RSS

44.0. ERTI KEMERDEKAAN.

01 Sep

Semua orang menyambut hari kemerdekaan pada hari Sabtu yang lalu. Sambutan yang dibuat adalah dalam pelbagai bentuk. Menikmati cuti awam, duduk di rumahpun dikira meraikan hari kebangsaan. Apatah lagi jika berehat di rumah sambil menonton rancangan tv yang berkaitan kemerdekaan. Tak kiralah sama ada rancangan drama ke atau program yang disiar kerana menyambut hari kemerdekaan, atau menyaksikan perarakan perayaan tersebut secara langsung.

Biasanya kemerdekaan dikaitkan dengan politik negara kita yang bebas dari cengkaman penjajah. Walau bagaimanapun, ketika ini, masyarakat lebih suka membincangkan kemerdekaan dalam konteks aplikasi. Proses kemerdekaan telah berlalu. Sama juga dengan perayaan sambutan Maal Hijrah. Hijrah telah berlalu, maka perbincangan mengenainya lebih banyak dalam konteks hijrah diri seseorang.

Dalam tulisan ini, saya ingin membincangkan tentang erti kemerdekaan pada diri saya sendiri dalam konteks SC. Diharapkan berdasarkan isi tulisan ini dapatlah saya berkongsi pengalaman dan kefahaman dengan ahli-ahli SC sekalian.

Sepanjang pergaulan saya dengan Ustaz, penglibatan Ustaz dalam gerakan kemerdekaan tetap ada. Walau bagaimanapun, tidak banyak pengetahuan saya tentang hal yang demikian. Cuma, saya difahamkan bahawa Ustaz pernah terlibat dalam pergerakan politik ‘Seberkas’. Saya lebih banyak mendengar daripada bertanya dalam hal-hal yang lain daripada silat. Oleh itu tak banyak perkara yang saya tahu tentang kegiatan Ustaz dalam politik. Cuma, kesimpulannya pada saya, tidak hairanlah Ustaz berjaya menyusun pergerakan persatuan SC dengan begitu baik dan mantap berdasarkan pengalamannya berpolitik.

Ketika Ustaz memegang jawatan sebagai pemimpin SC, beliau jarang sekali menyentuh soal-soal politik tanah air. Cuma, sekali sekala, Ustaz ada berbuat demikian. Ketika bercakap tentang politik tanah air, isi percakapan Ustaz adalah bernas. Tidak hairanlah pada ketika-ketika tertentu, Ustaz pernah dikunjungi oleh orang-orang tertentu untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang politik tanah air. Malah kerap kali Ustaz mendapat maklumat awal dalam satu-satu perkara berkaitan dengan dasar negara. Saya pernah terserempak dengan situasi pertemuan yang berkenaan.

Saya tidak dapat menulis panjang tentang soal ini kerana pengetahuan saya adalah agak terhad. Ketika itu saya lebih berminat dengan Silat Cekak sahaja. Hal-hal yang lain dan tidak berkaitan dengan SC, kurang diambil peduli. Peranan saya hanyalah setakat mendengar sahaja tanpa perlu berfikir panjang lagi berkenaan dengan perkara tersebut. Cuma, apabila saya membincangkan tajuk yang kurang berkaitan dengan SC, saya hanya mengenang kembali atas pengalaman saya dulu bersama Ustaz atas perkara yang berkenaan.

Pemakaian tema hari kebangsaan tahun ini telah menimbulkan perbahasan. Ada yang setuju dan ada yang membangkang. “Tema politik”, kata mereka. Saya tidak berminat untuk mengulasnya. Dalam kehidupan biasa, saya sering temui betapa ramai orang yang berjanji tapi amat sukar untuk ditepati. Ada juga yang memandang rendah dan menghina orang yang gagal menunaikan janji, pada hal di waktu yang lain, dia juga gagal menunaikan janji yang dibuatnya.

Saya sering mendengar cacian rakan-rakan atas janji rakan lain yang tidak ditunaikan. “Itulah janji Melayu. Cakap tak serupa bikin.” Itulah antara lain ayat yang sering dikeluarkan bagi menunjukkan kehebatan dirinya yang lebih amanah agaknya. Dia tak sedar betapa dirinya juga orang manusia Melayu. Di ketika yang lain, dia pula telah gagal menunaikan janji yang diberi. Maka orang lain pulak yang mencacinya. “Itulah janji Melayu”.

Malas saya nak cakap lagi. Itulah akibatnya jika suka sangat melepaskan geram dengan cara mengeji tanpa meninjau tahap atau nilai diri sendiri. Bercakap adalah lebih senang dari melaksanakannya. Ramai orang yang pandai bercakap dan membuat komen tentang orang lain. Sebaliknya diri sendiri tidak terjaga hingga bersifat sama seperti orang yang dikecamnya. Dia juga tidak sedar bahawa dirinya juga manusia. Ada masanya dia sendiri akan bersifat positif dan ada masanya akan bersifat negatif. Tidak menunaikan janji adalah merupakan salah satu sifat negatif manusia.

Cuma, sebagai ketua keluarga, jangan sampai anak kita pula yang berkata, ”Ayah ni cakap bohonglah. Ayah penipu. Janji nak bawak jalan-jalan. Tapi tak buatpun.” Janji tak ditepati. Jangan pulak ayah jenis ini hentam tema hari kebangsaan. Malu pada diri sendiri. Monyet dan berok akan ketawa berdekah-dekah kerana anak sendiripun dah tak percaya. Agakan sahaja.

Dalam tulisan ini saya lebih suka menulis berdasarkan pegangan saya dalam alam pemikiran SC. Pada saya, berjanji dan menunaikan janji adalah merupakan perbuatan yang bersepadu. Jika gagal melaksanakan janji maka jadilah dirinya sebagai pembohong. Nisbah pembohong adalah pelbagai. Ada yang bergelar ‘bapak pembohong dan ada yang bergelar suka berbohong.’ Berdasarkan pengetahuan saya juga, janji kita terbahagi dua. Satu jenis ialah berkaitan dengan apa yang kita ucapkan. Satu lagi jenis adalah berdasarkan apa yang diazamkan dalam hati untuk maksud pelaksanaan.

Cuma, apa yang dijanjikan dalam dirinya sendiri, hanya dirinya saja yang mengerti untuk meletakkan tahap dirinya. Kalau berjanji berhenti hisap rokok tapi hanya sementara, maka dia saja yang tahu akan tahap kualiti dirinya sendiri. Orang lain tidak akan tahu. Melainkan Tuhan saja yang tahu. Inilah salah satu sifat orang yang tidak jujur pada jiwanya. Maka sukarlah bagi dirinya untuk menguasai isi pelajaran tersirat yang ada dalam Silat Cekak. Bak kata pantun SC, “Silat Cekak pada lahirnya, pengertian gerak pada batinnya, hendaklah mahir seluruh anggota, hendaklah jujur pada jiwanya.”

Sesuatu yang telah diucapkan, maka akan menjadi ukuran atau penilaian orang lain. Di situlah akan lahir kata-kata, ‘dia buat apa yang dia cakap, dia telah menunaikan janji. Atau sebaliknya timbul kata-kata, “penipu, pembohong, cakap tak serupa bikin, borak, auta” dan banyak lagi perkataan lain. Yang pastinya, perkataan-perkataan negatif lebih banyak berbanding dengan perkataan positifnya. Hal yang demikian mungkin kerana manusia sememangnya suka mengamalkan sikap negatif. Amat sedikit manusia yang bercakap benar. ‘Apa yang ada di hati maka itulah yang diluahkannya melalui mulut secara beradap.’ Itulah sifat orang yang bercakap benar.

Ustaz amat mengambil berat tentang prinsip mengotakan janji. ‘Lebih baik jangan berjanji kalau rasa-rasanya sukar ditepati’. Nasihat yang sering diberi Ustaz. Saya ada pengalaman tentang hal yang demikian. Pernah satu ketika saya berkunjung ke rumah Ustaz di Jalan Keramat. Saya pergi secara berseorangan. Ketika tiba, Ustaz telah ada tetamu. Mereka berbual di meja panjang di ruang tetamu. Selepas bersalam, saya terus duduk di kerusi set yang lain. Saya tidak bersama mereka kerana Ustaz nampak serius ketika itu. Ada hal yang sedang dibincangkannya. Saya duduk berseorangan. Namun begitu, telinga saya mendengar akan perbualan mereka tersebut. Ustaz sedang berbual dengan seorang ahli SC yang baru aktif dalam SC. Walaupun baru, beliau telah banyak membantu mengembangkan SC di beberapa daerah lain. Bersambung.

20120902-111527.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 01/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: