RSS

48.0. PETANDA SC HEBAT.

18 Sep

Kita telah berjaya menganjurkan pertandingan Waja Diri pada hari Ahad lalu. Tahniah. Malangnya saya tidak dapat hadir bersama kerana tuntutan keluarga. Kalau berdasarkan Waja Diri sebelum ini antara pelajar-pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi, saya percaya tentunya majlis tersebut juga telah berlangsung dengan jayanya. Perkara pentingnya, perhimpunan ahli-ahli SC dalam program sedemikian membuktikan kepesatan dan kekuatan persatuan kita. Syabas pada pihak penganjur yang tentunya telah bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

Sebelum itu, ada majlis rumah terbuka Guru Utama. Saya juga tak dapat hadir. Walaupun ada rakan ahli yang mengajak hadir bersama, tapi pelawaan itu agak cupul. Tak ada teman lain yang nak diajak agaknya, baru dipelawa. Saya difahamkan bahawa ramai yang hadir. Hal yang demikian juga adalah merupakan satu petanda bahawa SC di bawah kepimpinan En Mat mulai mantap dan kukuh. Saya yakin dan saya percaya bahawa persilatan kita mulai pulih setelah dibadai dengan gelombang yang beralun tanpa hentinya pada musim tengkujuh yang lalu. Tapi, musim gelora itu mulai berhenti. Perjuangan musuh untuk melenyapkan pengaruh En Mat mulai lusuh dan pudar. Tak ada isu besar lagi yang boleh diketengahkan. Stamina mereka mulai habis. Kuranglah menyebok. Perjuangan utama mereka untuk menutup kelas-kelas latihan SC tidak menampakkan hasil berkesan. SC terus bergerak walaupun dalam nama persatuan yang lain. Buktinya, bilangan peserta dalam kejohanan Waja Diri yang pernah saya hadiri sebelum ini, amat hebat sekali. Pulang pulih sedia kala, macam dulu-dulu.

Difahamkan juga bahawa telah wujud pergeseran dalam kalangan kepimpinan mereka. Pengeseran akan mewujudkan suasana panas. Lebih-lebih lagi apabila minyak pelincirnya mulai kurang. Ramai yang telah cabut lari dan ramai juga yang beralih dalam perjuangan peribadi yang hakiki. Itulah kesannya perjuangan silat yang diasaskan pada kepentingan diri. Tak ada originaliti. Cukup masa kena pergi. Bukannya habis manis sepah dibuang, tapi habis manis sepah membuang. Manis pada mereka kerana berjaya memporakperandakan SC. Maknanya memporakperandakan Guru Utamanya. Itulah kenangan manis buat mereka yang ada kepentingan diri. Hajat telah tercapai maka tunggu apa lagi. Cabut lari. Cari lain peluang. Hancok betul.

Teringat saya gambaran sejarah ketekalan En Mat dalam kepercayaannya memperjuangkan amanah Ustaz, setelah berpecah dalam gelombang kedua. Beliau tetap gigih meneruskan perjuangan dalam SC. Saya rasa, En Mat sendiri mempunyai kekuatan mental yang sungguh hebat bagi menghadapi kemelut yang pernah ditimbulkan oleh anak buahnya sendiri. Malah, anak didiknya sendiri. Saya pernah sedari betapa beliau sentiasa dikelilingi oleh orang-orang kanannya yang pandai bermuka-muka. Pernah saya cadangkan untuk maksud penyingkiran mereka. Malangnya, saya pulak yang tersingkir. Saya tak rasa apa-apa. Daulat saya tetap ada. Andaian menjadi nyata. Perjuangan!.

Gelaran ‘DR’ yang diperoleh En Mat, amat besar ertinya pada perjuangan SC yang dipimpinnya. Itulah gelaran tertinggi yang ada dalam dunia akademik yang sangat dituntut dalam perkembangan ilmuan terkini. Gelaran itu adalah merupakan satu pengiktirafan atas usahanya dalam silat. Hakikatnya, maka itulah gelaran yang diperoleh tanda perjuangan yang benar dan ikhlas dalam persilatan Silat Cekak. Beliau telah berjaya memenuhi impian Ustaz yang inginkan gelaran demikian di satu ketika yang lalu. Telah jelas akan kesinambungan Guru Utama sebelumnya.

Hasrat Ustaz untuk mendapatkan gelaran demikian pernah dilahirkan pada saya, ketika kunjungan Ustaz ke cawangan kami. Pada satu malam latihan, Ustaz turun bersama. Tapi Ustaz duduk atas kerusi yang disediakan. Setelah selesai latihan kami berbual. Ada beberapa orang ahli yang masih menunggu. Hari sudah larut malam. Ketika itulah Ustaz membuka cerita betapa seorang professor di USM, Prof. Shahnon Ahmad yang berusaha membantu untuk mendapatkan gelaran ijazah kehormat Phd yang akan membawa gelaran DR. Ustaz sangat beria bagi mendapatkan gelaran tersebut. Banyak manfaat dalam perjuangan SC.

Perancangan perlu dilakukan. Salah satu caranya ialah menerbitkan sebuah buku yang mengisahkan perjuangan Ustaz dalam bidang persilatan. Usaha tersebut telah terhasil dengan adanya penerbitan buku tersebut. Ustaz juga kerap menulis artikal yang berkaitan dengan bidang persilatan. Walau bagaimanapun usaha-usaha mendapatkan gelaran tersebut tidak lagi berada dalam perhatian saya hinggalah Ustaz meninggal dunia.

Apabila ada berita atas penerimanan gelaran tersebut pada Guru Utama yang ada sekarang, telah mengembalikan kenangan saya pada hasrat Ustaz tersebut. Tahniah atas gelaran itu. En Mat telah berjaya mempastikan impian Guru Utama SC yang lalu menjadi kenyataan. Itulah kenyataan. Gelaran yang diidam Ustaz direalisasikan oleh Guru Utama berikutnya yang sah dan benar. Ada pertautan dalam kesinambungan perjuangan. Itulah salah satu petanda atas kesahan pelantikan En Mat sebagai Guru Utama.

Dalam persaingan terbuka untuk menghebatkan persilatan SC masing-masing, strategi adalah memainkan peranan penting. Strategi yang betul dan tepat akan menjadikan persilatan itu muncul dengan hebatnya. Perancangan kita untuk menghimpunkan pesilat seramai lima puluh ribu orang adalah merupakan satu strategi yang amat baik dan menarik untuk membuktikan kehebatan kita. Sebelum ini, kita telah berjaya membuat rekod menghimpunkan pesilat kita hampir sepuluh ribu orang. Dalam keadaan berpecah, kita masih mampu lagi membuat perhimpunan sedemikian. Itulah tanda atau bukti bahawa kita kembali pulih dari kesan pepecahan yang melanda.

Perancangan bagi menghimpunkan bilangan ahli mencecah angka lima puluh ribu orang itu adalah merupakan satu hasrat yang amat mencabar. Hal yang demikian memerlukan strategi yang tepat dan berkesan. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa jawatankuasa yang mengendalikan program itu sedang merancang dan berusaha untuk menjadikan impian itu sebagai kenyataan. Banyak kesan positif yang akan timbul jika perancangan itu berjaya. Sekurang-kurangnya kita berjaya membuktikan bahawa SC yang dipimpin En Mat adalah berada atas landasan perjuangan yang betul dan organisasi pimpinannya adalah mantap dan benar. Saya sangat berharap impian program tersebut akan menjadi kenyataan.

Persaingan dari persilatan lain bukanlah sesuatu yang mencabar persilatan kita ketika ini. Cabarannya telah berlalu. Mereka tentunya berpuas hati apabila kita berpecah. Lebih-lebih lagi pesaing silat kita satu masa lalu, telah berjaya ‘menawan’ SC yang ketika ini dipimpin oleh suku sakat atau kaumnya. “Dulu eksyen sangat. Sekarang dah tertawan.” Itulah agaknya bisikan kata-kata pemimpin tertinggi persilatan berkenaan sambil minum kopi tongkat ali atas kerusinya.

Ketika ini, kita menghadapi persaingan sesama SC dalam pengenalan persatuan yang berbeza. Masing-masing cuba menghubungkan silat mereka supaya berkaitan dengan Ustaz Hanafi. Ketokohan Ustaz masih lagi dijadikan sandaran. Di sinilah persaingannya untuk membuktikan persilatan itu berada atas landasan yang betul. Percayalah. Yang hak itu tetap kekal. Yang batil akhirnya akan terbatal. Untuk membatalkan yang batil, memerlukan perancangan yang rapi. Insyaallah, Tuhan akan berserta. Bersambung.
Kenangan bergambar dengan Guru Utama.

20120918-134652.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 18/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: