RSS

48.1. PETANDA SC HEBAT.

19 Sep

Pada saya, dalam konteks Pusaka Hanafi, kita yang berada dalam persilatan yang dipimpin oleh En Mat sepatutnya berasa bertuah. Hal yang demikian kerana kita berada dalam perjuangan SC yang betul. Cakap saya ini adalah berpandukan pada pengalaman dan pengetahuan saya bersama dengan Ustaz. Berdasarkan institusi perguruan SC yang sebenarnya, En Mat adalah merupakan pewaris yang sah bagi meneruskan perjuangan Ustaz. Malah, beliau ada ketokohan, ilmu dan pengalaman yang melebihi dari orang-orang yang mendakwa sebagai guru-guru SC lain yang ada. Itulah kenyataan. Terimalah kenyataan. Kata-kata saya itu adalah berasas dan berdasarkan kefahaman dan pengalaman saya yang banyak dalam SC. Bukan perasaan tapi kenyataan. Bukan cakap besar tapi cakap benar.

Ada yang bertanyakan saya tentang perguruan SC yang lain dari segi kebenaran, bandingan dan perbezaan. Saya katakan dengan penuh yakin bahawa pilihlah SC yang dipimpin oleh En Mat. Itulah kata-kata dari saya yang tidak pernah ada sebarang kepentingan diri dalam perjuangan SC. Semuanya demi SC. Pengalaman saya bersama Ustaz meneguhkan lagi pengangan saya sedemikian.

Mereka yang berada bersama dengan En Mat atau orang-orang kanannya, jangan ada kepentingan diri. Tumpukan usaha untuk memunculkan SC dalam persaingan sesama SC yang ada. Teruskan kerja kuat dari masa ke masa untuk mencapai cita-cita demi mendaulatkan semula seni kebangsaan seperti yang pernah diperjuangkan. Ustaz pernah mengingatkan saya tentang pelakuan orang-orang kanan yang boleh menjatuhkan seseorang ketua. Maknanya, mereka boleh menentukan sama ada ketuanya berjaya atau ketuanya menjunam menyembah bumi. Banyak contoh yang diberi.

Biasanya peranan orang-orang kanan adalah sebagai penghubung antara ketuanya dengan orang-orang bawah. Jika mereka berfikiran negatif dan berkepentingan diri, tentunya mereka boleh menyekat sebarang maklumat dari turun ke bawah. Mereka juga boleh menyekat hubungan orang bawah dengan ketuanya. Nasihat orang kanan selalunya diikut ketua. Lebih-lebih lagi jika ketua tersebut amat lemah kepemimpinannya dan jarang turun padang. Oleh itu, jika mereka bersanggah pendapat dengan orang lain, mereka berupaya menyingkir orang berkenaan. Dalam sturuktur organisasi, peranan mereka ini adalah sebagai golongan pengurusan pertengahan. Merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab menyusun strategi bagi mempastikan impian ketuanya menjadi kenyataan. Oleh itu, perkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman yang luas.

Dalam organisasi kita, secara amnya orang-orang kanan ini adalah meliputi barisan jawatankuasa pusat dan lembaga pelajarannya. Satu struktur untuk persatuan dan satu struktur lagi untuk persilatan. Manakala jawatankuasa di peringkat negeri termasuk penyelia kelas adalah lapisan bawah yang merupakan barisan hadapan bagi mempastikan perjuangan SC menemui kejayaan.

Cuma, ada saya perhatikan muncul satu barisan kepimpinan yang bercorak ‘Kempetai’ dalam persatuan kita. Saya tak nak komen banyak. Hati saya berkata-kata ketika melihat gelagat mereka. Kalau penerimaan ahli adalah negatif, sifat tak puas hati akan terbina dari masa ke masa. Cetusan akan berlaku hanya pada satu ketika tertentu. Umpama gunung berapi yang meletus pada saat dan ketika yang sesuai. Sebaliknya, jika penerimaan ahli pada lapisan kepimpinan itu secara positif, maka terbentuklah satu corak kepimpinan baru dalam organisasi kita. “Ada lapisan dalam kalangan para pendokong setia yang akan mempastikan keteguhan pemerintahan ketua.” Saya tak berani komen banyak. Tapi patut juga sensitif dengan kata-kata saya. Pengalaman dalam SC telah banyak mengajar saya. Dah ada darah tinggi. Banyak makan benda masin. Kata-kata pun mula jadi masin.

Kita telah mengalami peristiwa yang tersangat pahit dalam persatuan dan persilatan kita. Pepecahan. Orang yang bertanggungjawab melakukan pepecahan itu pastinya ada kaitan dengan para pendokong atau orang-orang kanan yang ada dalam persatuan. Ada juga antara mereka merupakan orang kanan Ustaz pada satu masa lalu. Janganlah pisang berbuah dua kali. Jenis pisang biarlah satu. Jangan dua. Banyak cabang tujunya.

Yakinlah bahawa landasan perjuangan kita yang dipimpin oleh En Mat adalah benar dan sah. Peliharalah landasan perjuangan tersebut. Orang-orang kanan yang ada perlu bekerja keras dan bersungguh-sungguh bagi mempastikan kebenaran SC kita. Jagalah pelakuan dan adab sopan ketika menunaikan amanah tugas. Perkara pentingnya ialah jangan perasan sebagai guru. Kalau perasan maka banyak padah buruknya. Saya ada pengalaman ketika bersama Ustaz. Ada seorang orang kanan yang cuba menjadikan dirinya seperti perwatakan Ustaz. Bukannya orang suka. Tersangat ramai yang membenci. Banyak kelas yang jadi porak peranda. Nasib baik Ustaz cepat menyedarinya. Terpaksalah disingkir dari persatuan. Walau bagaimanapun, hubungannya dengan Ustaz tetap berterusan atas konsep persilatan.

Semasa zaman PA, golongan yang perasan ini amat ramai sekali. Malas nak komen. Sudah berlalu. Mereka mengambil kesempatan atas kelemahan Guru Utama ketika itu. Dalam zaman En Mat, perangai yang sama masih berterusan. Ramai yang cuba membina empayar sendiri. Mereka cuba menghebatkan diri. Malah kehebatan mereka dibuktikan pada anak bijik buah mereka sebagai hebat dan menyamai guru yang ada. Akan tetapi mereka gagal menguasai dan mengawal En Mat. Ketegasan En Mat sukar digugat. Mereka pasang strategi. Tidak ada jalan lain. Penyingkiran. Itulah yang terjadi. Oleh itu, jangan pisang berbuah berkali-kali. Cukup sekali dan sekali. Dah jadi dua kali. Cakap lagi. Jangan jadi ketiga kali.

Kalau ditanya pada saya, orang kanan yang sebagaimana yang patut ada dalam persatuan kita. Maka saya berilah pendapat. Jaga sifat dan sikap diri. Janganlah bersifat sombong dan meninggi diri terutamanya pada para ahli. Bertuturlah secara sopan. Jangan tarik muka. Nampak sifat sombongnya. Nanti dikatakan sebagai belagak. Jangan meninggi suara ketika anak buah kita gagal menjalankan satu-satu tugas. Ingat. Hanya Guru Utama saja yang berhak memarahi anak muridnya. Orang kanan jangan sesekali bersifat sedemikian. Kita sama-sama berjuang tanpa mengharapkan balasan. Hormatilah pengorbanan yang dilakukan oleh golongan pelaksana. Merekalah barisan hadapan persilatan kita.

Sifat orang kanan, jangan sesekali suka bermuka-muka. Depan guru, bukan main lagaknya. Menokok tambah kebanyakan cerita. Orang lain yang bakal sengsara gara-gara sifat buruk yang tak tentu hala. Orang yang suka bermuka-muka, sangat pandai berpura-pura. Depan guru, pijak semutpun tak mati. Belakang guru, bukan main lagi penonjolan diri. Anak buah sentiasa memerhati. Wujud perasaan tak puas hati. Akhirnya mengundang cetusan gunung berapi.

Kesimpulannya pada saya. Silat kita akan terus hebat dari masa ke masa jika orang-orang kanan Guru Utama sentiasa bersama. Asuh diri supaya sentiasa bersederhana dalam tindak tanduk berjawatan. Ingat. Hindarilah sifat sombong dan suka berpura-pura. Apatah lagi memiliki sifat yang berwajah dua. Sentiasalah mesra pelanggan. Insyaallah SC yang dipimpin En Mat akan terus berjaya dalam persaingan sesama SC. Itulah pandangan saya jika ditanya tentang orang-orang kanan yang patut ada di sekeliling Guru Utama. Bersambung lagi.
Dulu-dulu saya pun pernah jadi salah seorang orang kanan. Masa muda. Nombor empat dari kanan. Lain-lain teka sendiri.

20120919-111858.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 19/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: