RSS

40. 12. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

29 Jul

Dalam masa kami mencari-cari punca tak lut dek senjata api, kami dipelawa untuk menguji kekebalan badan dari senjata tajam seperti parang dan pedang. Ada juga bayarannya. Kami ikutkan sahaja. Harganya tidak semahal ilmu senjata api. Ketika itu masyarakat kita memang terkenal dengan minat kekebalannya. Teringat saya ketika Peristiwa ’13 Mei’ yang lalu. Ketika itu saya bersekolah di Sungai Patani. Terdapat seorang yang hebat ilmu kebalnya. Ramai yang mengambil ilmu daripadanya. Termasuklah diri saya. Umur ketika itu cuma belasan tahun. Baru Tingkatan Empat.

Setiap hari dalam satu jangka masa, beratur orang ramai memanjang dari luar rumahnya lagi. Tunggu giliran. Wang pengkerasnya ikut suka hati. Tapi, tentu tak akan ada yang berani bagi seringgit dua. Semua orang boleh nampak. Disedianya satu bakul panjang tempat mengisi duit sebagai pengkerasnya. Rasanya dua kaki tingginya. Bertimbun juga duitnya walaupun pemberian secara ikhlas. Rasa-rasanya mengambil masa berhari-hari untuk kutipan sebanyak itu. Warna merah lebih banyak dari warna biru. Mereka yang mengambil ilmu, turut diuji terus. Tapi ditetak di bahagian lengan sahaja. Saya juga ditetak. Terasa hebat atas keyakinan yang ada ketika itu. Sepuluh ringgit juga melayangnya.

Maka kini, sekali lagi saya berpeluang mendapatkan ilmu kebal senjata tajam. Tapi kali ini tidaklah menghairankan saya kerana pernah ada pengalamannya. Namun begitu, ketika ujian dijalankan, terasa pula gerunnya. Kali ini, mereka yang diuji dikehendaki berdiri. Tangan, kaki dan peha dicantasnya. Selepas itu orang yang diuji disuruh bengkokkan badan umpama sedang rukuk. Dipancungnya leher. Itulah bentuk ujian yang ada. Apabila tiba giliran saya, kecut perut juga. Semasa hendak dipancung, terasa-rasa macam kepala akan berpisah dari badan. Walau bagaimanapun, semuanya selamat. Tak cedera apa-apa. Cuma terdapat bekas tetakan atau pancungan.

Sekali lagi kami berbincang bagi mengetahui kebenaran ilmu luar biasa berkenaan. Senjata yang digunakan bukannya tumpul. Telah teruji ketajamannya. Hentakan dan libasannya juga amat ketara. Bukannya perlahan. Terasa juga hentakannya. Tapi, persoalannya, bagaimana kulit manusia berupaya menahan tetakan parang dan pedang yang tajam itu. Teringat juga ketika orang ramai mengambil ilmu kebal di Sungai Patani dulunya. Ada juga yang terluka. Tapi sikit saja. Namun begitu, apabila diuji seorang diri di rumah, terdengar berita ada yang masuk hospital. Rupa-rupanya ada cara tetakannya. Kamipun tak berani menguji sesama sendiri. Silap gayanya, hospitallah tempat istirahatnya. Walau bagaimanapun pada anggapan kami, tetakan tersebut ada caranya yang membolehkan kekebalan. Kalau nak tahu, bawa saja pengkerasnya. Sudah menjadi adat kita menuntut. Nak buat macam mana. Mesti ada habuannya.

Sekali lagi kami terfikir. Macam mana agaknya ketika orang ’kebal’ itu berjuang di medan perang. Kemenjadian kekebalannya adakah pasti menjadi ataupun tidak. Banyak dipengaruhi perasan dan perasaan. Itulah hakikatnya. Tak ada bukti kehebatan mereka. Ada yang mengamuk, tapi sekerat jalan kerana ”dah jalan”. Pelbagai alasan yang diberi bagi membuktikan ilmu yang ada, tidak salah. Yang salah ialah pengamalnya.

Dalam sejarah Melayu, ada juga diceritakan tentang semangat orang-orang kita berjuang. Ada contohnya. Kehebatan Tun Perak mengalahkan askar-askar Siam adalah kerana strateginya. Di depan musuh, di belakang anak bini yang perlu dipertahankan. Oleh itu tidak ada alasan takut, melainkan terus maju bagi menewaskan lawan. Ketika Melaka diserang Portugis, pelbagai cara dilakukan bagi menaikkan semangat juang orang-orang Melayu. Dikatakan bahawa salah satu cara berkenaan ialah membacakan kisah-kisah pahlawan Islam seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali dan sebagainya. Maka timbullah semangat untuk meneruskan perjuangan. Semangat yang timbul dapat mengatasi lawan.

Nampaknya, dalam kalangan mayarakat kita, prinsip semangat sangat diutamakan untuk maksud perjuangan. Dalam hal yang berkaitan dengan ilmu luar biasa tersebut, nampaknya peranan semangat juga amat besar untuk menimbulkan perjuangan yang hebat. Namun begitu, tujuan berjuang tidak jelas. Kepastian kemenjadiannya juga tidak jelas. Hal yang demikianlah yang selalu kami fikirkan tentang perjuangan yang bakal menempah kemalangan. Mereka diberi pengharapan yang tidak pasti jadinya. Akan tetapi, mereka tetap yakin dengan ilmu kebal yang diperoleh.

Mereka saja yang yakin. Tapi, Si Pemberi ilmu sendiripun tak tentu keyakinannya. Dalam bahasa yang agak kasar ialah, ”mereka tidak sedar diri mereka telah tertipu.” Peranan kapit mungkin ada. Kapit saja yang hebat, bukannya mereka. Itulah kesimpulan saya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya sahaja. Setakat ini, itulah juga keyakinan saya tentang ilmu luar biasa yang berbentuk kebal senjata.

Satu lagi pengalaman lampau ialah ilmu bertapa untuk menajamkan atau ’memasinkan kebatinan’ yang ada. Setelah beberapa lama menuntut ilmu megah, kami diarah untuk bertapa di Pulau Dayang Bunting, Pulau Langkawi. Ketika itu, pulau berkenaan tidak semaju sekarang. Pengangkutan bot atau kapalnya pun jenis lama. Kapal kayu. Jadualnya tak ikut masa. Maka kamipun menyewa sebuah bot ke sana dari Kuala Perlis. Ketika itu, waktunya melewati tengah malam. Kami beranikan diri sebab tidak ada pilihan. Mesti sampai pagi di Pulau Langkawi. Bila difikirkan sekarang, nampak sangat kerja orang gila. Tidak langsung pedulikan keselamatan diri. Nasib baik Allah masih pelihara. Kalau tidak, hanya tinggal nama sahaja. Agaknya.

Ketika itu pelabuhan Langkawi tidak seindah sekarang. Bila bot berlabuh, tepaksa berjalan melalui bot-bot lain yang sedang berlabuh untuk naik ke darat. Lantas kami menuju ke masjid. Masih gelap, tapi orang tak ada. Mungkin mereka telah selesai sembahyang agaknya. Nak cari suiz lampu pun tak jumpa. Kami sembahyang di luar sahaja. Saudara Fuad yang mengimamkannya. Antara kami, bacaannya lebih sedap. Selesai sembahyang, cuaca cerah. Baru kami sedar, rupa-rupanya kami sembahyang secara membelakangi kiblat. Macam tak percaya. Pada hal, di masjid ada banyak panduannya. Macam mana boleh jadi sedemikian. Kemudiannya baru kami faham bahawa itulah petunjuk dari Allah pada mereka yang buat kerja tak berapa betul agaknya. Tapi lambat sedar. Nak buat macam mana. Masih mencuba mencari pengalaman dan kebenaran. Nak membenarkan perbuatan kami tersebut. Kami hanya ketawa.

Kami berlima ke Pulau Dayang Bunting. Selain dari kami bertiga, guru itu ditemani pembantunya. Kami menyewa sebuah bot ikan. Kami diarah berpakaian hitam. Nasib baik ketika itu tidak ramai pelancong di sana. Mungkin Pulau Langkawi belum lagi diisytiharkan pelabuhan bebas cukai. Jadi, tidaklah terasa malu sangat. Tak ramai mata memandang. Namun, seorang dua yang memandang, teramat malu juga rasanya.

Sampai di Pulau Dayang Bunting ialah di waktu senja. Kapal yang kami sewa, berpatah balik. Takut berada di pulau itu lama-lama. Itulah katanya. Maka ketika itu, hanya kami berlima sahaja yang ada di sana. Berjalanlah kami melalui hutan yang ada. Sesampai saja di sebuah tasik yang dikenali sebagai Tasik Dayang Bunting, terdapat seketul baru yang besar. Atas batu berkenaan terdapat kesan telapak tangan. Rasa-rasanya tiga kali ganda telapak tangan kita. Tiba-tiba guru berkenaan dimasuki sesuatu. Bertukar nada suara dan bahasa pertuturannya. Berbahasalah dia membuat penerangan. Dikatakan bahawa kesan telapak tangan itu adalah merupakan bekas telapak tangannya satu ketika dulu yang pernah bertapa di situ. Kami diam sahaja. Tak tahu nak komen apa. Hal yang demikian kerana itulah pertama kali kami sampai ke sana. Pembangunannya belum ada lagi. Kebetulan tahun sudah saya pergi ke Pulau Dayang Bunting. Sungguh berbeza pembangunannya, umpama langit dengan bumi.

Pada sebelah malamnya maka kamipun ’bertapa’. Ketika itu hanya ada titi kecil yang dibina atas tasik itu. Hanya titi sahaja yang ada. Sekeliling tasek itu hanya diliputi hutan. Maka bertapalah kami atas titi berkenaan. Kebetulan pula bulan mula jatuh dalam bulan berkenaan. Oleh itu, suasana amat gelap. Kedengaran bunyi suara binatang. Tak tahu jenis apa. Tapi macam suara harimau kumbang. Terasa gerun juga. Semangat berkawan telah mengatasinya. Kalau ’kena’ maka ada kawannya. Tak tidurlah kami sampai ke pagi. Asyik mengamal ayat yang diberi. Macam cerita P. Ramlee. Terkenang sekarang, sungguh geli hati. Apa yang dapat, tentunya rahsia diri. Walau bagaimanapun, pengalaman tersebut amat menarik sekali. ”Pengalaman bertapa menurut jejak Si Ramlee”.

Sarapan pagi kami hanyalah roti bertemankan air kosong yang kami bawa dari pulau besar. Makan malam pun roti bertemankan ikan sardin tin dan air kosong. Rasa muak juga. Bukannya dimasak. Makan mantah-mantah tanpa ada bahan-bahan lain. Tapi, apa kan daya dan nak kata apa lagi. Kerana semangat menuntut ilmu, segala perasaan tak puas hati hanya dikesampingkan saja. Nak buat macam mana. Hanya terima seadanya. Setelah berserapan, guru berkenaan menyelap lagi. Menjadi ’sheikh’ yang lainnya. Arahannya ialah menyuruh kami ’menarik semangat’ di Telaga Tujuh dan menarik semangat di Makam Mahsuri.

Apa nak buat, ikut saja arahannya. Nak bantah pada siapa. Bukan guru yang mengarah. Orang yang mengarah, tak nampak rupa. Hanya dengar suara melalui guru yang ada. Entah di mana duduknya. Maka bersiaplah kami. Bot yang kami sewa hanya datang mengambil kami hampir tengah hari. Sakit jiwa dibuatnya kerana berada di satu tempat yang tidak ada apa-apa. Duduk termenung saja mendiamkan diri. Tak ada mood nak bercakap.

Setelah makan tengah hari di Pulau Langkawi, kami pun berangkat ke Telaga Tujuh dan seterusnya ke Makam Mahsuri. Maka di situ, ditariklah semangat yang ada. Adalah cara dan bacaannya. Di ruangan ini susah nak cerita. Setelah ditarik semangat, tak tahu nak cakap tentang perubahan yang terjadi. Disuruh tarik semangat, maka kamipun tariklah semangat. Entah semangat apa. Nasib baiklah orang tak ada kecuali penjaga makam dan penjaga telaga berkenaan. Walaupun penonton kami hanya seorang saja, namun perasaan malu kami tetap ada. ”Seorang guru sekolah yang membuat kerja gila”. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 29/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: