RSS

47. YAKINI DAN CINTAI PELAJARAN SC.

17 Sep

Untuk mendaulatkan seni bela diri orang Melayu pada masa yang lalu, bukanlah kerja mudah. Ustaz terpaksa berkorban tenaga dan memerah fikiran untuk meletakkan SC sebagai seni bela diri yang dapat diterima masyarakat Melayu hingga di peringkat kebangsaan. Banyak sangat alasan yang diberi bagi menidakkan diri untuk mempelajari silat Melayu yang ada dalam negara. Mereka menganggap bahawa seni bela orang Melayu tidak ada mutu. Hal yang demikian mungkin ada kaitan dengan kemasukan filem-filem dari Indonesia dan Hong Kong. Filem Indonesia mengutarakan persembahan silat yang hebat-hebat. Manakala filem-filem dari Hong Kong mempersembahkan lakonan Kungfu yang hebat. Sacara kasarnya, silat Melayu di negara sendiri dianggap tidak mampu menghadapi kehebatan seni bela diri dari luar negara tersebut.

Sampai ke satu peringkat, saya dapat rasakan betapa masyarakat kita kurang memberi perhatian pada persilatan Melayu. Apatah lagi gerak silat Melayu yang lembut telah menyebabkan minat belajar semakin kurang. Cuma, kemunculan Silat Gayung mula mengembalikan semula keyakinan pada seni silat Melayu. Namun begitu, secara amnya, minat yang mendalam dalam kalangan maysrakat kita terhadap silat masih lagi hambar.

Ada juga dalam kalangan orang-orang kita yang suka sangat merendah-rendahkan silat. Semuanya mungkin akibat bandingan dan pembentukan sikap yang dipengaruhi oleh unsur-unsur bela diri dari luar negara. Ada juga dalam kalangan mereka yang menyebarkan persoalan-persoalan negatif bagi memudarkan hati orang lain dari mendekati silat Melayu. Itulah salah satu sifat orang kita. Kalau dah tak suka maka pelbagai alasan diberi untuk menguatkan sifat tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam situasi itu, SC terus menerus berkembang pesat. Sambutan terhadap silat, terutama SC semakin terserlah apabila SC mula bertapak di pusat-pusat pengajian tinggi. Bermula di Universiti Malaya, SC terus berkembang di ITM, UPM dan seterusnya UKM dan UTK, Jalan semarak. Para mahasiswa dan mahasiswi yang telah tamat belajar di pusat-pusat pengajian tinggi, turut memainkan peranan bagi maksud penyebaran SC.

Dalam tulisan ini, saya petik kembali satu artikal yang pernah kita keluarkan bagi menangkis alasan-alasan remeh yang cuba menghalang masyarakat kita dari mempelajari silat di awal perkembangan kita. Mungkin alasan-alasan itu telah tiada lagi pada masa sekarang. Cuma, tulisan ini buat pengetahuan pada para pembaca sekalian.

“SILAT TIADA PERLU”

“Hari ini terdapat suara-suara sumbang yang meragui tentang peri mustahaknya mempelajari seni silat. Berbagai-bagai alasan dan ajukan dikemukakan yang bertujuan merendah-rendahkan orang-orang yang mempelajari silat. Walaupun kadang-kadang percakapan mereka nampaknya tidak berapa serius tetapi cakap-cakap itu dapat membantutkan minat beberapa orang yang ingin mempelajari seni silat.

Apa yang boleh dibuat oleh orang silat jika musuh pakai pistol?”.

Ini adalah antara kata-kata yang saya maksudkan di atas. Pada mereka boleh ditanya kembali. “Adakah dia memiliki sepucuk pistol?”. Kalau ada, adakah pistolnya mempunyai lesen? Adakah semua penjahat menggunakan pistol? Segala jawapan pada persoalan itu akan menjadikan kesimpulan bahawa bukan semua orang boleh memiliki pistol dan memiliki pistol bukannya sesuatu yang mudah. Oleh yang demikian, senjata-senjata lain seperti pisau, kerambit, belantan dan sebagainya masih digunakan sebagai senjata oleh orang-orang jahat untuk mengancam. Bukankah dengan belajar silat, kita akan dapat tahu cara menangkis ancaman-ancaman itu. Bukankah itu lebih baik dari jika kita jahil dalam ilmu silat. Tetapi ada di satu peringkat, Insyaallah jika musuh mengancam dengan pistol sekalipun kita akan selamat dan kita boleh hadapi. Setahu saya jika betul-betul mendalami seni silat Melayu yang benar-benar asli, kita boleh mencapainya.

“Apa nak susah, sekarang ada polis dan askar, siapa kacau kita laporkan, tak payah susah-susah nak buang masa, habis duit nak belajar silat.”

Ini lagi satu kata-kata yang sering kedengaran. Kita akui polis dan askar memang dibentuk untuk menjaga keselamatan masyarakat. Tetapi alangkah lebih baik jika kita membantu tugas-tugas mereka dengan terlebih dahulu kita menjaga keselamatan kita. Jika semua orang menjaga keselamatan sendiri, tindakan itu akan mengurangkan bebanan pihak berkuasa. Kemudian pulak itu, polis mengawal orang ramai bukan hanya untuk peribadi kita. Jika secara peribadi lojiknya setengah dari jumlah penduduk mesti jadi polis, baru boleh menjaga diri peribadi. Ini adalah mustahil. Lagi pun sekarang jelas kejadian rompak samun, ugut dan sebagainya masih berlaku dan kadang kala melibatkan kecederaan di pihak anggota keselamatan. Sekurang-kurangnya kalau ada silat, yakin juga kita untuk mempertahankan diri sendiri. Kita akan bergantung keselamatan hanya pada diri sendiri. Inikan baik. Orang nak merompak atau menyamun kita bukannya diberitahu dahulu. Macam mana nak laporkan dengan polis dahulu. Selalunya dah kena baru membuat laporan. Jadi belajar silat adalah langkah untuk mencegah, bukan untuk mengubat.

“Kita ini apa nak susah belajar silat teruk-teruk. Kalau kita baik siapa nak kacau. Kalau kita tak kacau orang, takkan orang nak kacau kita. Kalau orang nak buat jahat, Tuhan ada dan Tuhan mengetahui.”

Ini lagi kata kalimah, seolah-olah macam kalimah orang dakwah atau nabi-nabi sahaja. Kalau orang yang bercakap itu nabi, tak apalah, tapi sabaliknya. Kata-kata di atas ini menafikan usaha dan nak serah kepada Tuhan semuanya tanpa usaha, bukannya dari golongan ahli sunnah wal jamaah namanya. Kalau semua orang memegang falsafah, ‘kita tak kacau orang, orang tak kacau kita’, senanglah. Tak payahlah diadakan polis dan askar. Masalahnya pengacau itu tidak kira orang baik atau orang jahat, semua nak dikacaunya. Jadi, orang ini yang belajar ilmu nak buat kacau, belajar ilmu nak bergaduh, belajar ilmu pukau dan sebagainya. Kelam-kabut juga kita dibuatnya. Yang kita ni pulak nak jadi baik tak mahu mempelajari ilmu jadi baik. Silat umpamanya. Jadi nampaknya si pengacau lebih banyak ilmunya dari si baik. Sebab itulah ada rumah Pak Lebai dimasuki pencuri, tak ke susah macam ini. Sepatutnya kita nak jadi baik mestilah menguasai ilmu pihak pengacau, baru betul.”

Petikan di atas adalah merupakan alasan-alasan kukuh untuk mengikis anggapan buruk dalam pemikiran masyarakat kita. Rupa-rupanya bukan mudah untuk seni silat Melayu mendapat tempat di hati masyarakat Melayu sendiri di tahun-tahun enam dan tujuh puluhan. Sebaliknya, SC telah dapat memainkan peranan untuk mendapatkan tempat dalam pemikiran orang Melayu. Itu sebabnya kita cukup yakin untuk menggelarkan silat kita sebagai peneraju mutlak dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap seni silat. Sesuailah dengan rangkap pantun yang Ustaz keluarkan, “Lahirnya Cekak kerana kesedaran, Bukan bermusuh sebagai tujuan, Untuk mendaulatkan seni kebangsaan, Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.”
Sekian untuk tajuk ini.

 
Leave a comment

Posted by on 17/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: