RSS

48.3. PETANDA SC HEBAT.

21 Sep

Ada satu lagi persilatan SC yang cuba mengekalkan cara lama. Gurunya tiba-tiba muncul. Guru Jadian. Ejaan persatuanpun nak yang lama. Cuba mengekalkan kenangan lama. Pada saya, persilatan itu tak ada asal usul dan bukan saingan sebenar. Kalau ditanya pengetahuan dan pengalaman saya, berdasarkan institusi perguruan dan Pusaka Hanafi, tak ada kesinambungan dan tak ada salasilahnya. Ketrampilannya cuma bergantung pada rakan seperjuangan Ustaz. Saya juga pernah bersama dengannya. Ketika itu penglibatannya tak terserlah langsung. Seringkali tenggelam dek kerana pelakuannya. Ustaz cuba membina dirinya seperti yang saya cerita ketika bulan puasa. Agaknya, di situlah perasan dan perasaan timbul sebagai peneraju utama. Lebih banyak syok sendiri. Saja ‘kacau daun’ dalam tali arus perjuangan Ustaz.

Seingat saya, dalam zaman PA, ada seorang lagi ahli kita yang mendakwa dirinya sebagai layak bergelar guru SC. Beliau pernah dipecat Ustaz dari persatuan. Pelantikan PA sebagai pemegang amanah merangkap Guru Utama, ditolaknya mentah-mentah. Dia menganggap bahawa ilmu yang ada pada PA hanya kulit sahaja. Hanya sarung sahaja. Isi pelajaran ada padanya. Saya pun tak faham tentang kulit, sarung dan isi yang dimaksudkannya itu. Ramai juga pengikutnya, termasuk orang-orang kanan Ustaz dulunya. Saya pernah menceritakan tentang usaha-usaha mereka mendapatkan sokongan saya. Dalam tulisan terdahulu di blog Sepak Minang, saya pernah ceritakan peristiwa ‘menculik’ diri saya pada satu malam di pejabat kita, Jalan Putera. Walau bagaimanapun, pengaruhnya tidak kekal lama.

Ketika zaman awal pelantikan PA sebagai Guru Utama, saya juga pernah ceritakan betapa PA bersungut pada saya tentang ada dalam kalangan orang kanannya yang berhajat sangat menjadi guru. Orang itu adalah seangkatan dengannya dan merupakan orang kanan di zaman Ustaz. Saya juga telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu. Apa yang ingin saya tegaskan dalam tulisan ini ialah ramai ahli yang sangat berminat menjadi Guru Utama SC selepas pemergian Ustaz. Kenapakah hal yang demikian terjadi. Bolehlah dibuat kajian dan telahan. Ada IT, saya akan sentuh hal tersebut dalam siri tulisan seterusnya.

Mungkin ada lain-lain ahli yang mendakwa sebagai guru SC ketika ini. Bukan susah menjadi guru. Tak kira apa jenis silatpun. Tubuh saja persatuan. Presiden persatuan adalah bersamaan dengan guru persilatan. Kecualilah jika persatuan itu bercorak koperat. Saya difahamkan ada juga ahli lain yang mendakwa sebagai guru SC. Mendakwa juga dirinya pakar dalam gerak SC. Kacau daun. Mana ada ahli yang boleh mendakwa dirinya pakar dalam SC. Hal yang demikian kerana SC telah ada ‘formula’ pelajarannya. Penguasaan dan kesebatian pada formula itu akan menjadikan kehebatan seseorang itu dalam persilatan SC. Keputusan silat sesama ahli yang menguasai pelajaran SC ialah ‘draw’. Semuanya pakar. Semuanya mahir. Syaratnya ialah penguasaan isi pelajarannya.

Walau bagaimanapun, sebagai pejuang Pusaka Hanafi di bawah kepimpinan En Mat, kita tak perlu berasa gusar atas perkembangan persatuan tersebut. Tak ada susur galurnya dalam landasan perjuangan Ustaz. Perjuangan mereka tak selari dengan perjuangan kita. Undang-undang negara telah membolehkan mereka bergerak dalam satu organisasi persatuan silat yang sah. Mereka juga tidak berminat untuk menyentuh perjuangan persilatan kita.

Perpaduan dalam kalangan orang-orang kanan persatuan, mulai longgar zaman PA. Pepecahan semakin ketara dari masa ke masa. Saya juga pernah menyentuh perkara ini dalam tulisan terdahulu. Terdapat usaha-usaha yang dijalankan untuk mengembalikan semula perpaduan sesama ahli. Dalam satu majlis menyuarat agung tahunan Silat Cekak Malaysia di USM Pulau Pinang, pada malam sebelumnya telah diadakan satu foram tertutup. Saya dijemput sebagai salah seorang pesertanya. Foram dipengerusikan oleh En Abu Hamid. Peserta yang lain ialah En. Amruddin dan seorang lagi yang dikenali sebagai En. Rahman Botak yang pernah menjadi orang kuat USM. Pak Ak dijemput sebagai tetamu khas dalam majlis berkenaan.

Tajuk foram tersebut ialah “Pembentukan Semangat Persaudaraan dan Kesetiakawanan Yang Jitu Melalui Alam Persilatan.” Saya tidak pasti tahunnya. Yang pastinya ialah 27 Januari. Rasa-rasanya mungkin tahun 1988 @ 1990. Saya sertakan dua keping gambar kenangan berkenaan foram berkenaan. Satu ialah barisan pesertanya dan satu lagi gambar menunjukkan saya sedang menyampaikan pendapat.

Foram itu gagal menepati hasratnya. Salah seorang peserta foram telah menghentam hebat ahli-ahli SC yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada PA. Kecoh jadinya. Lain yang diharap, lain yang terjadi. Makin parah pepecahan. Pendapat saya adalah seperti biasa. Saya bercakap tentang kefahaman saya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama Ustaz. Siapa yang makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Selesai foram, ada dua peristiwa yang saya alami. Teringat saya kisah lama.

Pertamanya, saya seolah-olah tidak dipedulikan oleh rakan-rakan tertentu. Sebabnya, pendapat saya tidak selari dengan kehendak mereka. Tapi saya buat tak peduli. Geng saya pun ramai dari cawangan yang sama. Oleh itu, kami hanya bergaul sesama kami. Lantaklah apa orang lain nak kata. Cukup masa, selepas mesyuarat agung maka kamipun belah serta merta.

Peristiwa kedua ialah saya dipanggil oleh setiausaha ketika itu. Tempatnya ialah Tapian Gelanggang. Di situlah pertama kalinya dia menangis di hadapan saya kerana sedih atas isi percakapan saya yang menyentuh stail kepimpinannya. Saja saya tuliskan di sini kerana akhirnya dia berperanan besar untuk menendang mereka yang tidak disukainya daripada CM. Peliknya pada saya, satu segi macam timbul kesedarannya untuk memupuk perpaduan dalam SC. Tapi, segi yang lain ada sifat dendam rupanya. Samalah macam sinatron drama Indonesia dalam televisyen. Sakit hati menontonnya.

Ketika timbul pepecahan dalam gelombang pertama, kedua-dua pihak macam tak percaya pada saya. Kemana hala tuju sokongan saya. Lucupun ada. Ada yang berkunjung ke rumah saya dengan membawa perakam suara. Saya buat-buat tak kisah. Macamlah saya buta IT. Pelbagai soalan dikemukakan untuk mencungkil pegangan saya. Hubungan saya dengan kedua-dua pihak masih rapat. Rakan-rakan seperguruan. Mana mudah untuk berbalah.

Saya pernah ceritakan betapa apabila saya mendengar ada serahan maka saya telah menjemput PA ke rumah untuk mempastikan sama ada berlaku serahan kuasa GU. Namun begitu, sebelum PA sempat sampai ke rumah saya, orang-orang kanannya terlebih dahulu tiba. Ketika berada di rumah saya, PA tak bercakap sepatah perkataan pun. Orang kanannya dan peserta foram bersama saya dulunya yang banyak bercakap. Orang kanan itu sekarang ini bergelar Guru Utama. Peserta foram tersebut, entah ke mana perginya. Merekalah yang banyak bercakap bagi membuktikan bahawa tidak ada penyerahan. Pengambilan kuasa sebagai GU itu adalah tidak sah. Perjumpaan pada hari itu tak ada kata putusnya. Akhirnya saya mengambil keputusan. Ikuti tulisan seterusnya.

Saya ungkit kembali peristiwa itu dalam tulisan ini bagi menyakinkan bahawa En Mat perlu berusaha untuk mendapatkan semula Persatuan SC yang pernah ditubuhkan Ustaz setelah pemergian PA. Bersambung.

20120921-110351.jpg

20120921-110407.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 21/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: