RSS

43.0. KENANGAN DI PAGI RAYA.

20 Aug

Hari raya pertama telah berlalu, tetapi kenangannya tetap ada. Pada pagi tersebut timbul niat untuk bersegera awal ke masjid. Lama juga tidak dapat bersembahyang di masjid tempat sendiri. Telah dua tahun berturut-turut terpaksa sembahyang di tempat lain bersama Tuanku Sultan Perak. Awal-awal pagi terpaksa meninggalkan rumah. Anak-anak kebingungan apabila kedua orang tua mereka tiada di rumah. Nak buat macam mana. Tututan tugas mengatasi segala-gala kepentingan yang ada. Lebih-lebih lagi kepentingan keluarga.

Hari raya kali ini saya berazam membuat tebusan. Awal-awal pagi telah pergi ke masjid supaya lebih panjang menyertai bacaan takbir di pagi raya. Fikiran ingin muhasabah diri bagi mencari kebaikan untuk diri dan keluarga. Itulah azam kuat di pagi raya. Ketika sampai di masjid, para pengunjungnya masih tak ramai. Namun begitu ruang masjid mula dipenuhi para jemaah dari ketika dan saat. Saya tak ambil peduli. Mulut berkumit mengalunkan takbir raya. Kedua mata dipejamkan. Fikiran tertumpu pada disiplin diri untuk mendekatkan diri pada Tuhan Yang Esa. Nampaknya azam yang dihajati pasti berhasil.

Tiba-tiba konsentrasi saya terganggu. Ada ucapan daripada pihak jawatankuasa masjid. Beliau memperkenalkan diri sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa masjid. Beliau mengirimkan salam pengerusi masjid yang tidak dapat bersama. Alasannya ialah pengerusi masjid itu terpaksa menghadiri perjumpaan keluarga besar di tempat lain. Huh! Alasan itu benar-benar mengganggu fikiran saya. Dalam konteks diri saya, kalau dah pegang jawatan, pikul saja amanahnya. Bersama ahli-ahli masjid pastinya lebih utama dari perhimpunan besar keluarga. Sesetengahnya dah jadi bau-bau bacang. Kalau bau kuinin, boleh gagah juga. Nampak sangat sifat tidak bertanggungjawab pada para pengikutnya. Meninggalkan ahli-ahli ketika berhimpun secara beramai-ramai.

Selepas ucapan, majlis diteruskan dengan tadbir raya. Tapi hatiku benar-benar terganggu. Daya konsentrasi mula hilang kesannya. Macam-macam perkara lalu yang mula mendatang. Benar-benar mengganggu. Hilang niat asal untuk mendisiplinkan diri mengadap Tuhan. Satu persatu kenangan lama telah mula berligar di ruang fikiran. Semuanya berkaitan dengan tanggungjawab atas jawatan yang dimanahkan. Timbul kesimpulan di hati. Kalau dah pegang jawatan maka buatlah kerja sungguh-sungguh. Jangan curi tulang dan jangan mencipta pelbagai alasan bagi membenarkan perbuatan ‘curang’. Macam-macam kesimpulan di hati. Dah tak terkawal lagi. Salah satu kesimpulan diri nampaknya membangga diri. Betapa diri sendiri telah berkorban untuk menunaikan amanah yang diberi. Pelbagai tugas yang diberi, semuanya dilaksanakan dengan baik dan berkesan tanpa ada sifat curi tulang. Terasa macam diri ini sangat baik. Sekurang-kurangnya lebih baik dari sifat pengerusi masjid yang menghilangkan diri ketika bersama para pengikutnya.

Entah macam mana datang pulak kenangan atas tanggungjawab menunaikan amanah dalam persilatan SC. Teringat akan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Cawangan, sebagai Penyelia Kelas dan sebagai Jurulatih. Tiga tugas yang dipikul secara serentak dan bersepadu. Kenangan yang wujud di pagi raya berkenaan mengungkap kembali kenangan atas pengorbanan yang telah dibuat. Pengorbanannya adalah begitu tinggi atas sifat amanah pada jawatan yang diberi. Betul-betul buat kerja. Tapi, timbul pula kata hati. Pengorbanan hingga lupa tanggungjawab pada anak isteri, apatah lagi pada sanak saudara. Ke situ pulak kesimpulan yang timbul dalam fikiran.

Masa lega semuanya diberikan pada kegiatan silat. Setiap minggu, tujuh malam dikhaskan untuk kegiatan silat. Bermula dari pukul lapan malam hinggalah larut malam. Kalau ada ahli yang menunggu atas pelbagai alasan maka bermakna sampai ayam berkokok baru selesai. Kerap terjadi, bunyi ayam berkokok baru ahli mengundur diri. Akan tetapi saya pula ke bilik mandi untuk persiapan ke tempat kerja. Langsung tak dapat tidur. Semuanya gara-gara melayan persoalan atau masalah ahli. Kalau tak pegang jawatan tentu perkara itu tak akan terjadi.

Tanggungjawab pada jawatan yang disandang, telah juga mengheret kesenangan keluarga. Baru sekarang berasa betapa zalimnya diri atas keselesaan mereka. Gara-gara jawatan yang disandang. Seperti dikata, setiap minggu tujuh malam kegiatan bersilat. Kalau dulunya tak jadi masalah pada keluarga. Duduk di rumah tempat silat. Tapi ketika berpindah ke rumah sendiri, kepentingan keluarga mula diganggu. Jarak rumah baru ke tempat silat adalah sebelas kilometer. Masanya hampir setengah jam untuk ke sana. Oleh itu, setiap kali selepas maghrib, saya akan membawa anak isteri bersama ke kelas silat.

Saya rasa ada dua orang anak yang ‘dibesarkan’ dalam kereta. Sejak umur mereka sebulan dua, terpaksa diangkut bersama ke kelas silat. Nak tinggalkan isteri, dia berasa takut. Bawa isteri bermakna kena bawa anak yang masih bayi. Masa itu tak ada ‘bebibik’. Nak buat macam mana. Tugas sebagai Jurulatih, Penyelia Kelas dan Yang Dipertua Cawangan telah mengatasi segala tuntutan yang ada. Curi tulang bukannya amalan saya. Tak boleh buatpun. Nanti akan berasa salah sepanjang masa.

Ketika suara bertakbir hari raya, kenangan atas tanggungjawab memikul tugas dan anak isteri, bermain-main di ruang ligar fikiran yang ada. Terasa hiba. Betapa saya membelakangi keluarga. Kejam juga rasa di hati. Tiba-tiba tergenang juga air mata. Nasib baik tergenang daripada menangis. Suasana takbir yang bergema benar-benar menjadikan ingatan tersebut seperti drama tv yang sering ditonton di pagi raya. Perkara telah berlalu. Nasi telah menjadi bubur. Hanya boleh terkenang. Tak boleh diperbaiki lagi. Masa dunia tidak boleh diputar kembali. Terasa sangat betapa salah besar yang saya lakukan pada mereka. Gara-gara menunaikan tuntutan jawatan yang ada. Tapi baru saja terasa di pagi raya. Dulunya tak sedar diri. Ikutkan hati. Nasihat orang langsung tak ambil peduli. Perjuangan! Perjuangan! Perjuangan!. Buat kerja sampai mati. Demi perjuangan yang suci.

Tiba-tiba, datang pulak kesimpulan diri. Tanpa disedari. “Patutlah majoriti guru silat tak pernah buka gelanggang di rumah sendiri. Tak nak ganggu privacy.” Nampak sangat tindakan saya melebihi komitmen mereka. Buka silat di rumah sendiri. Akibatnya penglibatan isteri terpaksa dilibati. Sekurang-kurangnya buat kopi. Hal yang demikian kerana rumah tinggi. Sukar untuk ahli menaiki tangga yang tinggi. Kalau naik rumah bancuh kopi, lagi hilang privacy. Ah! Cepat-cepat aku tarikkan perhatian yang melayang. Tak patut diungkit ingatan sedemikian. Perjuangan! Perjuangan! Perjuangan!

Datang lagi peristiwa lama. Ganggu sungguh konsentrasi yang ada. Tergambar pula tindakan lalu yang tak tentu hala . Perbuatan sendiri bak kata hati. Betapa tindakan diri menghancurkan hati-hati keluarga dan sanak saudara. Diputarkan kenangan lama. Ada ketikanya, anak isteri ingin berjalan-jalan ke sana sini bagi melawat keluarga terdekat atau makan angin di tempat lain. Tapi, kerap kali hajat mereka saya tolak. Alasannya ialah kelas silat. Alasan yang selalu diberi tapi tak pernah diulas oleh isteri sendiri. Dia diam seribu bahasa. Tapi entah apa yang dicakapnya di hati. Saya bersuara lagi, “Nanti tak ada siapa yang akan bertanggungjawab bagi menjaga kelas silat.”. Hal yang demikian adalah kerana kelas silat itu diadakan di rumah sendiri. Walaupun di kampung tapi tetap rumah sendiri. Mana mungkin meninggalkan para ahli yang berkunjung ke rumah sendiri. Itulah alasan kuat ketika itu bagi menolak hajat-hajat anak dan isteri. Terasa lagi hibanya hati di pagi raya tersebut. Zalimnya aku! Bersambung lagi.

 
Leave a comment

Posted by on 20/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.