RSS

41.2 KESIMPULAN BERGURU DARIPADA USTAZ

15 Aug

Ketika PA berkunjung ke rumah saya, pernah saya timbulkan tentang program pelarasan yang sewenang-wenangnya berlaku. Nampaknya dia pun kadang kala tak tahu menahu tentang aktiviti yang dijalankan itu. Menurutnya, kebanyakan aktiviti mereka itu hanya pandai-pandai sendiri. Perkara yang nak diselaraskan, tidak dirujuk terlebih dahulu. Diapun terketepi. Malah ada antara buah yang diselaras itu tidak disukainya. Saya masih ingat akan luahan perasaan marahnya pada saya. Antara lain katanya, “Saya nak suruh dia tangkap buah Ali Patah Sudah. Saya nak hentak dengan kepala. Biar dia rasa.” Dalam hati kecil saya, tak sampai hati rasanya berbuat demikian. Hal yang demikian kerana sebelum mereka buat buah, dah tabik terlebih duluuu. Tanda hormatlah tu. Lebih-lebih lagi di bulan puasa. Mana boleh ada pemakannya.

Cawangan saya kerap juga menerima kunjungan ahli-ahli SC dari cawangan lain. Termasuk dari pusat-pusat pengajian tinggi.

Setelah saya berjinak-jinak dengan persilatan lain, pegangan saya semakin jelas tentang kehebatan yang ada dalam SC. Oleh itu, berbanggalah dengan kehebatan SC. Kebanggaan ini adalah berasas. SC penuh dengan kelebihan dan keistimewaanya yang tersendiri. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah menulis betapa Ustaz menegaskan bahawa SC adalah merupakan silat akhir zaman. Nampaknya, kata-kata yang sedemikian amat jarang diungkapkan oleh sesiapapun selepas pemergian Ustaz. Walau bagaimanapun peringatan atau kesimpulan Ustaz itu yang dinyatakan pada saya, adalah mempunyai kebenarannya. Saya tetap yakin bahawa tidak ada silat sehebat Silat Cekak. Tapi Cekak mana agaknya kerana dah banyak gurunya.

Walau bagaimanapun, yakin dan berbanggalah dengan SC yang kita ada. Keyakinan dan kebanggaan itu adalah berdasarkan keistimewaan yang silat kita ada tapi silat orang lain tak ada. Berbanggalah dengan kelebihan yang ada dalam SC. Itulah keistimewaan kita. Pada kesimpulan saya, kelebihan-kelebihan yang merupakan keistimewaan itu adalah merupakan identiti silat kita. Identiti melambangkan konsep jati diri. Dalam konteks silat, jati diri adalah merujuk pada Silat Cekak itu sendiri.

Kalau dirujuk pada pengertian dari kamus, jati diri ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang. Dalam konteks SC, konsep diri adalah merujuk pada SC. Hal yang demikian membawa makna bahawa SC mempunyai sifat yang unik dan istimewa yang melambangkan falsafah, konsep dan prinsipnya yang tersendiri. Tanpa sifat yang unik dan istimewa itu maka hilanglah atau pudarlah sifat jadi diri dalam SC. Oleh itu, peliharalah keistimewaan yang kita ada itu.

Dalam blog Sepak Minang, saya membicarakan beberapa tajuk yang menyentuh prinsip keistimewaan dalam SC. Antara lain, saya membincangkan keistimewaan kita yang berdiri lurus tanpa kuda-kuda, menepis tidak mengelak, pukulan dan blok pukulan, kaedah menumbuk dan menyerang dan banyak lagi. Janganlah kita mengabaikan keistimewaan-keistimewaan tersebut atau bersikap ambil mudah. Jangan juga kita pandai-pandai mengubah-ubah sebarang bentuk isi pelajaran SC. “Jika diubah senikata lagu, maka pincanglah nada dan iramanya.” Buah-buah SC yang saya bincangkan dalam blog Sepak Minang juga adalah berdasarkan pengesahan dari Ustaz.

Pengajaran buah-buah SC adalah secara berperingkat dan tidak terburu-buru. Mungkin ketika ini pengajarannya perlu disesuaikan dengan situasi yang ada. Halangan masa dan latar belakang penuntut, banyak mengganggu proses penyampaian isi pelajaran SC. Hingga terpaksa diubah suai. Namun begitu, dalam blog berkenaan, saya tuliskan tentang pengajaran dan pembelajaran setiap gerak buah SC untuk berkongsi pengetahuan. Saya tak pasti sama ada penerangan Ustaz pada saya hanya untuk habuan atau pakaian saya sahaja. Namun begitu, apa salahnya jika kita berkongsi ilmu atas sifat ilmu yang ditinggalkan itu adalah merupakan Pusaka Ustaz Hanafi.

Kumpulan SC yang menyertai pertandingan silat peringkat kebangsaan di Ipoh. Betapa segaknya ahli-ahli SC.

Kita mempunyai pegangan atau kefahaman yang tersendiri pada hal-hal yang berkaitan dengan ilmu megah atau ilmu-ilmu luar biasa masyarakat Melayu. Saya akan membincangkannya dalam satu tajuk yang khusus. Banyak perkara yang saya sentuh dalam hal yang berkenaan. Apabila terdengar berita tentang kehebatan seseorang dalam ilmu-ilmu yang sedemikian, jangan mudah tertarik dan jangan mudah melatah dengan membuat komen sebarangan. Dengar dan tengok saja pembuktian mereka. Tak perlu ambil apa-apa tindakan.

Jika bersabit dengan hal-hal perubatan, pergi saja ke hospital. Korbankan sedikit perbelanjaan. Jika penyakit yang dihidap diyakini adalah bersumberkan makhluk ghaib, rujuk saja pada ahlinya yang berpegang pada Al-Quran. Jangan pulak kita merujuk pada mereka yang bersekongkol dengan perbuatan memelihara makhluk ghaib berkenaan. Penyakit kita akan bertambah parah. Lain tempat yang kena, lain tempat yang diarah. Silap gayanya, terpampang dalam akhbar.

Ingatlah. Kemenjadian ilmu-ilmu megah banyak bergantung pada keyakinan dan kepercayaan. Teringat saya pada rakan-rakan sekelas dulunya yang asyik main lada putih dan lada hitam. Ayat bacaannya pun diakhiri dengan ‘berkat kata LailahaillAllah’. Banyak terperasan akan kemenjadiannya. Secara kebetulan jika guru atau rakan berkenaan ke tandas, maka bersoraklah mereka tanda menjadi akan ilmu berkenaan. Akan tetapi tak adapun pembuktian. Buat jahatpun pakai nama Allah. Begitulah tebalnya faham ilmu luar biasa dalam masyarakat Melayu ketika dulu-dulu. Dari kecil lagi telah diasuh dengan kepercayaan demikian. Nampaknya sekarang telah berubah.

Berbalik pada ilmu megah masyarakat kita. Selalu saya katakan bahawa saya tak pernah melihat akan kemenjadiannya. Cuma yang ada, pengamalnya berasa megah memiliki ilmu berkenaan. Itulah yang dicanangnya ke sana sini. Perbuatan demikian hanya untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan anak muridnya pada kewibawaan guru berkenaan. Saya percaya, itulah salah satu cara bagi guru berkenaan untuk mendapatkan kesetiaan dari anak muridnya, di samping menekankan soal daulat guru yang tak boleh langgar pantang.

Kenangan bersama ‘Orang-orang kuat’ pelbagai persatuan dulu dan sekarang.
Sebelah kiri Ustaz: Pak Wan, Nasir, DMRMI, Ghazali (SU)
Sebelah Kanan : Anak bongsu Us, Jo, Tombei, Khalid.
Belakang Kiri : En Mat, Fauzi, Razak, Yang dukung anaknya Amin, Amrahi, Roslan, Nordin, Am.

Pada kesimpulan saya, kehebatan orang-orang Melayu sangat bergantung pada semangat. Mereka berjuang kerana ada semangat. Saya telah sentuh hal ini dalam tulisan terdahulu. Kerana hendakkan semangatlah maka mereka dibacakan dengan kisah-kisah perjuangan panglima-panglima Islam dulunya sebelum pergi ke medan perang. Kerana nak semangatlah mereka sanggup memiliki tangkal atau meminum air jampi. Keperluan semangat itulah yang mendorong kepercayaan dan keyakinan pada kebolehan diri untuk berjuang. Kadang-kadang semangat juga diperoleh secara diberi keyakinan. Memadai keyakinan tersebut dibuat melalui percakapan atau perbualan. “Pedang boleh melayang, keris boleh ghaib dan sebagainya.” Hakikatnya bila berjuang, ramai yang kecundang. Bila kecundang, kelemahan itu dikaitkan dengan langgar pantang.

Saya rasa, kita patut bersyukur kerana berada dalam SC. Adatnya, kita akan pasti selamat dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu persilatan dan ilmu megah. Kalau sudah bersyukur maka berlatihlah bersungguh-sungguh untuk menguasai segala ilmu yang ada dalam SC. Jangan lokek masa, tenaga dan wang ringgit. Apabila mencapai tahap berpengetahuan tinggi, sebarkan ilmu yang ada pada rakan-rakan lain. Tapi, jangan pandai-pandai sendiri. Nanti tersingkir.

Sekian dan kita berjumpa pada tajuk yang lainnya.

 
Leave a comment

Posted by on 15/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: