RSS

48.2. PETANDA SC HEBAT.

20 Sep

Semasa saya bersama Ustaz, kami berhempas pulas membanyakkan kelas latihan SC sama ada berstatus cawangan atau pusat latihan. Maknanya, membuka kelas SC adalah merupakan satu perjuangan hakiki barisan hadapan dalam struktur organisasi persatuan. Orang-orang kanan Guru Utama sentiasa merancang dari masa ke masa untuk mencapai misi berkenaan. Saya juga turut bersama dalam misi itu dengan mengorbankan masa, tenaga dan perasaan keluarga. Letih juga dibuatnya. Apabila Ustaz meninggal dunia, perjuangan untuk menyebarkan Pusaka Hanafi adalah berterusan dan sentiasa giat dilakukan.

Sesuatu yang saya tidak dapat terima ialah adanya arahan untuk menutup kelas-kelas SC yang sedang berjalan. Kelas yang ada cuba dimusnahkan oleh orang SC sendiri. Ramai penuntut baru yang menjadi mangsa perselisihan. Siapa yang suruh tutup kelas. Pastinya para pendokong yang pernah berjuang bersama Ustaz Hanafi di satu masa yang lalu. Ketika timbul pepecahan pada gelombang pertama, kelas-kelas yang dikendalikan bawah Guru Utama En Mat, diarah tutup oleh para pendokong yang pernah berjuang bersama Ustaz tapi memegang jawatan persatuan CM.

Maka tertubuhlah Silat Cekak Ustaz Hanafi pimpinan En Mat. Bergiatlah persatuan itu menyebarkan Pusaka Hanafi hingga persilatan SC telah pulang pulih sedia kala seperti di zaman Ustaz Hanafi. Namun begitu, apabila kita berpecah pada gelombang kedua, sekali lagi para pendokong perjuangan Ustaz Hanafi mengarahkan kelas-kelas silat yang menyebarkan Pusaka Hanafi ditutup lagi. Pada hal, ketika mereka diarah tutup kelas dulunya pada pepecahan pertama, macam-macam ayat dikatakan. “Tak patutlah tutup-tutup kelas. Kalau nak gaduh pun jangan libatkan kelas.” Tapi apabila mereka menyingkir En. Mat, maka kelas-kelas yang ada di bawah pengaruh En Mat diarah tutup. Tindakan yang dulunya mereka tak suka, dijadikan tindakan mereka pula. Sewel punya kerja.

Nampaknya, setiap kali sengketa, kelas silat yang menjadi sasaran. Mana perginya perjuangan untuk menyebarkan Pusaka Hanafi. Saya yang pernah bersama-sama berhempas pulas membuka kelas-kelas SC, tidak dapat menerima tindakan menutup dan menghalang sebarang bentuk pergerakan SC yang berpaksikan pada Pusaka Hanafi. Saya sentiasa dapat bezakan antara persatuan dan persilatan. Kalau bergaduh pun, jangan sampai cucuk bijik mata. Kalau berselisih faham sesama SC, jangan sesekali menutup kelas-kelas SC yang ada. Biarlah berdisiplin sikit.

Kini, perjuangan persilatan SC yang angkuh menutup kelas-kelas SC di pihak kita, tidak tentu hala tujunya. Mereka tak lagi jadi batu penghalang pada kita. Ancaman mereka semakin kurang. Kepimpinan organisasi mereka pun lebih bercorak koperat. Guru Persatuan yang ada, lebih bersandar pada peraturan persatuan, umpama raja yang berpelembagaan. Pada pandangan dan pengalaman saya, latar belakangnya tidak menunjukkan kemampuannya untuk memimpin SC seperti mana yang dikehendaki Ustaz. Saya bercakap berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya yang pernah bersamanya. Sepanjang saya bersama Ustaz, namanya tidak pernah dibayang sebagai penerus pejuangan SC. Sekurang-kurangnya nama Pak Wan ada disebut juga sebagai bayangan.

Sandaran guru berkenaan lebih banyak pada para pendokong SC yang pernah bersama dengan Ustaz. Seangkatan dengan saya. Hanya mereka sahaja yang memahami tentang perjuangan Ustaz. Tapi mereka telah tua. Kudrat semakin kurang. Kecuali Guru Wawasan. Belum pencen. Tapi pengalamannya amat kurang dalam perjuangan SC bersama Ustaz. Stail kepimpinannya amat rakus dan meninggi diri. Jenis turun dari langit. Tak ‘friendly’ langsung. Pada saya, persilatan mereka bukan lagi saingan besar pada kita. Tak menjadi kudis lagi. Cuma tinggal parut sahaja. Apabila orang-orang lama di pihak mereka membawa saham pepecahan buat selama-lamanya di alam yang lain, maka akan runtuhlah persilatan tersebut sebagai penerus Pusaka Hanafi. Telahan saya. Firasat.

Hubungan saya dengan kumpulan ini semakin renggang setelah mesyuarat MMT berlangsung 3 September 2006. Saya telah mengeluarkan satu surat bertarikh 2 Oktober 2006. Setelah surat itu diedarkan maka secara rasminya saya menjarakkan diri dari kumpulan mereka. Saya sertakan salinan surat saya berkenaan dalam tulisan berikut: Untuk catatan sejarah.

En. Ramlee Abdul Rahman
Setiausaha Agung
Persatuan Seni Silat Cekak
Ustaz Hanafi Malaysia. 2 Oktober 2006

Tuan,

Sukacita saya menarik perhatian tuan atas surat tuan SCH/MMK/SUA-06/09 bil. 48 bertarikh 18 September 2006, sesalinannya ditujukan kepada saya sebagai ahli MMT. Oleh sebab surat tersebut boleh membawa implikasi yang menjejaskan kewibawaan saya selaku ahli MMT yang hadir dalam mesyuarat tersebut maka perlu bagi saya membuat penjelasan kepada tuan.

2. Saya sangat berharap agar surat tersebut bukannya lahir atas sifat pemikiran tuan seorang tapi telah dirujuk dalam mesyuarat MMK. Hal yang demikian bagi mempastikan kesahan dan kesahihan isu yang dibawa serta kematangan bertindak.

3. Dalam mesyuarat MMT pada 3 September yang lalu, sebelum pengundian dilakukan, saya telah mengemukakan dua cadangan seperti yang berikut:

a. Mencadangkan MMK mengkaji semula keputusan Jawatankuasa Kehakiman dan Jawatankuasa Penyiasatan memandangkan kewibawaan dan intergriti kedua-dua badan tersebut boleh dipersoalkan.
b. Mencadangkan pengundian untuk menentukan kedudukan Guru Utama.

Nampaknya ahli-ahli MMT tidak membantah kedua-dua cadangan tersebut. Tuan pengerusi menjelaskan bahawa perkara ‘a’ diserahkan kepada MMK manakala cadangan ‘b’ dibuat undian dan mencadangkan undian secara terbuka. Tidak ada siapa yang membantah termasuk tuan sendiri yang ada dalam mesyuarat. Saya menyedari peraturan 21 ceraian 8 tersebut kerana memang ada diedarkan sebelum mesyuarat bermula. Walau bagaimanapun saya menyetujui proses undian secara terbuka yang dicadangkan oleh Tuan Pengerusi atas dua keadaan.

i. Tidak ada sebarang bantahan.
ii. Peraturan itu hanya menyebut perkataan ‘perlu’, bukannya mesti atau wajib. Pada saya perkataan ‘perlu’ lebih merujuk pada situasi, suasana atau keadaan. Daripada perkataan perlu terbit perkataan keperluan. Kalau perkataan ‘mesti’ atau ‘wajib’, maka kita tidak ada sebarang pilihan.

Saya yakin bahawa ahli-ahli MMT yang lain ada sebab yang tersendiri. Walaupun ada yang tidak mengangkat tangan, apabila ditanya ada yang menjawab berkecuali. Ini juga membawa maksud menyetujui cara pemilihan tersebut. Kalau ini dijadikan isu maka jelaslah betapa wujud sikap buruk di kalangan kepimpinan kita yang tidak mahu berterus terang secara sepontan. Kalau tidak bersetuju terus nyatakan pendirian tanpa berselindung atau bertangguh. Saya teringat kata-kata Ustaz bahawa ramai pemimpin yang kecundang kerana orang-orang sekelilingnya. Satu daripada sebabnya ramai yang berperanan seperti melempar batu sembunyi tangan.

4. Untuk mengatakan ahli-ahli MMT tidak mendapat maklumat yang jelas tentang isu yang dibincangkan seperti dakwaan surat tuan, “yang mana pentingnya Laporan Jawartankuasa Penyiasatan dan Kehakiman dibentangkan sebelum pengundian dibuat”, tidak bertepatan dalam konteks mesyuarat MMT berkenaan. Dalam mesyuarat tersebut En Yahya selaku jurucakap JK Penyiasatan dan Us Yusuf selaku jurucakap JK Kehakiman ada mengemukakan laporan. Akan tetapi tuan mungkin ingat tentang beberapa persoalan yang saya timbulkan kepada mereka.

Apabila saya bertanya kenapa orang yang ada kepentingan dalam tuduhan menduduki JK Penyiasatan, tuan terus menjawab bahawa tidak ada orang untuk dilantik. Saya menolak alasan tuan. Saya juga mempersoalkan bagaimana orang yang duduk dalam JK Kehakiman juga berada dalam MMK yang kemudiannya akan membuat pengesahan dalam MMK. Ini akan dipersoalkan oleh ahli dari segi intergriti JK yang ditubuhkan itu. Itu sebabnya saya mencadangkan MMK mengkaji semula keputusannya dan perlu kajian kembali JK Penyiasatan dan Kehakiman. Ahli lama yang masih setia dan tiada kepentingan dalam MMK atau MMT sangat ramai yang boleh dilantik menduduki jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan. Berilah kepercayaan kepada mereka.

5. Sebagai ahli MMT dan ahli lama, saya inginkan kepastian dari sudut perlembagaan tentang kedudukan tuan sebagai Setiausaha yang dilantik Presiden merangkap Guru Utama. Adakah terdapat sebarang implikasi apabila Presiden yang melantik tuan telah dipecat. Keadaan ini memerlukan penjelasan agar tidak timbul lagi sebarang kekecohan yang boleh menambahkan bebanan persatuan.

Sekian dan terima kasih.

Saya Yang memikul Amanah,

(MOHD RAUHI BIN MOHD ISA)
s.k.
1. setiausaha MMT
2. Ahli-ahli MMT.

Surat itu tidak ada riaksi. Nampak sangat niat jahat orang-orang kanan En Mat. Ramai juga ahli MMT yang hipokrasi. Guna Al-Quran sesuka hati. Ramai yang tipu janji. Ramai juga yang mengubah prinsip diri. Tak ada ketetapan hati. Teringat kata-kata Ustaz. “Biawak tetap memilih bangkai. Hidanglah makanan yang lazat-lazat. Bangkai juga yang dipilihnya. Babi tetap menyondoi. Latihlah jalan yang betul. Sondoi tetap sondoi.” Itulah antara kata-kata Ustaz yang menjadi kenangan saya. Tapi saya tetap terkenangkan nasi beriani berpehakan kambing. Sambung.
Saya sertakan salinan surat asal berkenaan.

20120920-162939.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 20/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: