RSS

46. ADAB MENERIMA ILMU DARIPADA GURU.

12 Sep

Dalam tulisan lalu, saya menerangkan betapa pentingnya kita mempunyai hubungan yang rapat dengan guru secara umumnya. Tak kiralah apa-apa jenis guru. Hubungan yang rapat akan memudahkan kita mendapat ilmu. Walau bagaimanapun, bukan senang untuk rapat dengan guru. Lebih-lebih lagi apabila ada pengawal-pengawalnya yang tertentu. Pengawal-pengawal ini mungkin berupa orang-orang kanan persatuan atau orang-orang yang sedia rapat dengan guru. Kerap kali, kata-kata mereka banyak mempengaruhi pandangan guru. Hal yang demikian, berhati-hatilah dengan mereka. Silap gayanya, jika mereka hendakkan kita tersingkir, mudah saja mereka lakukan. Maka ghaiblah kita membawa diri.

Ada yang bertanyakan saya tentang cara-cara atau adab ketika bersama dengan guru dalam SC. Oleh itu, dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang pelakuan yang selalu saya lakukan untuk ‘menyenangkan’ hati guru ketika menuntut SC dulunya. Bolehlah dijadikan panduan jika berkenaan. Adab bersama guru adalah penting bagi membolehkan guru kita berasa senang untuk menerima kehadiran kita. Kesenangan hati tersebut akan memudahkan hubungan kita dengan guru terpupuk dengan baik. Secara langsung akan banyak membantu kita untuk menambahkan pengetahuan dan meluaskan pengalaman.

Bersama guru dalam kumpulan yang besar, tentunya berbeza jika bersama guru dalam kumpulan yang kecil. Kalau kumpulan besar seperti majlis-majlis keramaian, adab kita tentunya berbeza. Sebaliknya dalam kumpulan kecil, menjaga adab sangat perlu. Guru kita boleh nampak setiap pelakuan kita. Oleh itu, sesuaikan adab diri kita berdasarkan situasi tersebut.

Perkara penting ketika bersama guru ialah menjaga adab kesopanan kita sendiri. Saya lebih suka membiarkan Ustaz memulakan sesuatu percakapan atas satu-satu tajuk. Maknanya biarlah guru memulakan percakapannya. Kebiasaannya, percakapan tersebut banyak dipengaruhi oleh suasana dan keperluan ketika itu. Oleh itu, lebih baik kita menunggu isi percakapannya daripada kita yang mula bercakap. Ketika guru kita bercakap, kawal pergerakan diri. Kalau duduk, eloklah bersila biasa. Jangan melunjur atau duduk secara duduk pahlawan. ‘Relax’. Apabila bersila, jangan sesekali menggoyang-goyangkan lutut. Tak kiralah sama ada goyangan itu kuat atau secara perlahan. Duduk diam dan jangan pula banyak pergerakan badan seperti orang bertahlil. Goyang kiri kanan atau depan belakang. Biadab namanya. Kalau duduk atas kerusi, jangan sesekali menyilang kaki sama ada di bahagian atas peha atau di bahagian bawah kaki. Nampak sangat kebiadabannya dalam konteks budaya kita. Menyilang kaki ketika duduk atas kerusi, juga merupakan salah satu pantang larang ketika mengadap sultan di istana.

Jika guru kita menurunkan satu-satu ilmu maka jagalah kerahsiaannya. Ilmu yang diturunkannya itu adalah untuk diri kita yang mendengarnya. Kalau ilmu itu berbentuk petua, kerahsiaannya lagi berat. Bukan hak kita untuk menyebarkan petua berkenaan. Kadang kala isi percakapan Ustaz amat mudah difahami tetapi payah untuk disebarkan pada orang lain. Ustaz pernah melahirkan perasaan tak puas hatinya atas sikap seorang anak muridnya yang menyebarkan kefahaman Ustaz pada orang lain. Apabila disoal balik oleh pendengar, anak murid Ustaz tersebut terpaksa merujuk kembali persoalan itu pada Ustaz. Hal inilah yang kurang menyenangkan Ustaz kerana menyampaikan sesuatu yang tidak dikuasai dengan sepenuhnya pada orang lain. ‘Ingin bertabligh tapi belum baligh’. Akhirnya menyusahkan diri sendiri dan diri Ustaz.

Ketika bersama Ustaz, apabila saya mendapat sesuatu petua atau suatu ilmu yang berharga, saya akan bersalam denganya sebagai isyarat meminta izin atas ilmu yang berkenaan. Tak payah cium tangan. Memadai menundukkan kepala ketika bersalam. Itulah amalan salam yang selalu saya lakukan. Dalam konteks mendapatkan ilmu dari Ustaz, saya lebih suka berusaha mendapatkan ilmu berkenaan secara berkorban masa dan tenaga untuk bersamanya. Saya tidak pernah berkelakuan seperti sesetengah murid yang lain. Nak dapat berkat kononnya hingga sanggup menghabiskan sisa minuman atau sisa makanan yang ditinggalkan Ustaz. Agaknya mereka itu nak cepat dapat ilmu.

Jadilah seorang pendengar yang berkesan ketika bersama guru dalam proses mendapatkan ilmunya. Nilailah pada isi kandungan percakapannya. Jangan terpukau dengan caranya bercakap atau kagum dengan nada percakapannya. Sememangnya seorang guru itu mesti hebat akan cara penyampaiannya. Peringkat kita yang mencari ilmu, telitikan isi percakapannya. Begitu juga jika guru kita membuat pelakuan seperti menunjukkan gerak silat. Jangan sesekali kita terpegun dan mengkagumi kehebatannya bersilat. Sebagai seorang guru, sememangnya beliau sangat hebat. Tugas kita sebenarnya ialah meneliti kehebatannya membuat gerak silat. Itulah yang hendak kita pelajari dan kita kuasai.

Jika ada sebarang soalan atau persoalan, kemukakan pada guru kita secara beradab. Carilah masa yang sesuai untuk menyoal. Kalau guru kita mempelawa soalan dari kita, hal yang demikian memudahkan kita membuat soalan. Tak payah memikirkan saat dan ketika yang sesuai untuk bertanya. Walau bagaimanapun hal yang penting, jangan sesekali kita mereka-reka soalan jika kita tak ada soalan. Mereka soalan akan menyebabkan kita menanggung risiko. Mungkin soalan kita itu telah dibincangkan jawapannya semasa guru kita bercakap atau persoalan yang kita bawa itu tidak mengena tajuk perbincangan. Tentunya hal yang demikian akan memalukan kita dan merosakkan rentak guru kita bercakap.

Semasa mendengar percakapan, redakan perasaan. Kalau nak ketawa, maka ketawa sikit-sikit sudahlah. Jangan nampak sangat muka yang beria-ria. Hinggakan ada yang menjegil biji mata tanda keghairahan. ‘Macamlah tak pernah dengar dan kemaruk sangat’. Pelakuan yang sedemikian, sebenarnya tidak akan menyenangkan mereka yang bercakap. Oleh itu, jagalah riaksi kita supaya tidak keterlaluan. Perasaan boleh diredakan jika kita ‘bekerja’ semasa mendengar. Caranya mudah juga. Selalulah bawa buku catatan dan pensil atau pen. Buat catatan atas percakapan guru kita. Itulah salah satu cara kita bekerja ketika mendengar ucapan atau syarahan.

Semasa mendengar percakapan guru, sensitiflah pada isyarat bukan lisan yang dilakukannya. Isyarat itu termasuklah memek mukanya, pergerakan kedua tangannya dan pergerakan badannya. Pergerakan-pergerakan itu memberi makna atau menguatkan makna percakapannya. Memahami gerak-gerak bukan lisan itu, akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Percakapan guru kita mudah diingat secara lebih lama lagi.

Elakkan diri kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh dianggap biadab ketika guru kita bercakap. Perbuatan utamanya ialah mencelah atau menyampuk. Hal yang demikian akan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan. Lebih teruk lagi ketika guru kita bercakap, kita tersengguk-sengguk hendak tidur atau tertidur. Perbuatan demikian sangat tidak beradab. Kalau dah mengantuk, cepat-cepatlah undur diri. Jangan paksa diri mendengar percakapan guru kita. ‘Apah’ pun tak dapat.

Ketika guru kita memberi syarahan secara umum, disiplin diri mesti juga dikawal dengan sebaik-baiknya. Dalam situasi yang berkenaan, pergerakan kita agak bebas. Ada ramai rakan kita yang lain. Pandangannya lebih luas dan tidak tertumpu hanya pada kita seorang. Hal yang demikianlah menyebabkan kita perlu mengawal diri. Jika tidak, kehadiran kita itu akan banyak membuang masa. Kalau datang dari jauh maka lagi banyak terkorban wang dan tenaga. Oleh itu, pengawalan diri amat perlu supaya kita memperoleh ilmu dan keberkatan daripada majlis berkenaan.

Beri tumpuan pada isi ceramah atau isi syarahan yang disampaikan guru. Jadikan majlis itu amat penting bagi kita walaupun percakapan itu berulang-ulang pada tajuk yang sama. Lagi banyak kali kita mendengar, maka lagi berkesan pengajarannya di hati kita. Misalnya sambutan Israq Mikraj yang sentiasa diadakan setiap tahun. Tetapkan pendirian kita. Setiap kali guru kita bercakap, jadikan percakapan itu sebagai penting buat diri kita.

Kita juga perlu beri tumpuan pada keseluruhan isi percakapannya. Jangan sesekali menolak isi percakapan yang kita rasa kurang menarik. Ramai yang berbuat demikian dengan cara bercakap-cakap dengan rakan sebelah atau melakukan kerja-kerja yang tiada kaitan. Kalau ada surat khabar, maka surat khabar itu yang dibacanya. Orang yang sebegini suka memilih-milih perkara yang ingin didengarnya. Tindakan yang demikian amat merugikan diri sendiri. Kegagalan memberi tumpuan juga akan menyebabkan kita selalu bermimpi di siang hari. Orang-orang ini selalu berkhayal pada hal yang lain. Kalau guru bercakap tentang peristiwa nabi naik ke langit, dia pulak berkhayal sedang menaiki kapal terbang ke udara. Alangkah ruginya jika kita tergolong seperti manusia yang sedemikian.

Kadang kala, tatkala kita memberi tumpuan, rakan-rakan sebelah memberi cabaran dan cubaan. Ada saja perkara yang ditanyanya. Kita akan berasa serba salah. Kalau dilayan, maka hilanglah tumpuan dan rugi jadinya. Kalau tidak dilayan, kita akan menjadikan rakan kita itu tidak senang. Mungkin akan rosak sedikit ikatan kemesraan. Oleh itu, pandai-pandailah kita menyesuaikan diri supaya wujud situasi menang menang.

Kalau kita inginkan supaya pemahaman kita lebih mantap, eloklah berbincang sesama rakan yang mendengar percakapan berkenaan. Ketika berbincang, jangan tertumpu pada bentuk penyampaiannya. Guru yang bercakap pasti hebat ketrampilannya. Hal yang dermikian kerana bercakap adalah merupakan salah satu bidang kehebatannya. Isi percakapan yang kita dengar, apabila dibincang kembali akan memberi peneguhan atas kefahamannya dan akan lebih bersebati pada diri kita. Lagi banyak berbincang, maka lagi kita faham dan terus ingat.

Demikianlah disiplin saya ketika bersama guru sama ada secara berseorangan atau secara berkumpulan. Saya harap melalui tulisan ini, kita dapat berkongsi pengetahuan supaya ilmu yang kita peroleh membawa keberkatan. Sekian sahaja tajuk tulisan ini.

Gambar saya menerima Pingat Berjasa Silat Cekak yang disampaikan melalui Mufti Perak di zaman PA. Sepatutnya pingat itu saya terima di zaman Ustaz. Tapi tak dapat datang. Pingat dipendam walaupun ada permohonan pada persatuan untuk mendapatkannya. Bila ‘merajuk’ baru nak beri. Tapi di zaman guru yang lain. Majlis penyampaiannya turut dihadiri oleh PA. Gambar kedua ialah jamuan makan sempena Majlis Makan Malam Cawangan Perak. Masa majlis itulah pingat disampaikan.

20120912-191424.jpg

20120912-192112.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 12/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: