RSS

40. 5. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

03 Jul

          Dalam tulisan yang terdahulu, saya ada siarkan catatan amalan yang diperturunkan Ustaz pada sebilangan kami. Saya tidak berhajat untuk menerangkan bentuk amalannya. Penyiarannya adalah untuk memperlihatkan peristiwa dan tulisan Ustaz. Rujuklah pada mereka yang ahli dalam bidang tersebut untuk mendapatkan penjelasan. Cuma, saya masih ingat pesanan Ustaz. Sesuatu bacaan itu bukanlah untuk habuan mulut semata-mata. Perkara pentingnya ialah mengamalkan maksud ayat berkenaan. Kalau nak dicontoh agaknya, kita lihat ayat yang berbunyi, “Tak nak merokok”. Kalau habuan mulut, maka bacalah seratus kali sehari. Tentunya tidak akan ada apa-apa perubahan. Sebaliknya, jika diamalkan maksud ayat berkenaan, tentu akan ada hasilnya. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk menghentikan perbuatan merokok.

Satu lagi peristiwa yang berlaku semasa saya bersama Ustaz ialah tatkala kami membincangkan buah-buah yang ada dalam SC. Pernah Ustaz bertanya,” Dalam pelajaran asas dan jatuh, mana buah yang tiada pukulan.” Saya menjawabnya secara spontan dan atas apa yang terlintas sahaja. Tak cukup masa nak berfikir. Lantas Ustaz menerangkan bahawa setiap buah yang ada dalam SC, ada pukulannya. Misalnya buah Kuntau Kiri. Buah yang tidak ada pukulan secara langsung itu, sebenarnya ada pukulannya. Ustaz menunjukkan pukulan tersebut pada saya. Saya menumbuk dan Ustaz membuat buah. Setelah itu, bagi mengesahkan penerimaan buah berkenaan, Ustaz menumbuk dan saya disuruh membuat buah tersebut. Terasa seribu kali kekesalan. Ketika itu pergerakan saya kurang ada breknya. Ustaz tak kata apa-apa. Tetapi saya yang berasa malu dan serba salah.

Ada satu lagi perkara yang dinyatakan Ustaz. Tentang buah Lintau. Buah yang Ustaz terima ialah setakat asas yang kita pelajari sekarang ini. Itulah asas dan itulah jatuh. Macam Luncur. Tidak ada sambungannya. Menurut Ustaz, dia mempersoalkan gerak buah Lintau itu pada gurunya yang memberi. Persoalan Ustaz itulah yang mengesahkan pukulan yang ada sekarang dalam jatuhannya iaitu pukulan pada bahagian dada dan tengkok. Baru saya faham. Bukan maksud guru menyimpan gerak. Akan tetapi gerak itu akan muncul jika anak muridnya berjaya mencungkilnya. Hal yang demikianlah yang membezakan pengetahuan sesama ahli dalam persilatan. Saya tak pernah tulis tentang perkara itu sebelum ini. Takut fitnah sebab tak ada saksi dan tak tahu sama ada Ustaz pernah menceritakannya pada orang lain.

Perkara yang penting bagi saya ialah, penerangan Ustaz itu memberi makna yang jelas pada pegangan saya. Belajarlah SC secara berfikir. Timbulkan persoalan jika ada keraguan. Jika mampu, setiap buah yang ada itu, dapatkan pembuktian hebatnya. Barulah sah penerimaannya. Belajar secara berfikir tentunya tak sama dengan belajar secara ‘disumbat’ sahaja. Tapi saya faham akan karenah yang ada. Ada dalam kalangan Jurulatih yang pantang ditanya. Kalau dijawabpun,” Nanti habis pelajaran. Adalah dia.” Maka tunggulah buah yang tak jatuh-jatuh. Melekat tetap di anunya.

Ketika itu juga saya bertanya tentang beberapa buah pukulan yang ada dalam silat asal yang pernah saya pelajari. Pukulan-pukulan berkenaan, apabila diubahsuai dengan gerak SC, saya rasakan amat bahaya sekali. Saya berbincang dengan Ustaz.  Masalahnya, ketika itu hanya kami berdua yang ada. Buah berkenaan terpaksa saya lakonkan untuk menunjukkan geraknya pada Ustaz. Itu yang tak ‘sedapnya’. Walau bagaimanapun, kaedah Ustaz mengatasi buah-buah berkenaan tidak disuruh saya lakukan semula. Cukup setakat pengetahuan atau petua yang Ustaz beri. Saya faham akan penerangannya dan berasa puas hati. Tak perlu lakonan kembali. Saya suka sebab tak timbul perasaan serba salah lagi.

Pada hari yang lain, saya terangkan pada rakan. Maka dapatlah saya praktikkan seperti mana yang dilakukan Ustaz tempoh hari. Maka pengalaman itu telah menambahkan pengetahuan SC pada diri saya. Mungkin perkara itu agak sensitif. Semasa menjadi Jurulatih di sana, pengalaman itu menjadi rahsia diri. Namun begitu, apabila mengendalikan kelas di cawangan sendiri, pengetahuan tersebut adalah merupakan amalan biasa dalam kelas-kelas kemahiran kendalian saya. Hingga timbul perasaan curiga pada mereka yang berasa asing dengan gerak amalan yang mereka ada dan amalkan. Malas nak layan ketika berhadapan dengan orang yang tak faham-faham. Tapi saya jelas akan hala tuju untuk membangunkan kehebatan anak didik. Sekurang-kurangnya dapat membuka dan meluaskan minda mereka dalam kelas kemahiran. Secara langsung akan meluaskan budaya berfikir pada gerak, dalam kalangan mereka.

Pengalaman bersama Ustaz itu juga memberi pegangan buat diri saya betapa SC amat mementingkan pukulan. Malah pukulan yang ada dalam SC itulah yang membezakan SC dengan silat-silat Melayu yang lain. Saya bercakap adalah melalui pengalaman berkecimpung dalam dunia persilatan Melayu. Atas faktor kehebatan pukulan, teknik dan taktik yang mantap dalam kaedah serangan dan kaedah menunggu serta beberapa kelebihan lain yang ada dalam SC,  maka telah menarik perhatian saya untuk mempelajari, mendalami dan memberi tumpuan pada pelajaran SC. Seterusnya wujud satu kesedaran. Kehebatan dan  kelebihan SC  patut dikembangkan dalam kalangan bangsa Melayu. Hal yang demikian akan dapat membantu orang-orang Melayu supaya memiliki seni silat yang benar-benar mantap dan boleh dipertanggungjawabkan menjaga diri. Tidak ‘tertipu’ dengan khayalan gerak.

Saya yakin dan saya percaya bahawa kesedaran yang saya rasai tersebut, juga dirasai oleh ahli-ahli yang lain. Hal yang demikianlah menjadi salah satu faktor yang menyebabkan mereka juga ada kesedaran untuk mengembangkan SC. Maka berkembanglah SC dengan pesatnya di seluruh negara. Jika bercakap pada adatnya, kalaulah tidak ada pepecahan sesama kita, saya yakin SC pasti akan menguasai  pergerakan silat dalam negara kita. Kalau aje.

Berbalik pada kelebihan pukulan yang ada dalam SC. Tidak hairanlah jika pengertian SC itu sendiri dikaitkan dengan gaduh. Seperti yang selalu kita warwarkan ketika berkempen buka kelas, “CEKAK dalam bahasa Minangkabau disebut CAKAK bermaksud GADUH. Jadi SC adalah silat gaduh bukan silat tari atau pulut. Silat ini sesuai digunakan dalam pergaduhan sebenarnya.”

Ramai yang suka bercakap dan meletakkan kehebatan SC di habuan mulut. Tidak ada rasa untuk mempraktikkan pukulan dalam setiap perbuatan gerak. Kalau sesuai dengan gaduh, maka binalah gerak pukulan sebenarnya dalam kalangan penuntut agar SC yang diajar adalah selari dengan hasrat yang diungkapkan. Hatta dalam pertunjukan SC sekalipun. Buktikan pukulan dan bukannya sentuhan. Penumbuk yang datang, kita sambut dengan pukulan. Tapi ada juga yang menyimpang. Penumbuk yang datang, mereka alu-alukan dengan tabit spring. Mungkin kenyataan saya ini tidak menyenangkan beberapa pihak.  ’Lantaklah’. Perkara penting ialah saya hanya menerangkan pengalaman saya bersama Ustaz. Kalau itulah penekanannya, maka demikianlah juga penekanan saya pada anak didik SC. Pada orang lain, nak ikut, ikutlah. Tapi pengertian SC di atas telah menjelaskan tentang perbezaan antara SC dengan silat tari dan silat pulut. Apa yang berbezanya, pasti ada kaitan dengan pembawaan diri Jurulatih yang menyampaikan ilmu.”Awww”.

Jika SC mementingkan pukulan, kebiasaan silat-silat Melayu yang lain amat mementingkan tangkapan. Oleh itu, pukulan adalah merupakan suatu kelebihan yang ada dalam SC.  Ustaz selalu memberi penekanan pada pukulan yang ada pada SC. Hal yang demikian jugalah yang menyebabkan saya  amat menitikberatkan pukulan dalam proses saya menyampaikan ilmu SC pada anak didik saya. Bukan ada bukti bertulis kata-kata Ustaz itu pada saya. Orang lain susah nak percaya. Tapi saya anggap itulah dia SC. Kaya dengan pukulan “sejengkal”nya.

Ada segolongan ahli yang mengatakan gerak pukulan yang sedemikian dianggap sebagai kasar dan berbahaya. Malas nak jawab. Walau bagaimanapun, kalau tugas Jurulatih berkonsepkan mengajar, tentu berbeza dengan tanggungjawab yang berbentuk pandu. Saya selalu bercakap tentang konsep memandu dalam SC. Itulah penekanan yang diberi Ustaz. Orang yang mengamalkan konsep memandu, akan mendidik secara hikmah. Tunjuk ajarnya bertujuan membangunkan kebolehan penuntut berkenaan. Setiap gerak akan dihuraikan atas alasan sebab dan akibatnya. “Kenapa kita buat macam ni. Kenapa kita tak buat macam tu.” Maka secara langsung wujudlah budaya berfikir dalam kalangan penuntut. Menerima buah secara bukti yang sah. Pukulannya ikhlas untuk membuktikan hebat.

Berbeza dengan konsep mengajar. Orang yang mengajar mengaggap dirinya lebih daripada yang lain. Mereka inilah golongan yang boleh memiliki sifat baran dan tidak mudah berbincang. “Ikut saja. Jangan banyak Tanya.”

Tidak hairanlah, semasa Ustaz menyampaikan pelajaran SC pada kelas saya dulupun, pukulan amat dititikberatkannya. Kalau buah pertama, pemakannya bukan setakat  genggam penumbuk. Itu  perkara biasa. Tangan yang dibuka keseluruhannya adalah untuk mencucuk  bahagian di bawah ketiak. Ditunjuknya juga tangan yang terbuka tapi jari dilipat untuk memakan rusuk. Penggunaan tapak tangan tak pernah wujud pun sama ada untuk memukul atau menepuk. Pada hal kami semua adalah penuntut. Tak ada siapa pun yang tercedera.  Kerana Ustaz mementingkan pukulanlah  juga menyebabkan kami merasa pandangan hitam akibat pukulan Lintau, kaki yang ‘lembik’ akibat pukulan Kidung dan sebagainya. Tak kenal maka tak cinta. Hal yang demikian telah menyebabkan kami semakin bersemangat dan yakin untuk mendapatkan ilmu SC yang nampak sangat bersifat keluarbiasaannya.

Pengalaman tersebut tetap saya jadikan pegangan pesilatan hingga sekarang. Selalu saya ingatkan. Pentingkan pukulan secara segerak. Itulah salah satu keistimewaan SC yang tidak ada pada persilatan Melayu yang lain. Jangan pandang ringan. Itu sebabnya tulisan ini agak panjang bagi menerangkan kepentingannya. Tapi ada juga yang memandang sinis. Nak buat macam mana. Pandangan juling. Macam juling itik balik ke kandang. Tak ada fokas. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 03/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: