RSS

48.4. PETANDA SC HEBAT.

23 Sep

Kalau becakap atas sifat persatuan, sepanjang penglibatan saya dalam SC, saya banyak berkorban masa dan tenaga bersama Persatuan Silat Cekak Malaysia; berbanding dengan pengorbanan saya pada SC Ustaz Hanafi dan seterusnya Pusaka Hanafi. Kenangan bersama CM itu adalah terlalu banyak. Generasi orang-orang kanan yang bergiat hebat ketika bersama Ustaz, banyak yang tersingkir dan berada di sebelah SC Ustaz Hanafi. Kebanyakan para pendokong PA ketika PA menjadi GU adalah terdiri dari mereka yang tidak bergiat cergas di zaman Ustaz. Ramai yang tidak popular langsung sebagai perancang dasar persatuan ketika Ustaz menjadi GU.

Saya difahamkan, mereka yang bergiat cergas di zaman Ustaz dan berada di pihak PA, telah menghilangkan diri setelah PA mula bergantung harap pada anak muridnya sendiri. Kini, mereka yang memegang tampuk persatuan CM, tak ingat langsung atas pengorbanan yang pernah dilakukan oleh ahli-ahli lama terhadap pembangunan persatuan berkenaan. Lebih-lebih lagi pada ahli-ahli lama yang disingkir atau tersingkir yang pernah berhempas pulas mengembangkan SC.

Hubungan saya dengan PA adalah rapat. PA sering ke rumah saya tapi tak pernah tidur. Pernah satu ketika ada majlis ijazah kelas baru. Tunggu punya tunggu, PA masih tak tiba. Pada jam sembilan malam saya terus menalefonnya. Rupa-rupanya dia terlupa. Janji tetap ditepatinya. Terus dia bertolak dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Hampir tengah malam maka barulah ijazah dapat dilangsungkan. Begitulah rapatnya hubungan saya dengan PA. Hinggakan teringat saya satu peristiwa ketika saya bersama dengannya dalam perjalanan balik ke KL dari ijazah di Kolej Melayu. Masa itu pengurusan SC di Kolej berkenaan adalah secara terus di bawah ibu pejabat. Cawangan tak campur tangan, kecuali membekalkan Jurulatih. Saya juga Jurulatihnya. Saya menumpang kereta PA ke Ipoh.

Dalam perjalanan tersebut kami banyak berbual tentang perangai orang-orang kanan yang ada. Ada pelbagai sifatnya. Ketika itulah saya masih teringat lagi akan janji PA pada saya. PA akan menganugerahkan satu gelaran tertinggi dalam SC kepada saya dalam satu majlis yang bakal berlangsung. Saya diam saja. Tanda setuju terima. Saya pun tak tahu apa jenis gelaran yang hendak diberi hingga ke hari ini. Tinggal kenangan saja. Tapi saya tetap tak perasan.

Kepimpinan PA dapat saya terima dengan hati yang terbuka. Walau pun hakikat penjawatannya adalah sebagai pemegang amanah, kebolehpercayaannya memimpin Persatuan yang ditinggalkan Ustaz adalah masih boleh diterima dan dipercayai kesahannya. Namun begitu, lama-lama timbul sengketa. Pepecahan. Riaksi cawangan saya adalah tidak terburu-buru. Walaupun saya telah menjemput PA ke rumah untuk menjelaskan duduk perkara, kami masih tak buat apa-apa keputusan tentang pepecahan yang ada. Ketika itu, ramai para ahli yang berasa ragu-ragu pada cawangan kami. Saya diam ‘membisu’. Pepecahan yang berlaku, tidak dapat saya terima. Hati dilanda pelbagai perasaan. Ada perasaan kesal, ada perasaan marah dan macam-macam perasaan ada.

Masa inilah timbul pelbagai kisah ‘lucu’. Ketika kedua-dua pihak yang bersengketa membuat ceramah, masing-masing suruh rujuk pada Cikgu Rauhi. Ahli-ahlipun ‘confuse’. Mana pendirian saya. Serba salah dibuatnya. “Ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Tak boleh cerita panjang. Nanti, lagi orang marah.

Akhirnya, masalah persatuan telah dibawa ke pengetahuan mahkamah. Lagi saya benci. Kebencian ini meluap-luap apabila saya menerima satu permintaan dari persatuan untuk menjadikan saya sebagai salah seorang saksi jika berlaku perbicaraan di mahkamah. Saya difahamkan bahawa bantuan saya amat diperlukan untuk membuktikan kesahan PA sebagai guru di mahkamah. Oleh itu, saya perlu membuat pendirian. Saya yakin dan pasti bahawa penyerahan telah berlaku. Kalau tak yakin maka saya akan terus duduk membisu. Maka atas keyakinan itulah saya perlu buat satu keputusan untuk menyatakan pendirian. “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk di tengah-tengah jangan cuba dihimpit”. Hal yang demikian telah menyebabkan saya mengeluarkan satu surat edaran yang ditujukan kepada seorang sahabat yang boleh dianggap setiausaha ketika itu.

Surat yang saya keluarkan itu ada kaitan dengan tindak tanduk orang-orang kanan PA yang menguasai persatuan. Mereka bertelagah sesama sendiri. Mereka yang menguasai situasi yang ada. Saya tak percaya bahawa PA ada campur tangan. Beliau hanya menurut keadaan dan mangsa keadaan. Mesyuarat agung yang diadakan bagi menentukan persatuan telah dijalankan di kem askar. Lagi saya benci. Saya enggan menghadirinya.

Ketika itu, nampak sangat kepentingan peribadi mengatasi perjuangan. Masing-masing berjuang atas alasan. Kami di cawangan, terpinga-pinga tak tentu haluan. Surat saya tersebut adalah merupakan satu ketegasan dan ketetapan saya selaku pemimpin cawangan. Namun begitu, tindakan saya itu dibawa terlebih dahulu pada perhatian kepimpinan cawangan. Semuanya menyokong saya tanpa ada perasaan ragu-ragu dan tanpa ada sebarang perselisihan pendapat. Kami bertekad untuk menghadapi kesannya bersama.

Saya sertakan salinan surat berkenaan untuk menyatakan pendirian saya itu.


Mohd Adnan bin Mohd Dom
d/a Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia,
708-3, Tingkat 4, Bangunan Silat Cekak,
Lot 138, Seksyen 79, Jalan Sentul,
51000 Kuala Lumpur. 28 Mei 1994.

Saudara,

Saya tujukan surat saya ini kepada saudara memandangkan saudara telah memainkan peranan sebagai ‘setiausaha’ sejak peristiwa 11 April 1993.

Saya terkejut dan kesal dengan tindakan saudara bersama-sama dengan penama yang lain yang merujuk kepada mahkamah untuk menentukan guru yang sebenar. Silat Cekak (SC) yang satu masa dahulu agung, akhirnya terpaksa tunduk kepada pihak mahkamah untuk menentukan nasib gurunya. Alangkah aibnya SC. Hilanglah hak murid SC terutama orang lama yang telah membangunkan SC dek kerana segelintir manusia yang dulunya ‘no where’ dalam SC. Kerana faktor inilah, saya rasa perlu saya luahkan pandangan saya.

Dalam kes menentukan guru yang dirujuk ke mahkamah, nampaknya nama saya telah dibabitkan berdasarkan kononnya di akhir hayat Ustaz di Ipoh beliau melafazkan ayat berikut:

“Saya ni Rauhi, saya tak boleh langkah daripada 63 (umur).Tapi tak apalah, Ak ada ganti”.

Saya tidak boleh mengetepikan kenyataan. Sejak ayat itu dimasukkan ke dalam buku cenderatamata, saya telah melahirkan perasaan kesal di kalangan para sahabat saya di Ipoh yang sama-sama turut berbual dengan Ustaz tetapi saya tidak ketengahkan kerana ketika itu semuanya dipandang dengan baik.Tambahan pula sememangnya saya terkenal dengan ‘kaki bangkang’. Ramai yang ingin tahu apakah sebenarnya yang dinyatakan oleh Allahyarham ustaz di hari-hari terakhirnya di Ipoh.

Selama lebih kurang 24 jam beliau berada di Ipoh, banyak perkara yang dinyatakan kepada kami bertiga (En Yusuf, En Fuad dan saya sendiri). Selain daripada perkara-perkara yang saya anggap terlalu peribadi, berikut adalah antara lain yang beliau ada nyatakan berkaitan dengan soal pengganti.

1. Menceritakan kelebihan-kelebihan yang ada pada anaknya En Md Radzi yang membayangkan bahawa beliau (En Md Radzi) pada satu masa nanti akan layak dan sesuai untik menerajui dan memimpin Silat Cekak sebagai pusaka bangsa orang Melayu.
2. Menyebutkan kelebihan-kelebihan En Ishak Hitam sebagai pemimpin Persatuan SC di Bukit Mertajam.
3. Umur beliau 63 tahun untuk menentukan jangkauan perjuangan beliau seterusnya.

Itulah kenyataan sebenarnya. Kenyataan tetap kenyataan dan saya tidak dapat menafikan apa yang sebenarnya berlaku. Apabila Ustaz meninggal dunia, ketika masing-masing sibuk mencari pengganti, kami di Ipoh telah berbincang dan mengambil kesimpulan berikut:

“Di satu masa nanti En Md Radzi pasti menjadi pengganti. Oleh sebab umurnya ketika itu terlalu muda untuk menjadi sebagai seorang guru, kami menyokong dengan usaha untuk meletakkan En Ishak Itam sebagai pemegang amanah untuk menerajui kepimpinan SC.”

Kami tidak pergi dalam upucara pemilihan guru. Apabila mendengar berita bahawa En Ishak Itam dilantik oleh pendukung SC dan keluarga Ustaz untuk menjalankan tugas sebagai guru, kami berasa lega kerana ini bersesuaian dengan pendapat kami. Perkara yang pasti pada kami adalah pada satu ketika nanti En Md Radzi sendiri akan memimpin SC. Sepanjang ingatan saya, pendirian ini telah saya nyatakan kepada En. Ishak Itam sendiri.

Oleh itu saya menafikan bahawa Ustaz Hanafi telah memberitahu saya berdasarkan ayat tersebut. Kalau ada yang bertanya bagaimanakah ayat tersebut boleh muncul dalam buku cenderamata tersebut, tanyalah pengarangnya. Ketika itu banyak perkara yang berlaku dalam Persatuan SC yang mengecewakan saya. Saya tidak pernah terniat untuk meninggalkan perjuangan SC kerana ini adalah sebahagian daripada amanah Guru Ustaz Hanafi. Bekali-kali, di Ipoh beliau melafazkan ayat yang di satu masa memegang tangan saya sambil mengatakan berikut:

“Jangan kamu tinggalkan SC dan teruskan perjuangan.”

Saya menyahut percakapan beliau dengan berikrar,”Selagi bergerak dua tangan dan dua kaki, saya tetap akan meneruskan usaha mengembangkan SC.” Itu sebabnya saya kurang berminat dengan persatuan. Pada saya yang penting adalah mengembangkan SC. Itulah perjuangan SC sebenarnya. Sekarang ini ramai yang bercakap dengan perjuangan. Mereka berlagak seolah-olah mereka pakar dengan perjuangan SC. Kadang-kadang ingin rasanya saya berdebat dengan mereka tentang apa yang mereka faham dengan perjuangan SC berdasarkan tindak tanduk mereka sendiri. Mungkin lain orang, lain perasaannya. Saya yang telah lama dalam SC berkeyakinan, perjuangan dalam SC bukanlah satu perkara yang mudah untuk diceritakan. Ianya umpama gula. Bukan mudah untuk menceritakan tentang manisnya melainkan orang yang merasa yang tahu apakah yang dikatakan manis itu.

Apabila saya membaca saman saudara yang juga menuntut sejumlah “wang ganti rugi”, hati saya semakin meluat. Pihak saudara akan beraya dengan sejumlah wang tersebut apabila saman saudara berjaya. Orang semacam saya yang diperalatkan akan menanggung kesusahan. Inilah tabiat yang ada dalam SC sejak lama dahulu. Ketika saudara kita menanggung kemalangan, bukannya hendak bantu, tapi bermacam cerita direka. Saya sendiri juga mengalaminya. Ketika terlantar di hospital selama lebih kurang sebulan, ”pandai-pandailah berubat.” Tiada siapa yang peduli. Ini baru Yang Di Pertua Silat Cekak Cawangan Perak. Kalau jurulatih biasa langsung tiada dalam kamus.

Ketika ini apa yang saya nampak, lahir manusia-manusia rakus yang ingin menguasai SC, bukannya ingin mengembangkan SC. Orang-orang macam saya yang tak dapat apa-apa (Pingat Setia pun baru nak bagi apabila orang lain habis menerima) teruslah dengan perasaan ikhlas untuk mengembangkan SC dengan mengajar 6 hari seminggu. Kepentingan keluarga terpaksa diketepikan. Kalaulah bukan kerana ikrar saya dengan Ustaz Hanafi, sudah lama saya ucapkan ‘sayunara.”

Isu yang diperjuangkan sekarang ini sudah lari dari maksud asal. Kini terbit isu menentang keluarga Allahyarham. Di sini saya minta maaf. Saya dididik oleh Ustaz untuk menghormati keluarganya dan memegang ‘sumpah’ kita ketika ijazah pertama. Ini juga satu pesanan Allahyarham ketika saya sentiasa bersamanya. Kedua-dua pihak adalah sahabat saya. Dalam SC tidak ada apa bentuk kepentingan peribadi saya. Sikap saya dalam SC adalah berdasarkan apa yang dipupuk oleh Ustaz. Tidak ada apa yang hendak saya rebut.

Untuk perhatian saudara, sepanjang saya bersama Ustaz, perangai-perangai sahabat kita memang selalu diluahkan kepada saya. Itu sebabnya apabila saya lihat perkembangan bekas orang kuat persatuan kita yang meletak jawatan beria-ria ingin menjatuhkan Naib Presiden hingga sanggup menghentam saya selaku Pengerusi tetap ketika itu, terpancar di lubuk hati saya, akan bermulanya kehancuran SC. Perasaan ini saya lahirkan di kalangan sahabat saya. Wajah beliau tetap saya kenang kerana sahamnya dalam pepecahan persatuan.

Nasihat saya kepada saudara dan sahabat-sahabat saudara, lebih baik ditarik balik kes yang saudara dan puak-puak saudara bawa ke mahkamah tersebut. Janganlah dilancurkan SC. Soal pengganti, serahkan kepada En Ishak itam dan En Mat Radzi. Saudara yang lain jangan masuk campur. Kalau penyerahan telah berlaku, akui hakikat tersebut. Jangan dicucuk-cucuk. Insaflah. Janganlah nama kita tergulung dalam sejarah sebagai pemecah perpaduan dalam SC yang satu masa memang dikagumi oleh dunia.

Oleh sebab saya telah bosan dengan perkembangan yang belaku dalam Persatuan SC saya rasa tiba masanya saya berfikir untuk mengundur diri daripada Persatuan Seni Silat Cekak. Dalam Persatuan SC ketika ini, bukan perjuangan yang ingin ditegakkan tetapi wang dan hawa nafsu. Kadang kala saya berfikir cukuplah penglibatan saya dalam Persatuan SC. Ketika ini saya tidak mempunyai masa lagi dengan karenah-karenah yang wujud dalam persatuan. Apa yang saya tahu persatuan SC akan hancur apabila hawa nafsu menguasai pemimpin-pemimpinnya. Walau apa yang terjadi, saya tetap memperjuangkan SC walaupun ditakdirkan dalam pengenalan yang berbeza. Ajaran dan nasihat Allahyarham Ustaz Hanafi tetap saya praktikkan. Apa yang penting biarlah cakap serupa bikin.

Sekian dan jangan kacau atau ganggu saya lagi.

“SILAT CEKAK ADALAH ALAT PERJUANGAN”

(MOHD RAUHI BIN MOHD ISA)
Yang Di Pertua Silat Cekak
Cawangan Perak.

s.k.

– En Mohd Nasir Bin Md. Arshad
(Naib Presiden PSSCM)

-Yang Di Pertua Cawangan-Cawangan

Akibat edaran surat berkenaan, saya ditendang dari persatuan. Cawangan saya pula telah digantung pergerakannya. “Padan muka.” kata mereka. Nak buat macam mana. Duduk lama-lama atas pagar, gayat juga. Tentu terjatuh penyudahnya di satu-satu belah yang ada. Maka ramailah yang kecewa dan ramai pula yang suka. Nasi telah menjadi bubur. Bubur lambok Kg. Pelet. Ada ka!. Bersambung.

Salinan surat yang masih saya simpan.

20120923-093948.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 23/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: