RSS

44.1. ERTI KEMERDEKAAN.

01 Sep

Rupa-rupanya ketika itu Ustaz sedang memarahinya. Antara lain ayat-ayat Ustaz yang saya masih ingat,”Kalau dah berjanji, tak kiralah hujan ka, ribut ka, mesti datang.”

Selepas ahli berkenaan balik, saya tidak bertanyapun tentang hal yang dibincang. Ustaz terus berbual tentang prinsip bercakap benar. Saya dengar sahaja. Tahulah saya betapa ahli berkenaan tidak menunaikan janjinya pada Ustaz. Sejak peristiwa itu, saya tak pernah lagi berjumpa dengannya. Ghaiblah maknanya. Entah ke mana perginya, kerana saya tak berminatpun nak bertanya.

Menyentah tentang istilah kemerdekaan, dalam SC ada satu rangkap pantun yang berkaitan dengan kemerdekaan. “Lahirnya Cekak kerana kesedaran, Bukan bermusuh sebagai tujuan, Untuk mendaulatkan seni kebangsaan, Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.”

Kemerdekaan adalah bermaksud perihal mereka yang bebas atau kebebasan. Istilah kemerdekaan juga adalah berasal dari istilah merdeka yang membawa maksud; bebas , lepas dari tebusan, tuntutan, berdiri sendiri atau tidak bergantung pada yang lain.

Kalau berdasarkan makna dan perbincangan tersurat pantun berkenaan, Ustaz mengetengahkan SC dengan pelbagai tujuan. Di samping menentang amalan kurafat dan tahyol yang sering berleluasa dalam medan ilmu megah orang Melayu, SC adalah merupakan “silat akhir zaman”. Kehebatannya adalah satu realiti bagi mengembalikan semula kegemilangan ilmu bela diri orang Melayu. Namun begitu, dalam proses peluasannya, SC tidak bermaksud untuk menyentuh perasaan pesilatan Melayu lain. Kita tidak mahu membentuk musuh dalam persilatan. Kita hanya membuktikan kehebatan SC tanpa merendahkan persilatan lain. Malah dalam ikrar kita, bentuk cacian yang sedemikian adalah dilarang sama sekali pada silat-silat Melayu yang asli. Kita tetap menghormati bidang persilatan Melayu.

Ustaz yakin dan percaya bahawa silat yang dibawanya mampu mengembalikan semula kehebatan seni bela diri orang-orang Melayu dan boleh menempatkan kehebatan silat Melayu dalam pemikiran orang-orang Melayu. Silat Melayu perlu ‘didaulatklan’. Di sinilah SC memainkan peranan sebagai peneraju utama atau sebagai peneraju mutlak bagi mengembalikan semula kegemilangan dunia persilatan Melayu. Sepatutnya orang-orang Melayu menerima baik hasrat dan kehadiran SC, berbanding dengan seni bela diri lain dari negara-negara luar.

Kalau negara saja yang merdeka tapi fikiran masyarakat kita masih dijajah dengan anggapan sesuatu yang terhasil dari luar itu adalah baik, maka kuranglah nilainya erti kemerdekaan. Dalam konteks silat, kemerdekaan adalah bermaksud merdekakan hati dan jiwa daripada terikat dengan seni bela diri negara luar. Kita berbangga dengan seni bela diri yang ada dalam negara sendiri. Dalam hal ini, cintailah seni silat Melayu dan SC adalah merupakan satu pilihan yang terbaik.

Dalam pengertian tersirat, banyak perkara lain yang boleh kita kaitkan dengan makna kemerdekaan. Saya lebih suka menghubungkan perbincangan tentang kemerdekaan pada aplikasi diri dalam kehidupan harian. Kalau kita inginkan kebebasan hati dan jiwa maka perkara utama yang penting ialah jangan terikat pada sesuatu. Bak kata Ustaz,”Jangan jadi umpama pacat yang kenyang atas sifat pihak lain yang menjadi mangsa”.

Asas pada prinsip menghindarkan diri dari gejala buruk itu, ada dalam kefahaman SC. Ustaz pernah mengupas beberapa perkara yang boleh dijadikan asas pada prinsip atau pegangan hidup kita. Misalnya, cuba kita lihat beberapa kenyataan seperti yang berikut.

a.Kita lahir ke dunia sorang-sorang. Tak ada orang lain yang panggil kita lahir ke dunia. Bersabit kedua ibu bapa kita dilahirkan dan bersabit guru-guru, kita mengenal dunia. Maka, hormati kedua ibu bapa dan guru-guru kita yang banyak memberi panduan untuk kehidupan dunia dan akhirat.

b.Ketika hidup, selalu kita kaitkan dengan hikmah atas kejadian sesuatu itu. Jangan susah hati. Kita lahir tidak ada apa yang dibawa bersama. Bogel sahaja. Kalau sesusah mana sekalipun tapi masih ada pakaian yang menutup tubuh kita maka bermakna kita masih ada kesenangan.

c. Kita boleh berasa susah hati jika sesuatu yang sama jadi dengan kita telah tiada. Itu sebabnya kita wajib menjaga tubuh badan kita yang dianugerahkan Tuhan pada kita.

Kefahaman yang ada dalam SC itu akan membolehkan kita mengenal diri. Dalam bahasa mudah, mengenal diri bermakna sedar akan diri kita atas sifat seorang hamba. Saya tak boleh tulis panjang dalam tulisan ini. Bahasa lisan tak sama dengan tulisan. Takut pembaca salah tafsir. Cuma, yang pentingnya ialah jangan berbohong. Jangan menipu. Jangan mungkir janji. Selagi kita bersifat bohong maka selagi itulah kita dibelenggu oleh sifat hati atau sifat jiwa yang tidak jujur. Maka tiadalah ertinya kemerdekaan pada diri manusia berkenaan.

Jagalah atau awasilah ‘area-area’ yang membolehkan kita berbohong. Jawatan yang disandang adalah merupakan salah satu area yang perlu diberi perhatian. Berilah perhatian tentang jumlah masa yang sepatutnya bekerja. Jangan curi tulang. Jaga-jaga tentang pelbagai jenis tuntutan dan banyak lagi perkara yang berkaitan dengan tanggungjawab yang dimanahkan pada kita. Area yang lain adalah berkaitan dengan kawan sekeliling. Kerana kawan, ramai yang berbohong sama ada pada kawan berkenaan atau pada orang lain demi ‘menjaga’ kawan. Minat juga boleh menyebabkan kita berbohong. Terlalu minat pada silat juga memungkinkan kita berbohong pada anak dan isteri. Banyak area lain yang perlu diberi perhatian. Saya tak akan mengulas panjang hal yang demikian.

Dalam konteks persilatan, berhati-hatilah daripada mengamalkan sifat-sifat suka berbohong. Seperti yang saya tegaskan, orang-orang yang berbohong adalah terdiri dari mereka yang tidak jujur hati dan jiwanya. Maka kesannya, akan mengganggu niat kita untuk menguasai “hakikat gerak” bidang persilatan SC.

Umumnya, dalam konteks persilatan, mereka yang memegang jawatan Penyelia, Jurulatih dan penguasa persatuan perlu berhati-hati agar tidak terdedah dengan jejala bohong. Penuhi janji untuk melaksanakan semua perancangan yang berkaitan dengan kegiatan persilatan SC. Ketepatan masa dan tarikh kegiatan persilatan, jangan dipermudahkan. Isi pelajaran jangan disimpan. Pelajaran yang wajib diajar jangan disorok atas pelbagai alasan. Tipu namanya. Perancangan persatuan perlu dilaksanakan mengikut jadual. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan kita dalam dunia pembohongan. Pembelajaran SC tidak akan berkat kerana hati dan jiwa tidak ada kejujuran.

Sebagai kesimpulannya, erti kemerdekaan pada saya dalam konteks SC ialah kebebasan hati dan jiwa kita. Jangan terikat dengan kawan atau kepentingan diri hingga memaksa kita menggadai kefahaman SC yang telah diasaskan Ustaz Hanafi. Perkatakan kebenaran secara beradap dan bersopan walaupun diri mungkin tidak popular. Itulah maksud menyesuaikan diri dengan makna kemerdekaan. Sekian ulasan saya tentang tajuk ini. Teringat Kg Pelet.

20120902-045008.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 01/09/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: