RSS

40. 1. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

21 Jun

          Secara umumnya, saya berpendapat bahawa ilmu yang ada dalam SC dapat ditafsirkankan dalam dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah berkaitan dengan gerak fizikal dan kumpulan kedua ialah ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan kefahaman. Kedua-dua ilmu tersebut adalah bersepadu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Gerak fizikal adalah merujuk pada pergerakan dua tangan dan dua kaki. Di sebalik pergerakan tersebut ada kefahamannya.

Kebiasaannya, ilmu fizikal ini diperoleh secara rasmi melalui pelajaran dalam kelas silat. Manakala ilmu yang tidak berkaitan dengan pergerakan dua tangan dan dua kaki boleh diperoleh secara meluas sama ada secara langsung dalam kelas-kelas latihan silat atau dalam situasi lain sama ada situasi rasmi atau tidak rasmi. Penerangan ilmu yang berkaitan pemikiran, tidak memerlukan bukti gerak fizikal. Oleh itu, penerangannya lebih meluas dalam pelbagai bentuk penerangan. Dalam tulisan ini perbincangan tentang ilmu dalam SC adalah merujuk pada kesepaduan kedua-dua ilmu itu.

Satu lagi bentuk ilmu yang diperoleh secara formal adalah melalui majlis-majlis berbentuk ucapan perasmian, syarahan atau ceramah daripada Ustaz. Saya selalu menghadiri majlis-majlis tersebut dengan sedaya upaya. Tanpa ada alasan. Banyak ilmu pengetahuan baru yang diperoleh. Pastinya Ustaz akan membuat rujukan sebelum bercakap. Sekurang-kurangnya Ustaz akan merujuk pada pengetahuan dan pengalamannya selama itu. Hal yang demikian menyebabkan isi percakapannya sangat menarik. Tidak jemu-jemu mendengarnya. Sesuatu yang berpijak di bumi nyata, pasti lebih berfaedah dan berkesan pada para pendengar. Kita boleh nampak betapa isi percakapan Ustaz itu lebih praktikal dan kelihatan jelas untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Saya sendiri amat tertarik dengan percakapan Ustaz. Lebih-lebih lagi, selama ini banyak masa  telah digunakan untuk memberi tumpuan pada pembelajaran semasa di sekolah dan kemudiannya pada kuliah di universiti. Pelajaran lain terutamanya yang menyentuh soal-soal agama, amat jarang diperoleh. Memperuntukkan masa untuk belajar agama, tentunya mustahil. Tidak ada ruang masa. Oleh itu, saya sediakan masa untuk mendapatkan ilmu seperti demikian. Sesungguhnya, menghadiri majlis-majlis berkenaan, banyak faedahnya. Ustaz telah membuka fikiran saya secara lebih luas dengan menyediakan asas yang kukuh bagi membolehkan saya mendalami pelbagai ilmu kehidupan seterusnya. Banyak perkara baru yang menyentuh soal kehidupan telah diperoleh. Hal yang demikian membolehkan saya menentukan apa ilmu yang perlu ditambah untuk masa-masa seterusnya.

Ustaz menggalakkan kami meluaskan pemahaman melalui saluran bacaan. Malah Ustaz sendiri pun rajin membaca dan mengesyorkan beberapa tajuk bahan bacaan yang dianggapnya sesuai. Sesetengah bahan bacaan tersebut adalah kitab-kitab lama yang bertulisan jawi lama. Dapat juga saya membelinya di kedai buku lama. Merangkak juga membacanya. Di samping itu, Ustaz juga membenarkan kami mengikuti pengajian agama terutamanya melalui orang-orang yang tertentu. Cuma, adab utamanya ialah memberitahu Ustaz terlebih dahulu. Pemberitahuan tersebut boleh dianggap sebagai meminta kebenaran dan restunya.  Saya rasa, Ustaz adalah seorang yang berfikiran terbuka dan berterus terang. Tiada masalah dalam soal mendapatkan kebenaran tersebut. Walau bagaimanapun, kegagalan berbuat demikian akan ’mengundang padah’. Bukannya dari Ustaz, tetapi dari ahli-ahli sekeliling yang berfikiran sempit dan tertutup.

Dalam persilatan kita ketika itu ada ahli-ahli kita yang saya anggap sebagai golongan ’tukang canang’. Fikiran mereka tertutup dan hanya berminat menabur fitnah.  Pada mereka, ”sekali sudah belajar SC, tidak perlu belajar apa-apa silat yang lain. Sekali dah berguru dengan Ustaz, tak perlu berguru lagi dengan orang lain. Sekali dah dengar syarahan Ustaz, maka tak perlu mendengar lagi syarahan orang lain.” Susah nak komen. Tapi saya tidak bersetuju dengan pandangan mereka tersebut. Boleh bercampur tapi tak boleh bersama lama-lama. Tak tahulah sekarang. Tapi dulunya memang wujud kumpulan itu.

Kalau seseorang ahli itu belajar tanpa memberitahu Ustaz dan diketahui oleh kumpulan itu, mereka akan membuat isu. Isu jahat. Pelbagai tafsiran dikeluarkan melalui pelakuan mereka supaya Ustaz tahu dan mengambil tindakan. Pegangan mereka, kalau dah belajar SC,  jangan belajar ilmu-ilmu lain. Pada mereka, ahli yang berbuat demikian perlu disingkirkan. Biasanya, kelemahan atau kekurangan ahli berkenaan dalam persilatan, akan dihubungkan penyebabnya dengan ilmu baru yang dipelajari tersebut. Hinggakan kalau terlupa buat buah pun, akan dihubungkan dengan ilmu baru itu.

Dalam hal ini, kalaulah kita tidak dapat sokongan dari Ustaz, maka alamat ’lenyaplah’ kita dari persilatan SC. Sepanjang ingatan saya ketika berada di sana, sekurang-kurangnya terdapat dua orang kawan saya yang telah berjasa pada perkembangan SC, menjadi mangsa. Mereka telah tersingkir begitu saja. Malas nak komen lanjut.

Dalam majlis yang dianjurkan persatuan SC, saya memberi tumpuan pada isi syarahan Ustaz. Bukannya pada gaya Ustaz berucap. Saya boleh memberi tumpuan kerana semua deria yang ada, dikerah untuk memberi tumpuan. Mata memandang Ustaz. Fikiran akan menangkap isi percakapan. Tangan akan mencatat. Oleh itu, mata tak mengantuk. Mulut tak akan berbual kosong dengan jiran sebelah.

Selesai majlis syarahan atau ceramah, saya akan berbual-bual dengan rakan-rakan yang ada. Berbincang balik atas isi percakapan. Kalau mereka berbincang tentang gaya syarahan atau kehebatan Ustaz bersyarah, saya selalunya diam sahaja. Tak mahu masuk campur. Akur sahaja. Sememangnya Ustaz hebat berbicara. Tak guna nak bincang-bincang lagi. Membuang masa. Sebaliknya, mengaplikasikan isi percakapan Ustaz dalam kehidupan harian adalah lebih memberi makna untuk dibincangkan. Tapi itu kata saya.

Ucapan Ustaz dalam satu-satu majlis rasmi juga adalah merupakan satu saluran penurunan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya. Kebiasaannya, ucapan yang diberi Ustaz ada kaitan dengan majlis-majlis khas secara kecil-kecilan. Misalnya majlis penamatan kelas. Kalau majlis besar-besar seperti sambutan Israq Mikraj, ucapan Ustaz adalah berbentuk syarahan atau ceramah. Ketika orang lain sibuk menguruskan majlis, saya tetap mendengar ucapannya.

         Mengadakan catatan adalah saya anggap sebagai suatu tindakan penting. Catatan boleh dibuat sama ada dalam buku khas atau dalam kertas yang boleh difailkan. Saya suka memilih buku sebagai bahan bukti catatan saya. Kita mudah lupa. Oleh itu catatan yang dibuat akan banyak membantu. Kadang kala terlupa bawa buku. Saya akan catat pada sebarang kertas yang ada. Kertas atur cara pun boleh. Kemudian baru saya salin balik pada buku catatan khas berkenaan. Sepanjang saya menuntut ilmu persilatan dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ‘kemegahan’, sentiasa saya catatkan dalam sebuah buku.

Menyentuh buku catatan tersebut, saya teringat ketika menjadi wakil negeri Perak dalam kursus Silat Olah Raga di Johor Baharu pada awal tahun lapan puluhan. Rasanya tahun lapan puluh tiga. Saya mewakili negeri Perak. Hebat juga pengiktirafan yang diberi oleh Jabatan Kebudayaan pada SC. Oleh sebab saya adalah Yang Di Pertua cawangan, merangkap Jurulatih SC, maka saya terpilih mewakili negeri Perak. Setiap negeri telah menghantar seorang guru silat. Kecuali silat yang didaftar di peringkat kebangsaan yang dibenarkan menghantar lebih ramai wakil mereka.

Percampuran dengan guru-guru silat, memberi banyak pengalaman dan faedah. Ramai guru silat yang telah berumur dan mereka mewakili pelbagai jenis silat. Ketika itulah saya memahami tentang cara-cara salah seorang guru silat berkenaan, berhubung dengan ‘kapit’nya. Macam-macam gaya. Namun begitu, mereka tak lokek ilmu. Banyak ‘ilmu megah’ yang saya dapat. Semuanya dicatat dalam buku catatan sebagai kenangan. Itu sebabnya apabila disebut buku catatan maka akan teringatlah peristiwa saya bersama dengan guru-guru silat dari negeri lain.

Saya cuba menimba ilmu megah tatkala bersama mereka. Ada ilmu yang diperoleh secara memberi  ‘pengkeras’ berupa ketayap, tikar sembahyang dan sebagainya. Ada ilmu yang diperoleh secara berjabat tangan berbentuk ijazah. Tidak kurang  juga ilmu yang diperoleh secara pemberian langsung tanpa ada sebarang upucara. Maka banyaklah ilmu yang diperoleh. Ibu Gayung, Pasak Bumi, Kipas Nandung dan lain-lain lagi, tak asing bagi saya. Tak ada pulak ilmu Bisik Semak. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah mengamalkannya. Setakat pengetahuan. Hal yang demikian kerana perasaan ragu-ragu yang ada pada diri saya. Ilmu megah yang luar biasa, tentu ada penyebabnya. Ustaz selalu memberi ingatan tentangnya. Saya berhati-hati. Ketika dirujuk pada Ustaz, hanya senyuman yang diberinya. Saya tidak berminat melanjutkan pertanyaan.

Kerap kali syarahan atau ceramah Ustaz, memerlukan penjelasan lanjut. Penjelasan tersebut hanya boleh diperoleh melalui pertanyaan seterusnya. Dalam hal ini, saya berhati-hati bertanyakan soalan. Biasanya, dalam majlis syarahan atau majlis ceramah, saya tidak akan bertanya soalan secara terbuka. Pertanyaan soalan akan membawa banyak implikasi. Mungkin soalan kita itu akan menyinggung perasaan atau membawa implikasi menduga. Saya cukup berhati-hati dalam hal yang demikian. Daripada menanggung risiko tafsiran orang lain, lebih baik jangan bertanya.

Walau bagaimanapun, persoalan yang ada tetap saya simpan dalam hati. Bukan maksud memendam perasaan. Ketika masa yang sesuai, saya akan bertanya Ustaz. Rupa-rupanya, keadaan yang demikian lebih bermakna dan membawa banyak faedah. Penerangan Ustaz lebih luas dan berkesan. Saya yakin, kalau dijawab dalam majlis-majlis rasmi, pasti jawapannya agak terhad dan terbatas. Banyak hal yang perlu diawasi. Sebaliknya bertanyakan soalan di ketika yang lain membolehkan saya mendapat penjelasan dengan lebih sempurna. Saya berbangga dan berpuas hati akan keadaan sedemikian. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 21/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: