RSS

48.5. PETANDA SC HEBAT.

24 Sep

KESIMPULAN

Berdasarkan dua pucuk surat yang saya siarkan terdahulu, telah menjelaskan sikap dan pegangan saya tentang orang yang sebenarnya dipertanggungjawabkan bagi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Ustaz Hanafi. Orang itu adalah En Mat sendiri. Tanggungjawab itu tidak boleh dinafikan atas sebarang kesilapan yang dilakukannya. Tak kiralah kesilapan apa sewaktu menjalankan tugas dan kewajipannya. Sebagai manusia, kita sering kali melakukan kesilapan. Agama kita menganjurkan supaya kita sering bertaubat. Malah, dalam kepimpinan organisasi pun, kita sering dilagukan dengan kata-kata, “belajarlah melalui kesilapan.” Maknanya, tidak ada satupun kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.

En Mat sendiri sebagai manusia, pastinya ada melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, kesilapan itu tidak boleh menidakkan amanah yang diberikan Ustaz untuk memimpin perjuangan SC. Kita perlu membantunya dan sentiasa menyokongnya secara memberinya peluang untuk membetulkan sebarang kesilapan. Orang yang selalu memperbesarkan kesalahan orang lain, biasanya menganggap dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan. Itulah sifat manusia sombong dan bongkak; pada kesimpulan saya. Kurang kesedaran diri dan kurang mengenali diri.”Kata dulang paku serpih. Kata orang, dia yang lebih.”

Kedua-dua pucuk surat itu juga menjelaskan pendirian saya untuk terus menerus menyokong sebarang tindakan yang dilakukan En Mat demi tugasnya memimpin perjuangan SC. Teguran atau pandangan yang saya lakukan pada persilatan, kefahaman dan persatuan yang dipimpinnya adalah sebagai satu usaha saya membantu kemantapan pengurusannya. Tentunya, berdasarkan sudut pandangan saya. Maka, nak dengar, dengarlah. Kalau tak nak dengar, saya pun tak kisah. Segala teguran saya adalah berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz. Tentunya pengetahuan dan pengalaman saya tidak sama dengan orang lain. Apa salahnya berkongsi pendapat dalam konsep pemikiran terbuka. Walau apa pun yang berlaku, hal yang demikian tidak menjejaskan sokongan saya kepada En Mat selaku Guru Utama. Sebabnya, itulah yang dihasratkan Ustaz pada saya.

Sepanjang saya bersama Ustaz, hanya ada dua nama saja yang pernah dikaitkan Ustaz sebagai penerus perjuangan SC. Mereka ialah Pak Ak dan En Mat. Nama-nama lain tak pernah disebut. Oleh sebab PA telah tiada, maka orang yang bertanggungjawab seterusnya ialah En Mat. Hal yang demikian telah membuat saya mengambil sikap untuk menafikan sebarang kepimpinan SC yang ada melainkan En. Mat. Itulah pandangan saya yang tidak mungkin berubah. Saya beralih sokongan dari PA kepada En Mat pun kerana saya yakin telah berlaku penyerahan. Walau bagaimanapun, keputusan saya itu masih lagi dalam lingkungan orang-orang yang pernah disebut Ustaz untuk memegang amanah dari segi kepemimpinan perjuangan SC.

Saya tidak mahu diburu sifat kekesalan dan sikap rasa bersalah jika saya menukar pandangan. Pada hal, saya terlibat mendengar amanah Ustaz sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Secara langsung, Ustaz bercakap dengan saya dan secara tak langsung ketika Ustaz bercakap dengan orang lain. Kepada mereka yang benar-benar ingin menjiwai Pusaka Hanafi, maka ikutlah pandangan saya. Selalu saya tegaskan betapa pandangan saya itu adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz.

Kalau setakat mengajar silat saja, memang tak ada masalah. Melalui persatuan yang ada, maka bolehlah dilakukan kerja tersebut. Tapi, dalam SC tujuannya lebih dari itu. Selain ilmu fizikalnya, pelajaran SC meliputi kefahaman yang menjurus kepada pembentukan diri. Hal demikianlah merupakan satu tugas yang besar dan memerlukan seorang pemimpin yang ikhlas, sah dan ada kebolehpercayaan sebagai penerus amanah.

Berdasarkan kesimpulan saya, nampaknya saya tidak ada keyakinan langsung pada orang-orang yang bergelar guru dalam SC yang ada untuk memikul tugas tersebut, melainkan En Mat sendiri. Saya yakin bahawa beliau saja yang dapat membawa SC kepada hala tuju yang sepatutnya seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Apa yang dikehendaki Ustaz, semuanya ada dilambangkan dalam rangkap-rangkap pantun yang dihasilkan selain hala tuju yang digariskan pelembagaan persatuan. Saya tak fikir guru lain, selain En Mat sahaja yang dapat menjalankan tugas-tugas tersebut berdasarkan pengalaman saya yang pernah bersama mereka.

Walaupun SC berpecah kepada banyak persatuan, pada saya, saingan hebat kita ialah CM. Dua lagi tu, langsung “tak masuk book”. Dalam konteks SC, Persatuan SC berkenaan membawa banyak nastolgia dalam perjuangan Ustaz Hanafi. Seperti yang saya katakan bahawa saya juga turut memberi sumbangan yang amat besar dalam perkembangan persatuan berkenaan. Saya juga berasa kecewa apabila Persatuan SC itu, akhirnya kini terlepas pada orang yang tidak sepatutnya memimpin persilatan yang ditinggalkan Ustaz. Kesimpulan saya itu adalah berdasarkan amanah yang pernah dilahirkan Ustaz.

Saya tidak menafikan pengetahuannya yang banyak tentang perjuangan yang ditinggalkan Ustaz. Namun begitu, pengetahuan itu adalah secara tidak langsung. Beliau sering bersama Ustaz bagi menjalankan tanggungjawab di ‘dapur’. Secara langsung percakapan Ustaz sering tertanam dalam jiwanya. Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah ketika PA berkunjung ke rumah saya bagi menjelaskan kedudukannya sebagai Guru Utama.

Pada pemerhatian dan kesimpulan saya yang telah lama berkecimpung dalam SC, ketika ini SC yang dipimpinnya sudah kurang ada hala tuju lagi. Rasa kesian pada para pengikutnya dalam konteks Pusaka Hanafi. Tiba-tiba timbul berita tentang jamuan hari raya yang dihadiri oleh kenangan ‘musuh’ tradisi kita. Bukan main mendabik dada kata pemimpinnya bahawa telah ada penyesuaian dan kesefahaman bersama. Cakap orang silat sentiasa ada banyak maknanya. Dalam silat, kemenangan selalunya diukur dalam pelbagai cara. Tunduk cakap atau perbuatan, dikira telah ‘kalah’ dalam saingan.

Teringat saya satu peristiwa bersama Ustaz. Dalam kunjungan Ustaz ke rumah saya, Ustaz menceritakan tentang pelawaan seorang guru silat yang hebat ketika itu untuk menurunkan ilmu seni cindai kepadanya. Pelajarannya boleh memecah batu bata apabila menggunakannya. Ustaz bertanya pendapat saya. Dengan tegas saya membangkang. Pada saya, itu juga salah satu cara untuk ‘menundukkan’ kehebatan seorang guru silat. Ambil gambar. Boleh dicanang bahawa Ustaz menuntut ilmu pada guru berkenaan. Saya yakin bahawa Ustaz tentu faham tentang elat yang ada dalam bidang persilatan. Sengaja Ustaz bertanya saya, agaknya. Ustaz lebih mengetahui semua tipu daya yang ada dalam bidang persilatan. Sama ada tipu daya dalam gerak silat ataupun tipu daya pada kepemimpinan silat itu sendiri.

Ketika persatuan SC itu dipimpin PA, mungkin ada kesinambungan perjuangan SC, walaupun sebagai pemegang amanah yang tak mahu sahkan penyerahan. Akan tetapi, saya yakin bahawa penggantinya adalah tidak sah dari segi pertalian arus perjuangan yang dipusakai Ustaz. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya, tidak ada sedikitpun keyakinan saya bahawa beliau berkemampuan untuk meneruskan perjuangan seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Alangkah malangnya pada mereka yang berada dalam persilatan itu jika mendakwa masih lagi meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi. Pandangan saya.

Banyak persamaan antara En Mat dengan Ustaz. Terpulanglah pada generasi baru atau orang-orang sekeliling yang sedia ada untuk menulis tentang kepimpinan En. Mat. Pada saya, berdasarkan kepimpinan guru-guru yang ada dalam pelbagai persatuan SC yang berpecah, hanya En Mat yang mempunyai kewibawaan sepertimana yang ada pada Ustaz. Kalau saya menyimpulkan bahawa Ustaz seorang yang gifted dan talented, nampaknya gelaran yang sama dapat disesuaikan dengn En.Mat. Bayangkan jika gelaran itu disamakan dengan guru SC yang lain. Nampaknya, ”Jauh panggang dari api”. Itulah kenyataan yang ada. Bolehlah dibuktikan secara ilmiah. Itulah juga kenyataan ikhlas saya dalam perjuangan SC.

Oleh itu, sekali saya tegaskan bahawa menjadi tanggungjawab para pejuang SC yang mengagungkan Ustaz Hanafi agar merancang strategi untuk menyatukan semula semua perguruan SC yang berpecah di bawah satu pimpinan Guru Utama. Tidak ada yang benar dan layak, melainkan kepimpinan En Mat. Jadikan perjuangan itu sebagai satu lagi misi perjuangan dalam SC. Tawan balik persatuan SC asal yang ditinggalkan Ustaz.

Berdasarkan surat saya itu juga, tibalah masanya En Mat berusaha mendapatkan semula persatuan yang ditinggalkan Ustaz bagi meneruskan perjuangan SC yang ditinggalkan Ustaz Hanafi. Nampak macam mustahil. Tapi, pada kefahaman kita, semuanya boleh jadi kecuali jadi nabi. Siapa sangka dalam zaman Sang Nila Utama, akhirnya Singapura akan diperintah oleh bangsa lain. Siapa sangka dalam zaman Kesultanan Melaka akan terbentuk kerajaan yang kecil dalam sebuah negara. Oleh itu, barisan kepimpinan utama En Mat iaitu orang-orang kanan dan orang sekeliling rapatnya, hendaklah pandai susun strategi. Perkuatkan perjuangan yang sedia ada. Jangan langsung bersengketa. Jangan bermuka-muka. Jangan menonjol diri tanda sombong diri. Melakukan sesuatu perancangan itu biarlah berfikir. Letakkan pemikiran di tempatnya. Bersatu hati. Satu matlamat. Bukan matlamat diri.

Pada harapan saya, selamatkan perjuangan Ustaz dalam persatuan-persatuan berkenaan, kalau kita benar-benar ingin meneruskan semula perjuangan Pusaka Hanafi. Ikhlas dari saya. Saya sentiasa menyokong. Tapi dari belakang. Dah tak larat. Kereta lama. Insuranpun kembali tinggi. Tak ada potongan NCD. Road tax saja yang tak berubah. Sekian untuk tajuk ini.

20120924-184234.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 24/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: