RSS

40.16 PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ

06 Aug

Berdasarkan perbincangan sesama kami, terdapat beberapa pengajaran yang berkaitan dengan usaha-usaha mendapatkan ilmu-ilmu megah dalam kalangan masyarakat kita. Salah satu daripada pengajaran berkenaan, ada kaitan dengan prinsip penerimaan ilmu. Jika ilmu-ilmu itu berkaitan petua atau ada muslihat yang tertentu atas kemenjadiannya, maka amat payah guru-guru itu menurunkan ilmunya. Maksud muslihat ada kaitan dengan tipu daya dan penggunaan jampi atau mentera atau pengunaan ’kapit-kapit’ yang tertentu. Walau bagaimanapun, jika ilmu berkenaan ada kaitan dengan wang ringgit, maka amat cepat ilmu-ilmu tersebut diperturunkan. Tidak kiralah sama ada ilmu-ilmu tersebut berbentuk petua yang memerlukan latihan berpanjangan ataupun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pertolongan kapit.

Membincangkan ilmu-ilmu megah kita, umumnya ilmu yang berkaitan dengan petua dan latihan fizikal adalah lebih berbentuk kenyataan. Kemenjadiannya memerlukan usaha yang berpanjangan dan ketabahan mempraktikkannya secara berterusan. Lebih banyak latihan maka lebih berkesan kemenjadiannya. Manakala ilmu yang berkaitan dengan jampi atau mantera atau penggunaan kapit, lebih banyak memerlukan keyakinan bagi maksud kemenjadiannya. Keyakinan tersebut selalunya akan dipengaruhi oleh perasaan dan perasan. Di sinilah akan lahirnya pertolongan kapit-kapit yang ada sekeliling kita. Kehadiran mereka adalah secara kita sedari ataupun tidak. ”Sekali puak-puak ini memberi pertolongan dan kita mengakuinya, maka akan bermulalah hubungan kita dengan puak berkenaan. Sekali telah wujud hubungan, maka bukan mudah kita dapat melepaskan diri dari cengkaman puak-puak berkenaan.” Itulah pesanan Ustaz pada saya.

Kebetulan ketika itu, saya adalah merupakan Setiausaha Majlis Silat Negeri Perak. Majlis tersebut adalah merupakan himpunan guru-guru silat dari seluruh negeri Perak. Majlis adalah diketuai oleh Orang Besar Jajahan Kinta. Setiap kali beliau dijemput dalam majlis-majlis persilatan seluruh pelusuk negeri, pasti saya akan dibawa bersama. Penglibatan saya amat aktif hingga membolehkan saya memperoleh Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dari Sultan Perak. Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Perak juga sangat berhubung erat dengan Persatuan Silat Cekak Cawangan Perak untuk menganjurkan satu-satu aktiviti persilatan dalam negeri. Hal yang demikian adalah kerana kami mempunyai tenaga kerja yang begitu komited. Semua aktiviti silat yang dianjurkan oleh Majlis Silat Negeri Perak bersama Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan, pasti melibatkan Persatuan Silat Cekak. Adat kata, tanpa penyertaan kami, tidak mungkin aktiviti silat dapat dijalankan.

Penglibatan dan keaktifan dalam Majlis Silat Negeri Perak, telah membolehkan saya bergaul rapat dengan guru-guru silat dari seluruh negeri Perak. Sebutlah nama-nama guru silat yang hebat-hebat yang ada dalam negeri Perak, tentunya hubungan mereka amat rapat dengan saya. Malah, saya sering dijemput ke gelanggang mereka dalam satu-satu majlis yang berkaitan dengan persilatan. Nasihat saya sering diberi perhatian. Setelah berkursus Silat Olahraga di negeri Johor, saya telah ditugaskan untuk menyebarkan silat berkenaan dalam kalangan mereka. Silat Cekak Cawangan Perak telah diberi tanggungjawab untuk menganjurkan kursus-kursus Wasit dan Juri, Kurus Jurulatih dan Pesilat olahraga serta kursus yang berkaitan dengan pengendalian pertandingan Silat Olehraga.

Mengikuti Kursus Silat Olahraga di Johor Baharu bersama-sama Guru-guru silat dari pelbagai negeri

Saya berupaya mengendalikan kursus-kursus itu dengan bantuan ahli-ahli SC. Saya fahamkan dulu sahabat saya En Fuad dan En Mahadi, sebelum mengadakan tunjuk ajar pada ahli-ahli SC yang lain. Kita dapat bayangkan betapa hubungan saya dengan persilatan lain adalah sangat kerap dan sangat rapat. Boleh dikatakan semua guru silat berasa ’segan’ dengan kebolehan saya menyampaikan ilmu Silat Olahraga, walaupun saya lebih muda daripada mereka. Secara langsung, saya berperanan sebagai guru mereka dalam Silat Olahraga.

Kegarangan dan panas baran mereka tidak susah untuk diredakan melalui pemikiran strategik dan tindakan yang strategik. Strategik utamanya ialah merendah diri. Jangan sesekali kita berlagak atau bersifat sombong. Pernah satu ketika saya didatangi oleh seorang guru silat yang terkenal dengan kehebatan luar biasanya, tapi sangat panas baran. Beliau datang ke rumah seorang diri kerana ingin melahirkan perasaan tak puas hati pada satu aktiviti Majlis Silat Negeri Perak. Orangnya tinggi ragah dan menjadi terkenal apabila berjaya menewaskan beberapa orang yang menyekat perjalanannya pada satu tempat yang sunyi. Difahamkan ada yang maut di tangannya. Tapi buang kes. Beliau juga amat terkenal dengan penumbuk yang boleh menembusi ’punching bag’ yang mengandungi pasir. Tak tahulah ilmu apa yang ’dipakainya’. Namun begitu, saya berjaya menenangkannya dan beliau amat berpuas hati. Ketika balik, beliau mempelawa sesuatu.”Jika cikgu nak belajar apa saja ilmu dari saya, jangan segan-segan. Bagi tahu saja. Saya tetap akan tunaikan hajat cikgu.” Itulah salah satu bentuk peluang yang terbuka pada diri saya. Saya ceritakan peristiwa berkenaan untuk menunjukkan betapa hubungan rapat antara saya dengan mereka, telah menyebabkan semua kekusutan dapat diselesaikan dalam suasana yang harmonis. Hal yang demikian juga ada kaitannya dengan sifat hormat mereka pada saya.

Hubungan yang begitu rapat itu menyenangkan saya mendampingi mereka. Hal yang berkenaan telah memudahkan saya mengetahui secara lebih mendalam tentang ilmu-ilmu megah yang diamalkan oleh guru-guru silat yang hebat-hebat. Banyak lagi ilmu-ilmu pelik yang ditunjukkan mereka pada saya. Kehebatan keris masuk ke dalam sarung dengan sendirinya atau keris mengangguk apabila ditanya satu-satu soalan, semuanya tidak menghairankan. Begitu juga dengan kebolehan mengerat rambut menggunakan ’pisau belid’. Apabila pisau berkenaan memotong kertas, bukan main tajamnya. Tapi tak lut dengan rambut. Saya juga tidak hairan melihat kehandalan mereka mendapatkan sesuatu. Misalnya, menyambar keris secara ghaib dan tiba-tiba berada di tangan, menepuk lantai maka kuih ketayap turun dari atas. Entah dari mana. Tapi boleh dimakan. Banyak lagi kebolehan luar biasa yang ditunjukkan mereka.

Dalam tulisan ini saya sangat-sangat berterima kasih pada mereka. Nama-nama seperti Haji Ramli, Pak Bakar, Guru Pak Aziz dan beberapa orang lagi, masih terlekat di hati saya. Ramai yang telah tiada. Jasa mereka amat besar demi meluaskan pengetahuan saya dalam dunia ilmu luar biasa yang juga dikatakan sebagai ilmu ’kebatinan’. Misalnya ialah jasa besar dari Pak Ramli. Ketika umur saya tiga puluhan pada masa itu, umurnya telah tujuh puluhan. Beliau amat disegani guru silat yang ada. Beliaulah yang selalu menasihati tindak-tanduk kami ketika berhubung dengan guru-guru silat yang ada dalam negeri Perak. Jasa beliau tidak mudah kami lupakan. Beliau memakai banyak petua.

Sesuatu yang menarik tentang dirinya ialah penguasaan beliau atas beberapa petua yang sama dengan amalan kita. Misalnya petua KK sama ada penjagaannya atau pemulihannya, ilmu mengeras tangan secara ’jolokan’ setiap pagi, riadah empat anasir dan senaman orang-orang dulu yang dikatakan senaman tua. Begitu juga dengan petua-petua bumi selamat dan sebagainya. Persamaan ini menunjukkan betapa petua-petua yang kita amalkan bukanlah sesuatu yang asing, tetapi telah menjadi amalan masyarakat Melayu satu ketika dulu. Malang sekali jika generasi SC sekarang mengabaikan pengamalannya secara berterusan kerana masyarakat kita juga sentiasa memberi penekanan pada amalannya satu ketika lalu. Jangan lupa. Silat kita juga lahir dalam kalangan bangsa Melayu yang ada adat kebiasaan dan budaya hidupnya yang tersendiri.

Bersambung…

 
Leave a comment

Posted by on 06/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: