RSS

50.0. KEFAHAMAN ILMU MEGAH DALAM SC.

01 Oct

Ekoran penulisan saya tentang ilmu kebatinan dalam kalangan masyarakat Melayu, ada yang ingin mendapatkan penjelasan tentang ilmu-ilmu megah atau ilmu luar biasa yang ada dalam SC. Oleh itu, dalam tulisan ini saya akan cuba membincangkan hal yang berkenaan dari sudut pandangan saya sendiri. Tentunya penjelasan itu bersandarkan pengalaman saya sepanjang berada dalam SC.

Seperti yang saya katakan terdahulu, secara umumnya terdapat dua perkara utama pembelajaran ilmu yang ada dalam SC. Pertamanya ialah berkaitan dengan kemahiran dua tangan dan dua kaki. Keduanya ialah berkaitan pelbagai kefahaman berdasarkan pemikiran. Kemahiran berkaitan pergerakan tangan dan kaki adalah jelas. Manakala kefahaman yang mempengaruhi pemikiran adalah sangat luas dan bercabang. Kefahaman itu boleh menjadi pegangan atau prinsip hidup kita. SC juga mempunyai kefahamannya yang tersendiri tentang hal-hal yang berkaitan dengan ilmu-ilmu luar biasa. Konsep kebatinan yang wujud dalam kefahaman SC adalah jauh berbeza dengan apa yang mungkin diifahami oleh masyarakat umum dalam persilatan yang ada.

Tatkala saya memulakan latihan SC buat pertama kalinya, ternyata bentuk pembelajarannya amat berlainan. Berdasarkan pengalaman saya bersilat sebelum ini, dapat dirasakan perbezaan tersebut. Ada silat yang memerlukan pembacaan ayat-ayat tertentu sebelum berdoa untuk keselamatan diri ketika bersilat. Ada satu silat yang saya sertai, memerlukan kami meminta keizinan dari ‘sesuatu’ terlebih dahulu sebelum memulakan latihan,”…..langit bapaku, bumi ibuku…izinkan aku bersilat dengan berkat kata….”. Banyak perkara lain yang tak perlu disentuh. Hal yang demikian meliputi upacara membuka gelanggang dan penamat silat.

Biasanya, upacara yang sering dilakukan dalam persilatan lain, adalah asing dalam pembelajaran SC. Ustaz bersifat tegas dalam hal yang demikian. Itu sebabnya kita tidak hairan apabila perjuangan menentang tahyul dan kurafat telah menjadi salah satu matlamat persilatan kita. Ustaz tahu akan apa yang dilakukannya. Itu tugas guru untuk membawa hala tuju persatuan dan persilatan. Ingat. Tugas kita hanya mengembangkan SC. Jangan ambil tugas guru.

Kita ada beberapa upacara tertentu yang berkaitan dengan persilatan. Semasa saya belajar dulu, boleh dikatakan tak ada langsung persoalan pada upacara-upacara tersebut. Semua ahli hanya berminat untuk mempelajari SC. Mempelajari SC bermakna mengikut semua arahan yang berkaitan dengan pembelajarannya. Saya rasa, ketika SC berkembang pesat dalam kalangan penuntut-penuntut pengajian tinggi maka bermulalah medan perbahasan dan persoalan dalam kalangan ahli kita mengenai upacara-upacara tersebut. Kalau bersetuju, bolehlah dibincang akan punca-puncanya.

Mungkin pada pendapat saya, persoalan yang timbul adalah akibat dua keadaan. Pertamanya kerana penjelasan ahli-ahli SC sendiri yang boleh menimbulkan perbahasan. Tak kiralah sama ada dari Penyelia Kelas atau Jurulatih atau ahli-ahli yang telah tamat. Ada yang menambah-nambah akan sebab-sebab pengamalan sesuatu upacara dalam SC. Itu sebabnya kita perlu berhati-hati ketika menjelaskan prinsip satu-satu upacara yang ada dalam SC. Satu lagi kemungkinan timbulnya persoalan itu adalah sifat yang sengaja untuk mencari-cari persoalan untuk maksud perbahasan atau perbincangan.

Saya ambil satu contoh perbincangan iaitu tentang penggunaan kain putih. Pelbagai persoalan telah ditimbulkan. Kadang-kadang, kita pun tak terfikir tentang persoalan tersebut. Misalnya, ada yang mempersoalkan tentang pengunaan warna kain putih. Kenapa kain putih. Kenapa mesti tidur tiga hari atasnya. Apabila ada kalangan ahli yang menceritakan kelebihan kain putih, lagi banyak persoalan timbul. Saya pernah dengar betapa kain putih dikatakan dapat menghalau jin, dapat membantu kita mengatasi masalah kenderaan yang tergendala dengan cara melibas kain putih pada kereta berkenaan. Malah dikatakan apabila dilibas kain putih pada kereta, kita akan peroleh kebolehan luar biasa. Kereta yang terjatuh, boleh terangkat. Kereta yang kehabisan minyak boleh bergerak dan pelbagai dakwaan lagi. Itulah dakwaan mereka.

Pada hal, penggunaan kain putih itu adalah berkaitan dengan adat istiadat yang ada dalam persilatan yang merupakan cabang budaya bangsa Melayu. Penggunaan kain putih ada kaitan dengan warna putih. Putih melambangkan kebersihan dan kesucian. Kalau satu masa nanti warna kuning dianggap sedemikian, tidak hairanlah kain kuning akan digunakan sebagai adat istiadat persilatan. Bunyikan loceng. Lagi hebat. Kita menetapkan bilangan tiga kerana ada kaitan dengan kebiasaan kita mengulangi perbuatan sebanyak tiga kali.

Sepanjang penglibatan dalam SC, saya tidak ada langsung pengalaman merasai kelebihan kain putih sebagai satu kuasa membantu. Melainkan kain putih itu boleh digunakan sebagai penguat semangat sahaja. Teman dalam keadaan sesak. Jadinya belum tentu. Ustaz pun tak pernah memberitahu betapa kain putih itu berperanan untuk mengeluarkan jin dari diri seseorang. Kalau terjadipun, semuanya adalah secara kebetulan sahaja.

Begitu juga dengan upacara memilih bahagian ayam. Mereka mempersoalkan tentang kaitan permilihan bahagian ayam dengan pelakuan murid selepasnya. Pada saya, tidak ada perkaitan pun antara pemilihan bahagian-bahgian ayam dengan pelakuan penuntut berkenaan sama ada ketika itu atau selepasnya. Menulis apa yang dipilih oleh penuntut, saya kira hanya buat ‘aksyen’ sahaja. Tak pernah pun dijadikan bahan bukti atau bahan rujukan. Kalau penting, tentunya ada kenyataan pada para penentang Guru Utama yang menghubungkaitkan diri mereka dengan bahagian ayam yang pernah dipilih semasa upacara penamat.

Ustaz pernah memberitahu saya bahawa dulunya, pemilihan ayam adalah di awal ijazah pertama. Hal yang demikian adalah merupakan hak guru untuk mengenali perangai atau perwatakan setiap anak muridnya. Pemilihan bahagian-bahagian ayam itu hanya panduan atau isyarat pada guru untuk mengetahui perangai atau perwatakan muridnya. Kalau hanya sebagai panduan, kemenjadiannya adalah belum tentu. Allah yang lebih berkuasa atas setiap sesuatu. Dari sudut ini, hal yang demikian bukanlah sesuatu yang pelik. Kita juga boleh mentafsir pelakuan atau perwatakan seseorang melalui cara bercakap, cara duduk atau air muka yang ditunjukkan. Gerak hati kita akan membuat kesimpulan. Walau bagaimanapun, kebenarannya masih belum tentu.

Ustaz tidak bergantung pada pemilihan bahagian ayam itu untuk menentukan perwatakan muridnya. Oleh sebab upacara itu adalah merupakan adat istiadat persilatan dan tidak bertentangan dengan agama, amalannya diteruskan. Namun begitu, menurut Ustaz, pemilihan bahagian ayam itu diletakkan di bahagian akhir pembelajaran. Mereka yang benar-benar berminat dengan SC akan tetap berterusan berada dalam perjuangan SC. Mereka yang hangat-hangat tahi ayam, akan tetap mengundurkan diri di pertengahan jalan. Tak payah rujuk-rujuk akan sifat mereka pada pemilihan bahagian ayam.

Dulu, saya pilih hati dan dada. Pada saya, dada melambangkan kecekalan dan hati melambangkan petautan pada persilatan. Saya masih kekal. Tapi ada juga sahabat-sahabat saya yang memilih bahagian berkenaan, ghaib langsung dari bidang persilatan. Begitu juga dengan pemilihan tengkok atau kepala ayam. Macam-macam tafsiran. Perkara pastinya, mereka yang berlainan orang tapi memilih bahagian ayam yang sama, sifat mereka adalah berlainan. Itulah kenyataannya. Oleh itu, upacara pemilihan bahagian ayam dalam SC, tidak perlu dijadikan bahan perbahasan.

Mandi selama empat puluh hari secara berturut-turut juga menimbulkan persoalan pada mereka. Kenapa mesti empat puluh hari. Lebih teruk lagi apabila kita menggunakan istilah batal mandi apabila gagal membuat mandian secara berturutan. Lagi hebat persoalan yang ditimbulkan. Terpaksalah kita membuat penjelasan secara berhati-hati. Bacaan yang ada, lebih merujuk pada kaedah doa supaya kita berada dalam keadaan selamat. Penggunaan angka empat puluh hari dalam masyarakat kita adalah merujuk pada kematangan dan keperluan beralih dalam satu-satu peringkat.

Saya pun tak faham mana datangnya istilah batal. Apa yang dikata guru ialah keperluan mengulang perbuatan mandi berkenaan jika gagal berbuat secara turutan. Hal yang demikian ada logiknya. Itulah salah satu cara untuk menunjukkan kesungguhan. Lagipun, apalah salahnya mandi dengan kain putih selama empat puluh hari berturut-turut. Sekurang-kurangnya dapat mengajar atau mendidik kita berpakaian ‘kain basah’ ketika mandi. Tidaklah mandi secara bebogel. Tak sedap pun mata memandang.

Kesimpulannya ialah dalam SC kita juga ada upacara-upacara tertentu yang boleh dianggap luar dari kebiasaan amalan sesetengah penuntut. Namun begitu, upacara berkenaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ustaz Hanafi yang merupakan pengasas dan pemimpin agung SC, telah menapis bersih semua amalan tahyul dan kurafat daripada bertapak dalam persilatan SC. Dalam hal ini, kita perlu memberi kepercayaan dan keyakinan atas usaha Ustaz mengembangkan ilmu SC yang bersih dari segala hal yang bertentangan dengan agama. Bersambung.

Gambar berikut adalah merupakan majlis ijazah yang pernah diadakan atas kain putih. Macam-macam kisah lucu yang sengaja diada-adakan. Ada yang mendakwa ‘tak tahan daulat’ . Pernah berlaku kata seorang ahli, semasa tidur keseorangan atas kain berkenaan, datang lembaga yang menjelma. Langsung berhenti dari meneruskan tidur atas kain berkenaan. Tapi apabila kembali semula tidur bersama isteri, elok ‘soh’ tidurnya hingga ke pagi. Tak ada yang menganggu. Tapi ada sikit letih. Bukan lembaga hantu yang datang. Isteri yang datang kerana tak tahan. Itulah pelbagai alasan yang boleh diberi kalau hati tak berserta dengan perbuatan yang dilakukan.

20121001-084724.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 01/10/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: