RSS

43.1. KENANGAN DI PAGI RAYA.

21 Aug

Timbul lagi kenangan akan perasaan sanak saudara. Betapa hati mereka juga terguris dek kerana silat. Sungguh tak terfikir ketika itu. Banyak kali adik beradik yang membuat majlis kenduri perkahwinan anak-anak mereka. Maklumlah saya ramai adik beradik. Semuanya ada lapan orang. Saya adalah yang ketujuh. Oleh itu, anak-anak abang dan kakak ramai yang dah besar dan mula melangsungkan perkahwinan mereka. Saya dijemput hadir bersama. Nasib baik keluarga isteri masih muda. Tak ada banyak kenduri kahwin yang melibatkan keluarga sebelahnya. Kalau adapun hanya kenduri kesyukuran yang kecil-kecil.

Tergambar tindakan tak patut pada mereka atas alasan silat. Dulu tak terasapun tak patut. Semuanya patut. Ada juga majlis mereka yang saya tidak hadir kerana bertentangan dengan aktiviti silat. Kecewanya mereka. Tapi saya tak rasa apa-apa pun perasaan bersalah ketika itu. Kerana tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Cawangan, Penyelia Kelas dan Jurulatih SC maka saya tegas menegakkan prinsip. Tak mahu curi tulang demi Perjuangan! Perjuangan! Perjuangan!.

Kalau hadirpun ke majlis kenduri mereka, tak boleh lama. Masa yang ada hanya sebelah siang sahaja. Petangnya kena balik. Kelas silat sebelah malam sentiasa menanti. Tangungjawab dan Perjuangan! Saya tahu betapa hancurnya hati sanak saudara ketika itu. Belum lagi diukur kecewa hati isteri yang ada. Tapi mereka tak boleh nak kata apa-apa. Sifat saya keras sekali. Bukan senang untuk kendur diri. Hati batu. Keras hati. Saya buat-buat tak ambil peduli walaupun terkadang terfikir juga untuk jaga hati. Tapi nak buat macam mana. Tuntutan perjuangan SC. Perjuangan!. Perjuangan! Perjuangan!. Semuanya sikap dulu. Itulah saya ketika itu yang berjuang bersungguh-sungguh untuk mendaulatkan seni kebangsaan. Lupa diri. Lupa keluarga. Korban diri dan korban keluarga. Baru sedar diri. Melampaui batasan yang ada. Ukuran batasan apabila telah tua.

Entah kenapa di pagi raya datang lagi sedar diri, datang lagi keinsafan. Pada hal, sejak berpecah, keinsafan dan kesedaran diri telah wujud dari masa ke masa. Pepecahan yang berlaku adalah benar-benar melambangkan perjuangan kepentingan. Masing-masing ada kepentingannya. Terasa diri diperalatkan. Tapi cepat-cepat mula sedar diri. Pengalaman lama disebarkan pada generasi baru. “Buat baik berpada-pada.” Tapi entah kenapa di pagi tersebut, lagi kuat perasaan kekesalan menguasai fikiran dek alunan takbir di pagi raya. Zalimnya aku. Bodohnya aku. Hinggakan tergenang lagi air mata.

Datang lagi kenangan lama. Pernah juga abang saya ‘sound’. “Kalau kamu buat macam ni, bila anak kamu kahwin nanti, aku tak akan datang.” Saya tak menjawab. Saya katakan pada isteri. ‘Kalau tak nak datang lagi baik. Boleh jemput orang lain. Murid sekolahpun ramai. Boleh juga meriahkan majlis.’ Sombongnya aku ketika itu. Isteri saya tak kata apa-apa. Tak berani bersuara. Tak berani membantah. Dalam hatinya saya tak tahu. Tapi anggap isteri tentu sayangkan suami. Sepanjang masa. Agaknya.

Teringat nasihat emak ketika dia masih ada. “Jangan asyik bersilat saja. Tengok-tengok saudara mara.” Saya diam sahaja. Tak berani ulas apa-apa kerana emak, saya banyak mengalah. Walau bagaimanapun, emak saya lebih memahami sifat, sikap dan minat saya. Kegiatan saya tak banyak dibantah. Ketika hidupnya saya tinggal bersama emak. Di rumah lama. Bila dia telah tiada, baru saya berpindah ke rumah baru. Tapi tempat silat tidak berpindah. Tetap di rumah lama. Pengorbanan emak saya pada SC tetap ada. Ketika rumahnya dikunjungi ahli-ahli Silat Cekak untuk membuat pertunjukan, emak saya yang memasak makanan malam dan pagi esoknya bersama isteri.

Sesuatu yang tidak boleh dilupa ialah tatkala emak saya menjengket kakinya pada satu alas untuk mengambil sesuatu barang di almari yang lebih tinggi. Emak terjatuh. Sakitnya bukan kepalang. Kata isteri. Namun begitu, kerana tugas menyediakan makanan, niatnya diteruskan. Memasak dalam suasana yang tidak selesa. Itulah pengorbanannya kerana ingin memuaskan ‘kehendak hati anaknya’ yang begitu tergila-gila dengan perjuangan SC. Perjuangan! Perjuangan! Perjuangan!. Lagi terhiba hati di pagi raya.

Walaupun duduk bertakbir bukannya lama, akan tetapi kenangan panjang masih boleh mengisi ruang masa yang ada. Entah kenapa, menjadi-jadi pulak kunjungan kenangan atas peristiwa yang lalu dalam pemikiran yang ada. Tak boleh ditahan-tahan. Mulut sentiasa melaungkan takbir hari raya. Mata dipejam, kononnya untuk konsentrasi diri. Tapi gagal menghalang kunjungan kenangan. Kenangan yang ada lebih banyak menyalah diri sendiri. Macam filem drama jadinya. Sayalah pelakon utama. Nampak sangat watak pelakon utama yang ‘pokai’ akhirnya. Kalau filem Hindustan, pasti ada kejayaan pada hero di akhir cerita. Hero SC dulunya lain pulak akhirnya. Jadi tak ‘keharuan’. Rasa kecewa adalah lebih banyak, berbanding dengan kepuasan. Nasib baik juga ada pengiktirafan. Jadi tokoh SC. Tapi tokoh pada SC yang tidak diiktiraf oleh persatuan SC yang lain. Gara-gara perbezaan persatuan, sahabat yang sama-sama berjuang telah diketepikan begitu saja dari ingatan mereka. Ingatan hanya ada pada pihak yang disokongnya saja. Aduh! Sakitnya jiwa.

Datang lagi kisah lama yang lainnya. Tiba-tiba timbul kata-kata hati di celah-celah suara mulut yang bertakbir. Perjuangan asli dan hakiki dalam konteks diri, hanya ada di zaman Ustaz sahaja. Ustaz tahu akan pengorbanan yang saya lakukan. Hanya Ustaz yang tahu akan komitmen saya selama ini. Hanya Ustaz sahaja yang tahu keikhlasan saya berjuang demi mendaulatkan seni kebangsaannya. Hanya Ustaz saja yang tahu pengorbanan isteri dan emak saya sendiri. Ustaz kerap kali bersama mereka. Selepas Ustaz ternampak longgarnya. Semuanya tergambar di pagi yang mulia berkenaan. Secepat kilat datangnya kenangan. Semuanya termuat dalam sekelip mata. Sakitnya jiwa.

Ketika zaman Guru Utama berikutnya, diri pun mula lama. Satu ketika masuk hospital. Kena batu karang. Seminggu juga lamanya. Tapi aktiviti SC tetap berlangsung. Tanggungjawabnya secara ‘remote control.’ Ada majlis ijazah. Guru Utama baru yang hadir. Tarasa nak jumpa. Gagal rupanya. Tak boleh keluar. Ijazah tetap berjaya diadakan. Terdetik juga di hati. GU pasti akan kunjung tiba. Maklumlah. Orang penting SC. Tapi, tunggu punya tunggu, habukpun tarak. Hanya ucapan salam sahaja yang tiba.

Macam enjen kereta rupanya. Ketika elok, terus dipergunakan setiap masa, pagi ke petang, siang ke malam. Bila ‘sakit’ hantar saja ke bengkel. Tuan punya kereta akan memandu kereta lainnya. Mungkin lebih baik kerana laju dan baru. Nasib tak baik, dia beli kereta baru. Lagi lancar perjalanannya. Bila kereta yang rosak telah elok, maka keluarlah dari bengkelnya. Maka teruslah peranannya membawa ‘drivernya’ ke sana sini. Terus berjalan hingga rosak kembali. Menemui bengkel yang sejati. Itulah peranan seterusnya ketika kereta lama mula meragam. Kerana tua.

Baru sedar diri. Pengorbanan kita bukan semuanya orang lain sedari. Diri berkorban untuk orang yang dah tak sama. Orang baru, mana dia tahu. Dia juga ada orang lain yang berkorban untuknya. Sekurang-kurangnya berkorban mengangkat dirinya sebagai GU. Maka sudah nampak pengorbanan mula tersasar dari harapan dan sanjungan sepatutnya. Saya cuba tarik balik perhatian yang melayang di pagi raya tersebut. “Ah. Tapi tak mengapa. Teruskan perjuangan. Perjuangan! Perjuangan! Perjuangan!.”

Fikiran melayang lagi. Mulut masih bertakbir. Kedua mata terpejam. Kononnya bagi maksud konsentrasi dan disiplin diri. Tapi datang lagi ingatan dan kenangan. Kali ini tentang pepecahan. Akibat pepecahan, saya kehilangan beberapa orang sahabat yang dulunya dianggap sahabat rapat. Sama-sama berlatih silat. Sama-sama mengajar silat. Sama-sama makan petang dan makan malam selepas mengajar silat. Sama-sama menjalankan aktiviti silat. Sama-sama buat persembahan silat. Sama-sama berkempen bagi mengembangkan silat.

Tetapi. Kerana silat juga sama-sama berpisah dek berlainan persatuan. Hancok betul. Kerana silat sanggup berputus arang. Hilang langsung pepatah carik-carik bulu ayam. Sifat ayam kampung diganti dengan ayam pekan. Lebih mementingkan diri. Kerana silat, wujud musuh abadi. Kerana silat, mula mengerti senyuman sumbeng dan senyuman palsu. Tapi..Sama-sama mendakwa Pusaka Hanafi. Nampak sangat hipokrasi. Eloklah wujud falsafah baru dalam semua persilatan SC yang berlainan persatuan. “Kerana silat kita bertemu dan kerana silat kita berpisah”. Jadikan moto dalam perjuangan persilatan. “Kan ke itu sebenarnya lambang hakiki yang ada di masa kini.”

Semasa SC masih bersatu di bawah satu bumbung, semua suka duka adalah dikongsi bersama. Pengalaman para pendokong utama SC adalah merupakan kebanggaan bersama. Pengorbanan dan perjuangan mereka tetap menjadi kabanggaan semua ahli yang berada dalam satu jenama. Bila berpecah, kebanggaan dan pengiktirafan itu berpecah dua. Pihak mana yang disokongnya. Pihak yang ditentang terus melupakan pengorbanan mereka dulunya. Akhirnya lenyap langsung dalam kamus mereka. Kita berpecah lagi. Kali ini pengorbanan yang diingati mula berpecah lagi. Ayat-ayat lama berulang semula. “Pihak mana yang disokongnya. Pihak yang ditentang terus melupakan pengorbanan mereka dulunya. Akhirnya lenyap langsung dalam kamus mereka.”

Kesimpulannya, orang yang berjuang hebat di zaman Ustaz Hanafi mula dilupakan dari masa ke masa. Kecualilah bagi pihak yang disokongnya. Namun begitu, generasi muda mula timbul setiap saat dan ketika. Perjuangan orang-orang lama ini mula dilupa oleh persatuan yang bertentangan. Itulah nasib mereka. Pada hal, semuanya bersandarkan pada Pusaka Hanafi. Bukankah tertegaknya Pusaka Hanafi dek pengorbanan mereka. Nak buat macam mana. Manusia mudah lupa. Eh! Melalut rupanya. Cepat-cepat aku sedar diri. Astaghfirullahilazim. Sambung lagi satu artikal.

 
Leave a comment

Posted by on 21/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: