RSS

40. 6. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

09 Jul

Setelah pulang ke ‘kampung’, saya membuka cawangan SC. Seperti yang pernah saya tuliskan dulu, banyak pancarobanya. Saya tak boleh lupa. Kempen bermula apabila saya dan sahabat yang ada, En. Abu Hamid dan En. Shafie, sama-sama telah menganjurkan pertunjukan secara besar-besaran di Padang DR Seenivasagam, Ipoh, pada 27 Mac 1977. Ketika itu, kami mendapat kerjsama sepenuhnya daripada Ustaz Osman Bakar yang menjawat jawatan Guru Besar Pusat Pengajian Al-Ridzuan, Ipoh. Baru-baru ini beliau telah meninggal dunia. Jasanya besar sebagai salah seorang pejuang bangsa Melayu.

Perkara yang ingin saya ceritakan ialah peristiwa sehari sebelum pertunjukan itu. Semua peserta yang hampir seratus orang, berhimpun di rumah saya di Pasir Puteh, Ipoh. Mereka tidur di rumah saya termasuk sebahagiannya di rumah bapa saudara saya yang terletak bersebelahan. Semua orang hebat dalam SC dulu dan  masih ada sekarang, berhimpun bersama. Cuma umur sahaja yang berbeza. Saya berasa sangat megah kerana usaha-usaha saya itu telah mendapat sokongan dari rakan-rakan ahli. Hal yang demikian menunjukkan bahawa hubungan saya sesama ahli di pusat masih berterusan eratnya walaupun tinggal berjauhan.

Cuma ada satu kenangan lucu yang saya tak boleh lupa ekoran perhimpunan ahli-ahli kita itu. Di rumah saya ketika itu terdapat dua  pohon pokok limau tambun. Lebat buahnya. Saya selalu diingatkan emak supaya jangan sesekali memanjat untuk memetik buahnya. Kalau pokok limau dipanjat, pasti pokoknya akan mati. Sama juga larangannya pada buah kuinin. Jangan sesekali dibuat sambal. Akibatnya akan menyebabkan buah kuinin yang ada di pokok akan menjadi busuk berulat. Pada saya, larangan itu karut belaka. Walau bagaimanapun, saya tetap patuh dengan arahan emak. Kalau hendakkan buah limau, maka saya akan menggunakan galah untuk menjoloknya. Kuinin yang hendak dibuat sambal akan dibeli di pasar.

Kebetulan, ketika perhimpunan di rumah saya tersebut, buah limau menjadi-jadi. Salah satu pokok limau tersebut telah dipanjat oleh sahabat kita. Sekarang ini dah jadi orang hebat geng persatuan asal. Emak saya tidak tahu kerana sibuk menyediakan makanan untuk semua. Nak jadi cerita, selepas perhimpunan tersebut, pokok limau itu mulai ‘mati’ hari demi hari. Akibat panas agaknya. Mungkin kerana dipanjat oleh orang yang kuat makan rempah. Keturunannya memang ada. Tapi, timbul perasaan ragu-ragu. Adakah itu satu petua atau hanya secara kebetulan sahaja. Apa pun, pokok berkenaan mulai mati setelah dipanjat. Pokok yang satu lagi, elok saja. Sama umurnya. Tak berani nak fikir lama-lama. Ke arah syirik sifatnya. Kalaulah emak saya mengetahuinya, tentu saya akan dibebel setiap masa. Sengaja saya cerita dalam tulisan ini. Itulah salah satu kenangan saya bersama mereka.

Berkat ketabahan dan sokongan semua pihak, kelas SC  berjaya dibuka di Ipoh. Kalau tak salah saya, bilangan ahli pertamanya ialah seramai dua puluh satu orang. Ketika itu, masih kuat kepercayaan pada bilangan angka. Pembukaan kelas SC menjadikan hubungan saya dengan Ustaz tidak terputus. Lebih-lebih lagi dalam majlis penamat.  Hubungan semakin rapat. Pada masa awal perkembangan SC di cawangan, amalan Guru Utama menyebelih sendiri ayam petunjuk dan ayam-ayam yang hendak dikedurikan ketika majlis penamat, masih diamalkan. Kemudiannya, kelas-kelas lain dibenarkan menggantikan ayam dengan daging buat kenduri, kecuali ayam petunjuk. Namun begitu, saya masih lagi mengekalkan amalan setiap ahli perlu membawa ayam seekor seorang bagi mereka yang hendak tamat. Itulah pengalaman yang saya pernah alami dan saya inginkan agar ahli-ahli yang saya didik juga mengalami pengalaman yang sama.

Hal yang demikian menyebabkan Ustaz perlu datang ke cawangan sehari lebih awal. Kalau upucara penamat jatuh pada hari Ahad, maka Ustaz akan datang pada petang Sabtu. Maknanya Ustaz perlu bermalam. Semasa kelas dipindahkan ke rumah saya, maka Ustaz bermalam di rumah saya. Kadang kala hanya Ustaz seorang yang datang. Ada ketikanya pula Ustaz membawa isterinya bersama-sama dengan anak bongsunya. Semasa Ustaz bermalamlah, memberi peluang kepada kami untuk mendengar perbualan dan percakapan Ustaz. Sampai larut malam. Banyak ilmu pengetahuan yang kami dapat.

Selepas kesemua ayam di sembelih, ayam-ayam tersebut disiang untuk dimasak secara gotong royong. Dari pagi hingga ke majlis ijazah pada waktu malamnya, banyak masa untuk kami bersama dengan Ustaz. Di situ juga banyak ilmu pengetahuan yang kami peroleh. Cuma, akhir-akhirnya akibat kesuntukan masa, Ustaz hanya datang lewat pagi untuk menunaikan kewajipan menyembelih. Dan akhirnya, ayam-ayam tersebut diwakilkan pada kami untuk menyembelihnya. Manakala ayam petunjuk dibawa Ustaz dari Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, keperluan setiap ahli membawa seekor ayam untuk tujuan tamat silat, masih dikekalkan. Hinggalah ke zaman Pak Ak, baru amalan itu kami permudahkan. Tak payah bawa ayam. Terpaksa mengalah. Banyak senangnya.

Dalam majlis ijazah yang lain, kedatangan Ustaz sebagai Guru utama adalah merupakan satu kemestian dan merupakan tanggungjawab guru. Kedatangan awalnya sebelum ijazah tetap mendatangkan manfaat kepada kami. Setiap saat dan ketika, kami gunakan sepenuhnya untuk bertanya soalan atau mendengar pesanan dan  percakapannya. Pesanan rasmi Ustaz ada kaitan dengan bentuk latihan tangan dan kaki yang diterangkan pada waktu ijazah permulaan. Dalam majlis ijazah penamat, pesanan utama Ustaz ada kaitan dengan pukulan sejengkal. Ketika itu majlis petua tidak ada lagi. Perkembangan SC yang semakin pesat, menjadikan masa sebagai sesuatu yang amat berharga pada Ustaz. Hal yang demikian menyebabkan Ustaz jarang tidur di cawangan. Biasanya ada pemandu Ustaz sendiri.  Selalunya, Tombei dan  Pak Wan. Kerap juga Ustaz datang secara sendirian, memandu sendiri atau menaiki kapal terbang.

Selain kedatangan Ustaz yang berkaitan dengan ijazah, Ustaz juga biasa mengunjungi rumah saya dalam perjalanan baliknya ke Kedah. Ketika itu saya masih tinggal di Pasir Puteh. Kedatangan Ustaz itu juga saya gunakan sepenuhnya untuk berbual dan bertanyakan soalan dalam pelbagai tajuk. Termasuk persoalan tentang bentuk latihan yang perlu sebelum SC bertemu dengan lawan. Ustaz menekankan kecekapan kaedah yang ada. “Latih bersungguh-sungguh hingga tangan kita secara automatik dapat mengesan arah tumbukan lawan”. Ketika itulah Ustaz menunjukkan latihan berterusan menggunakan kaedah yang bersepadu. Rasanya ramai yang telah tahu.

Ustaz juga telah menarik perhatian saya tentang bentuk latihan menggunakan kaedah. Teringat saya tentang satu bentuk latihan tersebut yang pernah dianjurkan Ustaz pada para Jurulatih di Lorong Haji Sirat. Badan diikat pada sebatang tiang supaya badan tidak bergerak atau badan tidak mengundur ke belakang. Pada kedudukan itu, pasangan kita menumbuk dan kita ambil kaedah. Latihah yang sedemikian menyebabkan kita perlu menumpukan perhatian sepenuhnya pada serangan penumbuk pasangan kita. Secara langsung, latihan sedemikian itu telah mewujudkan sifat berani dan berfokas.

Semasa memimpin cawangan, saya berikan penekanan dan mempraktikkan latihan berkenaan sebelum berbaris. Hinggalah Ustaz memberi petua lain untuk memahirkan penggunaan kaedah tangan, maka barulah latihan sedemikian terserah pada ahli mencari masa berlatih. Kini, nampaknya sedikit demi sedikit latihan sedemikian mula dilupakan. Mungkin akan terus dilupakan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 09/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: