RSS

50.2. KEFAHAMAN ILMU MEGAH DALAM SC.

05 Oct

Menyentuh tentang penurunan ilmu secara Petua dalam SC, ada ahli yang inginkan penjelasan lanjut berdasarkan pengalaman saya, tentang dua perkara. Pertamanya tentang petua yang ada dalam SC. Adakah petua itu milik kita secara mutlak. Maknanya orang lain tak ada, melainkan kita sahaja yang ada. Keduanya ialah tentang proses penyampaian petua oleh Guru yang saya alami berdasarkan pengalaman sendiri. Dalam persoalan ini, sekali lagi saya tegaskan. Lain padang maka lain belalangnya. Lain guru, maka lain pula caranya. Cuma, anggaplah penulisan saya ini semata-mata menceritakan pengalaman saya sendiri. Tak ada niat nak banding dengan orang-orang lain. Mungkin orang lain, berlainan pulak pengalamannya.

Berkenaan persoalan pertama, pada pandangan saya petua-petua yang ada dalam SC tidak semestinya kepunyaan kita secara mutlak. Seperti yang telah saya tegaskan terdahulu, silat adalah merupakan salah satu cabang budaya orang-orang Melayu. Samalah juga dengan Silat Cekak. Oleh itu, SC juga tidak terlepas daripada pengaruh budaya orang-orang Melayu seperti mana silat-silat Melayu lain yang ada dalam kalangan masyarakat kita. Hal yang demikian juga membawa makna bahawa Petua yang kita ada dan kita amalkan, mungkin ada juga pada amalan orang-orang lain yang berbangsa Melayu. Tidak kiralah salurannya sama ada melalui bidang persilatan atau tidak.

Dalam tulisan terdahulu juga, saya pernah menulis tentang pengalaman saya bersama guru-guru yang mengamal ilmu-ilmu luar biasa. Nampaknya, ada antara petua yang saya peroleh dalam pembelajaran SC menyerupai petua yang mereka ada dan mereka amalkan. Saya hanya menerima petua-petua mereka tanpa ada sebarang perbincangan. Ilmu yang saya peroleh dari Ustaz tetap menjadi kerahsiaan diri saya. Cuma, saya membuat perbandingan untuk diri saya sahaja. Dalam tulisan ini saya akan berikan beberapa contoh akan petua tersebut.

Salah satu petuanya ialah petua ‘mengeraskan tangan’. Saya peroleh petua itu daripada seorang guru silat yang terkemuka. Asas petuanya adalah sama. Cuma, pembelajaran petua kita tidak meletakkan syarat dengan bacaan ayat-ayat tertentu. Sebaliknya, guru berkenaan meletakkan syarat kemenjadian ilmu itu secara perlu disertai dengan bacaan selawat. Bacaan pada kata-kata pelakuan tangan adalah sama. Nampaknya, perbuatan petua berkenaan adalah sama dengan apa yang saya peroleh dari Ustaz. Begitu juga petua senaman berdasarkan empat anasir. Senaman berkenaan juga turut diamalkan oleh kebanyakan mereka. Langsung tak ada kerahsiaan. Malah sangat diberi perhatian sebelum memulakan latihan.

Walau bagaimanapun, saya amat tertarik dengan petua kita melakukan serangan. Nampaknya, serangan yang sedemikian bukanlah asing dalam kalangan masyarakat kita sejak berzaman lagi. Masa saya remaja lagi, pernah mendengar konsep ‘calit kapur’ dalam kalangan masyarakat kita. Konsep itu, antara lain menerangkan tentang badan seseorang yang dicalit dengan kapur. Mungkin kapur sirih agaknya. Di tempat itulah akan dilakukan serangan. Buatlah apa saja perbuatan sama ada secara menepis atau secara mengelak. Tempat yang dicalit itu akan menjadi sasaran. Pasti mengena. Cuma, ketika itu saya hanya pernah mendengar kata-kata yang diucapkan tapi tidak melihat akan kenyataannya. Hinggalah apabila ada pelajaran serang dalam SC maka barulah faham akan maksud ‘calit kapur’ berkenaan, jika hendak dibuat perbandingan dan kiasan pada konsep tersebut.

Ustaz pernah memberitahu saya tentang petua ketepatan menyerang yang telah diprtaktikkan sebegitu lama. Menurut Ustaz, cara serangan itu telah wujud dalam masyarakat Melayu, lama-lama dulu. Ustaz menunjukkan sebuah buku prosa klasik bertajuk Hikayat Malim Deman kepada saya dan membuka halaman yang berkaitan. Terdapat peristiwa pergaduhan antara Tuanku Malim Deman dengan Raja Mambang Molek. Dalam pergaduhan itu terdapat dialog Tuanku Malim Deman terhadap Raja Mambang Molek.

“Hai Raja Mambang Molek, ingat-ingat, inilah gayung anak piatu, jikalau disambut kena dua, jikalau tiada disambut kena satu.”

Menurut Ustaz, prinsip tumbuk serang yang kita amalkan bukanlah sesuatu yang baru. Masyarakat dulu kala pun telah lama mempraktikkannya. Kita patut berbangga kerana masih memiliki kaedah serangan secara berkenaan.

Walaupun gayung dalam pergaduhan itu merujuk pada tongkat yang dipakai sebagai senjata untuk pukulan, konsepnya sama dengen serangan penumbuk kita. Serangan berkenaan memberi isyarat bahawa kesan berganda akan diterima jika pihak lawan cuba menepis atau cuba menangkap. Namun begitu, jika gagal ditepis atau disambut atau ditangkap, serangan itu akan terus mengena dan tetap mendatangkan kemudaratan. Serangan itu juga memberi makna akan keberkesanannya mematikan gerak lawan dengan sekali tumbukan.

Kita tak ada sebarang kajian untuk menjelaskan sejauh mana ilmu serangan secara berkenaan sedang diamalkan oleh persilatan lain. Namun, pada saya selagi pergerakan silat mereka berasaskan tapak tiga ke atas, pastinya serangan berkenaan tidak mereka miliki. Pergerakan tapak-tapak berkenaan tetap memerlukan pergerakan mengelak atau menggelek. Apapun kenyataannya, kuasailah ilmu serangan itu dengan mantap dan secara serius. Ketika melakukannya, buatlah dengan bersungguh-sungguh. Itulah salah satu keistimewaan gerak yang masih ada pada kita. Galakkan diri atau latihkan diri supaya gerak kita seolah-olah tidak mempunyai sifat tolak ansur apabila bertindak melakukan serangan. Jangan cuba ambil hati lawan. Tabik dalu baru serang.Banyak ruginya di kemudian hari.

Saya dapat lihat dewasa ini, kepentingan menurunkan petua dalam kalangan ahli amat dititikberatkan. Buktinya, kita sering mengadakan majlis-majlis petua dalam kalangan ahli-ahli yang telah tamat. Proses menurunkan petua telah dijadikan sebagai satu majlis rasmi. Saya nampak bertapa majlis berkenaan adalah merupakan satu keperluan dalam keadaan masa yang terhad dan bilangan pusat-pusat latihan yang begitu luas sekali.

Pastinya pengalaman saya agak berbeza dengan keadaan sekarang. Masa saya, proses penurunan petua adalah secara berterusan dari masa ke masa. Tak ada majlis khas untuk menurunkan petua. Cuma, yang mestinya, selepas ijazah pertama, Ustaz akan menurunkan petua mempercepatkan gerak tangan dan petua sepakan kaki. Seterusnya, apabila ijazah penamat, Ustaz akan menurunkan petua sasaran ‘pukulan sejengkal’. Sepanjang pengalaman saya bersama Ustaz, itulah petua yang formal diturunkan kepada ahli-ahli yang mempelajari SC dalam dua masa ijazah yang berbeza. Semua ahli akan memperoleh petua berkenaan. Petua-petua lain yang tidak bersangkutan dengan pelajaran adalah berdasarkan ‘habuan’ masing-masing.

Ketika proses penurunan ilmu dari ijazah pertama hingga ijazah penamat, petua-petua akan diturunkan dari masa ke masa oleh Guru Utama sahaja. Kita tafsirkan situasi menerima petua-petua itu sebagai mengikut nasib atau ikut habuan. Perlu strategi bagi mendapatkannya. Kalau ada habuan maka dapatlah pada ahli berkenaan. Berbeza dengan petua pada ijazah pertama dan ijazah penamat berkenaan. Semua ahli akan dapat. Bersambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 05/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: