RSS

45.1 GIFTED ATAU CREATED.

06 Sep

Berbalik pada soalan yang dikemukan. Pada saya, Ustaz adalah seorang yang bersifat gifted dan talented. Lebih baiklah kita menggunakan istilah itu daripada istilah-istilah lain yang sukar dibuktikan; melainkan istilah sheikh yang dianggap sebagai satu konsep yang mempunyai ciri-ciri tertentu sepertimana yang saya bincangkan sebelum ini. Tak perlulah kita bercelaru dengan istilah atau gelaran lain seperti wali, keramat dan sebagainya. Pembuktian pada gelaran-gelaran itu adalah tidak ilmiah dan banyak dipengaruhi oleh sifat perasan dan sesetengahnya tidak berpijak di bumi nyata.

Kesimpulan itu berdasarkan atas apa yang ada pada Ustaz. Saya tidak lihat dari segi prosesnya hingga Ustaz bersifat demikian. Kalau dilihat pada proses, macam-macam persoalan dan tafsiran boleh ditimbulkan. Pengalaman Ustaz yang banyak berguru boleh membawa implikasi bahawa perwatakan atau kebolehannya adalah dibentuk. Perkara pastinya, untuk mencapai ke tahap gifted dan talented, proses pembelajarannya tetap berlaku. Pembelajaran itu ada kaitan dengan minat yang terpupuk sejak kecil, pengalaman hidup dan persekitaran yang ditempuh. Dalam tulisan ini saya tidak berminat membincangkannya dari sudut demikian. Memadai saya katakan bahawa Ustaz adalah seorang yang bersifat gifted dan talented berdasarkan pengetahuan dan pergaulan saya bersamanya.

Saya berpendapat bahawa istilah gifted dan talented adalah merupakan kesepaduan dua sifat yang tidak boleh dipisahkan. Dalam Bahasa Melayu, gifted dan talented diertikan sebagai ‘pintar cerdas’. Pintar adalah merujuk pada akal hebat yang dianugerah Tuhan, manakala cerdas adalah merujuk pada kebolehan semula jadinya. Bila kedua-dua sifat itu dipupuk, maka hebatlah orang itu. Sebaliknya, kalau dipupuk tanpa ada kebolehan semula jadi berkenaan, tahap pencapaiannya tidaklah berprestasi tinggi. Hal yang demikian bolehlah kita lihat di sekolah. Pelajar yang telah ada sifat pintar dan cerdas, apabila dipupuk maka ketrampilannya amat hebat sekali. Sebaliknya, mereka yang tidak ada sifat yang sedemikian, pencapaian hebatnya adalah pada satu takad yang tertentu sahaja.

Dalam bidang nyanyian, nama-nama penyanyi hebat seperti P. Ramlee, Sharifah Aini, Siti Norhaliza, Sudirman, semuanya saya anggap sebagai mereka yang berbakat iaitu talented. Kita berasa kagum akan pencapaian mereka dalam bidang seni suara. Suaranya amat merdu. Dengan sedikit latihan, bakat itu mudah diserlahkan. Tentunya hal yang demikian berbeza dengan penyanyi umum yang lain. Mereka akan tenggelam timbul mengikut situasi dan musim. Ada antara mereka yang ghaib terus walaupun satu ketika dulunya amat terkenal dalam bidang itu. Sesaja saya ambil contoh bidang nyanyian.

Dalam tulisan ini, saya lebih suka menggunakan istilah gifted dan talented. Tafsiran Gifted adalah merujuk pada potensi. Kebolehan berfikirnya adalah lebih tinggi daripada orang lain dalam beberapa bidang. Bukannya tertumpu pada satu bidang sahaja.

Manakala istilah Talented adalah merujuk pada bakat iaitu mereka yang mempunyai kemahiran yang lebih tinggi, berbanding dengan mereka yang bergiat dalam satu-satu lapangan. Maknanya, orang yang talented, mempunyai kemahiran yang luar biasa dalam satu-satu lapangan tersebut.

Kesimpulannya, kita boleh mengatakan bahawa orang yang gifted dan talented itu adalah mempunyai kelebihan dalam kebolehannya. Oleh sebab Ustaz Hanafi saya anggap sebagai gifted dan talented, maka dalam tulisan ini, saya akan buktikan kehebatannya atau kebolehannya yang luar dari kebiasaan, berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya bersama dengannya. Pembuktian tersebut adalah berdasarkan sudut pandangan saya dalam empat aspek utama. Aspek-aspek itu ialah dalam intelektual, daya kretivitinya, ekspresi diri dan aspek sosial dan kepimpinan. Sesungguhnya, Ustaz mempunyai kelebihan dalam kebolehannya. Saya akan bincangkan ciri-ciri yang ada dalam aspek berkenaan dengan mengambil kira contoh yang ada pada Ustaz.

Gifted dan talented dalam intelektual.

Saya berpendapat bahawa kebolehan intelek Ustaz adalah tinggi. Pandangan yang diberi Ustaz dapat dihurainya dengan jelas dan mudah difahami serta logik sifatnya. Pendapat Ustaz dapat dijadikan sandaran ketika berbincang. Malah, ada yang menjadikan pendapat Ustaz itu sebagai ‘peluru’ ketika berbahas pada satu-satu tajuk tertentu. Tidak hairanlah saya dapati bahawa Ustaz sering dikunjungi orang-orang politik dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan untuk mendapatkan pandangan. Kerap kali saya bersua dengan kunjungan mereka tersebut ketika balik awal dari kuliah.

Kebolehan istimewa Ustaz tidak terikat dalam satu-satu bidang. Walaupun Ustaz memberi tumpuan dalam bidang persilatan, kebolehannya juga terserlah dalam bidang yang lain. Saya hanya menyentuh beberapa bidang yang menonjolkan kehebatannya. Umum mengetahui bahawa gelaran Ustaz itu memberi maksud ketinggian ilmunya dalam bidang agama. Memang sesuai Ustaz memakai gelaran tersebut. Dalam konteks masyarakat Melayu, gelaran Ustaz itu melambangkan ketinggian ilmu agama. Kalau telah mendengar syarahannya, terasa ‘tawar’ apabila mendengar syarahan orang lain. Ustaz pernah dijemput mengambil bahagian dalam majlis foram anjuran RTM pada satu ketika atas tajuk ‘Mandi Safar.’

Ustaz juga hebat dalam bidang politik. Walau bagaimanapun penglibatannya adalah tidak secara langsung dalam mana-mana parti politik. Pemikirannya luas dalam hal-hal yang berkaitan dengan politik negara. Pandangan yang diberinya amat jelas dan mudah difahami serta mudah bagi kita menyetujuinya. Setuju bukan kerana kedudukannya sebagai Guru Utama, sebaliknya penjelasan yang diberi adalah menyakinkan dan mudah diterima. Beliau pernah terlibat dalam beberapa pergerakan politik sebelum menjalankan tugas sepenuh masa dalam bidang persilatan.

Hal yang demikian tidak menghairankan kita apabila Ustaz berjaya menyusun jentera persatuan berjalan dengan kemas dan teratur berdasarkan pengalamannya berpersatuan. Ustaz berjaya meletakkan batu asas yang kukuh bagi menonjolkan kemasyhuran SC untuk masa-masa seterusnya. Kalaulah kita tidak berpecah, adatnya saya yakin bahawa SC akan menguasai keseluruhan pergerakan silat dalam tanah air kita ini.

Kehebatan Ustaz juga tertonjol dalam bidang perubatan tradisional. Hal yang demikian tidak menghairankan kita kerana Ustaz pernah terlibat dalam kegiatan ubatan trasional. Saya tidak ada pengetahuan banyak tentang kegiatan Ustaz itu. Akan tetapi saya pernah melihat Ustaz menimbang bahan-bahan untuk membuat ubat semasa kunjungan saya ke rumahnya.

Pengetahuan Ustaz dalam hal-hal yang berkaitan dengan pelbagai budaya masyarakat Melayu adalah tidak dapat dinafikan. Pengetahuannya tentang ilmu-ilmu megah yang diamalkan oleh masyarakat kita adalah amat luas. Begitu juga dengan bidang-bidang lain yang berkaitan dengan adat budaya masyarakat Melayu.

Sebenarnya kelebihan intelek Ustaz amat luas dalam banyak bidang. Kata-katanya bernas dan mudah diterima secara pemikiran biasa yang ada. Tidak hairanlah saya perhatikan, walaupun ada yang menentang kepimpinannya, akan tetapi pemikirannya tetap diakui dan diterima pakai. Ustaz dikenali sebagai seorang yang bijak. Itulah lambang seorang tokoh yang gifted dan talented. Gambar yang saya sertakan berkaitan dengan perasmian koperasi kita dulunya. Di samping bidang persilatan, Ustaz juga berkebolehan dalam bidang perniagaan. Bersambung.

20120906-121838.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 06/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: