RSS

40. 4. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

01 Jul

Saya tidak dapat nafikan, wujud semacam ’perlumbaan’ sesama kami untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu daripada Ustaz. Masing-masing cuba membuktikan betapa ilmu yang diperoleh adalah melebihi orang lain. Saya rasa ketika itu susah untuk menentukan sejauh mana ukuran ilmu yang diperoleh seseorang dari Ustaz. Hal yang demikian adalah kerana faktor kerahsiaan. Mereka yang memperoleh sebarang bentuk ilmu daripada Ustaz, akan merahsiakan perolehannya itu. Walau bagaimanapun, kami hanya dapat menjangkakan betapa mereka yang rapat dengan Ustaz, pasti akan memperoleh banyak  ilmu. Itupun hanya andaian sahaja.

Pernah  juga berlaku peristiwa, mereka yang mendapat sesuatu ilmu daripada Ustaz ’menayang’ perolehan mereka itu pada saya. Mereka tahu bahawa saya terlepas dari memperolehnya. Hal yang demikian berlaku kerana malam yang kami tunggu di rumah Ustaz ’tidak menjadi’. Cepat mengalah. Pernah berlaku saya dan Yang balik dulu apabila dirasakan Ustaz tak akan bangun dari tidurnya pada malam itu. Jam sudah larut pagi.  Rupa-rupanya, kami balik tapi yang lain menunggu. Ustaz bangun lewat. Maka habuan ilmulah pada mereka dan terlepas peluang memperoleh ilmu, pada kami. Keadaan itulah yang dipergunakan mereka untuk memperlihatkan betapa ruginya kami yang balik awal. Maka lahirlah kata-kata, ”Buah durian tak boleh dijolok. Kena tunggu gugur sendiri. Tapi entah bila”.

Saya tenang sahaja. Berdasarkan maklumat yang mereka beri saya simpan hajat dalam hati. Ketika waktu yang tertentu, saya ambil peluang bertanyakan Ustaz. Tunjukkan minat yang amat sangat. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kebiasaannya, gugur juga buah durian apabila dijolok dengan kaedah yang strategik, masa yang strategik dan waktu yang strategik. Puas hati.

Semasa SC bergerak di pejabat baru, Jalan Putera, saya telah dapat ijazah. Namun begitu saya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma pendidikan. Saya juga telah berpindah dari Kem Mindef ke Kampung Baru. Oleh itu, masa ‘lega’ amat banyak. Semasa latihan praktikum pun, sekolahnya tidak jauh iaitu di SMK Jalan Temerloh. Boleh jalan kaki dari rumah. Hal yang demikian menyebabkan banyak masa dapat ditumpukan pada kegiatan SC. Boleh dikatakan setiap hari hingga ke malamnya, saya akan berada di pejabat silat.

Setiap pagi hari kerja, saya akan berada di pejabat silat sebelum ke kuliah. Ketika itu saya menumpang kereta En Nasir yang satu perjalanan ke tempat kerjanya. Bersama-sama saya yang menumpang keretanya  ialah En Maiden. Difahamkan bahawa beliau bekerja di kedai runcit. Setiap pagi kami bertiga berkereta sama tapi distinasi yang berlainan. Ada kalanya saya sempat berjumpa Ustaz dan bersalam terlebih dahulu sebelum bergerak. Selalunya tak sempat berjumpa. Walau bagaimanapun, selesai kuliah di sebelah petangnya, pasti saya akan berjumpa Ustaz. Saya tak jemu-jemu berada di sana. Tambahan pula waktu peperiksaan hanya di akhir tahun. Senang kumpul masa untuk belajar. Kerap kali hanya kami berdua sahaja. Ustaz berbual dalam pelbagai tajuk. Ada yang berkaitan dengan silat dan ada yang berkaitan dengan kefahaman. Hal yang demikianlah caranya saya mendapat dan menambahkan ilmu daripada guru.

Terdapat beberapa perkara yang melibatkan  pesanan Ustaz atau peristiwa yang sukar dilupakan ketika bersama Ustaz. Pesanan dan peristiwa tersebut sentiasa diingati apabila teringatkan pejabat silat kita di Jalan Putera, Kampung Baru. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh tiga perkara yang menjadi kenangan saya. Perkara tersebut menjadi ilmu pengetahuan dan pegangan saya yang besar ertinya dalam dunia persilatan SC.

Satu pesanan yang saya terima adalah berbentuk nasihat dan peringatan. Pesanan tersebut adalah berkaitan dengan hormat pada guru, sama ada guru yang ada sekarang atau guru-guru yang sebelumnya. Penegasan Ustaz ialah, selagi seseorang itu telah berperanan sebagai seorang guru pada diri kita maka wajar sangatlah kita menghormatinya sepanjang hayat. Pesanan Ustaz itu ada kaitan dengan peristiwa yang berlaku semalamnya. Ketika itu saya dan rakan-rakan silat membincangkan tentang silat Melayu yang lain. Kebetulannya menyentuh silat yang pernah saya pelajari. Saya membuat komen tentang guru silat itu yang mengajar saya dengan membandingkan pengajaran yang ada dalam SC. Kawan yang lain hebat menambah. Maka lagi rancaklah saya memberi komen yang banyak bersifat negatif terhadap persilatan yang lalu. Kebetulan Ustaz ada mendengar bersama. Ustaz tak kata apa-apa.

Keesokannya, ketika bersama dengan Ustaz, baru dia bersuara. Ketika berbual, dikemukakannya persoalan pada saya.”Kamu mengenali silat dari mana dan dari siapa?”. Saya tergamam. Ustaz meneruskan percakapan. Fahamlah saya betapa guru yang pernah berjasa pada kita, perlu dihormati sepanjang masa. Konsep taatkan guru dalam SC adalah luas. Bukan setakat guru yang ada, tetapi juga meliputi guru-guru yang terdahulu. Begitulah tingginya falsafah yang ada dalam ikrar kita iaitu taat pada guru.

Saya sangat berpegang pada pesanan Ustaz berkenaan hingga sekarang. Hormatilah guru-guru kita dan hormatilah saluran asal kita menuntut sesuatu ilmu itu. Silat sebelum ini yang saya pelajari telah banyak berjasa pada diri saya. Silat itulah yang menimbulkan minat saya pada silat. Silat itu juga yang boleh dijadikan ukuran bandingan dengan silat yang ada. Kalau terus sahaja mempelajari SC, pasti saya tidak dapat membuktikan kehebatan SC.  Maksudnya ialah kita boleh buat bandingan tapi jangan keji atau memandang rendah ke atas silat yang lain. Sesuailah dengan ikrar yang kita lafazkan pada pemulaan ijazah iaitu jangan mencaci silat-silat Melayu.

Maksud guru telah selalu saya terangkan dalam tulisan terdahulu. Secara umumnya, mereka yang telah memberi sumbangan pada pengetahuan dan pengalamaan kita, maka itulah guru kita. Pesanan Ustaz itu, telah dipanjangkan pada anak didik saya dalam SC. Mungkin telah bersebati dengan diri mereka. Itu sebab agaknya mereka yang telah beralih angin, tapi mendapat ilmu SC melalui saya, tetap menghormati saya sebagai pendidik mereka. Mungkin dari segi persatuan, nampak pepecahannya. Namun begitu dari segi semangat persilatan SC, kami tidak pernah berpecah dari dulu hingga sekarang. Masih boleh berbual, berbincang dan makan minum bersama. Tidur saja tidak sebantal dan mimpi tidak sama.

Satu lagi peristiwa, ada kaitannya dengan ilmu megah dalam masyarakat Melayu. Ustaz menceritakan tentang kemegahan luar biasa yang ada dalam kalangan guru-guru silat. Biasanya, ada kaitan dengan makhluk lainnya. Malah, orang yang disangka keramat pun, bukan tentunya ‘tulin’ atau asli keluarbiasaannya itu, melainkan keluarbiasaannya itu adalah dibantu oleh makhluk lain. Makhluk yang luar biasa selalunya dikaitkan demgam jin. Menurut Ustaz, golongan jin adalah golongan ‘penganggur’. Bila diseru maka golongan inilah yang datang. Bukannya para malaikat atau para wali Allah.

Pada hari yang berkenaan, saya menyerahkan dua jenis tangkal yang ada pada saya. Tangkal tersebut dianugerahi guru yang terdahulu. Ustaz membukanya. Hanya tersenyum. Saya pun malas dan malu nak bertanya. Ustaz mengambilnya dan dikatakan akan menghanyutkannya di sungai. Saya tak kata apa-apa. Tak tahu sungai mana dan bila Ustaz akan berbuat demikian. Hari seterusnya pun saya tidak bertanya. Namun begitu, pengetahuan yang saya terima, saya jadikan panduan dan pegangan. Itu sebabnya dalam tulisan terdahulu ada saya ceritakan pengalaman saya bersama dengan guru-guru silat dari pelbagai negeri. Banyak ilmu yang diberi. Tapi saya tetap berhati-hati. Saya sentiasa teringat kata-kata dan pesanan Ustaz. Hal yang demikianlah menyebabkan saya sentiasa berwaspada  untuk mengamalkan atau menerima sesuatu ilmu yang luar biasa. Sambung.

 
Leave a comment

Posted by on 01/07/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: