RSS

43.2. KENANGAN DI PAGI RAYA.

23 Aug

Tiba-tiba terdengar suara serak mikrofon beberapa ketika. Sekelip mata suara takbir yang dialun secara beramai-ramai, terhenti serta merta. Seorang imam bangun memberi ucapan. Bukan ucapan hari raya tapi ucapan penerangan tentang sembahyang hari raya. Hati berkata-kata juga. Setiap tahun kena ajar sembahyang raya. Walaupun katanya ucapan itu untuk generasi muda, tak akan generasi muda tak diajar ibu bapa. Pelajaran di sekolahpun ada. Laaa!. Cepat-cepat saya sedar diri. Tak nak hilang pahala lagi. Eloklah budaya ingat-mengingat disemarakkan selalu.

Selesai sembahyang ada kutbah. Panjang juga. Temanya tentang kemerdekaan. Muak pula mendengarnya. Apa tah lagi ada isu mengenai temanya. ‘Janji pasti ditepati.’ Lebih kurang itulah bunyinya. Maka itulah perdu isi kutbah yang diputar-putar perbicaraannya. Dah tahu sensitif, buat apa dicakapkan lagi di pagi raya. Patutlah para jemaah diingatkan supaya duduk mengikuti kutbah selepas mengerjakan sembahyang. “Sia-sia sembahyang hari raya jika tak dengar khutbah hari raya.” Itulah kata-kata tok imam dalam ucapannya sebelum mengerjakan sembahyang. Agaknya, kerana ancaman itulah para jemaah tak cabut lari.” Agakan saja. Tak berani buat kesimpulan sendiri. “Dosa kering”.

Apa nak buat. Duduk saja mendengar janji yang sentiasa ditepati. Itulah lebihnya sifat orang Melayu. Kutbah adalah merupakan satu suasana yang boleh menundukkan segala sifat baran atau sifat membangkang. Setuju atau tak setuju, kena dengar. Tak boleh bantah-bantah. Kutbah raya selepas sembahyang. Kalau nak cabut, memang boleh. Tapi, mungkin mereka teringatkan ancaman imam sebentar tadi. Maka duduklah mereka mematikan diri.

Dalam suasana senyap para jemaah mendengar isi kutbah yang ‘menarik sekali’, maka datang lagi kenangan lama untuk mengisi fikiran yang merewang. Kali ini saya kontrol fikiran saya. Jangan mengungkit perjuangan yang lalu. Yang telah berlalu, tetap berlalu. Ungkit-ungkit orang tak suka. Tapi kata hati,”Bukan mengungkit. Hanya mengenangkan hal.” Boleh juga dijadikan panduan dan renungan untuk generasi baru. Itupun kalau berlapang dada dan berlapang fikiran.

Kalau mengenang kisah lama bermakna kita merintih dan merengit sepanjang masa. Itulah pemikiran orang pasif dan berfikiran negatif. Pelakuan sedemikian akan membunuh jiwa yang matang. Orang hebat sentiasa memandang ke depan. Apa yang telah berlaku, jadikan sandaran dan pengalaman. Perkara buruk jadikan teladan. Perkara baik jadikan sandaran. Mengungkit kenangan lama berkaitan tugas dan keluarga hanya merupakan rintihan sementara. Tapi, nak buat macam mana. Gara-gara telah lama berkecimpung dalam SC. Pastinya persatuan SC yang saya tak sokong, berterusan menolak pengorbanan yang telah saya lakukan dulu, walaupun ada kaitan dengan persatuan mereka. Alasannya satu. Kenapa pilih geng lain!!. Chitt!.

Ingatan Tok Imam tentang sembahyang hari raya menyebabkan terlintas kembali kenangan lama. Banyak perkara berkaitan sembahyang yang memberi pengetahuan dan pengalaman kepada saya sepanjang bersama Ustaz. Pernah satu ketika Ustaz dikunjungi orang luar yang bukan ahli. Saya ada bersama Ustaz ketika itu. Persoalannya entah apa-apa. Lebih kurang begini bunyinya. “Kenapa kita niat menggunakan perkataan ‘sahaja’. Bukankah perkataan ‘sahaja’ menunjukkan kurang minat atau tidak bersungguh-sungguh.” Dikaitkannya perkataan sahaja dengan sesaja. Menurutnya lagi, ramai guru yang dia jumpa. Semua jawapan tidak memuaskan hatinya.

Saya pun hairan. Soalannya simple saja. Yang penting ialah sembahyang. Itulah kata hati saya. Tetapi Ustaz melayan juga pertanyaan bukan ahli berkenaan. Jawapan Ustaz ialah berkaitan keikhlasan dan tidak ada matlamat apa-apa melainkan kerana Tuhan. Panjang lebar juga jawapannya. Barulah dia faham. Hati kecil saya berkata-kata. Ustaz sanggup juga melayan karenah bukan ahli. Tapi, mungkin ada strategi.

Orang kita sangat suka membuat isu. Jadi tabiat agaknya. Kalau bulan Ramadhan, isu rekaat sembahyang tarawih, tak habis-habis dibicara. Sejak saya kecil lagi hingga sekarang, tetap ada perbincangan mengenainya. Banyak kejadian lucu yang mencuit hati. Ada juga yang menegakkan pendapat dua puluh rekaat tapi sampai lapan menghilangkan diri. Ketika berbincang, bukan main sekali. Ada juga yang sukakan lapan rakaat. Tapi selalu ‘mis’ mengerjakannya. Banyak alasan diberi. Bila berbincang, hebat sekali. Bila mengerjakannya, lembab berkali-kali.

Isu tentang Doa Qunut pun selalu dibincangkan di zaman saya. Macam-macam hukum yang diberi. Bertegang urat leher bagi mempertahankan pendapat. Bidaah katanya. Akan tetapi, ketika subuh, maka Subuh yang menanti. Bukan dia tunggu Subuh, tapi Subuh tunggu dia. Cakap saja gah. Pelakuan entah ke mana. Macam mana saya tahu. Sebab pernah duduk serumah dengan sifat rakan sedemikian. Patutlah kata Saidina Omar. Nak tahu tentang sifat sebenar seseorang, duduklah selama lima hari bersamanya. Baru kita tahu akan cakapnya sama ada cakap serupa bikin atau gebang kosong atau borak sahaja.

Terlintas pula kenangan tentang bacaan Fatihah. Masa saya kecil-kecil dulu, Fatihah mesti dibaca dengan tujuh ayat. Oleh sebab bacaan Bismillah dikira satu ayat, maka ayat terahir dalam Fatihah, mesti dibaca senafas. Kalau gagal berbuat demikian, kena ulang balik ayat sebelumnya. Tapi sekarang ini saya dengar bacaan ayat terakhir dalam Fatihah dah ada berhentinya. Maknanya dah jadi lapan ayat kalau dikira Bismillah sebagai satu ayat. Namun begitu, tak ada isu lagi. Dulu agaknya angka tujuh membawa makna yang sungguh sensitif. Ramai yang beminat untuk berbahas. Sekarang senyap sepi.

Teringat pulak kenangan akan syarahan Ustaz tentang nama-nama syaitan dalam bacaan Fatihah. Ada tujuh tempat. Angka tujuh juga. Ustaz pernah membuka kitab yang menyentuh persoalan demikian. Saya pun beli. Tulisan jawi. Merangkak juga apabila membacanya. Banyak juga isu yang timbul berkaitan dengan pembacaan Fatihah sedemikian. Ramai yang tidak menyeru ke masjid lagi, gara-gara bacaan Fatihah Imam yang menyebut nama syaitan. Ramai juga yang mengambil kesempatan, ‘mis’ sembahyang Jumaat. Alasannya, tok imam sebut nama syaitan. Pada hal, Ustaz tak pernah buat penekanan pada amalan. Terpulang pada diri. Pada saya begitu katanya. Pada orang lain, saya tak tahu.

Saya tak nak komen banyak. Saya berpesan pada anak didik saya. Hubungan diri dengan Tuhan adalah hak peribadi. Jangan timbulkan isu. Kalau jadi isu maknanya kita tak akan dapat pergi berjemaah Subuh, Maghrib dan Isyak di masjid. Hanya layak jemaah Zohor dan Asar, sebab tok imam sebut syaitan secara diam. Silap gayanya, tak akan dapat sembahyang Jumaat lagi. Gara-gara nama syaitan.

Dalam kenangan, banyak lintasannya. Dalam tulisan ini saya tapis kenangan berkenaan. Tapi, saya puas hati. Ketika berada dua minggu di Iran, banyak masjid saya pergi. Kebanyakan imam membaca Fatihah secara berkenaan. Saya tanya mereka. Jawapannya, cara bacaan itu merupakan satu jenis bacaan yang dipengaruhi oleh bacaan Turki. Tidak pulak disebut adanya syaitan. Tapi, semasa saya berada lama di Turki, tak pernah pulak dibaca secara demikian. Cukuppp! Jangan bicara lagi.

Balik ke rumah, saya ‘bedik-bedik’ almari buku. Jumpa kitab berkenaan. Saya ambil gambar dan sertakan dalam tulisan ini. Buat tatapan. Dalam gambar di bawah, ada dua keping. Satu keping gambar ialah muka depan kitab berkenaan. Ada orang kata kitab kuning, kerana kertasnya memang berwarna kuning. Tapi warna kulitnya ialah pink. Satu lagi gambar ialah isi perbincangan pengarang tentang nama-nama syaitan.

Hati berkata-kata. Alangkah baiknya kalau pegangan fahaman itu diiringi dengan ketepatan waktu bersembahyang. Saya teringat persoalan Ustaz pada saya, tentang ketepatan waktu sembahyang.

Ustaz buat persoalan tentang jam di tangan. “Jam yang dipakai ditangan itu, untuk apa?”. Sambil menyoal, jarinya menunjuk pada jam tangan yang saya pakai.

Saya menjawabnya,”Untuk menunjukkan waktu.”

Lantas, Ustaz mengajukan soalan seterusnya,” Waktu apa yang wajib.” Saya tidak menjawabnya. Takut salah. Ustaz sendiri yang menjawab, “ Tentulah waktu sembahyang. Jadi, jam dipakai sepatutnya untuk menunjukkan waktu sembahyang.”

Dailog itu membawa makna tersendiri pada diri saya. Kalau dah ada jam di tangan, berilah keutamaan pada waktu sembahyang. Jangan melewat-lewatkan waktu. Kalaulah sentiasa memberi penekanan pada ketepatan waktu, secarang langsung kita tidak akan meninggalkan waktu sembahyang. Ulang-ulang sembahyang, tak main. Alangkah indahnya jika kita bersikap demikian. Tapi lain juga jadinya. Ramai yang berbincang tentang sembahyang berdegar-degar tapi sembahyang tak tentu waktu. Selalu cupul waktu sembahyang. Ada yang ‘menjemur’ qunut. Bila berbincang atau berbahas, kalah mufti. Malulah pada diri sendiri. Itulah kata-kata hati.

Tiba-tiba, saya tersentak dari lamunan. Dah habis bacaan kutbah raya. Pakai-pakat beri salam sesama jemaah. Tangan dihulur, mata dipandang. Timbul azam. Aku nak tebus kesalahan pada anak-anak dan isteri yang banyak berkorban. Apa caranya. Bagi aje duit raya tiga angka. Kalau empat angka, takut dikata buang tabiat. Hati sakit dan niat mungkin jadi tak ikhlas.

Ya lah! Semuanya amat gembira. Senyum meleret sepanjang masa. Tapi ‘poket’ rabak juga. Tak apa. Hari Raya. Kemenangan di pagi raya setelah lama berjuang. Perjuangan oh Perjuangan!. Sekian untuk tajuk ini. Teruskan amalan berpuasa enam.

20120823-090052.jpg

20120823-090113.jpg

 
Leave a comment

Posted by on 23/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: