RSS

45.0 GIFTED ATAU CREATED

04 Sep

Saya begitu tertarik tentang persoalan mengenai Ustaz yang dikemukakan seorang ahli pada saya. Kebolehan Ustaz adakah secara gifted atau created. Kita mungkin boleh membuat pelbagai pendapat mengenai Ustaz. Semuanya adalah berdasarkan pengetahuan atau pengalaman bersamanya. Walau bagaimanapun, dalam konteks sekarang, persoalan yang sebegitu adalah lebih baik, berbanding dengan persoalan dulu-dulu yang berasas pada perasan dan mungkin tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

Kalau zaman dulu-dulu, ramai yang kagum dengan kebolehan yang ada pada Ustaz. Hal yang demikian menyebabkan mereka memberi pelbagai gelaran pada Ustaz berdasarkan tafsiran mereka sendiri. Ada yang mengatakan Ustaz sebagai wali Allah, ada yang mengatakan Ustaz sebagai keramat dan sebagainya. Saya rasa, dalam zaman sekarang, gelaran-gelaran itu tidak menarik perhatian. Dalam konteks pemikiran sekarang, generasi baru menuntut sesuatu yang lebih bersifat objektif dan boleh dibuktikan. Menghubungkan sesuatu secara luar biasa, mungkin kurang popular lagi. Malah saya rasa, merekapun tak berminat dengan gelaran-gelaran tersebut.

Ustaz sendiri tak pernah mengakui dirinya sebagai sesekian gelaran melainkan gelaran Ustaz. Gelaran tersebut bersepadu dengan tugasnya sebagai Guru Utama. Ustaz lebih selesa dengan gelaran itu. Pemikiran Ustaz lebih objektif dan berpijak di bumi nyata. Sepanjang pergaulan saya dengannya, Ustaz tidak pernah mengisytiharkan dirinya dengan apa-apa gelaran, semata-mata untuk mendapatkan penghormatan dan keyakinan dari orang lain.

Cuma, ketika di pejabat lama, Ustaz pernah memberi ceramah khas tentang pengertian Sheikh. Seiring dengan ceramahnya, pengertian itu di tulis atas papan hitam. Tempoh tulisan itu dalam jangka masa lama. Agaknya, agar ahli-ahli benar-benar memahami tentang pengertian dan boleh sentiasa baca dan ingat. Ketika memberi ceramah, Ustaz memakai songkok. Itulah sifat Ustaz. Apabila bercakap tentang tajuk-tajuk yang serius, Ustaz akan memakai songkok. Sepanjang pengalaman saya dengan Ustaz, ada dua kali Ustaz memakai songkok sebelum bercakap. Satu lagi tajuk ialah mengenai kemunculan Imam Mahadi dan Dajjal.

Saya pernah mendengar syarahan Ustaz dan membaca tulisan tersebut. Pengertiannya sentiasa terpahat dalam hati hingga sekarang. Dalam tulisan ini, saya hanya tulis berdasarkan daya ingatan saya yang lalu. Salinan idea Ustaz itu, entah ke mana.

Istilah ‘Sheikh’ bukannya merujuk khas pada nama atau gelaran seorang tertentu. Sebaliknya istilah itu berupa konsep yang merujuk pada sifat-sifat yang dimiliki oleh seseorang. Siapakah orang itu. Pastinya orang itu adalah mereka yang memiliki sifat-sifat berdasarkan ciri-ciri yang Ustaz tuliskan pada papan hitam tersebut. Ada ciri-ciri itu maka layaklah mereka bergelar sheikh.

Berdasarkan kefahaman dan daya ingatan saya, ada beberapa ciri bagi pengertian seorang sheikh. Orang yang bergelar sheikh itu mestilah mempunyai sifat sentiasa bercakap benar. Cakapnya serupa bikin. Apa yang ada dalam hati maka itulah yang dikeluarkan melalui mulutnya. Orang-orang yang sebegini adalah kurang popular. Rupa-rupanya, bercakap benar atau bercakap secara terus terang, amat tidak digemari oleh orang ramai. Dalam konvensyen persilatan Melayu di USM, Pulau Pinang, Ustaz ada membentangkan kertas kerja berkaitan dengan SC. Pembentangan secara berani dan terus terang itu telah mula menarik perhatian silat-silat lain pada SC. Persilatan lain mula ‘membenci’ SC yang dipimpin oleh seorang guru yang berani dan bersikap terus terang. Ekoran Konvensyen itulah maka timbulnya polimik dalam akhbar dan dalam Dewan Masyarakat. Ustaz tabah menghadapinya dan berjaya mengatasi sebarang kemelut dan fitnah yang ditimbulkan untuk maksud menjatuhkan SC.

Seorang sheikh itu, apabila bercakap, maka kesan percakapannya akan menusuk hingga ke ‘tulang hitam’. Keberkesanan percakapannya amat besar pada pendengar. Tentulah isi percakapannya adalah berkaitan dengan panduan hidup di dunia dan di akhirat. Bentuk huraiannya adalah secara aplikasi. Oleh itu, apabila mendengar percakapannya, semangat yang kurang, dapat ditambahkan, motivasi diri bertambah peningkatannya dan jiwa yang lesu dapat dipulihkan. Badan terasa segar, mata tidak mengantuk. Susunan penyampaiannya adalah tersusun secara berperingkat dan mudah untuk penerimaan pendengar secara faham dan akur. Percakapannya “kelagi-lagi” untuk didengar hingga tak sedar waktu penghujung. Kita akan berasa puas setelah mendengar percakapannya. Hal yang demikian adalah merupakan santapan rohani yang amat berkesan. Tak payah makan ubat naik semangat.

Isi percakapannya adalah praktikal dan mengenai akan diri kita sendiri. Hal yang demikian membolehkan kita menjadikan percakapannya sebagai panduan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Percakapan yang sedemikian bukan mudah dilakukan oleh seseorang yang tidak berwibawa. Ramai yang hebat, tapi untuk dirinya sahaja. Mereka gagal untuk menarik orang lain bersifat seperti mereka. Hal yang demikian bukanlah ciri-ciri sheikh. Seorang yang dikatakan sheikh itu adalah mereka yang dapat memandu orang lain ke tahap yang diharapkan oleh seseorang itu.

Huraian di atas adalah berkaitan dengan sifat diri sheikh berkenaan yang memberi kesan pada pendengar. Di samping itu, sifat sheikh itu juga akan memenuhi kehendak pendengar secara langsung. Apabila seseorang itu menghadapi masalah dan berasa risau hingga hati tidak tenteram, bertemu sahaja dengan sheikh, jiwanya akan menjadi tenang. Masalah yang dihadapinya dapat dirungkaikan dengan baik hingga menjadikan masalah itu bukan lagi masalah. Penerangan yang diberi adalah jelas dan amat menyakinkan.

Sebenarnya, taraf ketenangan yang diberi oleh sheikh itu bukan terhad setakat mendengar percakapannya. Sebaliknya, berjumpa atau bersua muka dengannya juga telah menyebabkan hati kita berasa tenang dan lapang dada. Kita berasa senang dan selesa ketika bersamanya. Tidak ada perasaan curiga atau perasaan seolah-olah diancam ketika bersama.

Berdasarkan kefahaman saya tentang sheikh yang dihuraikan Ustaz, ketika itu saya dapat simpulkan bahawa Ustaz adalah merupakan seorang sheikh. Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa Ustaz tak pernah mengisytiharkan dirinya Sheikh Tajrid. Saya saja yang membuat kesimpulan. Saya berpendapat bahawa sifat sheikh yang ada pada dirinya adalah tersembunyi. Hanya mereka yang memahami dan mengetahui kelebihan Ustaz saja yang dapat menilai kehebatannya itu. Pada ‘musuh’ Ustaz, pasti akan nampak perkara buruk sahaja. Biasalah perwatakan demikian pada yang membenci.

Semasa saya menuntut dulu, kami dikehendaki memberi salam pada sheikh berkenaan pada masa tidur dengan kain putih. Sekarang telah bertukar dan Ustaz sendiri yang menukarkan lafaz salam itu bagi memudahkan pembelajaran anak muridnya. Ustaz pernah mengupas tentang maksud Sheikh Tajrid. Pengertiannya ialah berbentuk konsep atau simbolik yang membawa maksud tertentu. Hanya mereka yang berilmu dan berpengalaman sahaja yang dapat memahami dan mengetahui akan maksud sheikh berkenaan. Pastinya kesimpulan itu hanya mampu dilakukan oleh mereka yang berdamping erat dengan Ustaz. Saya sertakan sekeping gambar kenangan saya mengiringi Ustaz ke UPM. Sebelah kiri Ustaz ialah Presiden SC UPM yang pertama tahun 1976/77. Bersambung.

20120904-125544.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 04/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: