RSS

40. 14. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

02 Aug

Dalam pada itu, pengalaman kami bersama guru yang berkapit, tidak melunturkan semangat untuk mendalami lagi ilmu megah orang Melayu. Namun begitu, semangat belajar atau semangat mendalami ilmu-ilmu jenis berkenaan tidaklah sehebat dulunya. Agaknya, itulah lumrah alam. Yang kedua itu pasti tidak sehebat dengan yang pertama. Hinggakan ada membuat kenyataan. Cinta pandang pertama adalah sangat hebat berbanding dengan cinta-cinta berikutnya. Malah, ada yang mengatakan jika berbini lebih, pengorbanan dan kesetiaan bini pertama adalah melebihi daripada bini-bini yang lainnya. Entah ye atau entah tidak kerana belum pernah merasainya lagi.

Kebetulan terjadi, guru silat yang kami jemput mengajar silat pada ahli-ahli lama SC, dikatakan mempunyai kebolehan yang luar biasa. Beliau sendiri ’menjual’ kepakarannya itu supaya kami kagumi kehebatannya. Beliau menyakinkan kami betapa peranannya sebagai guru silat, membolehkannya memiliki ilmu megah berkenaan. Nampak semacam ada logiknya. Namun begitu, hal yang demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana itulah salah satu cara untuk menunjukkan kehebatan diri bagi mendapatkan penghormatan dan kepercayaan dari kami. Pelawaannya kami sambut secara positif. Nampaknya, kami belum serik untuk mendapatkan jenis-jenis ilmu berkenaan. Keputusan kami, ”Apa salahnya kita belajar lagi. Sama-sama kita awasi diri.” Itulah janji yang diberi sesama kami.

Bermulalah era kami menuntut ilmu megah dengan guru baru. Tapi guru yang ini kurang melibatkan pengorbanan wang ringgit. Pada hal dewasa itu, wang telah menjadi syarat utama untuk mendapatkan ilmu. Walau bagaimanapun, sifat mengambil kesempatan pada kami tetap ada. Misalnya ialah hasratnya menjadikan kami sebagai penjaminnya untuk meminjam wang dari institusi kewangan. Walau bagaimanapun, hal yang demikian amat mudah dihindari. Pelbagai alasan telah dicipta, termasuk sedang menjamin orang lain.

Saya tuliskan hal itu kerana ingin berkongsi pengetahuan dengan para pembaca. Bukan mudah kita berdampingan dengan seseorang yang dinamakan guru yang kita sendiri inginkan sesuatu daripadanya. Lebih-lebih lagi ilmu-ilmu yang luar biasa. Ada sahaja permintaannya sebagai pulangan dan pampasan. Mereka pasti akan mempergunakan kita ketika kita mengharap. Sekurang-kurangnya pengorbanan wang ringgit untuk membiayai kesenangan mereka. Berhati-hatilah memilih guru. Carilah guru yang sebenar-benar guru. Saya selalu menyentuh tentang konsep guru yang berkenaan seperti yang difahamkan Ustaz.

Daripada guru baru ini, pelbagai jenis ilmu megah, dapat kami pelajari. Berdasarkan pengalaman bersamanya, kemungkinan besar beliau kurang menggunakan sebarang kapit, malainkan ilmu-ilmu tersebut adalah cenderung kepada muslihat atau helah atau silap mata. Namun begitu, helahnya masih dilindungi dengan pengamalan ayat-ayat suci Al-Quran. Kami berpendapat, hal yang demikian adalah caranya bagi menunjukkan kebenaran ilmunya. Walaupun beliau tidak menerangkan punca kemenjadian ilmu-ilmu tersebut, sekurang-kurangnya telah membuka mata dan minda kami untuk melanjutkan minat kami daripada guru-guru lain.

Pengalaman kami berguru dengan guru yang ada kapit, diceritakan pada beliau. Hal yang demikianlah agaknya yang mendorong guru itu mempelawa kami pelajari ilmu menangkap hantu. Satu hal yang amat menarik perhatian kami. Pelawaannya kami setuju. Untuk menangkap hantu tersebut, kami perlu mengambil ilmu yang berkaitan dengan ’tolakan angin’. Rupa-rupanya, guru baru ini juga adalah pengamal ilmu silat yang boleh membuat tolakan angin. Ilmu sedemikian adalah sama dengan ilmu megah yang dikatakan Ustaz tempoh hari dan sama juga dengan ilmu yang ditunjukkan oleh guru yang berkapit tatkala menolak angin pada anak muridnya yang cuba menetaknya. Kami bersetuju mengambil ilmu yang berkenaan disebabkan itulah syaratnya untuk mempelajari ilmu menangkap hantu. Namun begitu, kami langsung tidak berminat dengan ilmu tolakan angin itu. Kami percaya, tentunya bukan guru itu yang menolak, tapi kapitnya yang berbuat demikian.

Syarat untuk mengambil ilmu menangkap hantu itu adalah selepas tengah malam. Hal yang demikian menyebabkan kami ke rumah guru berkenaan selepas Isyak, sekitar sembilan malam dan terus bersembang hingga tiba waktunya. Dalam perbualan itulah kami menyedari bahawa guru itu mempunyai pendapatnya yang tersendiri tentang konsep ketuhanan. Saya masih ingat persoalan yang ditimbulkannya. ”Kita ada mata, siapakah yang bagi kita melihat. Kita ada tangan dan kaki, siapakah yang bagi kita bergerak. Kita ada telinga, siapakah yang bagi kita mendengar. Oleh itu, siapakah diri kita dan mana hak kita?. Sebenarnya kita tak ada apa-apa. Pihak lain yang menguasai kita.”

Baru saya faham setelah sekian lama, betapa ilmu yang dimiliki mereka itu ada kaitan dengan kepercayaan dan pegangan diri. Kalau diri dipunyai oleh pihak lain maka mudahlah seseorang itu menolak angin pada musuh yang menyerang. Hakikat diri orang yang menyerang adalah sama dengan diri pengamal ilmu berkenaan. Oleh itu, kuasa yang menolak adalah bukan dirinya tapi ada kuasa lain yang menguasai dirinya itu. Kuasa berkenaan perlu difahami dan mesti benar-benar mempercayainya jika ingin memiliki ilmu tolakan angin tersebut. Itulah kenyataan yang mencelarukan fikiran kami dan menyebabkan kami lebih berhati-hati.

Kenyataan guru berkenaan betapa kita tidak memiliki apa pun atas diri sendiri, menyebabkan kami ’terkejut beruk’ seketika. Beliau juga melarang kami menggunakan perkataan tuhan kerana kewujudan tuhan telah kita nafikan sebab tiada lagi tuhan yang disembah, melainkan Allah. Sebutan yang benar ialah hanya Allah. Oleh itu sebutan,”Ya Allah ya Tuhanku” dikatakannya sebagai sebutan yang salah. Cukup semata-mata ”Ya Allah”. Itulah asas pegangan sebelum memiliki ilmu menolak angin. ”Yang menolak itu bukannya kita, melainkan pihak lain yang menguasai keseluruhan diri kita.”

Bercelaru lagi fikiran kami. Saya rasa, pembaca yang membaca tulisan inipun turut bercelaru kecuali pada mereka yang pernah membaca atau mengikuti perkembangan pelbagai jenis ajaran sesat yang ada di negara kita. Alhamdulillah, Ustaz telah memberi penerangan dan nasihat kepada saya terlebih dahulu. Nasihat itu telah dapat saya jadikan tembok atau pendinding bagi menyelamatkan diri dari terjerumus dalam perbuatan yang tak ada arah.

Pada malam yang dijanjikan itu, kami diperlukan membawa wang dua puluh lima ringgit dan seduit sebagai pengkeras. Syiling seduit itu mestilah berbentuk empat segi. Nasib baik ketika itu syiling seduit berkenaan mudah didapati. Maka bermulalah upucara menurunkan ilmu. Kami diberi satu helai kertas yang lengkap dengan amalan beberapa jenis ayat. Kami dikehendaki menghafalnya sebelum bertemu beliau di malam yang lainnya untuk mempelajari ilmu lain yang berkaitan. Hal yang demikian bermakna kami perlu hadir selama dua malam berturut-turut bagi mendapatkan ilmu menangkap hantu. Malam pertama ialah ijazah ilmu dan malam kedua mempraktikkan ilmu berkenaan.

Setelah diadakan upucara menurun ilmu, kami dikehendaki mandi bunga pada malam tersebut. Guru bekenaan juga mengunakan istilah ijazah untuk menurunkan ilmu berkenaan. Pada masa mandi itulah, kami dikehendaki ’mengorek’ tujuh tempat kebatinan di badan dengan menggunakan syiling tersebut. Salah satu tempatnya ialah bahagian hujung tulang yang terletak di punggung. Kami difahamkan bahawa tulang berkenaan tidak akan binasa hingga hari khiamat. Kami ikut sahaja arahan berkenaan sehingga selesai segala arahan. Tarasa juga lucunya apabila sesama kami mengorek punggung masing-masing. Tak pernah dibuat. Esoknya, kami dikehendaki datang pada waktu yang sama.

Rupa-rupanya pada malam kedua, barulah guru berkenaan berhajat untuk mengajar kami tentang kaedah ’menangkap hantu’. Sebelum itu, beliau menerangkan tentang faedah mandi serta kegunaan wang syiling tersebut. Konsep ’pulang pulih sedia kala’, turut digunakannya dalam amalan mandi tersebut. Kami tak buat apa-apa komen dan tidak cuba membandingan perbuatan mandinya dengan amalan mandi kita. Diam dan ikut sahaja. Rupa-rupanya, syiling tersebut dikatakan amat berguna untuk tujuan pengubatan tertentu terutamanya yang berkaitan dengan hantu. Adalah syarat dan kaedahnya seperti yang diterangkan pada kami. Salah satu caranya ialah dengan merendam syiling yang dikorek itu dalam bekas yang berisi air. Langkah seterusnya ialah air itu boleh disapu pada muka atau pada bahagian kepala. Boleh juga dibuat minum. Pasti kesannya mujarab. Kami diam sahaja, tak kata apa. Terasa juga lucunya kerana air berkenaan adalah berkat punggung yang dikorek. Mana orang lain tahu. Kami bersyukur kerana tak pernah terlibat dengan perbuatan merendam syiling berkenaan dalam air.

Ayat-ayat yang diberi terdahulu, telah kami hafal. Bermulalah acara. Kami diberi botol seorang satu. Kaedah menangkap dan memasukkan hantu yang ditangkap, telah diterangkannya beberapa kali. Kami diingatkan, ketika telapak tangan berasa sejuk, bermakna hantu itu telah berada di telapak tangan dan perlu segera memasukkannya dalam botol yang diberi. Upucara bermula. Maka berserulah kami. Lama juga. Tapi tangan tak sejuk-sejuk juga. Mata saya mengerling pada kawan yang lain. Rupa-rupanya merekapun mengerling mata pada saya. Macam drama pulak. Dengan segera, saya mengedip mata dan menggerakkan kepala tanda beri isyarat. Terus kami tekapkan tangan ke botol berkenaan. ”Dah dapat dah”. Guru berpuas hati. Tapi kami yang geli hati. Entah apa yang dapat.

Malam berikutnya di kelas SC, kami berbincang tentang pengalaman kami itu. Masing-masing ketawa terbahak-bahak. Tak tahu apa yang telah ditangkap. Satu pengalaman yang sungguh melucukan. Walau bagaimanapun pengalaman menangkap hantu itu telah memberi pengetahuan pada kami tentang asal usul ilmu menolak musuh secara angin. Benarlah kata-kata Ustaz. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 02/08/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: