RSS

40. 7. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

12 Jul

           Sesuatu yang mengejutkan saya ialah pernah sekali Ustaz berkunjung ke tempat kerja, di Felda Lasah, Sungai Siput Utara. Saya bertugas sebagai guru di sana. Ustaz adalah dalam perjalanan balik ke Kedah. Pada masa itu belum ada lebuh raya. Maka jalan masuk ke Felda tersebut adalah dalam laluan perjalanan Ustaz. Jauhnya dari simpang lebih kurang tiga puluh kilometer. Saya berasa terkejut kerana kunjungan Ustaz ke tempat kerja bukanlah sesuatu yang disukainya. Ustaz pernah menyatakan hal yang demikian. Walau bagaimanapun, saya rasa kunjungan Ustaz itu adalah disebabkan sesuatu yang penting. Saya adalah merupakan pemimpin pesilatan dan persatuan SC di Perak dan merupakan ‘wakil’ Ustaz bagi menyebarkan SC di cawangan.

Perbualan Ustaz lebih berfokus pada ilmu luar biasa yang mula mendapat tempat di hati masyarakat. Ketika itu telah muncul ilmu silat yang menggunakan kebolehan luar biasa. Tak perlu latihan fizikal, melainkan amalan ayat-ayat tertentu. Sekurang-kurangnya terdapat tiga jenis pergerakan ilmu yang dikatakan berbentuk silat itu. Difahamkan bahawa ilmu luar biasa tersebut berkeupayaan menghadapi musuh secara tolakan angin ketika musuh menyerang. Tolakan tersebut akan membuatkan musuh terpelanting. Populariti  dan perkembangan ilmu demikian ada juga kaitannya dengan penglibatan seorang menteri pusat yang menaungi pergerakannya. Walau bagaimanapun, semakin  lama maka semakin pudar perkembangan ilmu tersebut. Ramai alim ulama yang tidak menggalakkan pengamalan ilmu itu. Lebih-lebih lagi setelah menteri berkenaan tidak lagi menjawat jawatan sebagai menteri.

Banyak perkara yang dipesan dan dibincang Ustaz. Saya difahamkan bahawa ilmu yang luar biasa tersebut tidak boleh dianggap sebagai silat, walaupun mereka mendakwanya sebagai silat. Sesuatu yang dinamakan silat adalah bermaksud keupayaan biasa pergerakan dua tangan dan dua kaki secara sedar. Hal yang demikian adalah berbeza dengan ilmu yang didakwa oleh silat tersebut. Kemenjadiannya tidak menentu.  Latihannya banyak bergantung pada amalan ayat.

Saya diyakinkan bahawa sesama ahli, sah jadinya ilmu tersebut. Akan tetapi, jika berlainan ahli, tak tentu jadinya dan terpaksa menanggung banyak risiko. Hal yang demikian kerana kemenjadiannya adalah mengharapkan sesuatu yang luar biasa dan bukannya atas usaha diri yang ada. Saya difahamkan juga bahawa banyak kali  ilmu berkenaan ‘tidak menjadi’ apabila diamalkan oleh ahli. Terkena serangan. Apabila ilmu tidak menjadi, apakah yang boleh disandarkan lagi. Untuk menghadapi serangan berdasarkan silat secara sedar, tidak mampu melakukannya kerana tidak ada dalam pelajaran. Mungkin itulah kelemahannya apabila terpaksa menghadapi musuh dalam keadaan tidak menentu sama ada ilmu tersebut benar-benar dapat dipertanggungjawabkan pada diri. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan seni silat yang menggunakan keupayaan  dua tangan dan dua kaki secara latihan yang berterusan.

Pesanan Ustaz sangat memberi makna besar kepada saya. Hal yang demikian kerana saya mempunyai ‘modal’ untuk mengeluarkan pendapat secara yakin terutamanya dalam kalangan anak didik saya. Malah, orang lain yang bertanyakan pendapat saya, mereka akan diberi penerangan seperti mana yang saya terima dari Ustaz. Ketika itu, salah seorang saudara saya sangat berminat dengan ilmu yang sedemikian. Di rumah saya jugalah diadakan persembahan satu daripada jenis silat berkenaan bagi mencari ahli-ahli baru. Saya tidak pernah mencampuri urusan mereka. Saya ada pegangan tersendiri. Walau bagaimanapun perkembangan silat berkenaan tidak mendapat sambutan hebat. Malah, sambutan di tempat saya tersangat hambar berbanding dengan sambutan di ibu kota, Kuala Lumpur. Lama-lama, lenyap begitu sahaja.

          Semasa saya berada di cawangan, pelbagai usaha telah saya jalankan untuk menambahkan ilmu persilatan pada diri saya sendiri. Dalam tulisan yang lalu, saya pernah tulis betapa saya juga pernah mempelajari silat Melayu yang lain. Pelajarannya banyak memberi makna dari aspek bandingan antara silat Melayu yang ada. Minat saya mempelajari seni silat Melayu yang lain ada kaitannya dengan hala tuju yang dibawa Ustaz dalam bidang persilatan.

Ustaz pernah melahirkan hasrat untuk mendapatkan bangunan sendiri. Dengan adanya bangunan tersebut, Ustaz juga berhasrat untuk menubuhkan akademik silat. Saya difahamkan bahawa Ustaz akan mengundang guru-guru silat yang ada kaitan dengan nama-nama buah dalam SC untuk menurunkan ilmu silat mereka pada anak-anak murid SC. Sekurang-kurangnya ahli-ahli SC akan mempunyai pengalaman yang luas dalam persilatan Melayu. Kalau tak salah saya, dalam majlis perayaan SC seterusnya iaitu selepas Perayaan Sepuluh Tahun, Ustaz ada menjemput seorang guru silat untuk mengajar ahli-ahli SC dan seterusnya membuat persembahan berbentuk tarian silat. Guru itu tinggal di pejabat silat di Jalan Putera. Saya tidak boleh bercerita panjang kerana ketika itu saya telahpun berhijrah ke kampung. Cuma, ketika saya menziari pejabat silat, saya menyaksikan aktiviti yang berlangsung tersebut.

Tindakan Ustaz yang sedemikian, membuktikan bahawa Ustaz mempunyai pemikiran yang terbuka dalam persilatan silat Melayu. Hal yang demikian amat sesuai dengan perjuangannya sendiri yang mempastikan anak-anak muridnya sentiasa menghormati persilatan Melayu. Itu sebablah pada pendapat saya, kita berikrar untuk tidak mencaci silat-silat Melayu yang ada. Cuma, adab berguru adalah memerlukan kita mendapatkan kebenaran guru sebelum kita bertindak mendalami sesuatu ilmu dari guru yang lain.

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, memohon kebenaran dari Ustaz bagi mempelajari sesuatu ilmu dari guru yang lain adalah amat penting. Kegagalan berbuat demikian akan menanggung risiko yang amat besar. Jika diketahui oleh mereka yang berfikiran sempit dan tertutup, pasti akan mengundang padah. Banyak fitnah dan tohmahan yang akan mengelilingi kita. Silap haribulan maka akan tersingkirlah kita dari persilatan SC. Hal yang demikian telah banyak terjadi. Tak kiralah apa jenis ilmu, asalkan ada kaitan dengan kelebihan luar biasa, ada kaitan dengan pakaian hitam atau ada kaitan dengan segala bentuk amalan fizikal atau amalan ayat, lebih baik berhati-hati. Ramai yang curiga. Malah, kalau menyertai pertandingan larian yang memerlukan berpakaian hitam pun, jaga baik-baik. Warna hitam selalu dikaitkan dengan ilmu persilatan. Kalau tanpa kebenaran, pasti banyak fitnahnya.

Walau bagaimanapun, sikap keterbukaan Ustaz telah saya manfaatkan sepenuhnya pada diri dan juga pada ahli-ahli SC di cawangan saya. Hal yang demikian telah mendorong saya menjemput beberapa orang guru silat untuk mengajar silatnya pada ahli-ahli lama yang setia pada SC. Ustaz telah dimaklumkan terlebih dulu tentang hasrat saya tersebut. Pada mereka yang terlibat dengan program tersebut, saya selalu peringatkan, ”Jangan buat sebarang komen pada ilmu persilatan yang diterima. Terima sahaja tanpa membanding-bandingkan dengan persilatan yang ada di hadapan guru yang mengajar.” Semua akur dengan pesanan saya. Sekurang-kurangnya ada tiga orang guru silat yang kami jemput dalam masa yang berlainan. Walau bagaimanapun latihan pada ahli-ahli baru tetap diteruskan kerana masa latihan adalah berbeza.

Peranan saya sebagai ketua dalam aktiviti berkenaan adalah  bagi mempastikan persilatan yang diterima akan memberi sumbangan bagi memantapkan persilatan SC yang sedia ada. Saya menganjurkan satu malam latihan khas untuk membincangkan pergerakan yang kami terima berbanding dengan persilatan SC. Kehadiran adalah wajib bagi semua yang belajar untuk membincangkan aspek kelebihan dan kekurangan dalam semua segi.

Sesungguhnya, pengalaman belajar silat-silat Melayu asli yang lain tersebut, banyak manfaatnya pada kita. Semua anak didik saya, mengakuinya. Kami semakin yakin dan faham akan tindakan Ustaz yang berhasrat untuk mendedahkan para ahli SC pada seni silat Melayu asli yang lain seperti yang saya nyatakan di atas. Perbandingan gerak antara silat kita dengan silat Melayu yang lain telah menyebabkan kita semakin kenal akan SC. ”Tak kenal maka tak cinta”. Apabila kita lebih mengenali SC maka secara langsung akan menyebabkan kita semakin ’cinta’ pada SC. Kecintaan tersebutlah menyebabkan kita akan terus-menerus berusaha dengan bersungguh hati untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat Melayu.  Kita berpendapat bahawa sungguh sayang sekali jika masyarakat Melayu tidak mempelajari SC. Silat yang benar-benar asli dan boleh bertanggungjawab pada diri sendiri.

Setelah belajar silat Melayu yang lain itu, barulah kita akan faham betapa penting dan bermaknanya, makna pukulan dalam SC. Barulah juga kita faham betapa Ustaz selalu menekankan aspek pukulan dalam SC. Teringat saya satu soalan yang pernah saya ajukan pada Jurulatih ketika saya sedang menuntut buah potong dulunya. Oleh sebab ’blok’ kita adalah pada pukulan, saya bertanya tentang cara kita melepaskan diri jika ditangkap oleh silat lain. Maka Jurulatih berkenaan menjawab, ”Jangan bagi dia tangkap”. Begitulah mudahnya jawapan beliau.

Walau bagaimanapun, jika kita berfikiran positif, jawapan Jurulatih berkenaan mempunyai makna yang mendalam. Jikalau kita ingin mengelakkan diri daripada ditangkap ketika bersilat, maka kita mesti berusaha menguasai gerak. Pergerakan kita perlu pantas dan bertindak yakin apabila kita melepaskan penumbuk atau menerima tumbukan. Hal yang demikian tentunya akan menyusahkan lawan kita untuk membuat tangkapan. Di sinilah peranan pukulan amat penting sekali. Sama ada kita diserang atau kita menyerang, pukulan Cekak tetap diutamakan. ’Mereka tidak ada, melainkan kita yang ada.’

Itulah keluarbiasaan kita. Ingatlah, “Perbezaan antara sesuatu yang biasa dengan sesuatu yang luar biasa ialah keluarbiasaannya. Sesuatu yang bersifat luar biasa, pasti  akan menghasilkan pencapaian yang juga bersifat luar biasa.”  Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 12/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: