RSS

41.1 KESIMPULAN BERGURU DARIPADA USTAZ

13 Aug

Ustaz sendiri sering membuat persoalan berdasarkan contoh-contoh semasa untuk membuka minda kita. Ustaz sering membuat kiasannya berdasarkan binatang dan tumbuhan yang wujud di muka bumi ini. Banyak tajuk yang berkaitan dengan perbincangan yang sedemikian. Misalnya sifat ular yang khianat, suka mematuk mangsa bukan tujuan untuk memakannya. Tidak seperti mana yang dilakukan harimau. Perbezaan antara ayam laga dengan ayam lainnya. Kokoknya tidak panjang. Sifat lebah yang sentiasa membawa manfaat pada manusia, berbeza dengan sifat lalat yang sentiasa membawa mudarat. Begitu juga dengan kiasannya pada pokok besar dan pokok kecil. Pokok besar boleh tumpang teduh walaupun buahnya kecil. Berbeza dengan pokok kecil yang merayap, buahnya besar tapi tidak boleh dibuat teduhan.

Setelah menerima ijazah, bergambar dengan Ustaz. Dua orang lagi itu ialah rakan- rakan SC Universiti Malaya

Setakat ini, tersangat banyak perbincangan tentang proses saya menerima ilmu daripada Ustaz. Sebanyak sembilan belas tajuk yang saya tulis bagi membincangkan maksud demikian. Angka sembilan belas tak bawa apa-apa makna. Hanya secara kebetulan. Tapi kalau nak dikait-kaitkan dengan sesuatu, tidak ada masalah. Memang salah satu tabiat yang ada pada pengamal ilmu megah ialah mengaitkan satu-satu kejadian itu dengan sesuatu yang istimewa.

Kita boleh kaitkan angka Sembilan Belas dengan buah-buah SC yang diajar sebanyak sembilan belas. Bilangan berkenaan adalah angka semasa saya belajar dulu. Sekarang ini baru ada dua puluh satu kerana nak kaitkan dengan angka dua puluh satu juga agaknya. Angka sembilan belas juga boleh dirujuk pada sesuatu yang istimewa. Huruf yang ada pada bacaan Bismillah juga adalah berjumlah sembilan belas. Kalau nak dikait-kaitkan, memang boleh buat. Bacaan Bismillah adalah merupakan pemula sesuatu tindakan. Maknanya, buah yang berjumlah Sembilan belas itu juga adalah merupakan asas pelajaran seterusnya dalam SC. Itulah kenyataan yang cuba dikait-kaitkan dengan sesuatu. Banyak perasan dan perasaan, tapi mengena.

Sering berbincang sesama kami sebagai Pemimpin Persatuan. En Mahadi sebagai Bendahari dan En Fuad sebagai SU

Kesimpulannya, sayangilah SC. Pengorbanan kita dalam SC membawa makna kita berjuang untuk bangsa kita. Tak payah membuang masa berada di jalanan. Membuang masa menghidu asap pemedih mata. Memadailah berjuang dalam kelas SC. Berjuang dalam SC, bermakna juga berjuang untuk bangsa. Korbankan sedikit masa dan tenaga. Walau bagaimanapun, jangan dilupakan sama sekali tanggungjawab utama kita. Kalau dah berkahwin, ingat tanggungjawab pada isteri dan anak-anak. Beri keutamaan pada kehendak mereka. Hubungan dengan anak-anak tetap selama-lamanya. Tak ada istilah mantan bapa atau bekas bapa kepada anak-anak kita. Berbeza dengan SC. Dah ada perkataan bekas penuntut atau mantan penuntut atau alumni. Gerakan pembaharuan setelah disendiri agaknya. Pengorbanan kita hanya diketahui oleh generasi semasa.

Saya sangat berbangga dengan semua ilmu yang peroleh dalam SC. Kesahan ilmu-ilmu berkenaan adalah nyata. Proses kemantapannya adalah melalui pengesahan dari Ustaz sendiri. Saya difahamkan bahawa telah berlaku banyak perubahan kepada pembelajaran SC dalam semua persatuan kita yang berpecah. Walaupun kesemuanya mendakwa ilmu yang diperjuangkan adalah berasaskan pusaka Ustaz Hanafi, hakikatnya sesama merekapun telah ada perbezaan dalam proses penyampaian isi pelajarannya. Pada hal, pusakanya adalah satu. Penekanan dan pemberatannya juga mula menampakkan perbezaan walau pun kecil. Macam tak nampak satu punca yang sama, tak nampak sepancor. Begitulah yang terjadi apabila pemikiran kita tidak mencapai tahap pemikiran Ustaz.

Kenangan bersama PA dalam majlis ijazah di rumah saya. Sebelah PA ialah En Mat. Saya jadi tukang pukul gambar

Mungkin kita boleh berbincang akan situasi yang berlaku itu. Setelah kita berpecah pada gelombang pertama, Guru Utama kita pernah menyentuh tentang soal perbezaan pendapat tentang buah-buah SC dalam ucapan dasarnya pada 1 Muharam 1411. Saya petik sedutan ucapan beliau dalam majlis perjumpaan tenaga pengajar SC tersebut.

“….Kadang kala ada satu buah yang dibuat berlainan cara tangkapan dan pergerakan kakinya. Perbezaan ini bukannya perbezaan pokok kaedah sesuatu buah itu. Perkara ini berlaku kerana di masa Allahyarham memberinya kadang-kadang berbeza mengikut tempat dan masa. Namun pun begitu perkara ini pernah dibincangkan dengan Allahyarham di dalam kursus-kursus Jurulatih dan beliau telah membuat keputusan tentang cara bagaimana yang perlu diutama dan diresmikan. Perkara-perkara ini semua telah direkod dan dimasukkan di dalam buku panduan pengajaran dan diberitahu di dalam kursus-kursus yang diadakan. Oleh yang demikian sekiranya ada di antara saudara saudari yang tidak berkesempatan mengikuti kursus Jurulatih tersebut, janganlah menganggap bahawa cara yang ditunjukkan sekarang di dalam buku panduan ataupun di masa kursus-kursus itu adalah tidak betul. Saudara dan saudarilah yang perlu mengikut cara yang telah diputuskan itu. Dengan cara ini sahaja kita dapat menseragamkan kaedah-kaedah pengajaran Silat Cekak supaya apa yang didapati oleh jenerasi-jenerasi baru adalah sesuatu yang asal dan yang terbaik.”

Begitulah hasrat dan ketegasan Guru Utama tentang pengajaran SC ketika beliau baru memegang jawatan berkenaan. Saya tidak ada sebarang ulasan atas petikan tersebut. Masa itu kita belum berpecah lagi. Sekarang ini, kebanyakan pengendali kursus berkenaan telah berpihak pada persatuan yang lain. Walau bagaimanapun, penegasan Guru Utama itu memberi makna bahawa telah terdapat perbezaan pendapat dalam pergerakan mengambil buah sejak awal pelantikannya lagi. Tentunya isu itu besar. Jika tidak mana mungkin beliau menyentuh dalam ucapannya.

Dalam konteks ini, saya yakin bahawa apa yang ada pada saya adalah merupakan ilmu yang telah disahkan Ustaz. Sejak saya berada di pusat hingga membuka SC di cawangan, perkara yang sama saya sampaikan kepada penuntut. Saya mengajar SC di ibu pejabat dan pusat-pusat latihan di sana, semuanya berdasarkan buah-buah yang dipersetujui Ustaz. Tidak ada perbezaan atau perubahan dari dulu hingga sekarang. Saya yakin atas kenyataan saya itu. Kalau saya berhenti bersilat seketika, mungkin boleh jadi lupa. Kenyataannya, saya tetap bersilat secara berterusan tanpa gagal. Ilmu saya yang ada, sentiasa bertali arus. Seperti yang saya tuliskan terdahulu, Ustaz sentiasa turun ke cawangan saya. Kerap kali Ustaz sendiri yang turun padang, membetulkan gerak persilatan anak didik saya. Kalau Ustaz tak turun mengajar, Ustaz kerap kali berada di tepi kelas memerhatikan latihan kami. Pernah saya ceritakan dulu. Kalau Ustaz terlalu berminat dengan latihan, ada dua tindakannya sama ada masuk ke rumah atau turun ke kelas. Masuk ke rumah bukan kerana tak suka tapi kerana nak kawal diri daripada turun ke kelas.

Latihan di Pasir Putih, Ipoh. Kalau kelas kemahiran, pakaian adalah bebas.

Setahu saya semasa Ustaz, telah ada pelarasan SC di bawah pengawasan Ustaz sendiri. Semua Jurulatih hadir termasuk mereka yang memimpin pelbagai persatuan SC sekarang ini. Setelah itu tidak ada lagi pelarasan yang dibuat di zaman Ustaz hinggalah saya balik ke kampung. Kursus yang dikatakan pelarasan berikutnya bukanlah dalam erti kata pelarasan. Sebaliknya kursus itu lebih berupa peneguhan atas apa yang telah diselaraskan di zaman Ustaz. Maknanya, telah ada kata putus dari segi gerak dalam persilatan.

SC yang berkembang pesat di pusat-pusat pengajian tinggi telah banyak melahirkan ahli-ahli yang tamat. Mereka ini pulang bekerja di pelbagai negeri. Nampaknya kehadiran mereka di kelas cawangan saya, tidak dapat dielakkan. Di situlah saya mula terkejut apabila mendapati penyampaian dan penekanan pembelajaran SC telah mula berubah. ‘Banyak benda pelik dan tak ada punca.’ Nampaknya, peristiwa pelajaran yang berubah, berlaku secara berleluasa di zaman PA. Saya tak nak komen banyak. Rupa-rupanya, selepas pelarasan yang dibuat bersama Ustaz, ada lagi beberapa pelarasan berikutnya di zaman PA. Tak hairanlah ketika itu perkara tersebut berlaku kerana penguasaan Guru pada persatuan dan orang-orang kanan persatuan agak longgar.

Hal yang demikian menyebabkan ramai yang menonjolkan kehebatan mereka baik dari segi persatuan, mahupun persilatan. Tidak hairanlah pelarasan silat boleh dilakukan secara suka hati. Cuma yang peliknya, pelarasan tersebut dibuat tanpa kehadiran Guru Utama. Perancang utamanya ialah Guru Wawasan yang begitu berminat menonjolkan kehebatannya dalam persilatan dan persatuan SC.

Pernah saya dijemput menyertai satu kursus pelarasan yang diadakan di Bangunan Cekak di Jalan Sentul pada awal zaman PA. Nampaknya, Guru Wawasan adalah peneraju utama kursus pelarasan tersebut. Turut hadir ialah Guru Persatuan yang merupakan seorang peserta. Pada hal Guru Persatuan pernah melatih Guru Wawasan ketika belajar dulunya. Begitulah nampaknya, mereka yang pandai bercakap dan percakapan itu boleh menyakinkan maka orang itu akan menenggelamkan kebolehan orang lain.

Bila timbul soal gerak kaki yang mesti menggunakan tumit, saya membantah. Timbul perbahasan dan perbincangan. Kemudiannya saya ditarik keluar dari perbincangan itu oleh orang hebat persatuan. “Biarlah mereka buat pelarasan. Kita bincang hal lain.” Itulah kata-katanya dan kami berbincang tentang soal-soal persatuan di sudut lain. Itulah pelarasan yang pertama dan terakhir selepas zaman Ustaz yang saya hadiri.

Saya masih sayang dan tetap berbangga dengan apa yang saya ada. Lantaklah apa orang lain kata. Keyakinan saya itu adalah berasas. Setiap gerak yang ada dalam buah-buah SC sama ada menunggu atau menyerang, telah disahkan Ustaz. Dalam tulisan yang lalu, saya telah menceritakan tentang masa yang saya korbankan bersama Ustaz. Saya selalu berbincang tentang buah-buah yang ada dari segi pergerakan yang sebenar-benarnya. Penerangan yang diberi Ustaz adalah jelas dan saya faham. Itulah pegangan saya. Saya tetap memberi penekanan pada setiap gerak yang telah ditegaskan Ustaz. Setiap gerak itu adalah berdasarkan sebab dan akibat.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 13/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: