RSS

40. 15. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

05 Aug

Hubungan dengan guru berkenaan telah menyebabkan kami sering ke rumahnya. Waktu yang sesuai adalah sebelah malam. Siangnya, masing-masing bekerja untuk menunai akan tanggungjawab hidup. Masing-masing berkumpul di rumah saya. Dari situ, kami ke rumah guru berkenaan dalam sebuah kereta. Dari masa ke masa, kami berbincang dengan guru itu tentang ilmu-ilmu megah yang ada dalam masyarakat Melayu, selain daripada perbincangan mengenai pergerakan dua tangan dan dua kaki. Dalam tulisan ini, saya tidak menyentuh tentang pergerakan pergerakan dalam silat.

Kami sering ditunjukkan dengan pelbagai ilmu megah yang ada pada guru itu. Salah satu perwatakan guru tersebut ialah semua perbincangan atau ’pertunjukan’ kehebatannya adalah waktu tengah malam. Boleh dikatakan setiap kali kami datang ke rumahnya, beliau sentiasa memakai seluar silat hitam dan berbaju putih pagoda. Walaupun kami hadir pada awal malam, beliau hanya bersembang tentang hal persilatan hinggalah ke tengah malam. Ketika itu barulah beliau memperlihatkan ilmu yang luar biasa yang ada padanya. Setiap penerangan mengenai ilmu berkenaan, biasanya dibuktikan secara nyata atau secara praktikal.

Lama-lama baru saya faham. Membuktikan kehebatannya dalam ilmu megah sememangnya perlu waktu malam. Keberkesanan penyampaian dan kemenjadian ilmu itu, nampaknya amat berkesan jika dilakukan pada waktu larut malam. Ketika itu, suasana sungguh sepi dan cuaca agak sejuk dek tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Suasana yang sedemikian memudahkan kami memberi fokus dan konsentrasi pada ilmu yang ingin disampaikan. Hal yang demikian juga menjadikan usaha-usaha guru itu untuk memperlihatkan kelebihannya, nampak tersangat berkesan dan hebat. Setiap ilmu yang disampaikan, memperlihatkan mulut guru itu yang sentiasa kumat-kumit. Perbuatannya ialah seperti orang yang membaca doa dengan tidak bersuara kuat; cuma bercakap sendirian. Kepantasannya berkata-kata secara perlahan dan dengan mulut yang bersifat demikian, telah menyebabkan nafasnya bergerak cepat. Nampak sangat tak cukup stamina. Pelakuan itu telah menimbulkan satu irama yang tersendiri di waktu malam yang sunyi. Terasa lucunya. Tapi tak berani nak gelak. Dalam perjalanan bersama dalam satu kereta, barulah kami melepaskan gelak yang amat sangat.

Guru berkenaan sentiasa memperlihatkan ilmu megahnya secara bersungguh-sungguh. Kali ini, kami lebih banyak mendengar dan melihat perbuatannya. Salah satu daripada ilmu yang ditunjuknya ialah bersilat dalam keadaan tutup mata. Beliau menutup matanya dengan kain hitam dan dikelubungkan lagi dengan kain lain. Disuruhnya kami menumbuk dan dia mengelak dan mengambil buah. Sudah tentulah tumbukan kami adalah berupa tumbukan biasa. Bukan ada niat mencuba tapi hanya ingin mengetahui kebolehannya.

Teringat pula tentang ilmu tutup mata yang ada pada kita. Pernah juga saya berlatih dalam kelas kemahiran yang diawasi Ustaz. Bukan mudah untuk berlatihnya. Setiap kali melepaskan tumbukan biasa, pasti mengena pasangan kita. Agak sukar pasangan kita menepis tumbukan berkenaan. Tepisan hanya boleh dilakukan melalui deria rasa. Prinsipnya, ketika berlaku sentuhan maka perlu ada tepisan. Namun begitu, bukan mudah menepis tatkala disentuh. Lambat. Dah kena betul, baru menepis. Itupun, kadang kala tersasar juga tepisannya. Setakat itu, tidak ada siapapun antara kami yang benar-benar boleh menguasai ilmu berkenaan.

Timbul juga di benak kami untuk mengetahui secara lebih mendalam ilmu ikat mata yang ditunjukkan guru berkenaan. Kami cuba mendapatkan rahsia beliau berbuat demikian. Bukan mudah guru itu membuka punca rahsia. Menurut beliau, penguasaan ilmu itu adalah memakan masa lebih daripada lima tahun. Beliau terpaksa mengadap matahari naik setiap pagi. Ada amalan ayatnya. Pelbagai huraiannya lagi, bagi membuktikan betapa ilmu yang diperlihatnya itu sangat sukar untuk dimiliki. Namun begitu, beliau hanya bermegah-megah dengan ilmu yang ada itu tanpa sanggup merungkaikan rahsia kemenjadiannya pada kami.

Mungkin di sinilah perbezaan antara perwatakan guru yang ada itu dengan ’guru batin’ yang terdahulu. Guru yang terdahulu lebih banyak memberi satu-satu ilmu itu melalui pemberian ayat-ayat amalan dan bantuan ’batu azimat’. Ilmu-ilmu itu diuji kemenjadiannya. Namun begitu, yang menguji adalah pihak lain. Misalnya ilmu kebal senjata. Sebaliknya, ilmu yang ada pada guru yang sedia ada ini, adalah lebih praktikal. Kemenjadiannya adalah nyata. Kalau diturunkan pada kami, maka kami sendiri mesti mencubanya. Contoh ilmu menangkap hantu adalah salah satu daripadanya. Kami yakin, keengganan guru berkenaan menerangkan kaedah kemenjadiannya, ada beberapa kemungkinan; sama ada tak tentu jadinya atau kerana adanya satu-satu muslihat di sebalik ilmu-ilmu itu.

Selain daripada ilmu tutup mata, beliau juga menunjukkan kehebatannya memecah buah keras sama ada secara hempukan tangan atau secara meramas buah berkenaan. Habis berkecai. Menurutnya, ilmu berkenaan juga hanya boleh dikuasai setelah mengamalkan beberapa ayat Al-Quran, berserta dengan bentuk latihan yang tertentu. Semuanya mengambil masa bertahun lamanya. Tangan perlu dinaikkan bisanya hingga terbina satu kekuatan. Kekuatan itulah nanti yang akan menumpaskan lawan apabila terkena tumbukan.

Kebolehan lain yang ditunjukkanya ialah memotong buah pisang dengan menggunakan isyarat tangan. Seorang rakan saya memegang buah pisang berkenaan dalam jarak lebih kurang empat meter. Mulut guru itu kumat-kamit membaca ayat dan terus mencatas pisang itu secara isyarat tangan sebanyak dua kali. Macam ilmu ibu gayung. Apabila dibuka kulit pisang berkenaan, maka jatuhlah isi pisang itu menunjukkan telah dipotong sebanyak dua kali. Begitu juga kehebatannya menarik api pelita hingga api itu padam. Ketika perbuatan itu dilakukannya, kelihatan api pelita minyak berkenaan, melintuk liuk seperti mana arahan tangannya. Suasana gelap dan cuaca yang nyaman di malam hari telah memberi sumbangan pada keberkesanan penyampaiannya. Beliau telah berjaya menyampaikan ilmu itu secara meyakinkan. Begitu juga dengan kebolehannya mengeluarkan asap dari tangan apabila tangannya digosok. Semuanya dapat disampaikan dengan penuh keyakinkan pada diri kami.

Walau bagaimanapun, ilmu-ilmu tersebut hanya untuk tontonan kami sahaja. Beliau tidak mempelawa mempelajarinya. Pelbagai alasan diberi seperti yang saya nyatakan. Alasan utamanya ialah ilmu berkenaan memerlukan pengalaman yang panjang, hingga boleh memakan masa beberapa tahun. Begitulah beliau menyakinkan kami jika ingin memiliki ilmu-ilmu itu. Hal yang demikian menyebabkan kami tidak mendesaknya untuk menurunkan ilmu berkenaan. Kami hanya melihat dan mendengar.

Sebenarnya, selepas berguru dengan ’guru batin’ yang pertama, hati mulai tawar untuk mempelajari jenis ilmu itu lagi. Namun begitu, atas sifat ingin tahu, kami teruskan juga usaha-usaha mencari ilmu pengetahuan dan pengalaman. Walau bagaimanapun, keghairahan mendapatkan ilmu itu semakin tawar dan tidak serancak dulu. Kami lebih berhati-hati dan kurang menunjukkan minat yang mendalam dan keterlaluan. ’Ada, kami terima, tak ada kami diam.’ Sifat beria-ria bagi mendapatkan ilmu-ilmu jenis berkenaan tidak pernah kami tunjukkan. Namun begitu di hati kecil kami, wujud niat ingin tahu punca kemenjadiannya. Betulkah jadinya. Kami bertekad mencari puncanya dari guru yang lain. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 05/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: