RSS

40. 17. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

08 Aug

Hubungan saya yang begitu rapat dengan tokoh-tokoh persilatan negeri Perak, telah meluaskan pemahaman saya tentang konsep ilmu luar biasa. Semakin lama saya berjinak-jinak dengan ilmu sedemikian maka semakin saya tidak hairan. Ada sebab dan muslihat di sebalik kemenjadiannya. Mereka boleh mendakwa ada ilmu itu dan ini. Namun begitu kemenjadiannya tidak menentu. Hanya setakat mendakwa ada memiliki ilmu-ilmu itu sahaja. Semuanya telah dijelaskan oleh guru-guru silat yang saya dampingi. Hal yang demikian tidaklah menghairankan kerana mereka juga terlibat dalam pengalaman ilmu-ilmu sedemikian.

Setiap persoalan saya, dijawab dengan jelas dan terang tanpa berselindung. Namun begitu ayat-ayat, ”Jangan bagi tahu pada orang lain,” masih digunakan. Saya pegang amanah mereka tersebut. Hal yang demikian membolehkan saya mengerti akan sebab musabab mereka bersilat secara ikat mata, mencantas buah pisang umpama ibu gayung, pecah buah keras dan banyak lagi. Banyak muslihatnya. Namun begitu, ilmu yang berkaitan dengan kapit, susah dijelaskan. Saya hanya menerima ilmu berkenaan tapi tak belajar punca kemenjadiannya. Macam mana cara agaknya. Tak beranipun nak tahu sebab kena mendampingi ’mereka’.

Mana-mana petua yang saya fikirkan boleh disebarkan pada anak didik SC saya, maka saya akan berbuat demikian. Sekadar habuan pengetahuan. Walau bagaimanapun, izin dari guru yang memberinya telah saya peroleh untuk menyampaikan ilmu pada masa itu. Pelajaran yang saya fikirkan ’mahal’ maka saya akan simpan kecuali pada mereka yang benar-benar sesuai dan patut mengetahuinya. Sekarang ini dah tak ada sesiapa yang perlu diminta izin. Ramai yang telah tiada.

Salah satu ilmu yang popular dalam kalangan anak didik saya ialah memecah buah keras dengan menggunakan tangan. Saya perturunkan pada mereka. Tapi ada syaratnya. Mereka dikehendaki membawa sekeping murtabak dan setin air laci yang ada buah. Buatan negeri China. Dari Siam, tak main. Saja seronok-seronok. Semua membawa ’pengkeras’ berkenaan, tapi ikut giliran supaya setiap malam latihan silat, akan ada murtabak dan air laici. Rupa-rupanya, sekeras-keras buah keras, ada tempat lemahnya. Dengan mengetahui kelemahan buah itu, dapat dijadikan petua untuk memecahnya. Boleh ’cari makan.’

Jelaslah, bahawa muslihat yang saya maksudkan memberi implikasi dua perkara. Pertamanya ialah secara petua dengan cara ilmu pengetahuan seperti ilmu memecah buah keras dan keduanya muslihat itu ada kaitan dengan tipu daya seperti memotong buah pisang, mengerat rambut menggunakan ’belid’ yang tajam dan sebagainya. Hal yang kedua ini saya tak boleh cerita dalam tulisan ini. Nanti mudah dapat jawapannya. Jumpa saya. Nasi beriani, pengkeras nya. Tapi mesti peha kamping kalau nak mujarap kefahamannya.

Cara penyampaian ilmu-ilmu itu akan mempengaruhi mereka yang ingin belajar. Saya masih teringat kisah memecah buah keras oleh guru yang terdahulu. Ketika beliau menunjukkan kehandalannya pada kami, ada disiplin tertentu. Ada bacaannya dan ada cara menarik nafas bagi ’menaikkan bisa tangan’. Itulah dakwaannya. Rupa-rupanya lakonan semata-mata. Ketika kami diberitahu puncanya oleh guru yang lain, petuanya amat mudah sekali. Diberitahunya punca kelemahan buah keras berkenaan, kemudian bolehlah dipecahkan di tempat tersebut tanpa perlu baca apa-apa atau menarik nafas bagi menaikkan bisa tangan. Mudah saja. Begitulah caranya guru yang dulu mendapatkan kepercayaan dan penghormatan daripada anak muridnya. Kalau bersifat taksub dan mengenepikan pemikiran yang terbuka, alamat jadilah ’hamba’ pada guru berkenaan.

Kebanyakan guru-guru silat juga sangat berminat mengamalkan amalan-amalan berbentuk jampi atau mantera. ’Jampi’ bermaksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Manakala ’mantera’ dirujuk pada kata-kata atau ayat-ayat yang apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib. Hakikatnya, kedua-dua istilah itu lebih kurang sama sahaja maksud dan tujuannnya. Kemenjadiannya adalah berasaskan pada kepercayaan, keyakinan dan kesungguhan. Itulah kata-kata yang dinyatakan mereka bagi membuktikan bahawa ilmu yang diamalkan itu adalah tidak salah dan benar belaka.

Saya menghormati pendapat tersebut. Cuma, perkara yang sering menjadi persoalan pada saya ialah kemenjadian ilmu-ilmu berkenaan yang tak tentu jadinya. Saya perhatikan, banyak yang perasan. Setiap kali saya mencuba, tak pernah menjadi pun. Orang yang memberipun tak dapat membuktikan kemenjadian ilmunya itu. Setakat mendakwa megah memilikinya sahaja. Maka penerima tersebut akan terus berada dalam dunia khayalan dan perasan. Saya bercakap berdasarkan pendapat saya sendiri melalui pengalaman yang saya tempuhi.

Saya difahamkan oleh kebanyakan guru silat bahawa pada zaman dulu-dulu, mantera tersebut lebih banyak menyeru nama-nama jin tertentu. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu lama dalam bentuk prosa berirama. Kemenjadiannya adalah dari pertolongan makhluk ghaib. Kalau ada perkataan yang bermula dengan ”Hei, Hai”,maka sahlah seruan itu adalah pada makhluk-makhluk tertentu. Namun begitu, setelah berkembangnya ajaran Islam, seruan pada makhluk tersebut telah bertukar dengan sebutan ’Bismillah, Allah, Muhammad’ dan sebagainya. Berkat kata Laila…… diakhir mentera adalah menjadi satu kebiasaan. Seolah-olah menjadi satu tuntutan kemenjadiannya kerana percayakan Allah dan Nabi Muhammad.

Mungkin, pengkajian saya pada ilmu-ilmu berkenaan adalah tidak mendalam. Penglibatan saya hanya setakat mencari pengetahuan dan mendapatkan pengalaman. Daripada pengetahuan dan pengalaman itu, saya membuat kesimpulan untuk pegangan diri saya sendiri dan untuk menjadi panduan pada anak-anak didik SC yang dimanahkan pada saya. Oleh itu, tulisan ini adalah semata-mata berdasarkan kesimpulan yang ada pada diri saya.

Kadang kala saya perhatikan, penggunaan bahasa pada kata-kata mantera ialah mempunyai susunan bahasa yang indah dan kata-kata simbolik dan memerlukan kefahaman yang luas. Mungkin itulah caranya untuk menimbulkan kepercayaan dan keyakinan. Saya beri contoh amalan ilmu Pasung Bumi. Dikatakan bahawa ilmu itu boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat bergerak. Terkaku di tempatnya. Saya tidak menyatakan tentang cara penggunaannya dalam tulisan ini. Cukup setakat bacaannya sahaja. Takut juga jika ada yang berminat untuk mengamalnya. Menjadi pulak tu. Tentu saya dengki kerana saya mendapatkannya atas pengorbanan pengkeras yang tertentu. Tapi tak pernah jadi-jadi.

Bismillah…..
Top sekutup landasan besi
Terkancing terkatup terkunci
Kaki tangan, jantung hati sekalian yang bernyawa.
Kot kata bumi, Ah kata Allah.
Aku mohon pemberat pada ibuku bumi.
Berkata lailahuh….(ada sambungan dan caranya….)

Perhatikan susunan kata-katanya yang begitu indah dan menyakinkan dalam bentuk berirama. Kata-kata, ‘top sekutuk landasan besi,’ perlu difahami akan konsepnya. Begitu juga dengan perkatan-perkataan lain. Kefahaman akan mewujudkan kepercayaan dan keyakinan. Itulah asas kemenjadiannya. Agaknya. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 08/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: