RSS

41.0 KESIMPULAN BERGURU DARIPADA USTAZ

12 Aug

Menerima Ijazah Penamat SC

Segala pengalaman bersama guru-guru silat dan guru kebatinan telah saya ceritakan dengan Ustaz. Pengalaman yang diperoleh sangat bermakna buat diri saya dan pada anak didik saya sendiri. Segala penceritaan, tindakan dan kefahaman Ustaz lebih bermakna lagi apabila ada bandingan berdasarkan pengalaman berkenaan. Hal yang demikian menjadikan saya lebih sayang akan pelajaran yang ada dalam SC. Saya berasa bangga atas tindakan selama ini yang memilih SC sebagai satu kegiatan dalam persilatan. Kerana bergurukan Ustaz dalam SC, menjadikan fikiran saya lebih terbuka dan berminat dengan ilmu-ilmu yang ada dalam masyarakat kita. Hasil perbandingan, dapat disimpulkan bahawa tidak sia-sia saya berada dalam SC.

Mencari guru yang benar-benar bertanggungjawab memberikan pelajaran dunia dan akhirat bukannya mudah. Berhati-hatilah. Ada saja kaedah mereka untuk mempergunakan kita jika ada kegunaan pada mereka. Mereka faham betapa orang yang berkehendak sesuatu, akan melakukan apa saja bagi memenuhi hajat mereka itu. Kalau kita beria-ia sangat menunjukkan kehendak mendapatkan sesuatu ilmu, maka itulah peluang bagi mereka. Hal yang demikian akan terjadi apabila kita berjumpa dengan guru yang bergelar guru tapi mempunyai kepentingan atau muslihat tertentu dalam prosesnya menyampaikan ilmu.

Sesi memilih ‘ayam penunjuk’

Pengalaman bersama Ustaz benar-benar mendatangkan faedah pada diri saya. Banyak perkara yang diajar dan boleh dijadikan pegangan dalam hidup. Pengalaman saya bersama-sama dengan guru-guru silat yang lain telah menyakinkan saya betapa Ustaz adalah merupakan seorang guru yang dapat membimbing kita di dunia dan di akhirat. Pengorbanannya begitu tinggi untuk membentuk keperibadian diri yang unggul dalam kalangan penuntutnya. Ustaz telah membina satu landasan yang betul dalam pembelajaran SC. Hal yang demikian meliputi kegiatan persilatan atau bentuk kefahamannya. Cuma, kita perlu yakin atas landasan yang dibina tersebut. Jangan diubah-ubah atau ditokok tambah sana sini tanpa penelitian yang bersungguh-sungguh hingga rosak akan pusakanya itu.

Sesuatu yang perlu kita akui bahawa bukan mudah bagi kita untuk mendapatkan ilmu. Saya telah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang terdahulu. Selain daripada hubungan dengan guru, faktor minat, kesungguhan, ketabahan dan penglibatan masa adalah amat perlu. Namun begitu faktor kewangan tetap menjadi faktor terberat dalam konteks sekarang. Banyak perkara yang ada dalam dunia ini perlu melibatkan wang. Bolehlah disimpulkan bahawa bukan mudah untuk mendapatkan sebarang ilmu di dunia ini melainkan perlunya pengorbanan wang yang utamanya. Sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita bersetuju atau tidak, tanpa wang, tidak semudah yang kita sangka untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkenaan. Malah, untuk mendapatkan kapit sekalipun, masih memerlukan wang. Pada hal, suatu masa yang lalu, ada guru-guru yang tercari-cari murid yang sanggup menerima sakanya tanpa ada apa-apa bayaran. Hal yang demikian adalah sangat berbeza dengan apa yang berlaku dewasa ini. “Ada duit maka ada kapit.” Itulah pendapat dan kesimpulan saya.

Berdasarkan faktor kewangan dalam SC, penglibatan wang ringgit masih saya anggap terlalu kecil. Tidak ternilai antara wang yang kita keluarkan dengan ilmu yang kita peroleh. Oleh itu, janganlah sesekali kita timbulkan soal-soal kewangan untuk menghubungkan proses kita mendapatkan sebarang ilmu dalam SC. Korbankan saja wang ringgit seperti yang diminta dalam melaksanakan sesuatu program. Saya rasa, barisan kepimpinan kita tahu akan jumlah yang diperlukan, sesuai dengan kemampuan ahli.

Di samping pengorbanan wang ringgit, pengorbanan masa dan tenaga amat perlu sekali. Kalau kita beranggapan bahawa SC adalah wadah yang sesuai untuk membangunkan bangsa, maka korbankanlah masa dan tenaga sebagai sumbangan untuk mencapai matlamat tersebut. Janganlah kita banyak berkira dan membuang masa menerbitkan atau menimbulkan sebarang isu yang remeh. Pengorbanan kita itu banyak faedahnya pada orang-orang kita yang begitu berminat dengan ilmu persilatan dan ilmu-ilmu yang luar biasa. Penglibatan kita akan membolehkan mereka mendapatkan ilmu yang benar dan nyata. Kefahaman dan pegangan mereka boleh diteguhkan jika kita memberikan pengetahuan secara yang benar pada mereka. Tak perlulah kita bertindak khusus atas cakap menentang kurafat atau tahyol. Sebaliknya, penyebaran ilmu SC dalam kalangan masyarakat Melayu, secara langsung telah memenuhi hasrat tersebut.

Kita perlu menghormati guru yang sedia ada. Gurulah yang bertanggungjawab memberi sumbangan untuk membuka minda kita. Hal yang demikian kerana guru adalah profesional. Dalam SC, kita ada banyak guru akibat berlainan persatuan walaupun masing-masing tetap menegaskan perjuangan Pusaka Hanafi. Dalam konteks persilatan, guru yang sebenar guru adalah merupakan guru yang ada pertalian dengan Ustaz. Pertalian itu diasaskan pada mandat. Oleh itu, kita patut berasa bangga kerana berada dalam persatuan yang dipimpin oleh En Mat. Jawatannya adalah benar dan sah dari segi mandat yang ada. Jangan langsung wujud perasaan ragu-ragu atas tanggungjawab yang diamanahkan pada beliau. Korbankanlah masa dan tenaga bagi meneruskan perjuangan Ustaz untuk membantu masyarakat kita memperoleh ilmu persilatan dan ilmu megah yang ‘bersih’ dalam dunia ini.

Kumpulan saya bergambar dengan Ustaz. Saya duduk sebelah kiri Ustaz.
(Gambar kelabu sebab masa itu mungkin kerana fahaman pun masih kelabu. Baru nak putih.)

Semasa saya menuntut dulu, dapat dirasakan betapa pengorbanan saya pada perjuangan Ustaz adalah amat hebat sekali. Saya benar-benar mengorbankan masa dan tenaga bagi meneruskan perjuangan untuk mendaulatkan seni kebangsaan iaitu SC. Jasa Ustaz amat banyak. Oleh itu, saya rasakan bahawa pengorbanan saya tidak sebesar jasa yang diberi dan faedah yang saya peroleh. Hal yang demikianlah menyebabkan saya berjanji dengan Ustaz dengan kata-kata, “Selagi bergerak dua tangan dan dua kaki, maka saya akan terus berjuang dalam SC.” Kata-kata yang dilafazkan itu adalah merupakan satu sumpah setia saya dengan perjuangan Ustaz. Orang lain mungkin berasa ragu-ragu dengan ikrar atau sumpah saya tersebut. Lantaklah. Sikitpun saya tak peduli. Bukannya ada bukti. Hal yang demikian adalah antara saya dengan Ustaz Hanafi. Nampak macam remeh. Tapi itulah kenyataannya hinggakan kefahaman Ustaz itu saya serapkan dalam pengurusan organisasi yang saya pimpin. Dalam tulisan-tulisan terawal, saya banyak menulis mengenainya.

Salah satu peranan yang telah dimainkan Ustaz ialah kebolehannya memupuk pemikiran yang bersifat kreatif dan kritis. Pemikiran kita lebih terbuka dan dapat berfikir secara meluas. Pelajaran silat yang dibawa Ustaz, berupaya memupuk sifat kritis tersebut. Ustaz menggalakkan kita berfikir. Dalam penyampaian pelajaranpun, sifat itu dipupuk. Misalnya sebelum kita menerima penumbuk serang, kita disuruh berfikir tentang kemenjadian serangan penumbuk itu. Setelah kita berfikir, barulah diperturunkan ilmu berkenaan untuk kita pelajari dan kita kuasai. Barulah kita tahu akan kelebihan ilmu tersebut. Berfikir sebelum menerima. Begitu juga dengan isi pelajaran lainnya. Kita digalakkan berfikir sebab-sebab satu-satu gerak itu dilakukan. Apakah sebab dan akibatnya. Tidak timbul soal menjaga keselamatan diri ketika membuat pukulan.

Sesungguhnya pelajaran SC yang disampaikan kepada penuntut sememangnya telah dikaji aspek keselamatannya sebelum diajar pada penuntut. Soal lembut atau keras, laju atau perlahan, semuanya bergantung pada diri sendiri. Itu sebabnya, konsep memandu sangat-sangat ditekankan Ustaz dalam pembelajaran SC. Perkara pentingnya ialah jangan ubah apa yang diturunkan Ustaz jika kita masih agung-agungkan Pusaka Hanafi.

Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 12/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: