RSS

50.1. KEFAHAMAN ILMU MEGAH DALAM SC.

01 Oct

Saya telah menulis dalam belasan keluaran bagi memenuhi permintaan tentang pengalaman saya menuntut ilmu daripada guru-guru silat secara umumnya termasuk dari Guru Utama SC. Penulisan itu hanyalah buat pengetahuan pembaca sahaja. Lain padang maka lain belalangnya. Lain guru, maka lain pula caranya. Seperti yang saya tegaskan terdahulu, tidak perlulah kita membanding-bandingkan kaedah atau cara setiap guru itu menurunkan ilmunya. Banyak buruk dari baiknya. Terimalah seadanya; sama ada sebagai sempadan atau sebagai pengajaran.

Selalu saya tegaskan bahawa pengertian kebatinan dalam SC adalah tidak sama dengan kebiasaan kefahaman yang ada dalam kalangan persilatan Melayu. Mungkin kita selalu ditanya ketika kempen mencari ahli baru, “Adakah wujud ilmu batin dalam SC”. Susah dijawab. Kalau ditanya saya, susah juga nak menjawabnya. Sebabnya ialah kita perlu menerangkan makna batin itu terlebih dahulu berdasarkan kefahaman yang ada dalam SC.

Ustaz sentiasa menyarankan supaya kita berhati-hati ketika mempelajari ilmu-ilmu yang luar biasa dalam masyarakat Melayu. Setelah saya terlibat dengan pengalaman mendapatkan ilmu-ilmu megah yang ada dalam kalangan guru-guru masyarakat kita, maka fahamlah saya akan apa yang dikatakan Ustaz. Berdasarkan pengalaman saya itu, dapat disimpulkan bahawa ilmu yang ada dalam kalangan ‘guru-guru batin’ tersebut, secara amnya terbahagi kepada tiga kumpulan. Yang pertamanya ialah berkaitan dengan penggunaan jin. Jin-jin yang digunakan adalah dalam pelbagai cara. Cara-cara tersebut melibatkan jin-jin yang masuk menyerap dalam badan atau dengan cara berkata-kata secara langsung atau secara bersemuka atau secara bisikan di telinga orang yang berhubung tersebut. Hubungan sesama mereka, hanya mereka yang faham.

Seperti yang pernah saya ceritakan, jin-jin yang menyerap masuk dalam badan manusia akan mempengaruhi orang yang diserapnya. Maka bertukar sifatlah orang itu terutama dari segi suara dan bahasa percakapannya. Biasanya bahasa yang digunakan ialah bahasa Indonesia atau bahasa asli atau bahasa Siam. Pada hemat saya, bahasa tersebut bergantung erat pada kebolehan pertuturan orang berkenaan yang menyeru kehadiran jin. Kita boleh buat kajian agaknya. Mereka yang berminat dengan ilmu menyerap jin tersebut eloklah diajar berbahasa Inggeris. Saya yakin, tatkala jin telah masuk dalam dirinya, maka bahasa yang dituturkan pastinya dalam bahasa Inggeris.

Kumpulan kedua ilmu megah berkenaan adalah berkaitan dengan tipu daya untuk maksud kemenjadian. Saya telah menyentuh pelbagai cara yang mereka lakukan untuk menipu kepercayaan masyarakat. Mereka yang tidak mengkaji dan mudah berasa kagum, akan mudah tertipu. Penggunaan ayat-ayat Al-Quran adalah semata-mata untuk mengkaburi perhatian penuntut. Tak payah baca ayatpun jadi. Cuma, mereka memerlukan kemahiran membuat tipu daya tersebut supaya tidak mudah dikesan penonton.

Kumpulan ketiga tentang bentuk ilmu-ilmu megah yang ada dalam kalangan masyarakat kita ialah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan petua. Kaedah ini sering digunakan oleh pelbagai lapisan perguruan yang ada termasuk orang-orang tua yang berpengalaman dalam satu-satu lapangan. Nampaknya, SC pun tidak terkecuali dalam aspek memberi petua. Cuba kita bincang serba sedikit tentang bentuk petua yang ada dalam SC.

Istilah petua adalah merujuk pada nasihat atau panduan yang baik dan amat berguna. Biasanya, nasihat dan petunjuk itu diperturunkan oleh orang tua-tua atau orang yang berpengalaman dan bijak pandai dalam satu-satu bidang yang tertentu. Petua-petua itu adalah berkisar tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu itu dengan cara yang berkesan. Kalau dibandingkan dengan fakwa dalam ajaran agama kita, peranan petua memberi makna dalam konteks amalan adat budaya bangsa kita. Dalam semua bidang, ada petuanya. Maka dalam bidang persilatan juga ada petuanya.

Kalaulah petua itu merupakan satu bentuk nasihat atau petunjuk atau panduan, maka kemenjadian atau keberkesanannya adalah berasas. Tak perlulah ada amalan-amalan ayat berkali-kali dalam setiap hari. Fahamilah bentuk nasihat atau panduan tersebut. Beri keyakinan dan praktiskan secara berulang-ulang petua itu dengan penuh kesabaran. Kita perlu yakin bahawa petua yang diberi adalah atas pengalaman si pemberi yang amat ‘menjadi’.

Dalam SC, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehebatan dan keluarbiasaan kita adalah lebih banyak berasaskan pada petua. Malah, dapat disimpulkan bahawa SC mempunyai lebih banyak ‘ilmu hebat’nya yang berkaitan dengan petua. Sepanjang pengalaman saya dalam SC, tidak ada langsung ilmu yang diajar pada anak murid SC berkaitan dengan jin atau ilmu-ilmu yang berbentuk tipu daya, melainkan banyaknya yang bersifat petua. Oleh itu, selalu saya katakan bahawa kita yang berada dalam SC adalah terselamat dari unsur-unsur perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Ada petua dalam SC yang memerlukan kefahaman dan latihan yang berterusan. Cara kita menumbuk ada petuanya. Cara kita mencapai sasaran penumbuk, ada petuanya. Tak payah baca-baca ayat sebagai maksud amalan kemenjadiannya. Hinggakan, pada mereka yang benar-benar menguasai gerak penumbuk SC maka penumbuknya pun boleh jadi tak nampak. Tak payah amal apa-apa ayat. Cuma, apa yang perlu ada pada kita ialah latihan, keyakinan dan kesabaran sebagai acuannya.

Dalam SC, pernah saya bersua dengan ahli yang bersifat demikian. Serangan penumbuknya sukar di kesan. Macam peluru berpandu. Buatlah apa saja jenis buah. Tak sempat buat, habis dimakannya. Kalau nak jadikan cerita, pastinya sifat sedemikian boleh dihubungkan dengan amalan ayat. Sesaja nak hebatkan diri. Tapi, tidak sedemikian dalam SC. Kehebatan gerak itu ada puncanya. Segala-galanya berpunca dari petua yang diberi oleh guru.

Pengamal SC yang hebat mempunyai sifat tangan yang keras. Kalau bertemu dengan tangan lawan, adatnya mustahil bengkak. Biru, mungkin ada. Ada petuanya menjadikan tangan kita keras umpama anu ketika nak. Kalau keadaan biasa, tangan kita lembut seadanya. Tak sama seperti tukang pemecah bata. Tangan keras sepanjang masa. Kalau keras sepanjang masa, maka mana ada syoknya. Masa dulu, petua tersebut selalunya diperturunkan pada Jurulatih. Kalau tidak, mana tahan bertemu penumbuk beratus-ratus kali dalam sehari.

Orang-orang dulu amat mementingkan saat dan ketika untuk keluar rumah. Ada hari-hari tertentu yang menjadi pilihan untuk berbuat demikian. Ada baca-bacanya pula. Namun begitu dalam SC, kita ada petua tertentu yang membolehkan kita mengelak diri dari bergantung pada hari-hari tertentu. Petua langkah selamat atau bumi selamat menyarankan kita melangkah dengan cara yang tertentu. Carilah saat dan ketika untuk melangkah. Saat dan ketika itu dihubungkan dengan saat dan ketika manusia ‘tak akan mati’. Mudah sahaja. Menurut Ustaz, ada kalangan guru ‘batin’ yang sengaja mengenakan syarat yang ketat bagi mendapatkan ilmu berkenaan. Termasuk syaratnya yang tidak boleh bertemu guru yang menurunkan ilmu itu dalam masa tujuh hari. Sengaja ditimbulkan syarat demikian bagi menunjukkian kehebatan ilmu demikian. Namun begitu, petua yang ada dalam SC adalah mudah dilakukan. Tak berbelit-belit. Beri keyakinan pada petua berkenaan dan kemudiannya berserahlah pada Allah. Kalau menjadi adalah kehendak Allah. Kalau tak menjadipun adalah kehendak Allah. Usaha adalah hak kita berbuat demikian. Kemenjadiannya bukan hak kita.

Saya pernah ceritakan dalam tulisan terdahulu tentang cara memecah buah keras. Pada seorang guru, ada syarat bacaan dan amalan ayatnya. Tapi, pada guru yang lain, semuanya diasaskan pada petua. Sekeras-keras buah keras, ada tempat lembutnya. Cuma, carilah tempat tersebut. Itulah petuanya.

Amalan mandi selama empat puluh hari secara berturut-turut, ada maknanya. Sambil kita mandi, kita perlu menggosokkan badan kita. Saya pernah ceritakan dalam tulisan yang terdahulu tentang kesan petua yang memerlukan kita menggosokkan badan. Pernah seorang ahli kita yang hebat dalam bidang kedoktoran memberikan ceramah dalam satu perhimpunan para Jurulatih SC seluruh negara. “Beliau sangat berminat dengan Al-Quran sebagai bahan buat sumpahan”.

Menurutnya, apabila kita menggosok-gosok badan secara berulang-ulang, kuasa magnet yang ada di tapak tangan akan membentuk satu lapisan yang kita tak nampak pada tubuh badan kita. Lapisan itulah yang membolehkan kita merasai akan serangan lawan dan membolehkan kita membuat tepisan apabila penumbuk lawan tersentuh di badan. Tersentuh di sini bermakna serangan penumbuk itu menyentuh lapisan yang terbentuk sebelum menyentuh kulit di badan. Kalau difikirkan secara logik, jika perbuatan menggosokkan badan dilakukan secara berulang-ulang dan secara berterusan selama empat puluh hari, akan lebih nampak keberkesanannya. Petua yang sedemikian mudah diamalkan. Cuma, buat saja dan jangan banyak persoalannya. Guru yang menurunkan petua berkenaan ada banyak pengalaman akan kemenjadiannya. Sukar diceritakan melainkan rasa sendiri.

Apa pun, setiap perbuatan itu hendaklah dibuat secara berterusan. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Sama juga kalau nak ‘diet’ pun, ada petuanya. Amalkan perancangan pemakanan secara berterusan. Kalau berhenti satu hari dan makan dari pagi hingga ke malam, akan merosakkan perancangan untuk ‘diet’ pada hari berikutnya. Dalam masyarakat Melayu, angka empat puluh adalah merupakan satu kayu ukur bagi maksud kematangan perbuatan.

Belum lagi kita bercakap tentang petua ilmu perkasakan ‘awang’. Kalau nak tahu kemenjadiannya, pasti ada ngaumannya. Macam kucing yang sedang berjuang. Agaknya. Tak payah makan ubat. Segala-galanya berasaskan petua. Itulah hebatnya pelajaran yang ada dalam SC. Dua campur dua, pasti empat. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 01/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: