RSS

45.2. GIFTED ATAU CREATED.

09 Sep

Dalam tulisan ini, saya sambung lagi tentang pembuktian saya bahawa Ustaz adalah seorang yang gifted dan talented. Saya tidak membuat sebarang rujukan pada tulisan-tulisan yang ada, termasuklah tulisan yang dihasilkan mengenai Ustaz Hanafi. Saya hanya tulis berdasarkan pengalaman bersama dengan Ustaz. Itu sebabnya ada antara catatan peristiwa saya, tidak panjang tulisannya kerana maklumat yang saya ada adalah terhad.

Gifted dan talented dalam kreativiti pemikiran dan tindakan.

Pemikiran dan tindakan Ustaz adalah sangat kreatif. Kadang kala kita tidak mencapai ke tahap pemikiran tersebut. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Ketika mengambil satu-satu tindakan yang cepat dan tegas, Ustaz tidak suka berbincang. “Ikut saja. Jangan banyak tanya.” Ustaz tahu apa yang dilakukan. Nampak semacam kepimpinannya bercorak mutlak ataupun autokratik. Sesungguhnya hasil daripada tindakan yang dilakukan sedemikian amat dikagumi dan ternyata kebekesanannya. Tidak semestinya stail kepimpinan secara demikian tidak baik. Dalam keadaan-keadaan tertentu, stail kepimpinan berkenaan adalah tepat dan amat berkesan. Ustaz telah berjaya membuktikannya.

Pada kesimpulan saya, Ustaz mempunyai kebolehan yang amat kreatif dalam menghadapi atau menyelesaikan sebarang masalah. Tindakannya bersifat tenang, tabah dan tekun dalam menyempurnakan tugasan mental yang mencabar tersebut. Itulah sifat orang yang bergelar gifted dan talented. Ustaz memilikinya. Ketika awal perkembangan SC, kita menghadapi cabaran dari silat-silat Melayu lain yang kebanyakannya bersifat dengki dan curiga. Pelbagai usaha dilakukan mereka bagi ‘menguburkan’ SC. Usaha-usaha itu sering menemui kegagalan akibat tindakan Ustaz yang berkesan.

Saya pernah menulis tentang kreativiti Ustaz menyusun strategi untuk menghadapi peristiwa “Mat Empat Puluh Satu” dan pertemuan dengan saingan silat kita yang dianjurkan oleh pertubuhan silat yang berpengaruh ketika itu. Saya pernah menyentuh kedua-dua peristiwa berkenaan dalam tulisan yang lalu. Mereka gagal untuk memusnahkan masa depan Ustaz dalam bidang persilatan. Sebaliknya, Ustaz semakin bangkit dan meneruskan perjuangan bagi menyebarkan SC ke serata negeri. Sesungguhnya, SC terus berkembang pesat dalam situasi ada pihak-pihak lain yang cuba melenyapkan kehebatan SC.

Jelas menampakkan pada kita betapa Ustaz mempunyai daya pemikiran dan tindakan hebat yang sangat kreatif. Tahap pemikirannya berada pada tahap tinggi. Tatkala kebanyakan silat Melayu menyusun strategi untuk masuk ke kem-kem askar atau ke pusat latihan polis, Ustaz mempunyai daya kreatif yang lain tentang perkembangan SC. Ustaz menyusun strategi untuk menapak ke pusat-pusat pengajian tinggi. Kesan pada tindakannya itu sangat hebat untuk jangka masa yang panjang. Para siswa dan siswi yang menamatkan pengajian mereka akan bertebaran ke seluruh negara. Mereka pula menjawat jawatan-jawatan tinggi yang mempunyai pengaruh atau kuasa dalam bidang yang diceburi. Hal yang demikian telah memberi sumbangan yang amat besar dan amat berkesan dalam perjuangan untuk menyebarkan SC ke seluruh pelusuk negara. Sesungguhnya, kejayaan SC ketika ini adalah hasil tindakan dan pemikiran Ustaz yang kreatif tersebut.

Dalam masa awal perkembangan SC, pelbagai silat Melayu lain juga berlumba-lumba untuk menonjolkan silat masing-masing. Penonjolan silat itu dikaitkan dengan penonjolan gurunya. Guru-guru tersebut mempunyai pelbagai nama dan gelaran seperti mahaguru, sheikh, kiyai dan sebagainya. Pemakaian nama-nama tersebut adalah salah satu cara untuk maksud penonjolan diri. Begitu juga dari segi penampilan diri. Pakaian mereka ‘berbelit-belit’ dengan ‘ikatan tradisi’. Ada yang memakai tongkat yang dikatakan sakti dengan lambang-lambang yang ‘menggerunkan’. Ada yang memakai tangkal di lengan dan pelbagai bentuk ketrampilan diri yang lain.

Suasana yang demikian tidak mempengaruhi daya pemikiran dan tindakan Ustaz. Beliau hanya memakai gelaran Guru Utama. Pakaiannya lebih kemas. Ustaz jarang memakai pakaian Melayu yang bersamping lengkap dengan tengkoloknya. Sebaliknya dalam majlis-majlis persilatan, Ustaz akan memakai kot. Jelas menampakkan ketrampilan Ustaz yang hebat. Hal yang demikian menyebabkan Ustaz dihormati dan dikagumi. Pemimpin-pemimpin silat yang lain berasa rendah diri dan sangat menghormati Ustaz.

Gifted dan talented dalam ekspresi diri.

Seseorang yang dianggap gifted dan talented akan dapat menonjolkan dirinya secara semula jadi. Penonjolannya bukan dibuat-buat. Perwatakannya tegas dan menyakinkan. Cara berpakaian dan cara pergaulannya memperlihatkan kematangan dan ketrampilannya. Kita akan berasa senang ketika bersama dengannya. Perbualan yang kita dengar begitu berkesan dan menyebabkan kita dapat memberi tumpuan dan perhatian.

Pada mereka yang biasa mendengar perbualan atau percakapan Ustaz, kita akan dapat merasai kenyataan saya di atas. Malah, kerap kali saya dengar bahawa setelah mendengar syarahan Ustaz, kita berasa tawar hati untuk mendengar syarahan-syarahan atau kupasan tentang tajuk-tajuk agama yang Ustaz telah sentuh. Hal yang demikian kerana syarahan Ustaz adalah tepat dan bernas serta menyentuh kehidupan semula jadi kita. Ustaz lebih banyak bercakap berpandukan pengalamannya. Oleh itu, keberkesanan syarahannya amat mendalam dan kita dapat terima dengan hati terbuka kerana kupasannya adalah berpijak di bumi nyata.

Ustaz memiliki bentuk komunikasi yang amat berkesan dan mesra serta bersifat tegas. Kita akan sentiasa berasa senang dan selamat ketika berada bersama-samanya. Walaupun kadang kala Ustaz juga melahirkan sifat marahnya, akan tetapi sifat yang demikian mudah kita terima. Kita boleh menganggap bahawa sifat itu lebih bercorak pendidikan. Pernah juga orang kanannya cuba meniru sifat Ustaz yang demikian. Memarahi murid yang membuat kesilapan. Rupa-rupanya tindakan sedemikian tidak diterima mereka. Berbeza dengan tidakan marah yang dibuat Ustaz.

Kehebatan SC adalah juga berkaitan dengan kehebatan gurunya iaitu Ustaz Hanafi. Ustaz telah berjaya menyusun bentuk penyampaian isi pelajaran SC dengan begitu berkesan. Pelajarannya mudah difahami dan amat sesuai dengan daya pemikiran manusia yang berilmu. Hal yang demikian menyebabkan SC mula bertapak di bandar-bandar dan begitu kuat di pusat-pusat pengajian. Malah, Ustaz telah berjaya meletakkan satu asas yang kukuh untuk perkembangan SC seterusnya. Itu sebab agaknya sangat ramai yang berminat untuk meneruskan perjuangan SC yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi. Nampak masa depan yang cerah dengan wajah ‘agung’ yang jelas. Tentangan terhadap SC telah tidak ada. Jadi, tak hairanlah lahirnya beberapa orang guru yang berebut-rebut untuk menguasai perkembangan dan perjuangan SC yang ditinggalkan Ustaz Hanafi.

Gifted dan Talented dalam sosial dan kepimpinan.

Ustaz Hanafi juga telah dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pengurus dan pemimpin dalam bidang persatuan dan persilatan. Saya telah banyak menyentuh tentang stail kepemimpinan Ustaz dalam usahanya untuk memantapkan pengurusan persatuan dan mengembangkan persilatan dengan berkesan.

Hubungannya yang berkesan dengan para ahli dan masyarakat umum yang lain telah membuktikan daya kepimpinannya yang hebat. Kualiti kepimpinannya adalah tinggi. Semuanya telah saya bincangkan dalam tajuk-tajuk yang terdahulu. Apabila membuat satu-satu perancangan yang melibatkan kepentingan persilatan, Ustaz akan berbincang secara detail. Perbincangan itu mengambil kira persoalan-persoalan jangkaan yang boleh ditimbulkan orang lain. Hal yang demikian menjadikan satu-satu perancangan yang dirancang itu adalah sungguh teliti dan lengkap bagi menghadapi sebarang persoalan yang akan timbul. Oleh itu, satu-satu program yang dirancang dan dijalankan, pasti akan menemui kejayaan besar. Perancangan yang teliti juga menyebabkan sukar bagi musuh-musuh SC mempergunakan kelemahan kita bagi menjatuhkan SC.

Stail kepimpinan Ustaz adalah sesuai dengan pelbagai situasi. Stail kepimpinannya juga boleh berubah-rubah mengikut keperluan semasa. Ada masanya Ustaz bersifat tegas dan ada masanya Ustaz seolah-olah ‘menyerah’. Akan tetapi semuanya ada strategi. Pernah saya sentuh betapa Ustaz pernah memasak makanan di bulan puasa untuk juadah ahli apabila dirasakannya bahawa tindakan itu sesuai dengan anak didiknya itu untuk berubah perangai. Nampaknya, strategi Ustaz telah berjaya. Bukan setakat perangainya berubah, malah telah ada cita-cita tinggi untuk menjadikan dirinya berperanan seperti Ustaz. Terbukti, nampaknya.

Seperti yang saya nyatakan juga, Ustaz selalu menimbulkan suasana supaya kita sentiasa berfikir sebelum menerima sesuatu ilmu pengetahuan, termasuk bidang persilatan. Saya juga telah menyentuh hal yang berkenaan dengan contoh-contohnya sekali. Bukan mudah kita berjumpa dengan orang yang bersifat demikian. Mereka yang bersifat demikian adalah merupakan seorang pemimpin yang inginkan orang lain hebat dan berkebolehan seperti dirinya sendiri. Sesungguhnya, Ustaz berjaya berbuat demikian. Sekurang-kurangnya hampir menyerupai perwatakannya. Tapi, ramai yang kecundang dalam perjuangan setelah pemergian Ustaz. Ada perjuangan lain, rupanya.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pengenalan Ustaz sebagai seorang yang gifted dan talented adalah lebih tepat, berbanding dengan pengenalan-pengenalan lain. Kalau kita samakan Ustaz dengan gelaran wali atau keramat atau lain-lain gelaran yang sukar dibuktikan, maka kita berbicara lebih banyak berdasarkan perasaan dan perasan. Buktinya sukar dibuat. Penerimaan orang lain juga akan menjadi pelbagai. Ada yang senang menerima bandingan tersebut dan ada yang berasa ragu-ragu. Lebih baiklah kita membandingkan Ustaz secara ilmiah iaitu berdasarkan teori-teori moden yang mudah diterima dalam zaman moden ini.

Oleh itu, pada pendapat saya berdasarkan beberapa isi perbincangan di atas, saya menganggap bahawa Ustaz adalah bersifat gifted dan talented. Bukan mudah untuk orang lain meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Ustaz. Bandingan tetap ada. Ahli-ahli akan sentiasa membandingkan kepimpinan berikutnya berdasarkan kepimpinan yang pernah ditunjukkan Ustaz. Itu sebabnya kepimpinan berikut tetap menggunakan istilah Pusaka Hanafi. Hal yang demikian adalah kerana ilmu yang ditinggalkan Ustaz adalah mantap dan berada pada satu landasan yang kukuh. Tidak perlu ditokok tambah dengan ilmu-ilmu lain bagi memperbaiki isi pelajarannya. Cuma, bukan mudah untuk menyamai bentuk kepimpinan Ustaz yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang amat luas.

Bersama ini saya sertakan dua keping gambar saya bersama dengan seorang tokoh yang hebat dalam negara kita. Ketika itu beliau adalah Perdana Menteri Malaysia. Beliau juga mempunyai kelebihan dalam kebolehannya. Bidang Kebolehannya adalah berbeza dengan bidang yang diceburi Ustaz. Sengaja saya sertakan gambar tokoh berkenaan kerana beliau juga pernah berbual dengan Ustaz ketika saya ada bersama.

Terkenang saya ketika saya mengiringi Ustaz dalam satu majlis. Tak salah saya ialah di ITM. SC dipanggil buat persembahan dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir. Ketika itu beliau adalah Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam satu majlis jamuan, Dr. Mahatihir sempat berbual dengan Ustaz. Mereka tidak berbual panjang. Ketika itu saya berada bersama Ustaz. Antara isi perbualan Tun yang masih saya ingat ialah pemintaannya pada Ustaz untuk membantunya meredakan suasana yang tidak tenteram dalam kalangan pelajar ITM ketika itu. Dalam tulisan ini saya tidak dapat menulis panjang kerana tak berapa ingat akan ketepatan masa majlis pertemuan tersebut dan maksud suasana yang tak tenteram dalam kalangan pelajar-pelajar ITM ketika itu sekitar tahun 1976. Yang pastinya, ketika pertemuan itu , saya ada bersama Ustaz dan Tun Dr Mahathir.
Sekian tajuk ini.

20120909-093519.jpg

20120909-093541.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 09/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: