah diterbitkan pada satu ketika dulunya.

1. Mukjizat.
Perkara luar biasa yang berlaku pada diri para Rasul. Contohnya terbelah bulan, bercakap binatang, mengidupkan orang mati dan kitab suci Al-Quran.

2. Keramat.
Perkara luar biasa yang berlaku pada diri orang yang soleh dalam kalangan orang Islam. Contohnya singgahsana Puteri Balqis dari Yaman dapat diterbangkan oleh ‘Asif’ ke Pelastin hanya sekelip mata sahaja.

3. Maunah.
Perkara luar biasa yang berlaku pada mukmin umumnya tanpa apa-apa sebab daripadanya. Contohnya, orang yang jatuh ke dalam sungai atau belanggar kereta yang mengorbankan semua orang, tapi dirinya terselamat.

4. Irhas.
Perkara luar biasa yang berlaku pada seseorang yang bakal menjadi nabi dan rasul. Contohnya apa yang berlaku pada nabi Isa yang dapat bercakap dalam buaian dan awan meneduhnya.

5. Istidraj.
Perkara luar biasa yang berlaku pada seseorang yang jahat untuk mendorongnya dalam kesesatan seperti yang berlaku pada Hindu, Budha atau sesiapa saja yang tidak mengikut ajaran Islam zahir dan batin.

6. Sihir.
Perkara luar biasa yang berlaku pada seseorang melalui cara yang dipelajarinya. Contohnya memotong kepala, membunuh dan sebagainya.

7. Ihanah.
Perkara luar biasa yang berlaku pada seseorang yang mengaku Nabi seperti Musailamatul Kahzab yang ingin mengubati orang buta sebelah matanya, tapi akhirnya kedua-dua matanya menjadi buta.

Saya rasa, kategori berkenaan tak termasuk perkara-perkara luar biasa yang dilakukan secara helah atau secara tipu daya pemikiran kita. Dalam hal ini, pada pandangan saya, sesuatu yang kita lihat sebagai luar biasa maka mestilah disesuaikan dengan kategori atas. Lebih jelas dan lebih selamat. Mungkin mereka selalu merujukkan sesuatu yang luar biasa dalam katagori ketiga. Namun begitu, menurut Ustaz, Maunah tidak mungkin sentiasa berlaku pada semua orang biasa dalam semua keadaan. Kebolehan itu diberi pada beberapa ketika kepada orang-orang tertentu dalam keadaan tertentu dan penting.

Sesuaikanlah ilmu-ilmu yang ada dalam masyarakat kita dengan kategori di atas. Misalnya, kalau dikunci pergerakan seseorang hingga menyebabkan orang itu tidak boleh bergerak, apa kategorinya. Kalau ‘dipancung’ jantung secara isyarat hingga menyebabkan orang itu mati, apa rujukan kategori di atas. Kalau terdetik di hati seseorang dan menyebabkan tertimpa kemalangan kepada seseorang yang lain, maka apa sebab dan mana pula kategori ilmunya.

Saya yakin, jika kita sentiasa menjadikan tujuh ketagori yang disebut Ustaz seperti yang saya petik di atas, akan menyebabkan kita tidak mudah melatah. Lantaklah dakwaan seseorang tentang ilmu luar biasa yang ada pada dirinya. Tugas kita ialah mengkategorikan dakwaannya itu untuk penjelasan diri sendiri. Tak perlu bertegang urat atau bertengkar dengannya. Kalau bertengkar atau berbincang, pasti orang berkenaan akan sentiasa menegakkan kebenarannya dengan lintuk liuk percakapannya yang lancar dan menyakinkan.

Menurut Ustaz, perkara luar biasa yang didapati secara belajar dan terpaksa menjadi ahli, itulah sihir namanya. Hukum sihir adalah haram. Sihir tidak semestinya memanggil nama jin tetapi sering juga penggunaan nama Allah dan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Ramai ahli ilmu kebatinan di Asia ini yang tidak Islam seperti bomoh-bomoh Siam, ketika mengamalkan kebatinan menyebut nama Allah. Ketika menipu Adam di syurga dulu pun, Iblis menyebut nama Allah hingga tertipu Adam. Disangkanya itu adalah kehendak Allah.

Ramai yang mendakwa perkara luar biasa yang ada pada dirinya ada kaitan dengan Malaikat. Kita harus faham, makhluk ghaib yang diketahui menolong manusia adalah jin dan malaikat. Tetapi pertolongan malaikat hanyalah pada mereka yang ternyata sifat-sifat ketakwaannya pada zahir dan batin. Mereka itupun tidak meminta untuk membuat sesuatu yang anih-anih atau luar biasa. Perkara itu datang kepadanya sekali sekala tanpa disedarinya.

Memang ada hubungan antara Malaikat dengan manusia seperti yang dijelaskan Al-Quran yang saya kutip dari pengumpulan dan kajian Ustaz. Saya hanya menyalin kembali. Mungkin ada kesilapan ejaan atau angka semasa menaip. Bentuk hubungan antara Malaikat dan manusia adalah seperti berikut:

1. Mendoakan kepada manusia untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan (Al-Ahzab : 43)
2. Memohon ampun untuk manusia di dunia ini supaya dijauhkan dari dosa di samping supaya dimasukkan ke dalam syurga.(Al-Ghafir ; 71)
3. Menjaga dan mengawal manusia pada waktu siang dan malam. (Al-Rakdu;11)
4. Meneguhkan peribadi orang mukmin dengan menyampaikan berita baik. (Fussilat; 30, Al-Anbia, 101)
5. Memberi bantuan dan pertolongan kepada orang mukmin dalam bentuk yang tidak diketahui. (Al-Mujaddah ; 22)
6. Bantuan sebagai tentera Allah dalam bentuk yang tidak diketahui. (Al-Imran ; 9)
7. Memberi kedamaian dan memperteguhkan pendirian orang mukmim ketika menghadapi musuh. (Al-Anfal , 19)

Sebagai pengamal SC, kita telah dididik supaya berhati-hati dengan menggunakan fikiran yang diberi Allah dengan sebaik-baiknya. Selalu saya tegaskan. Jika setakat berkebolehan mengeluarkan batu aked dari celah jari atau cincin tembaga secara ghaib, bukanlah sesuatu yang menarik. Kurang nilainya. Sebaliknya, jika mereka berkebolehan mengeluarkan batu berlian, permata atau cincin emas dan boleh diberi secara percuma kepada yang hadir, maka patut sangat kita beri perhatian.

Kita juga harus bersifat kritis tentang ilmu-ilmu megah yang ada dalam kalangan masyarakat kita. Jika mereka berkebolehan melalui perantaraan malaikat, sejak dulu lagi, masalah komunis, rampasan bangunan AIA oleh tentera Merah Jepun pada satu ketika dulu dan sebarang ancaman negara dapat dibanteras dengan senang dan dalam sekelip mata. Akan tetapi, tak terjadi dan semuanya hanya dakwaan belaka.

Perkara yang jelas, pelakuan yang sedemikian diambil peranan oleh Jin. Sifat jin selama-lamanya bertujuan membakar, memusnah dan menghancurkan akidah manusia, sesuai dengan kemenjadiannya dari api. Itulah sebabnya Allah sering memperingatkan manusia supaya menjauhkan diri dari Jin. Walaupun ditegaskan oleh Al-Quran bahawa terdapat makhluk jin dari golongan Islam dan ada yang soleh, namun tiada ditegaskan untuk digalakkan kita membuat hubungan dengan mereka; apatah lagi mengikat janji persahabatan. Oleh itu, berhati-hatilah supaya tidak mudah tertipu.

Sebagai pengamal SC juga kita digalakkan berfikiran tepat dan nyata. Sesungguhnya, sifat ini sentiasa terpupuk dan dipupuk dari masa ke masa secara latihan fizikal lagi. Kita digalakkan supaya sentiasa berfikir ketika menerima satu-satu ilmu pergerakan dalam SC. Kenapa mesti buat itu dan ini. Secara langsung, ahli-ahli SC sentiasa berfikiran kritis sebelum menerima sesuatu pelajaran. Hal yang demikian adalah sangat berkesan bagi membentuk jiwa ahli yang berterus terang.

Biarlah kita berpijak di bumi nyata. Dapatkanlah kemahiran gerak melalui kebolehan dua tangan dan dua kaki yang dianugerahi Allah terlebih dahulu, sebelum berusaha mendapatkan ilmu-ilmu lain. Pada dasarnya, penguasaan gerak tangan dan gerak kaki akan menjadikan kita berfikiran sihat. Bersepadu dengan penguasaan gerak tangan dan kaki itu, peliharalah jiwa kita supaya sentiasa bersifat jujur sepanjang masa dalam proses menerima ilmu pelajaran dalam SC. Hal yang demikian adalah lebih selamat dan lebih logik serta ada rasionalnya. Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 11/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: