RSS

40. 18. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

09 Aug

Satu lagi contoh ialah ayat penggerun. Tujuannya ialah bagi orang lain berasa gerun apabila berhadapan dengan kita.

Bismillah…….
Alif tiada bengkok.
Kha mengandung alam ini.
Akulah harimau Allah. (ada sambungan dan caranya………)

Kalau diperhatikan bahasanya, sebutan sedap didengar dan mampu meyakinkan kita. Cuma, kita mesti faham akan maksud huruf alif dan kha yang ada itu. Ada maksud dan konsepnya yang tertentu. Tapi, ada yang membaca tanpa faham apa-apa. Dikatakan bahawa ilmu itu menjadi. Siapakah yang menjadikannya. Betulke menjadi. Kalau dulu-dulu, mungkin terjadi. Pengamalnya membaca mentera, ’benda lain’ buat kerja. Para pembaca pulak, carilah pengalaman sendiri.

Setakat ini, kesimpulan dari pengetahuan dan pengalaman saya, ilmu-ilmu luar biasa atau ilmu megah yang saya pernah pelajari dan peroleh dari guru-guru yang memberi, tak pernah menjadi pun. Banyak kali saya buat. Tapi banyak yang perasan. Guru yang memberipun hanya bertindak setakat memberi. Bermegah kerana memiliki ilmu sedemikian. Tak pernahpun menunjukkan kemenjadiannya. Cuma, percakapannya gah dan sangat menyakinkan. ”Tak boleh tunjuk-tunjuk. Nanti takbur.” Itulah alasan lapuk yang selalu diberi.

Pernah juga mereka menunjukkan penguasaan mereka dalam ilmu luar biasa. Namun begitu, pembuktian tersebut hanya dilakukan dalam kalangan ahli. Kemenjadian ilmu-ilmu itu mungkin boleh dipersoalkan lagi. Ada juga ilmu tersebut yang dicuba pada saya. Misalnya kekebalan senjata. Cuma, perbuatannya adalah setakat saya terima. Tidak pulak dibenarkan saya melakukan tetakan atau tembakan pada orang lain. Sahlah ada sesuatu muslihat di sebalik kemenjadian ilmu-ilmu berkenaan.

Ada juga ilmu-ilmu megah yang berasaskan pada strategi tertentu untuk maksud kemenjadiannya. Tapi mesti tahu akan petua dan caranya. Cuma, guru berkenaan sahaja yang tahu. Misalnya ilmu memecah buah keras. Kalau kita tidak tahu caranya, pasti kita akan berasa kagum. Tambahan pula apabila kita lihat orang yang memecahkan buah berkenaan bertindak dengan membaca ayat-ayat terlebih dahulu. Maka tentunya kita katakan itulah ilmu batin. Begitu juga dengan ilmu megah yang boleh memotong rambut dengan menggunakan belid. Dengan cara berpakaian dan kata-kata yang terancang ketika melakukan perbuatan berkenaan, menyebabkan para penonton akan berasa kagum hingga membuat kesimpulan tentang ketinggian kebatinan yang ada pada pelaku itu. Kalau sudah tahu puncanya, baru kita tak heran. Muslihat rupanya. Tapi mereka masih memerlukan strategi hebat untuk menukar-nukar arah mata belid berkenaan yang satu daripadanya telah ditumpulkan. Namun begitu, menumpulkan mata belid itu masih ada petuanya.

Teringat saya satu kisah yang melibatkan seorang pengamal kebatinan yang terkenal. Gelarannya bertaraf kiyai. Keretanya amat besar. Ada tv dalamnya. Dikatakan masa itu, kehebatan ’ilmu batinnya’ amat tinggi. Bukan senang nak berjumpa. Saya hanya berupaya melihat keretanya saja. Tak dapat jumpa. Apatah lagi untuk sembang-sembang. Berlaku satu peristiwa. Namanya terpampang dalam dada akhbar apabila beliau menampar seorang tokoh politik berbangsa lain yang sangat celupur mulut mengkritik seorang sultan. Tindakannya ialah gara-gara mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Hebohlah ceritanya. Dikatakan cukup masanya, orang yang ditampar itu akan mati. Tapi setelah tujuh hari, orang itu tak mati-matipun. Hidup sampai sekarang. Sebaliknya, kiyai berkenaan yang telah meninggal dunia. Orang yang kena itu mendabik dada. Tidak ada ilmu kita yang memberi bekas padanya. Hebat lagi dia. Tak perlu dia meneruskan cita-cita menyaman kiyai berkenaan. Sebelum disaman telah menghilangkan diri buat selama-lamanya. Tentulah secara pandangan peribadi, kesudahan peristiwa itu amat mengecewakan saya. Kalah ilmu pada bangsa lain. Tapi nak buat macam mana. Itulah kenyataannya. Kebanyakan ilmu hanya jadi dengan bangsa sendiri.

Ketika pelbagai ilmu luar biasa berleluasa dalam kalangan masyarakat kita, ada satu pantang yang menarik hati saya. ”Tak boleh makan makanan bangsa lain yang bukan Islam kalau nak jadi ilmu.” Malah ditegaskan juga bahawa ada sesetengah ilmu tidak akan menjadi jika lalu di bawah ampaian kain mereka. Ramai yang yakin dan ikut. Tapi, saya tak nampak mana logiknya. Walaupun mereka ada maksud tersirat yang lain, kenyataan itu menunjukkan betapa ilmu yang ada, tak termakan dek tabiat yang ada pada bangsa lain. Nampaknya, kebanyakan ilmu luar biasa atau ilmu megah orang-orang kita dikatakan tak menjadi pada bangsa lain, melainkan pada bangsa Melayu sahaja. Jin atau sejenisnya tidak menyukai bangsa-bangsa lain. Ada yang dikatakan kerana mereka suka makan babi. Jin tak suka babi. Sebabnya mereka suka beriani peha kambing atau piza atau kentucky. Tak dapat nak komen banyak.

Agaknya juga, bangsa kita amat pandai melayan jin-jin yang ada hingga menjadikan jin-jin itu terpaut dan amat cintakan pengamal ilmu megah dalam kalangan bangsa kita. Kalau ada kes-kes histeria, tak ada orang lain yang kena melainkan bangsa kita. Pelajar-pelajar bangsa lain tak ada masalah. Maka dipanggillah bomoh-bomoh handal untuk melayan karenah jin-jin yang ada. Macam-macam yang diminta kerana nak dilayani dan dibelai oleh bangsa kita.

Berhati-hatilah ketika kita berdamping dengan bomoh-bomoh yang tak tentu hala. Sesetengahnya dikatakan boleh memberitahu masalah kita. Hakikatnya pengetahuan mereka itu kerana diberitahu oleh kapitnya. Kenyataan saya itu telah teruji. Satu masa kami ada berjumpa dengan bomoh perubatan yang dikatakan hebat. Kedatangan kami diketahuinya melalui orang perantaraannya kerana mengiringi seorang rakan yang ingin mengubat satu penyakit tertentu. Pada rakan-rakan, saya katakan, ”Apabila masuk ke kampung bomoh berkenaan, mulalah bercerita sesama kita tentang masalah yang kita hadapi. Tapi saya hanya mendiamkan diri.”

Sah. Ketika berjumpa dengan bomoh berkenaan, dia boleh menceritakan masalah penyakit yang kami hadapi seorang demi seorang. Seolah-olah dia tahu hajat kami berjumpa dengannya. Macam ada ilmu khashaf. Tapi dia tak dapat bercerita tentang diri saya kerana seperti yang dirancang, saya hanya berdiam diri. Dalam perjalanan balik, fahamlah rakan-rakan saya betapa kapit-kapit itu boleh menjadikan seseorang bomoh itu hebat membuat telahan. Hakikatnya, bukan bomoh itu yang hebat, tapi kapitnya yang hebat. Jadi, berhati-hatilah berjumpa dengan bomoh-bomoh yang suka bermain dengan jin-jin.

Walau bagaimanapun, saya lebih yakin dan berani untuk bercerita tentang ilmu kebatinan orang-orang Melayu pada anak didik saya. Cakap saya adalah melalui pengalaman dan bukannya setakat pengetahuan semata-mata. Saya bercerita tentang London, tapi setelah saya sampai ke sana. Penceritaan itu adalah berdasarkan pengetahuan benar dan pengalaman benar. Cuma, pengolahan tentang bandar berkenaan adalah berdasarkan sudut pandangan dan kesimpulan saya sendiri. Tak perlu buat kajian atau pembacaan tambahan. Itulah yang dinamakan sebagai perkongsian ilmu berdasarkan pengalaman dan kenyataan benar yang dialami sendiri. Saya yakin bahawa penceritaan tersebut adalah lebih meyakinkan penuntut saya. ”Kisah benar berdasarkan pengalaman berharga.” Sekurang-kurangnya berharga kerana terpaksa berkorban wang yang banyak. Bukan gebang kosong semata-mata. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 09/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: