RSS

42.0 KURSUS PRAKARSA TENAGA PENGAJAR PULAU PINANG

17 Aug

Kursus berkenaan telah lama berlalu. Aktiviti berlangsung pada 14 julai yang lepas, bertempat di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban, Pulau Pinang. Setelah selesai kursus, saya cuba mengulas aktiviti tersebut dalam tulisan saya ini. Namun begitu, tulisan ini lambat disiarkan bagi memberi laluan perbincangan saya tentang tajuk ‘Pengalaman Berguru Daripada Ustaz’ hingga habis perbincangannya. Kalau disiarkan di tengah-tengah perbincangan, pasti akan mengganggu. Saya beranggapan bahawa program berkenaan adalah sesuai dibincang sepanjang masa. Perbincangan ke atasnya tidak lapuk dek hujan. Relevannya adalah sepanjang masa.

Ketika saya menerima surat jemputan, saya dihubungi untuk mendapatkan kepastian kehadiran. Saya bersetuju menerima jemputan tanpa banyak bicara. Sejak bersara, jemputan berceramah berkaitan pendidikan atau pelajaran, saya tolak semuanya. Dah jemu bercakap atas tajuk yang sama. Kini, tiba masanya saya memberi sumbangan pada SC secara berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman sepanjang penglibatan saya dalam SC. Itu saja tenaga yang dapat disumbangkan untuk meneruskan perjuangan yang mampu saya lakukan dalam SC. Perjuangan lain bagi generasi saya telah berlalu. Dah tak masuk gu.

Dulu Cawangan Pulau Pinang memang aktif membuat program semasa Cawangan dipimpin oleh En Abu Hamid .

Dalam surat jemputan tersebut, kursus yang dirancang ialah ‘Kursus Prakarsa Tenaga Pengajar’. Terus terang saya katakan bahawa itulah pertama kali saya berjumpa dengan istilah ‘prakarsa’. Selalunya kita hanya sebut kursus sahaja. Terdapat juga istilah ‘tenaga pengajar.’ Kalau di zaman saya, kami selalu menggunakan istilah Jurulatih. Sebenarnya istilah bukanlah perkara pokok atau isu utama. Walau bagaimanapun, saya amat berminat dengan mainan istilah. Sememangnya jadi tabiat saya untuk memahami istilah-istilah yang ada sebelum berceramah. Tak kira apa jenis ceramah. Setiap istilah itu akan membawa implikasinya yang tersendiri. Hal yang demikian akan melancarkan ceramah saya nanti. Oleh itu, kamus adalah merupakan teman setia untuk mendapatkan penjelasan di samping konteks penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Istilah prakarsa bermaksud inisiatif, daya usaha atau ikhtiar. Kalau dihubungkan dengan perkataan tenaga pengajar, maka rangkai kata itu memberi makna, ‘usaha-usaha yang patut dilakukan oleh tenaga pengajar.’ Usaha-usaha itu adalah bersifat tanggungjawab peribadi; inisiatif diri sendiri, atau daya usaha diri sendiri atau ikhtiar diri sendiri. Hal yang demikian memberi makna bahawa setiap tenaga pengajar itu adalah bertanggungjawab pada dirinya dalam menunaikan tanggungjawab menyampaikan ilmu SC.

Istilah ‘Tenaga Pengajar’ lebih bersifat kata nama umum. Istilah itu membawa maksud, orang yang mengajar. Dalam konteks silat, mereka adalah merupakan orang yang bertanggungjawab bagi menyampaikan pelajaran. Sesuailah sifat mereka yang perlu prakarsa. Mereka bertanggungjawab untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka sendiri. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri untuk menjadikan diri mereka seorang yang hebat sebelum menyampaikan ilmu SC.

Istilah tenaga pengajar tentunya berbeza dengan istilah jurulatih. ‘Juru’ bermaksud orang yang telah mempunyai keahlian dalam sesuatu perkara. Manakala ‘latih’ membawa maksud perbuatan memberi kemahiran. Hal yang demikian membawa maksud seorang Jurulatih itu ialah mereka yang telah ada kemahiran dan boleh bertanggungjawab menyampaikan kemahiran mereka itu pada orang lain. Dalam konteks persilatan, mereka yang telah dilantik sebagai jurulatih adalah terdiri dari mereka yang telah ada kemahiran persilatan yang tinggi. Tanpa kemahiran tersebut, mereka tidak mungkin dilantik sebagai Jurulatih. Kalau tenaga pengajar, tak tentu memiliki ketinggian kemahirannya. Itu sebab perlu diperkasakan.

Sedang berceramah

Ada juga jenis persilatan Melayu yang tidak mahu menggunakan istilah jurulatih. Istilah juru diganti dengan istilah guru. Mereka lebih suka menggunakan istilah gurulatih. Istilah itu menunjukkan taraf orang yang menyampaikan ilmu itu telah berada pada satu tahap yang tinggi. Guru membawa maksud orang yang mendidik atau orang yang mengajar tapi mesti ada ‘kuasa’ tertentu. Dalam konteks silat, hanya guru yang tertinggi sahaja yang boleh memberi mandat pada seseorang itu sebagai guru. Tarafnya ialah sebagai wakil guru dan peranannya hampir sama dengan guru yang tertinggi. Sepanjang pengalaman saya berkecimpung dalam persilatan lain, mereka yang telah dilantik sebagai guru boleh mengambil sendiri anak muridnya. Tanggungjawabnya adalah sama seperti guru yang utama. Maknanya boleh ijazah sendiri. Tentunya hal yang demikian tidak sama dengan Jurulatih. Atas kemahirannya, mereka diberi kebenaran menyampaikan ilmu. Tarafnya tak sama dengan guru. Jadi, tak bolehlah perasan sangat.

Kalau ditanya saya, mana istilah yang tepat. Jawapannya, berdasarkan perbincangan di atas, semua boleh pakai, tapi ikut situasi. Saya lebih suka istilah Jurulatih kerana saya telah ada kemahiran. Tapi kalau pembantu saya masih memerlukan pengkayaan ilmu, taraf mereka ialah tenaga pengajar tapi digelar pembantu Jurulatih.

Walaupun dalam silat kita, tak ada istilah gurulatih, hakikatnya memang ada sejak zaman PA lagi. Guru-guru yang berpecah sekarang, semuanya berasal dari Jurulatih. Maknanya mereka telah berasa yang diri mereka memang hebat dan setaraf dengan kehebatan Guru Utama. Pada zahirnya peranan mereka ialah Jurulatih, tapi hakikatnya ialah gurulatih. Mereka inilah yang bertindak menyelaras buah-buah SC mengikut kehendak sendiri. Hakikatnya, mereka menanti peluang sahaja menjadi guru. Tindak tanduk mereka ketika menjadi Jurulatih, lebih kurang sama seperti guru utama. Malah, mereka berani membuat komen pada kebolehan guru utama yang sedia ada. “Ijazah aje tak buat tapi kaedah ijazah telah dipelajari.” Itulah komen dan kesimpulan saya.

Dalam majlis berkenaan, saya diberi satu tajuk motivasi, ”Peranan dan Tanggungjawab Tenaga Pengajar”. Seperti yang dikata, saya amat suka merungkai kefahaman istilah sebelum berceramah. Kefahaman itu adalah pada konteks pengalaman saya. Kedua-dua istilah itu hampir sama maksudnya. Namun begitu, ada makna di sebalik maksud istilah-istilah tersebut. ‘Peranan’ ialah tugas yang dipegang seseorang. Manakala ‘tanggungjawab’ adalah merupakan kewajipan yang ditanggung. Penyelia kelas adalah satu tugas atau satu peranan. Untuk menjalankan tugas atau peranan itu, maka sifat tanggungjawab adalah penting. Setakat menjadi tenaga pengajar, bukanlah sesuatu yang sukar. Tetapi, menunaikan tanggungjawab supaya anak didiknya berkemahiran tinggi adalah merupakan satu tugas yang berat. Tugas itu hanya oleh dilakukan oleh mereka yang berkemahiran. Orang yang berkemahiran selalunya dimulakan gelaran dengan istilah ‘juru’. Mereka perlu merancang strategi agar anak didiknya sentiasa meningkat kebolehannya dalam persilatan SC dari masa ke masa. Kalau setakat ‘tenaga pengajar’, ikatan dan tanggungjawabnya agak longgar. Kalau nak mahir, mahir sendiri. Tugas mereka hanya menyampaikan ilmu yang ada.

Cenderamata iringan

Secara keseluruhannya, program yang dijalankan itu sangat baik, teratur dan kemas. Walaupun saya tidak tunggu sampai ke sudah, saya yakin semuanya dapat diurus dengan baik. Penyertaan ahli amat mengkagumkan saya. Pemilihan tempat juga adalah sesuai dengan matlamat yang ingin dicapai. Layanan yang diberikan amat baik dan memuaskan hati saya selaku penceramah. Ucapan tahniah atas inisiatif ahli-ahli jawatankuasa yang dipimpin oleh Yang Dipertuanya, En. Halim bin Bakar. Cuma, hajat saja yang tak sampai untuk menikmati mee goreng mamak yang terkenal di Pulau Pinang.

Pada hari yang berkenaan juga, saya mendapat berita kematian seorang pejuang SC di Bukit Mertajam iaitu En Abdullah. Beliau telah berkecimpung begitu lama dalam SC. Walaupun hubungan dengannya tidak begitu rapat, saya pernah sekali ke rumahnya, dibawa Ustaz. Ketika itu umur saya masih muda iaitu sekitar dua puluhan. Tentunya agak terhad dalam sesi perbualan bersama mereka. Apabila ada majlis-majlis besar di peringkat pusat, Allahyarham akan turut hadir. Pada masa itulah saya berpeluang bersembang. Tapi tak banyak yang dibualkan kerana perasaan hormat dan jurang umur yang lebar.

Mengiringi Ustaz melawat rumah ahli.

Semasa bergaul dengannya, Allahyarham adalah merupakan seorang yang tak banyak bercakap. Bila bercakap suaranya lembut dan sering senyum menunjukkan riaksi ketenangan. Jasanya dalam SC amat banyak sebagai seorang yang sentiasa menyokong perjuangan SC. Tidak hairanlah beliau menerima Pingat Setia dalam tahun 1975.

Ketika itu, apabila disebut saja Cawangan Bukit Mertajam, tergambar kehebatan para pendokongnya. Sebutan Bukit Mertajam tidak dapat dipisahkan dengan nama-nama seperti Pak Ak, En Hassan Dahaman dan nama Allahyarham sendiri. Sememangnya mereka sangat dihormati oleh ahli-ahli SC ketika itu. Mereka bertiga adalah merupakan tokoh-tokoh yang hebat. Kehandalan dan komitmen mereka dalam dunia persilatan SC sangat diketahui ramai. Saya difahamkan bahawa mereka sentiasa menghormati Ustaz atas sifat ketrampilan Ustaz dalam banyak hal.

Barisan duduk dari kanan :
Adik Ustaz, DMRMI, Shafie Darus, Guru Utama, Pak Ak, Tombei, Pak Hassan Dahaman.

Pengaruh Allahyarham dalam SC amat kuat. Sekurang-kurangnya Allahyarham adalah merupakan orang lama dan bersahabat baik dengan Ustaz. Allahyarham sentiasa memberi sokongan pada Ustaz di zaman-zaman awal perkembangan SC. Ketika kita berpecah dalam gelombang pertama dan kedua, sokongan dari Allahyarham sangat dikehendaki. Saya yakin dan percaya bahawa Allahyarham tetap memberi sokongan pada En Mat. Apabila berlaku pepecahan gelombang kedua, saya difahamkan juga bahawa kumpulan Guru Persatuan dan Guru Wawasan telah berkunjung ke rumahnya bagi meraih sokongan. Saya juga yakin dan percaya bahawa beliau sentiasa menyokong perjuangan En Mat yang bertali arus dari Ustaz Hanafi. Tambahan pula Allahyarham mempunyai pertalian darah dengan Mak Teh. Pemergian Allahyarham bermakna perginya seorang orang lama dan merupakan seorang pendokong utama SC. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya. Sekian. Selamat Beraya.

 
Leave a comment

Posted by on 17/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: