RSS

49.0. PAKAR SILAT CEKAK.

27 Sep

Saya diminta pandangan tentang dakwaan ahli-ahli yang menganggap dirinya pakar dalam SC. Menarik juga persoalan tersebut. Dalam tulisan saya kali ini, saya ingin memberi pendapat tentang persoalan tersebut berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya sepanjang berada dalam SC zaman Ustaz. Setakat pengetahuan saya. Saya selalu menggunakan ayat berkenaan untuk merujuk pada kesimpulan saya dan pandangan saya. Jangan sensitif atau sakit hati.

Orang yang bergelar pakar ialah orang yang ahli dalam satu-satu ilmu. Istilah ‘ahli’ membawa makna sebagai orang yang amat mahir atau amat pandai. Jarang sangat diri sendiri yang mengatakan pakar. Kecualilah orang yang menjual ubat yang selalu mengaku dirinya pakar dalam mengubati penyakit berkenaan. Baru ramai orang membeli ubat yang dijual. Kepakaran itu perlu dibuktikan dengan perbuatan. Dalam hal ini, perbuatan penjual ubat ialah cara bercakap atau cara penyampaiannya yang amat menyakinkan. Jadi belum tahu.

Sepanjang saya berada di zaman Ustaz, tak ada sesiapapun yang menggelar dirinya pakar dalam SC atau diberi gelaran pakar oleh sesiapapun. Maknanya gelaran pakar itu tersangat asing dari segi penggunaannya dalam kalangan ahli SC. Istilah yang sering dipakai untuk merujuk pada kehebatan seseorang ahli dalam gerak SC ialah terer. Istilah bahasa Inggeris yang dimelayukan. Istilah ‘terror’ merujuk pada kehebatan seseorang. Geraknya hebat dan menggerunkan mata memandang.

Sepanjang kegiatan saya dalam SC dulunya, ada beberapa nama yang selalu dianggap terer. Ada pasangan pisau yang hebat. Di mana-mana pertunjukan SC, merekalah yang kontraknya. Walaupun ada pasangan lain yang juga hebat, ‘glamornya’ tak sama dengan pasangan tersebut. Pernah dalam satu pertunjukan, salah seorang pasangan itu semacam hilang ingatan akibat pukulan Paras. Kehebatannya menamatkan persembahan atas gerak yang berkenaan adalah sangat dikagumi. Namun begitu, saya tidak pernah mendengar sesiapapun yang mengiktiraf mereka sebagai pakar.

Ada seorang Jurulatih yang hebat menggunakan tumbuk serangnya. Geraklah ke arah mana sekalipun. Pasti serangannya mengena dengan ‘berbisa’. Mereka yang kena pasti akan menjerit. Jika ada majlis penamat, kedatangannya amat dinanti-nantikan. Beliau akan terus ke medan serang apabila dipelawa. Kehebatannya menggunakan tumbukan serang adalah sangat berkesan ketika lawannya membuat buah. Buatlah apa jenis buahpun. Tak menjadi buah itu akibat serangannya. Tak payah potong-potong. Sekali serang, habis cerita. Tak teragak-agak seperti mana yang berlaku dalam kalangan Jurulatih biasa. Namun begitu, saya tidak pernah mendengar sesiapapun yang menganggapnya sebagai pakar tumbuk serang.

Begitu juga ada seorang yang hebat mematikan gerak lawan secara kaedah ketika menyerang. Berbeza dengan rakan yang menyerang dengan tumbukan serang seperti yang saya terangkan di atas. Serangannya pada gerak umum yang dilakukan lawan dapat dimatikan dengan kaedah yang ada dalam sistem SC. Buatlah apa buah sekalipun. Dia akan dapat memintas dengan kaedah yang amat ‘cantik’ kerana dapat dilihat sistem memotong buah. Macam buah potong jadinya. Pada ketika itu, tak ada sesipapun yang berani menganggap orang itu bersifat pakar dalam satu-satu bahagian dalam pelajaran SC. Malah, orang yang berkenaanpun tidak akan menganggap dirinya sebagai pakar dalam ‘permainan’ tersebut.

Terkenang saya pada satu program pertunjukan SC anjuran cawangan Pulau Pinang. Ustaz ada hadir bersama. Kumpulan pertunjukan adalah terdiri dari ahli-ahli cawangan saya. Namun begitu, untuk pertunjukan parang lading, pihak penganjur telah menjemput satu pasangan dari Kuala Lumpur yang dikira hebat. Sebagai pengurus pasukan, saya ada bersama mereka di belakang pentas ketika ahli-ahli cawangan saya membuat persembahan. Terdengar kata-kata perbincangan mereka untuk membuat persembahan lading tanpa membalut mata lading berkenaan. Lading digunakan oleh seorang ahli yang saya gambarkan dalam tulisan sebelum ini, bersama minum teh dengan orang yang berkerusi roda.

Nak jadi cerita, ketika persembahan, orang yang memegang lading tersebut boleh ‘terkena’ mata ladingnya. Ketika tangan kirinya yang memegang lading membuat gerakan memintas gerak lawan, tangan kanannya yang terkena hirisan. Habis tangan berdarah. Persembahan tetap diteruskan. Kebetulan di penghujung persembahan. Nasib baik. Kalau tidak malu juga SC. Kami juga berasa hairan macam mana boleh kena. Tak masuk akal. Kalau si penyerang yang kena, mungkin tak menghairankan. Sebaliknya diri yang memegang lading itu yang terkena. Saya masih ingat kata-kata ahli lama yang sangat dihormati ketika itu dari Bukit Mertajam yang turut sama menyaksikan persembahan. Antara lain ingatan pada kata-katanya, “Tu la! kalau nak tunjuk lagak, padah jadinya.”

Pada kesimpulan saya, ketika itu kefahaman yang ada dalam SC menyebabkan seseorang itu berhati-hati ketika bercakap sesuatu yang berkaitan dengan kebolehan diri. Kami diyakinkan bahawa “silat itu adalah gerak. Yang bagi gerak ialah Yang Empunya gerak”. Kefahaman itu membawa makna bahawa ahli-ahli SC tidak boleh berbangga dengan kebolehannya. Jangan sesekali besifat sombong atau bersifat ujub atas kebolehan diri yang ada. Sekelip mata kehebatan itu akan beralih sifat jika Allah kehendaki. Itulah pegangan ahli yang faham tentang kefahaman yang ada dalam SC. Oleh itu, sepanjang ingatan saya, tidak ada siapapun yang menganggap dirinya pakar atau hebat. Dan tidak ada ahli pun yang cuba menganggap ahli lain sebagai pakar atau tersangat hebat.

Dalam amalan biasa, pakar adalah merupakan satu gelaran berbentuk anugerah. Mungkin dalam konteks silat, anugerah itu adalah secara rasmi datangnya dari guru tertinggi atau gelaran itu dari satu badan khas yang ditubuhkan untuk memberi pengiktirafan tersebut. Dalam SC tak adapun. Sepanjang ingatan saya, Ustaz tak pernah menggelarkan seseorang anak muridnya sebagai pakar. Tak adapun badan khas dalam SC yang bertujuan memberi pengiktirafan pakar pada seseorang ahli.

Seperti yang saya katakan dalam tulisan terdahulu, “Mana ada ahli yang boleh mendakwa dirinya pakar dalam SC. Hal yang demikian kerana SC telah ada ‘formula’ pelajarannya. Penguasaan dan kesebatian pada formula itu akan menjadikan kehebatan seseorang itu dalam persilatan SC. Keputusan silat sesama ahli yang menguasai pelajaran SC ialah ‘draw’. Semuanya pakar. Semuanya mahir. Syaratnya ialah penguasaan isi pelajarannya”.

Formula yang saya maksudkan ada dalam SC adalah merupakan sistem-sistem yang terbentuk pada turutan isi pelajarannya. Setiap formula itu ada falsafahnya, ada konsepnya dan ada prinsipnya. Saya telah sentuh hal yang demikian secara panjang lebar dalam blog sepakminang. Untuk menghadapi serangan atau penumbuk lawan, ada sistemnya. Membuat buah jatuh, ada sistemnya. Memotong dan menyerang ada sistemnya. Semua sistem itu boleh diajar dan boleh dikuasai jika bersungguh hati. Penguasaan sistem-sistem itu adalah perlu bagi menghebatkan diri sebagai seorang pengamal SC.

Dari segi adat dan kebiasaannya, penguasaan kesemua sistem yang ada dalam SC itu menyebabkan kebolehan seseorang ahli SC itu adalah sama rata, sama terer dan sama hebatnya. Pelajaran ‘enam tolak enam’ membuktikan kesamarataan akan kebolehan tersebut. Maknanya dari segi pelajaran, semuanya akan berkesudahan dengan tak kalah dan tak menang. Oleh itu tak ada yang pakar dalam ukuran sesama ahli.

Dalam SC, kita hanya ada istilah Jurulatih. Juru adalah merujuk pada orang yang mempunyai keahliah dalam satu-satu bidang. Dalam persilatan SC, konsep Jurulatih itu membawa makna dia ada pengetahuan mendalam tentang segala selok belok isi pelajaran SC. Oleh itu, seseorang yang telah dilantik sebagai Jurulatih bermakna juga, dirinya ada kemahiran dalam SC. Atas kemahiran itulah dia diamanahkan untuk menyampaikan isi pelajaran. Maknanya juga pengetahuan yang mendalam tentang isi pelajaran SC mesti disertai dengan kebolehannya menunjuk ajar atau menyampaikan ilmu SC secara lisan dan secara praktis kepada para penuntutnya. Di samping itu seorang Jurulatih itu juga perlu berkebolehan untuk membangunkan kemahiran anak didiknya supaya menjadi seorang penuntut yang dapat menguasai semua pelajaran SC di akhir pembelajaran.

Sepanjang pengetahuan saya, jika seseorang itu berkebolehan dalam pelajaran tapi gagal dari aspek penyampaian, dia tidak akan dilantik sebagai jurulatih. Hal yang demikianlah yang sering berlaku di zaman Ustaz. Saya tak nak sebut nama-nama mereka yang berkenaan. Mereka hebat bersilat. Tapi tidak ada kebolehan untuk menyampaikan isi pelajaran SC kepada orang lain. Maknanya pelajaran SC hanya untuk pakaian dirinya sahaja. Ada juga yang hebat bersilat tapi sangat suka menumpukan perhatian dalam penyampaian. Sangat mahir bercakap. Kalau latihan dua jam, satu jam berlatih silat dan satu jam asyik bercakap. Masih boleh lagi dilantik sebagai seorang Jurulatih ketika zaman Ustaz.

Setakat pengalaman dan pengetahuan saya yang ada, gelaran pakar tidak ada dalam SC. Saya berpandangan gelaran itu tidak perlu diadakan. SC adalah hak guru. Maka guru yang dikenali sebagai Guru Utama sahaja yang patut dianggap pakar. Gelaran pakar pada seseorang, akan mengundang ‘perasan’ yang membolehkan timbul kesan negatif. Memungkinkan ‘ancaman’ pada kewibawaan guru. Dalam keadaan tak ada pun gelaran pakar, masih ada dalam kalangan ahli yang cuba menjadikan dirinya sebagai hebat dalam gerak silat. Timbul usaha mengumpul pengaruh dalam kalangan ahli. Akhirnya wujud satu kumpulan yang tersendiri dan bersaing dengan kewibawaan guru yang ada. Ahli-ahli yang diajarnya hanya mengagungkan diri Jurulatih berkenaan. Itulah yang pernah berlaku di beberapa buah pusat latihan SC sejak zaman PA lagi. Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 27/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: