RSS

40.19 PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ

11 Aug

Dalam tajuk ‘Pengalaman Berguru Daripada Ustaz’, saya banyak menyentuh tentang cara saya mendapat dan menambahkan ilmu, tatkala berada dalam SC. Salah satu caranya ialah mengesahkan apa yang dikatakan Ustaz. Banyak tajuk yang saya tulis berkaitan dengan perkara ini. Saya berharap tulisan ini telah dapat menjawab soalan mengenai cara-cara saya mendapatkan ilmu serta menambahkan ilmu semasa berada dalam SC. Sesungguhnya ilmu pengetahuan dan pengalaman tersebut amat besar gunanya dalam pembentukan peribadi dan corak pemikiran kita.

Seperti yang dinyatakan dalam tulisan awal yang lalu, dapatan ilmu saya dalam SC adalah secara formal dalam kelas dan secara tidak formal di luar kelas. Nampaknya perolehan secara tidak formal adalah lebih banyak dan lebih berkesan pada pandangan saya. Pelajaran secara tidak formal ini juga mendorong penglibatan saya dengan perguruan silat lain. Saya juga berhubung rapat dengan guru-guru lain yang mendakwa diri mereka memiliki ilmu megah yang sangat hebat. Semua kegiatan yang saya lakukan adalah semata-mata untuk mendapatkan lebih kefahaman secara mengalaminya. Penglibatan yang sedemikian telah memahamkan diri saya tentang apa yang dimaksudkan Ustaz dalam ceramah atau percakapannya.

Setelah saya pulang ke kampung dan membuka cawangan di Ipoh, hubungan rapat dengan Ustaz masih berterusan. Saya telah banyak membincangkan hal tersebut dalam tulisan yang terdahulu. Ada masa tertentu, saya akan menziarahi Ustaz di rumahnya, Taman Keramat. Ustaz sentiasa mengalu-alukan kedatangan saya. Semasa berada bersamanya, pelbagai perkara dibincangkan. Ada ketikanya pula, semasa kunjungan itu, Ustaz telah ada tetamu. Hal yang demikian menyebabkan saya hanya mendengar perbualan mereka. Secara langsung, dapat juga beberapa ilmu pengetahuan atas perbincangan mereka. Ada juga ketika-ketika yang tertentu, saya akan berkunjung ke rumah Ustaz bersama rakan-rakan SC dari cawangan. Sesaja kami berjumpa Ustaz. Kesan yang jelas, selepas perjumpaan tersebut, semangat kami membara kembali untuk terus mengembangkan SC. Hal yang demikian kerana kata-kata semangat Ustaz sangat melekat pada hati dan pemikiran kami.

Sebelah kiri Ustaz : Pak Wan, En Nasir, Saya, adik Ustaz
Sebelah Kanan : Pak Din Panjang, En Jo, Tombei, En Kamaruo
Belakang kiri : Jo Black, En Am dan lupa nama.

Hubungan secara telefon, bukanlah asing bagi saya. Setiap kali sampai balik ke rumah, saya akan menelefon Ustaz menyatakan telah selamat sampai. Kadang kala, jika ada satu-satu masalah yang perlu penyelesaian segera, saya akan menghubungi Ustaz melalui telefon. Masa itu telefon bimbit tak ada lagi. Setakat itu, tidak ada masalah dari segi hubungan saya dengan Ustaz. Tak pernah panggilan saya tak berjawab, kecuali jika Ustaz ada hal lain pada masa yang sama.

Saya begitu berminat dengan ilmu-ilmu yang ada dalam SC. Malah, aktiviti yang saya lakukan sama ada di cawangan atau penglibatan di peringkat pusat adalah berkaitan dengan persilatan. Kegiatan persatuan yang lain daripada silat, amat jarang saya sertai. Seperti biasa, ada pihak-pihak yang tidak senang akan sikap yang sedemikian. Cucuk-mencucuk sudah menjadi amalan mereka. Tak puas-puas dengan perbuatan mencucuk, siang dan malam. Asalkan ada ruang, terus buat cucukan. Itulah sifat hakiki yang mereka miliki. Sifat dengki dan khianat. Dah jadi darah daging.

Teringat saya akan satu peristiwa. Saya dihubungi orang kuat persatuan, memberitahu betapa Ustaz sangat marah pada saya. Hal yang demikian dikatakan ada kaitan dengan perbuatan saya yang meninggalkan majlis anjuran persatuan. Dulunya, pagi mesyuarat agung, petangnya mesyuarat koperasi. Mesyuarat agung saya datang, mesyuarat koperasi saya hilang. Ada yang dengki. Berkatalah mereka dengan megahnya,”Ustaz tak akan datang ke cawangan kamu lagi.” Walau bagaimanapun, apabila saya menjemput Ustaz ke cawangan, tidak pulak Ustaz menguzurkan diri.

Ada juga antara mereka yang menyampaikan pesanan Ustaz yang dikatakan lebih kurang begini,”Bagi tahu dia. Ada banyak lagi ilmu yang dia tak dapat. Jangan besar kepala.” Cara percakapan dan cara amaran yang disampaikan oleh ‘rakan’ berkenaan, tak mudah saya lupa. Macam saya dibenci sangat. Hairannya, bila saya berjumpa Ustaz, macam tak ada apa-apa kelainanpun. Sembangpun macam biasa. Kesimpulannya pada saya, kaki sakit hati amat banyak sekali. Malah berkali-kali. Perkara sikit, ditambah-tambah sesuka hati. Perkara yang sepanjang sejengkal, dijadikan mereka sekaki. Kesahan berita yang disampaikan, belum pasti. Semuanya kerana dengki.

Kalau saya ambil hati, pasti akhirnya membawa diri. Jika dikenang-kenangkan kembali, kadang-kadang terasa juga di hati akan kata-kata yang disampaikan oleh golongan busuk hati. Hinggakan kita berasa takut untuk berjumpa Ustaz. Kenyataannya tidak sedemikian. Ketika ijazah terakhir di cawangan saya, teringat akan detik-detik peristiwa yang terakhir bersama Ustaz. Tarikhnya saya lupa. Saya sendiri menunggu Ustaz di lapangan terbang Ipoh pada waktu petang. Dari lapangan terbang, saya memandu bersama Ustaz ke rumah En. Fuad di Taman Cempaka. Di situlah ijazah penamat akan diadakan.

Perjalanan ke rumah En. Fuad memakan masa hampir dua puluh minit. Dalam perjalanan tersebut Ustaz lebih banyak bercakap. Saya hanya mendengar. Sebelum sampai ke rumah En Fuad, saya memberhentikan kereta untuk minum petang bersama Ustaz. Banyak lagi perkara yang dibincangkannya. Kebetulan ketika itu ada pasar malam. Dalam perjalanan ke kereta, Ustaz membeli pisang emas. Dah lupa bilangan sikatnya. “Nak buat kenduri,” katanya. Hal yang demikian menyebabkan saya membiarkan Ustaz membayar harga pisang berkenaan.

Pada malam ijazah berkenaan, panjang juga cerita Ustaz. Hinggakan saya terpaksa memberi isyarat untuk memulakan acara ijazah. Ustaz tak marah pun. Pada malam itulah Ustaz menunaikan janjinya atas satu petua pada saya. Ustaz pernah berjanji untuk memberi petua berkenaan pada saya pada satu ketika yang lalu. Tapi waktunya ditangguhkan hingga saya sendiripun lupa. Setelah majlis selesai, barulah petua itu ditunaikan pada saya.

Ustaz bermalam di rumah En Fuad. Keesokan paginya saya ke sana untuk berjumpa Ustaz. Pada pagi itu, saya berbual dengan Ustaz seperti zaman-zaman dulunya. Hanya kami berdua sahaja. Pelbagai perkara yang disampaikannya. Banyak soal peribadi, sebagai panduan dan pegangan hidup saya. Sukar dikongsi bersama dalam tulisan ini. Cukup untuk pengetahuan diri saya dan mereka yang rapat.

Sesuatu yang masih tak dapat saya laksanakan hingga kini ialah nasihat Ustaz supaya saya mempelajari seni tekpi. Menurut Ustaz, beliau ada kenalan guru tekpi di Teluk Intan. Tindakan Ustaz ketika itu ialah sama ada saya belajar di sana atau Ustaz sendiri akan membawa guru berkenaan ke cawangan kami. Nasihat Ustaz itu saya berkongsi dengan rakan-rakan seperjuangan SC di cawangan saya. Namun begitu, hasrat mempelajarinya tinggal kenangan begitu saja. Banyak halangannya. Kebetulan pula ketika itu masing-masing semakin sibuk. Perpecahan SC juga memberi sumbangan kepada kebantutan perancangan berkenaan.

Walaupun hasrat mempelajari seni tekpi tidak kesampaian, banyak perkara yang saya boleh buat kesimpulan. Begitulah terbukanya pemikiran Ustaz dalam seni bela diri orang-orang Melayu. Jika tidak, mana mungkin Ustaz menyuruh kami mempelajari seni main senjata dari guru silat yang lain. Hal yang demikian juga memberi makna bahawa penglibatan saya dengan guru-guru silat Melayu yang lain dulunya, tidak memberi kesan negatif pada Ustaz. Tapi orang lain yang sibuk. Itulah golongan sibuk lagi menyibukkan yang sentiasa ada dalam kalangan kita. “Biawak yang dilatih makan beriani, tetap memilih bangkai akhirnya.”

Bersambung…

 
Leave a comment

Posted by on 11/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: