RSS

40. 8. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

16 Jul

Saya rasa, hampir setahun juga kami mendalami ilmu persilatan Melayu yang lain. Banyak pelajaran baru yang berguna bagi memantapkan penguasaan SC yang ada. Kesimpulan kami, selain daripada makna pukulan dalam SC, buah-buah tangkapan SC juga perlu diambil dengan cara kemas dan mantap. Jika tidak, mungkin akan menjadi habuan pada pergerakan silat lain. Kenyataan ini adalah berdasarkan pengalaman mencuba dan penglibatan dengan persilatan silat Melayu yang lain tersebut.

Dalam tulisan terdahulu ada diterangkan betapa silat-silat Melayu yang lain sangat mementingkan tangkapan atau kuncian. Buah potong pada tafsiran mereka diibaratkan melepaskan tangkapan atau kuncian. Hal yang demikian kerana tangkapan adalah merupakan gerak utama persilatan mereka. Tangkapan diertikan mereka sebagai kuncian. Mereka percaya, seseorang yang dikunci pasti akan tewas dalam pertarungan. Lawan tidak mungkin dapat melepaskan diri dari kuncian tersebut. Itulah kepercayaan yakin mereka. Keseluruhan pelajaran silat, mengarah kepada kuncian. Oleh sebab kuncian dianggap sebagai gerak yang sangat bahaya maka pelajaran khusus membuka kuncian adalah sangat diutamakan. Konsep membuka kuncian samalah pemberatannya dengan konsep memotong gerak pukulan lawan seperti yang ada dalam pelajaran kita. Itulah kesimpulan kami apabila berdamping rapat dengan pergerakan silat mereka.

Namun begitu, konsep memotong gerak dalam persilatan mereka adalah berbeza dengan SC. Pelajaran kita tidak ada tumpuan untuk membuka kuncian. Kalau tertangkap maka kelam kabut juga jadinya. Oleh hal yang demikian maka kita tidak membenarkan lawan menangkap atau membuat kuncian. Secepat kilat kita akan terus bertindak apabila tersentuh. Sama ada tangan yang dihulur tersentuh atau badan kita yang ditumbuk tersentuh, pasti kita akan bertindak tanpa ada sifat bertolak ansur dalam gerak. Tidak ada peluang bagi mereka untuk membuat tangkapan atau kuncian. Itulah keyakinan kita dan itulah perkara yang sepatutnya berlaku apabila kita berhadapan dengan persilatan yang berlainan perguruan.

Walau bagaimanapun, silat kita juga ada kuncian ke atas lawan. Kita selalu yakin bahawa tangkapan kita itu akan mematikan pergerakan lawan. Keyakinan kita itu berasaskan adanya pukulan di pemulaan gerak. Kalau lawan kita itu sesama perguruan, adatnya langsung tidak ada sebarang masalah. Kita boleh membuat tindak balas berikutnya. Pelajaran ‘Enam Tolak Enam’ sangat memberi makna. Hal yang demikian tentunya berbeza apabila kita berhadapan dengan pesilat dari perguruan lain. Lain silat maka lain tumpuan dan lain pergerakan mereka. Di sinilah kita perlu berwaspada dan sangat perlu berhati-hati. Seperti yang saya tegaskan bahawa kuncian adalah merupakan pelajaran utama mereka. Tidak ada satupun tangkapan buah-buah silat Melayu yang tidak boleh mereka buka dengan mudahnya. Itulah kelebihan seni silat Melayu. Kami bercakap demikian setelah melalui pengalaman secara langsung.

Dua perkara yang perlu kita berhati-hati ketika membuat kuncian ke atas mereka. Kita memerlukan gerak tindakan yang mantap, kemas dan pantas. Keduanya, apabila mereka ditangkap atau dikunci, waspada pada tindak balas mereka; sebab, membuka kuncian pada pelajaran mereka adalah sama dengan konsep potong yang ada pada kita. Ingat. Pelajaran silat-silat Melayu yang lain amat menitikberatkan aspek tangkapan atau kuncian.

Dalam perbincangan sesama kami tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan supaya kita sentiasa ambil berat atas setiap pelajaran yang diajar. Jangan cuba buat gerak secara sambil lewa kalau kita tidak mahu ‘diratah’ begitu saja. Kalau pelajaran itu telah ada, jangan diubah-ubah sesuka hati atau ditinggalkan begitu saja. Buruk padahnya. Kesimpulan yang kami dapat, jika menangkap tanpa ada sebarang pukulan atau membuat pukulan secara sambil lewa, alamat nahas jadinya. Itulah penekanan Ustaz pada saya. Saya yakin dan faham pesanannya dengan sepenuh hati. Cuma, percakapan saya pada anak didik saya semakin terbukti apabila mereka sendiri mengalaminya. Oleh sebab itulah mereka faham atas apa yang saya maksudkan dengan kepentingan pukulan dalam SC.

Dalam kelas-kelas kemahiran SC, segala aspek yang ada dalam pembelajaran SC, sangat saya titikberatkan. Sesungguhnya, Ustaz telah merangka sistem pelajaran yang kemas, pendekatannya mantap dan hebat. Pelajaran asas ada kaitannya dengan pelajaran jatuh. Kesinambungan antara asas dan jatuhan itu, perlu bersepadu tanpa mengubah di mana-mana bahagian pergerakan tersebut. Berdasarkan teori dan praktikal, rupa-rupanya setiap pergerakan yang ada dalam SC di peringkat asasnya lagi adalah membawa makna yang amat penting. Buatlah secara bersungguh hati.

Pengalaman bersilat dengan perguruan lain telah memantapkan kepercayaan bahawa sesungguhnya kita amat bertuah kerana Ustaz telah berjaya menurunkan satu sistem latihan dan pergerakan-pergerakan yang amat mantap dan berkesan. Lantas diyakinkan pada kita betapa SC boleh menghadapi sebarang seni bela diri yang lain. Keyakinan itu adalah berasas. Kalau keyakinan itu kita akui dan menerimanya maka lebih baik kita juga terima saja kesemua ajaran dan sistem pelajaran SC yang ditinggalkan tanpa perlu mengubah-ubah di mana-mana bahagian. Sesuailah dengan makna Pusaka Hanafi.

Kadang kala terasa risau juga dengan perkembangan yang ada sekarang. Kita mungkin bercelaru antara konsep latihan dan persembahan. Ada yang berpendapat bahawa latihan lain dan persembahan lain. Saya tak ada komen. Pada pendapat saya, berlatih silat adalah sama rentaknya sama ada untuk membuat persembahan atau latihan biasa persilatan. Tidak ada diskriminasi gerak semata-mata untuk menyedapkan mata atau hati penonton. Dalam latihan, musuh yang datang dikenakan pukulan pukal, maka dalam persembahanpun gerak yang sama diperlakukan. Tak ada sentuh-sentuh. Pukul betul-betul tapi tidaklah sampai memudaratkan pasangan. Sama saja gerak pukulannya dalam latihan dan persembahan.

Saya beri beberapa contoh. Misalnya buah Pertama. Tanpa pukulan, jangan diharap mudah membuat jatuhan. Kecualilah gerak berpakat. Yang risaunya, sampai ke sudah, pasangan kita mudah dijatuhkan bukan kerana kecekapan dan kehebatan kita, tapi kerana sifat sepakatan pasangan yang mengalah pada gerak. Ada yang kata, mula-mula kena pakat. Lama-lama baru buat betul. Eloklah! Diri diasuh dengan perbuatan berpakat. Itulah sebab agaknya lama-lama wujud pakatan bagi menjatuhkan kepimpinan.

Setelah jatuhan pada buah Pertama, ramai kalangan kita yang terburu-buru menganak pukulan sama ada dengan penumbuk atau sepakan kaki tanpa tahu sebab dan tanpa melihat gerak pasangan. Berhati-hatilah. Pelajaran asasnya ialah kedua-dua kaki berada di sisi badan pasangan kita yang telah dijatuhkan. Gerak berikutnya adalah berdasarkan gerak pasangan. Kebiasaannya gerak lawan kita dari persilatan lain amat pantang jatuh telentang. Mereka diajar supaya jatuh mengereng sambil berpaut pada apa yang ada. Di sinilah gerak menganak dalam pelajaran kita sangat diutamakan.

Kalau asas Kuntau Jatuh, pukulannya didagu, maka buatlah sedemikian rupa. Jangan diubah kedudukan pukulan tersebut semasa membuat jatuhan, semata-mata bagi memudahkan jatuhan. Kalau ada yang cuba mengubah kedudukan pukulan Kuntau Jatuh di bahagian dada atau di bahu kiri atau di bahu kanan, alamatnya tangkapan akan tak menjadi sempurna dan mungkin akan mengundang bahaya. Untuk maksud pertunjukan, meletakkan sasaran tangan di bahu mungkin akan menyebabkan jatuhan pasangan kita dalam keadaan mudah. Penonton akan bergembira dan berpuas hati, tapi malangnya kita yang akan rugi, ekoran mengubah sasaran pukulan semata-mata untuk memuaskan hati orang lain.

Setelah membuat jatuhan, pastikan kuncian dibuat secara kemas dan mantap tak kira sama ada dalam latihan atau ketika membuat persembahan. Hal yang demikian menjadikan kita bersikap tegas dalam gerak SC tanpa ada usaha mengubah-ubah gerak untuk kesenangan diri atau untuk memuaskan orang lain. Semuanya sama saja geraknya, sama ada semasa latihan ataupun persembahan.

Begitu juga dengan buah Hempuk. Kalau kaki pasangan kita disendal pada pelajaran asas, maka teruskanlah ketika membuat jatuhan. Ustaz menganjurkan kita berbuat demikian kerana ada sebabnya. Kegagalan berbuat demikian akan mengundang risiko yang amat besar ketika membuat jatuhan. Gerak silat Melayu, pantang jatuh meluru ke depan. Mereka akan membuat pusingan badan. Ketika itulah konsep kuncian secara guntingan kaki amat mereka sukai. Berhati-hatilah.

Sesungguhnya semua sistem pelajaran SC yang telah terbentuk di zaman Ustaz, ada maknanya. Ustaz bersilat dan memimpin SC atas pengalaman persilatannya yang banyak. Ustaz telah berkecimpung dalam pelbagai jenis silat Melayu yang lain. Hal yang demikian menjadikan pergerakan SC yang dipimpinnya mempunyai makna dan sebab-sebab yang tersendiri. Terimalah pergerakan tersebut tanpa diubah-ubah pergerakan di sana sini. Kemudian carilah pengertian pada setiap pergerakan yang ada dalam SC. Itulah sifat yang dinamakan sebagai mempusakai Pusaka Ustaz Hanafi.

Pengalaman yang kami lalui bersama, telah menyebabkan kami menghargai secara menitikberatkan semua pelajaran SC yang ada. Walau bagaimanapun, pada diri saya, hal yang demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan. Seperti yang dikatakan bahawa saya sering merujuk pada Ustaz. Tambahan pula saya sememangnya ada pengalaman dengan silat Melayu yang lain. Bandingan gerak silat memberi kesimpulan pada saya supaya membuat gerak SC dengan bersungguh hati. Ustaz juga telah menekankan pada saya betapa setiap gerak yang ada adalah membawa makna. Jangan ditinggalkan atau dibuat secara sambil lewa. Hal yang sama saya tegaskan juga pada anak diik saya. Percakapan saya itu lebih bermakna dan lebih berkesan apabila mereka juga mendapatkan pengalaman dan mengetahui tentang gerak-gerak lain dalam persilatan Melayu yang ada. Bersambung.

 

 
Leave a comment

Posted by on 16/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: