RSS

40. 0. PENGALAMAN BERGURU DARIPADA USTAZ.

18 Jun

         Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang proses penerimaan ilmu dalam SC tatkala bersama Ustaz Hanafi. Tulisan ini juga adalah untuk melayan permintaan ahli yang ingin mengetahui proses saya menerima ilmu ketika yang lalu. Oleh itu, cara tulisan tidak bermaksud membangga diri. Sekadar menceritakan pengalaman diri. Boleh juga saya membacanya sebagai kenangan bertulis pengalaman saya sendiri daripada terkenang begitu saja tanpa ada bahan tulisannya. Sekurang-kurangnya boleh jadi bacaan dan renungan bagi mereka yang berminat. Mungkin boleh juga dijadikan panduan untuk menjalin hubungan dengan guru yang ada. Atau apa-apa saja.

Secara amnya, proses saya menuntut ilmu dari Ustaz boleh dibahagikan kepada dua situasi iaitu situasi formal dan situasi tidak formal. Saya gunakan istilah proses kerana proses membawa makna penerimaan ilmu yang berterusan dari masa ke masa hingga ke akhir hayat Ustaz. Negeri terakhir yang Ustaz kunjungi ialah Perak;  menamatkan para penuntut pada kelas di cawangan yang saya pimpin.

Dalam tulisan ini segala penceritaan adalah merujuk pada diri sendiri. Tidak ada perasaan untuk bangga diri. Jangan kata, ”Masuk bakul angkat sendiri”. Kalau boleh angkat, memang luar biasa. Orang biasa tak mungkin boleh melakukannya.        Cuma, tulisan ini sekadar mengenang kisah lama yang adatnya tidak mungkin berlaku lagi pada diri saya. Kegemilangan saya sudah berlalu. Hanya tinggal nama pada mereka yang segenerasi. Itupun pada kumpulan yang saya yakini.

Saya mengharapkan agar tulisan ini tidaklah dijadikan  bandingan sesama guru. Hal yang demikian kerana situasi dan kepimpinan mereka adalah berbeza. ’Lain padang, lain belalangnya. Lain orang maka lain perwatakan dan pengalamannya’. Oleh itu, situasi pengajaran dan pembelajaran di masa-masa lalu tidak mungkin sama dengan yang ada sekarang. ”Lain hulu maka lain parangnya.” Cuma pelajarannya tetap sama. Ada dululah maka ada sekarang. Itupun kalau tak diubah-ubah.

Pelajaran saya secara formal dalam SC adalah lebih banyak merujuk pada pembelajaran SC dalam kelas silat itu sendiri. Seperti yang pernah saya nyatakan bahawa pelajaran di kelas saya  mengambil masa pendek. Tak sampai enam bulan. Saya juga pernah nyatakan betapa Ustaz akan menurunkan buah pelajaran pada saya terlebih dahulu. Jika Ustaz tidak hadir, wakilnya juga tetap berbuat demikian, menurunkan pelajaran pertama pada saya. Kemudiannya saya akan sahkan penerimaan buah tersebut pada Ustaz jika buah tersebut diperoleh dari Jurulatih lain. Hal yang demikian adalah merupakan syarat pembukaan kelas SC di pusat latihan di tempat saya dulunya seperti yang saya pernah ceritakan.

Masa latihan adalah terhad iaitu dua kali seminggu. Oleh itu pelajaran tiga kali terpaksa dijadikan dua kali. Hal yang demikian menyebabkan masa latihan adalah dari pukul tiga hingga enam petang. Buah yang diturunkan, biasanya dua buah setiap kali latihan. Itupun tak termasuk pecahan buah, jika ada.  Ada ketikanya pelajaran tersebut berlaku di bulan puasa. Bukan main terseksanya kerana lapar dan dahaga. Walau bagaimanapun, cabaran itu dapat ditempuh dengan ketabahan hati. Cuma, beberapa minggu saja.

Situasi yang sebegitu menyebabkan saya tidak boleh membuang masa dengan bersembang tak tentu hala. Apatah lagi tatkala pelajaran yang diterima semakin bertambah. Kalau kesemua sembilan belas buah telah diterima, latihan keseluruhannya tentu akan melibatkan masa. Sebelum diadakan pembarisan untuk maksud latihan, saya akan berlatih bersama pasangan terlebih dahulu. Ketika pembarisan, selalunya banyak  hal yang mengganggu. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya penangguhan latihan secara barisan akibat Jurulatih yang sibuk membetulkan gerak salah pasangan yang lain.

Suara saya hanya kedengaran untuk bertanya Ustaz atau Jurulatih yang ada jika  inginkan kepastian tentang gerak sebenar dan sepatutnya  buah SC. Itupun sebelum atau selepas latihan secara barisan. Sebelum berbaris, kami dibenarkan membuat latihan secara persendirian. Selepas menerima buah daripada Ustaz dan Jurulatih yang lain, kami perlu ’melakonkan’ semula gerak buah berkenaan di hadapan mereka, sebelum bebas berlatih. Selepas mendapat ’lesen’ untuk bebas berlatih pada buah yang baru diterima, ramai yang sering bertanyakan soalan pada saya. Agaknya saya lebih cepat dapat secara kemas dan mantap, berbanding dengan mereka.

Setiap sesi latihan, akan dijalani secara bersungguh-sungguh. Saya cuba mengelak membuat penjelasan tentang gerak buah yang baru diterima pada hari berkenaan pada rakan-rakan yang bertanyakan soalan pada saya. Bukannya saya Jurulatih. Biasanya, mereka bertanyakan saya kerana segan bertanya pada Jurulatih yang ada. Melayan persoalan mereka, tentunya akan merugikan masa latihan saya. Oleh itu, saya akan menasihati mereka bertanyakan soalan pada Jurulatih yang ada. Namun begitu, ada kalanya apabila persoalan mereka itu agak menarik, saya sendiri yang akan bertanyakan soalan itu, bagi pihak mereka. Soalan itu ditujukan sama ada pada Ustaz atau pada Jurulatih yang berkeupayaan menjawabnya.

Seboleh-bolehnya, semua pertanyaan tentang gerak buah yang sepatutnya, perlu ditanya pada Ustaz. Namun begitu dalam hal-hal yang tertentu, tak tergamak nak bertanya semua soalan padanya. ”Kalau dah asyik bertanya, mana mungkin kita dapat berfikir.” Apatah lagi jika selalu sangat bertanya. Nampak sangat lemahnya. Oleh itu kerap juga saya merujuk persoalan gerak pada Jurulatih yang tertentu. Pemilihan Jurulatih adalah berdasarkan keutamaan saya. Saya akan memilih Jurulatih yang lebih banyak menguntungkan pada  pergerakan saya. Jika tidak ada Jurulatih berkenaan pada hari itu, baru dirujuk pada Jurulatih yang lain.

Saya tidak nafikan betapa Jurulatih yang ada, mempunyai pelbagai perwatakan. Ada yang pantang ditanya. Tindak balasnya akan menunjukkan keegoannya sama ada dalam gerak atau dalam percakapannya. Kalau dalam gerak, pasti jawapan geraknya berbentuk  kasar ganas tanpa berupaya menerangkan peringkat-peringkat membuat buah berkenaan. Pertanyaan yang diajukan pada mereka seolah-olah mencabar kewibawaan mereka. Banyak perasan tak tentu hala. Ada pula dalam kalangan Jurulatih yang bijak bercakap. Penerangannya panjang lebar. Sedikit ayat yang ditanya, banyak ayat yang dijawabnya. Tapi perbuatannya tak selaras dengan apa yang dicakapkan. Cakap tak serupa bikin. Nampak sangat kelemahannya.

Ada juga dalam kalangan mereka yang begitu lembut dalam gerak. Tak puas mendapatkan penerangan daripada mereka. Rasa lemah. Rasa tak yakin. Namun begitu ada juga dalam kalangan Jurulatih yang menyakinkan kita. Pandai bercakap dan percakapannya selaras dengan perbuatan. Di situlah saya membuat pilihan pada Jurulatih yang boleh menguntungkan pembelajaran saya. Pilihan itu adalah subjektif. Lain orang maka lain pula pilihannya.

Saya juga akan berlatih dengan pasangan yang boleh menguntungkan diri. Pasangan tersebut mempunyai ketangkasan dan kekasaran serta daya penguasaan pelajaran di tahap yang sama. Hal yang demikian sangat saya pentingkan. Masa akan lebih banyak tertumpu pada latihan, berbanding dengan pembetulan buah atau kelupaan pada gerak. Beberapa pasangan lain yang saya saksikan, tidak seimbang akan kebolehan mereka. Banyak masa akan terbuang kerana membetulkan gerak pasangan. Proses latihan akan kerap kali terganggu, gara-gara lupa, gagal membuat buah atau pelbagai sebab lagi yang melibatkan masa. Terbuang masa.

Minat yang sedia ada pada SC, menyebabkan saya tidak puas berlatih setakat dalam kelas. Oleh itu, pada waktu malamnya, saya menganjurkan kelas latihan lanjutan di asrama yang saya hinap. Biasanya dua atau tiga malam mengikut keperluan dan permintaan rakan-rakan. Mereka juga berminat untuk menajam atau memantapkan gerak mereka. Saya sendiri yang mengendalikan kelas berkenaan. Mereka yang berminat, dijemput menyertainya. Kelas bermula sekitar jam sepuluh malam iaitu selepas selesai semua toturial yang kerap kali diadakan di waktu malam. Tempoh latihan kadang kala hingga larut malam. Pengawal keselamatan asrama pun sudah memahaminya.

Rupa-rupanya ramai yang berminat. Rasa-rasanya, tidak kurang sepuluh orang pada setiap kali latihan. Berdasarkan pengalaman saya dalam persilatan Melayu, memudahkan saya cepat dapat dan cepat ingat pada setiap pelajaran yang diberi. Kebetulan pula, rakan-rakan saya yang lain agak  lemah mengingat gerak. Mereka mudah lupa. Hal yang demikian memberi banyak kelebihan pada saya untuk mengendalikan kelas tambahan tersebut. Penerangan yang saya berikan, secara langsung memantapkan pengetahuan dan juga  memantapkan pembangunan gerak diri saya dalam SC. Persoalan yang timbul, saya cuba jawab terlebih dahulu sebelum merujuk pada Ustaz. Jika tidak selari akan jawapan berkenaan, akan saya terangkan semula pada rakan-rakan yang lain. Begitulah kesungguhan saya untuk menguasai SC dengan sepenuh hati tanpa ada perasaan ragu-ragu pada pelajarannya.

Latihan yang kami jalankan adalah atas dasar keyakinan kami pada pelajaran SC. Sekali pandang, kami tidak perlu mengorbankan masa tambahan untuk menguasai SC. Pada hal, asal pembelajaran kami semata-mata untuk mengetahui lebih lanjut tentang silat Melayu yang baru iaitu SC. Hampir keseluruhan ahli yang menuntut SC ketika itu telah ada amalan silatnya sendiri. Namun begitu, dari masa ke masa, minat kami pada SC mula terbina. Agaknya, benarlah kata pepatah, ”Hanya Jauhari yang mengenal maknikam”. Kami nampak akan kelebihan SC yang ada. Banyak pergerakannya yang luar biasa dan lebih praktikal. Hal yang demikian menyebabkan kami ingin menguasai sepenuhnya segala ilmu pengetahuan SC. Tidak mahu mempersia-siakan pelajaran yang diturunkan dan diawasai sendiri oleh Guru Utama. Pastinya atas dasar demikianlah menyebabkan kami lebih serius belajar dan mengadakan kelas-kelas tambahan bagi memantapkan pergerakan. Bersambung.

 
Leave a comment

Posted by on 18/06/2012 in Persilatan

 

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: