RSS

50.3. KEFAHAMAN ILMU MEGAH DALAM SC.

08 Oct

Dalam tulisan lalu, kita boleh lihat betapa kehebatan SC juga ada kaitan dengan ilmu-ilmu petua yang diturunkan guru dari masa ke masa. Petua-petua itu meliputi pelajaran yang ada dalam sukatan pelajaran SC dan petua-petua yang boleh membantu kita menjadi seorang ahli SC yang betul-betul bertanggungjawab pada dirinya. Oleh itu, hargailah petua-petua berkenaan dengan cara kita mengamalkannya untuk diri sendiri. Tidaklah perlu kita sebarkan pada orang lain, termasuk ahli-ahli sendiri kerana itu bukanlah hak atau tanggungjawab kita berbuat demikian.

Seorang pendekar dari Kampung Pelet pernah bertanyakan pandangan saya pula tentang amalan ‘batin’ yang ada dalam SC. Tentunya pengertian batin dalam kefahaman SC adalah berbeza dengan pengertian ilmu-ilmu petua yang dibincangkan terdahulu. Sekali lagi saya tegaskan. Saya cuba bincangkan hal ini berdasarkan kefahaman saya. Harap-harap tidak akan mencelarukan pemikiran pembaca.

Dalam SC, kefahaman ‘batin’ atau pelajaran yang luar biasa kemenjadiannya telah digambarkan Ustaz secara jelas dan secara langsung dalam pantunnya seperti berikut:

Silat Cekak pada zahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggotanya,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Gerak zahir adalah berdasarkan pergerakan dua tangan dan dua kaki. Penguasaan gerak-gerak tersebut akan membolehkan kita menguasai keseluruhan gerak badan termasuk gerak kepala. Melalui kemahiran yang dipupuk dari masa ke masa, maka gerak zahir itu mudah dikuasai. Gerak ‘batin’ ada kaitan dengan Yang Empunya Gerak. Bukan senang-senang nak dapat penguasaan gerak dalam SC secara unggul. Kita memerlukan daya usaha. Kalau gerak fizikal, usaha tersebut diperoleh melalui latihan. Manakala gerak batin, usaha yang perlu dilakukan adalah berkaitan dengan jiwa kita. Ustaz sangat menekankan aspek kejujuran jiwa sebagai saluran betul dan muktamad untuk mendapatkan gerak yang dianugerahi Yang Empunya Gerak. Oleh itu, kita hendaklah bersifat jujur pada jiwa kita sepanjang masa. Perdunya, bukan jujur pada anggota badan seperti kaki dan tangan; melainkan jujur pada jiwa kita. Itulah keutamaannya jika kita ingin menguasai ‘gerak secara batin’ dalam pembelajaran SC. Gerak unggul yang dianugerahi Yang Empunya Gerak.

Dalam tulisan ini, saya cuba membincangkan maksud jiwa yang jujur berdasarkan kefahaman saya. Harapan saya ialah dapat membantu ahli-ahli SC supaya sentiasa ‘menjadi’ pergerakannya dalam SC.

Jiwa ialah roh yang ada dalam tubuh badan kita. Jiwa juga melambangkan perasaan, fikiran dan cita-cita yang terkandung dalam hati manusia. Oleh itu, peranan hati adalah merujuk pada tempat yang terkandungnya perasaan kita. Jiwa yang jujur bermaksud keikhlasan, ketulusan dan lurus hati. Perasaan ikhlas itu sentiasa terpancar dalam perbuatan mereka. Sekurang-kurangnya ikhlas dalam berguru dengan Guru Utama. Jangan berpura-pura. Sifat mereka adalah sentiasa terus terang. Apa keluar dari mulut adalah melambangkan isi hatinya. Cakap serupa bikin.

Konsep jujur adalah luas pada amalan kita. Kejujuran itu meliputi kejujuran diri kita dengan Tuhan dan dengan sesama manusia lain. Dalam konteks SC, hendaklah kita bersifat jujur pada Jurulatih yang memandu kita, jujur pada rakan-rakan sepersilatan, jujur pada penguasa persatuan dan yang paling penting juga ialah jujur pada diri sendiri ketika menuntut SC.

Ramai yang gagal berbuat demikian gara-gara kepentingan diri. Bagi menjamin sifat-sifat ikhlas, tulus dan lurus hati, maka kita perlu sentiasa membersihkan hati. Cara yang paling mudah ialah kawal diri dari sifat-sifat negatif seperti perasaan syak wasangka yang buruk, resah, sombong, baran, berpura-pura dan sebagainya. Penyakit jiwa atau roh ini mesti dibuang supaya roh boleh berhubung dengan Allah dengan tenang dan khusyuk. Jiwa yang sejahtera akan menjadikan tubuh fizikal kita sehat.

Kebiasaannya, orang yang tidak jujur pada jiwanya ada kaitan dengan hawa nafsunya sendiri. Orang yang dapat mengawal hawa nafsu adalah merupakan orang yang berani menghadapi kenyataan. Baik dan buruk, susah dan senang dapat diterima dengan hati terbuka. Semuanya adalah ketentuan Allah. Menurut Ustaz, orang yang sentiasa jujur pada jiwanya adalah merupakan orang yang sentiasa bergantung pada Allah. Ikutan dan pedoman kita adalah seperti yang diajar oleh Rasullullah.

Dalam kefahaman SC, apabila kita bersikap jujur pada jiwa maka barulah kita peroleh manfaat dari segi pengertian gerak. Kemenjadian petua yang diperoleh adalah erat kaitannya dengan kehendak Allah. Walaupun kemenjadiannya pasti tapi segala-gala bergantung pada ketentuan Allah. Saya yakin dan saya percaya, mereka yang bersifat jujur pada jiwanya akan membantu kemenjadian pasti atas segala petua yang diamalkan dalam SC. Oleh itu, sentiasalah kita bersifat jujur dalam segala tindakan dan dalam segala perbuatan yang kita lakukan.

Pernah satu ketika, seorang ahli berjumpa Ustaz, bertanyakan soalan. Dalam SC ada ke ilmu ghaib. Dengan nada selamba Ustaz mengatakan, “Ada”. Amal saja ayat “Aku berlindung pada Allah dari syaitan yang direjam”. Amal. Jangan baca. Maknanya sentiasalah kita membesarkan kebesaran Allah dengan cara pekecilkan diri sendiri. Kalau diri telah kecil maka mudahlah kita berlindung pada Yang Besar. Kalau sifatnya sentiasa besar diri maka susahlah dia berlindung pada Allah. Pengamalan ayat berkenaan secara jujur, perlu diikuti dengan keyakinan, keikhlasan, lurus hati, kefahaman dan daya fikir yang luas.

Begitulah mudahnya kefahaman ‘batin’ sepertimana yang diterangkan Ustaz sebagai menjawab soalan berkenaan. Segala-galanya bergantung pada hati atau jiwa kita. Sejauh mana kita tunduk pada kebesaran Allah. Tunduk itu ada kaitan dengan konsep berserah. Konsep berserah perlu disesuaikan dengan ‘iktikad’ kita seperti mana yang selalu diperkatakan Ustaz. Saya tidak dapat membincangkannya secara panjang lebar. Tapi itulah kefahaman yang ada pada saya hasil hubungan rapat saya dengan Ustaz.

Pada satu ketika, Ustaz pernah menceritakan tentang ilmu-ilmu megah yang ada dalam masyarakat Melayu. Kita perlu berhati-hati kalau mendekatinya sebelum terjebak dengan begitu parah. Ketika saya memohon kebenaran Ustaz mempelajari ilmu-ilmu berkenaan, ramai rakan yang berasa risau. Takut-takut saya akan lupa diri dan terus ghaib dari perjuangan SC. Itu sebabnya dalam SC, mereka yang mempelajari ilmu-ilmu lain tanpa merujuk pada Ustaz, akan dipulau secara langsung. Hal yang demikian mungkin ada logiknya. Biasanya mereka yang mempelajari ilmu-ilmu yang luar biasa akan mudah lupa diri. Tapi saya tetap ingat pesanan Ustaz. ”Jangan sesekali tinggalkan sembahyang”. Sesungguhnya perbuatan sembahyang akan menyebabkan kita sentiasa berhubung dengan Tuhan. Isyaallah, selamat.

Menyentuh tentang ilmu kebatinan orang-orang Melayu, Ustaz menerangkan bahawa ilmu-ilmu yang ada, terdiri dari beberapa kategori. Pasung Bumi, Kipas Nandung, Ibu Gayung, Seni Gedang dan puncaknya ialah Bisik Semak. Kesemua ilmu itu adalah merupakan ilmu-ilmu luar biasa yang kerap kali bergelar ilmu batin dalam masyarakat Melayu. Ustaz menerangkan juga tentang kesemua jenis ilmu berkenaan dengan bacaannya sekali. Namun begitu, kunci amalannya tidak dinyatakan. Takut-takut diamalkan oleh para ahli.

Menurut Ustaz, kesemua ilmu-ilmu Melayu berkenaan adalah berkisar pada penggunaan jin. Itulah yang dinyatakan Ustaz pada saya. Pada orang lain, saya tak tahu. Saya teringat peristiwa saya bersama Ustaz. Ketika itu saya menumpang kereta Ustaz balik ke rumah abang saya di Sungai Patani. Kereta Ustaz dipandu Pak Wan, dalam perjalanannya balik ke Alor Star. Pada masa itulah Ustaz menerangkan konsep ilmu Bisik Semak yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada kami berdua.

Puncak ilmu ’batin’ yang diamalkan oleh orang-orang Melayu ialah Bisik Semak. Konsep ilmu Bisik Semak itu ialah para pengamalnya perlu berhati-hati pada kata hatinya. Kalau niat hatinya tidak baik pada seseorang itu, maka orang itu akan menerima padahnya. Misalnya, katakan ada penonggang motosikal yang berlagak di depannya. Kalau kata hatinya orang itu jatuh, maka akan jatuhlah orang itu. Kalau orang lain berniat buruk pada diri si pengamal maka diri orang itu pula akan ditimpa bencana. Contoh yang saya beri itu adalah merupakan contoh yang pernah diberi Ustaz pada saya.

Cuba kita fikir akan kemenjadian ilmu berkenaan. Dengan niat sahaja maka akan tertimpa padah pada orang lain. Melainkan pada kesimpulan saya, apabila niat itu telah ada maka kapitnya yang menuju ke arah si penonggang motor berkenaan. Agaknya, ditolaknya hamba Allah itu. Berdentum. Pertolongan jin. Samalah contohnya dengan cara seorang yang mengupah ’gengster’ untuk memukul orang lain. Jadinya hajat berkenaan adalah kerana bersifat ada orang suruhannya.

Itulah kali pertama dan kali terakhir saya dengar penerangan Ustaz tentang ilmu Bisik Semak sepanjang Ustaz masih ada. Tiba-tiba timbul balik kisah Bisik Semak ketika pelantikan PA. Saya pun tak faham. Bisik Semak yang mana satu. Adakah Bisik Semak itu seperti mana yang dikatakan Ustaz. Kalau berdasarkan kefahaman yang diberi Ustaz, pemakaian ilmu itu boleh menyebabkan ramai ahli-ahli kita yang ‘terpeleut’ mulutnya. Tentu ramai yang kojol atau punah kekal. Tapi, elok saja semuanya. Cukupppp!. Jangan komen lagi. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: